Halaman

Jumaat, 5 Januari 2018

Ulasan buku : Di Bawah Pohon Hawthorn


Allahumma soyyiban naafia.

Alhamdulillah, hujan turun pagi ini. Bermula dengan rintik-rintik halus sehingga lebat. Anak-anak juga memulakan hari dengan santai. Kurang drama berbanding hari lain ;)

Pagi ini sementara menunggu anak-anak bersiap, sempat menghabiskan bacaan buku Di Bawah Pohon Hawthorn. 

Sumber gambar : Laman web DBP


Buku ini saya beli tahun 2011 melalui e-sastera.com. Sebuah buku terjemahan mengisahkan kebuluran yang melanda negara Ireland pada tahun 1880-an. Ya Allah, benar sekali apabila membaca firman-Mu :

Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (Surah Al-Baqarah ayat 155)

Meskipun ini sebuah karya fiksyen namun penulis berjaya menggambarkan betapa dahsyatnya situasi penduduk Ireland ketika itu. Melalui tiga beradik - Elly, Michael dan Peggy pembaca akan terbawa ke dalam situasi ketakutan, kebuluran dan ketakutan ditimpa penyakit di kampung mereka.

Keluarga Elly terdiri dari ibu, ayah dan empat adik-beradik. Ayahnya berkerja membina jalan dan telah berbulan keluar meninggalkan mereka. Disebabkan tiada komunikasi, mereka tidak tahu di mana ayah mereka berada. Adik kecil mereka memang sakit tenat dan akhirnya meninggal dunia lalu dikuburkan di bawah pohon Hawthorn di rumah mereka. Pengebumian juga dilakukan sendiri kerana paderi di kampung mereka sendiri telah jatuh sakit dan tenat.

Image result for di bawah pohon hawthorn ainyanunalif
Pohon Hawthorn. Sumber gambar : sini

Bekalan makanan semakin habis. Ibu mereka terpaksa keluar juga mencari ayah mereka untuk mengkhabarkan akan kematian Betty dan melihat keadaan ayah mereka.

Sepeninggalan ibu, datang orang dari rumah perlindungan anak yatim dan miskin untuk mengumpulkan warga kampung yang masih tinggal. Tetapi Elly sebenarnya tidak mahu ke sana. Mereka berjaya berhelah dan melarikan diri. 

Mereka merancang mencari nenek saudara mereka yang sering diceritakan oleh ibu mereka. Sebuah tempat bernama Castletaggart yang jauh perjalanan memakan masa lebih sebulan untuk sampai. 

Namun mereka nekad, mengharungi pelbagai kesusahan dan ketakutan sepanjang perjalanan menjadikan tiga beradik ini lebih cekal, matang dan lebih bersatu hati.

Bayangkan anak-anak di bawah usia 12 tahun berjalan kaki merentasi sungai, hutan belantara, bukit-bukau dengan jalan berbatu tajam dan tapak kaki yang menjadi tebal untuk menyelamatkan diri, mencari ahli keluarga dan paling penting bebas dari kebuluran.

Memetik kata-kata penulis, "Jika anda orang Ireland, maka anda sedang membaca buku ini hari ini kerana ada seseorang dalam anggota keluarga anda, pada suatu masa dahulu berjaya meneruskan hidup pada Zaman Kebuluran yang teruk."

Zaman kebuluran yang dahsyat melanda Ireland berikutan tanaman kentang mereka diserang penyakit dan membusuk di dalam tanah. Mereka ada hasil tanaman lain tetapi semuanya dieksport ke luar negara. 

Jutaan manusia kebuluran dan mati sepanjang tempoh itu. Pihak kerajaan berusaha membantu tetapi keadaan yang teruk itu dialami selama beberapa tahun.

Terfikir, bagaimana dengan kita?
Sebab itulah Allah sudah beri garis panduan - agama Islam adalah agama yang lengkap dan sesuai untuk manusia. Ada saranan memelihara alam, jangan merosakkan alam, asas keimanan ialah menjaga kebersihan, dan lain-lain. Ia melengkapi antara satu sama lain.

Tapi kita fikirkan diri sendiri sahaja, tidak fikirkan untuk orang lain. Maka terjadi kepincangan yang natijahnya dirasai oleh generasi seterusnya.

Buku 1 / 2018
#readingchallenge
#iRead2018

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan