Sabtu, 16 September 2023

Library is treasure

Dua minggu lepas ke Perpustam melunaskan hutang. Alhamdulillah selesai. Waktu nak meminjam, baru tahu sekarang perlu bayar keahlian. Berkuatkuasa Jun lepas. Saya dan suami sahaja perbaharui keahlian. 

RM15 setahun untuk kategori pinjaman istimewa dewasa iaitu boleh meminjam 15 buah buku. Jika keahlian biasa bayar RM10 tahunan dan boleh meminjam sebanyak 8 buah buku. 

Teringat ke PPAS cuti sekolah yang lalu, sesiapa sahaja boleh meminjam di situ secara percuma. Warga asing pun boleh. Seorang boleh pinjam 20 buah buku selama sebulan. Boleh pulangkan dengan hantar melalui pos. 




Masuk minggu kedua memantau rekod NILAM anak-anak terutama yang darjah 1. Mahu bagi semangat kepada dia merasai keseronokan membaca. Nampak kecenderungannya membaca kisah nabi dan para sahabat. 

Sudah pasti perpustakaan jadi pilihan mencari bahan bacaan. Pelbagai variasi buku untuk pembaca awal. Biasanya buku Bahasa Inggeris lebih menepati aras anak. Masih level beginner dalam membaca buku Bahasa Inggeris. 



 Tarikh pemulangan pada 29 September 2023.

Rabu, 6 September 2023

Anekdot Pencinta Al-Quran






Rembesan air mata laju menuruni pipi tanpa dipaksa-paksa. Membaca naskhah Anekdot Pencinta al-Quran ini dari awal sehingga noktah terakhir menerbitkan pelbagai rasa dalam diri.

Ya Allah, rezekikan kami membaca kalam-Mu dan akrab dengannya tanpa satu hari pun ketinggalan. Aamiin.

Al-Quran mukjizat yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW memberi makna kepada setiap jiwa yang membacanya. Ada orang berpeluang belajar al-Quran dengan mudah. Ada orang berliku jalannya mendalami al-Quran.

Tetapi Allah tetap bimbing hamba-Nya yang berusaha melalui pelbagai cara. Terkesan dengan beberapa nasihat tuan guru al-Quran daripada penceritaan penulis.


3 Pesan Sheikh Mahmud


Selepas mempelajari al-Quran, jangan lupa :

 1. Praktikkan apa yang telah dipelajari.

2. Jaga amanah terhadap al-Quran.

3. Sebarkan kebaikan al-Quran kepada orang sekeliling.


Sejujurnya saya tertampar dengan pesanan nombor 3 itu. Sejak ramadan tahun ini, kelas mengaji kami terpaksa dihentikan sementara waktu ekoran keadaan kesihatan saya dan anak-anak serta persiapan kami suami isteri dipanggil menjadi tetamu-Nya pada musim haji 1444H.

Selepas pulang pun, kelas belum dapat dibuka atas kekangan kesihatan dan masa. Rasa bersalah selalu menghantui diri sehingga terbawa-bawa ke dalam waktu tidur. Namun, sungguh. Belum ada kekuatan untuk mulakan semula.


Cara memilih guru al-Quran


Panduan daripada Sheikh Wael, Pengelola Pusat Pengaiian Darul Itqan Mesir ini sangat bermakna. Carilah guru al-Quran yang betul. 

1. Antara ciri guru yang baik ialah bersungguh-sungguh menegur setiap kesalahan murid. Guru ini bersifat ikhlas.

2. Ketika mengajar, dia tidak berfoya-foya membuat urusan lain seperti bermain telefon.

3. Memberi perhatian penuh kepada murid. Ibarat seorang ayah yang sedang mendidik anaknya.


Ia bukan sahaja mendidik al-Quran bahkan menunjukkan tauladan sedang berusaha mendalami dan mendekati Allah.


Subhanallah alhamdulillah allahuakbar. Terima kasih penerbit dan penyelenggara serta tim yang berusaha MEREALISASIKAN penerbitan buku ini. Semoga ada kebaikan diperolehi dan diamalkan daripadanya. 


Tahniah semua rakan penulis! Barakallahufiikum.


Nota : Ketika ulasan ini ditulis, buku sedang dicetak semula dek beberapa kesilapan teknikal yang perlu dibaiki. Buat kalian yang ingin mendapatkan naskhah ini, masih boleh dapatkan dengan harga promosi daripada saya dan rakan penulis lain.

Harga pratemph RM35 sahaja termasuk pos Semenanjung. Boleh klik sini untuk tempahan. 

Ahad, 3 September 2023

In Her Footsteps oleh Norhafsah Hamid


Sudah beberapa kali cubaan menghabiskan bacaan tidak pernah berjaya. Hari ini saya tunaikan juga hasrat itu apabila membaca kembali bait demi bait tulisan penulis.

Dalam masa yang sama hati teringat-ingat dengan bumi Haramain yang telah sebulan ditinggalkan. 47 hari di sana terasa singkat 😭 Rasa nak kembali duduk di sana.

Di dalam buku ini, saya kira puan penulis berkongsi pengalamannya berhijrah menjadi seorang muslim yang sebenar. Bermula dengan kembali membetulkan solat, bacaan al-Quran seterusnya kepercayaan 100% hanya kepada Allah.

Aha... Seolah menjadi sumbu semangat saya. Pulang daripada haji merupakan satu cabaran mengekalkan kemabruran haji. Perlu sentiasa ingatkan diri menjadi muslim yang lebih baik setiap hari. Dan buku ini menjadi salah satu pemangkinnya.

Satu demi satu bab ditulis ringkas tetapi menarik sekali susunan ceritanya. Suka dengan gaya penulis semasa menceritakan pengalamannya mengembara ke beberapa tempat bersama rakan-rakan. Lucu tetapi terselit pengajaran. 

Ibu.. Ayah.. Andaiku Menangis Air Mata Darah

 


"Seorang penulis seharusnya memulakan penulisannya dengan sesuatu yang mengingatkan pembaca untuk berbakti kepada ibu bapanya." - Shaykh Salih bin 'Awwad al-Maghamisi.


Kata hikmah ini terlebih dahulu menyapa diri ketika membuka helaian mukaddimah. Terus terbayang mak ayah sendiri di rumah...

Saya bersyukur berpeluang membaca buku ini dalam timbunan TBR books yang ada. Mengingatkan diri bahawa mentaati ibu bapa bukan sekadar suruhan Allah tetapi wasiat daripada Allah sendiri. Tiga kali Allah sebutkan di dalam Al-Quran melalui :

1. Surah Luqman ayat 14

Kami telah mewasiatkan manusia agar berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya. 


2. Surah al-Ahqaf ayat 15

Kami telah mewasiatkan manusia agar berlaku ihsan terhadap kedua-dua ibu bapanya.


3. Surah al-Ankabut ayat 8

Kami telah mewasiatkan manusia agar berlaku ihsan terhadap kedua-dua ibu bapanya. 


Allah menggambarkan kesukaran yang ditempuhi seseorang ibu di dalam Al-Quran melalui pemilihan perkataan yang teliti dan halus seninya. Orang yang memahami bahasa Arab pasti cakna dengan maksudnya.

Takut benar dengan amaran Baginda Saw melalui hadis ini :


Semoga dia menjadi hina-dina, semoga dia menjadi hina-dina, semoga dia menjadi hina-dina!

Baginda ditanya, "Siapakah itu, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Orang yang sempat bersama dengan ibu bapanya ketika mereka berdua sudah tua, sama ada salah seorang daripada mereka berdua atau kedua-duanya sekali, namun dia tidak dapat  memasuki syurga." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Nasihat penulis, sentiasalah doakan ibu ayah kita siang dan malam. Atau paling tidak di dalam solat kita. Allah tahu usaha dan apa yang kita buat. 


Terima kasih Dr Kamilin atas naskhah ini. 

Sabtu, 2 September 2023

Zirafah fah, fah, fah

 Mak Long rasa dah pencen buat aktiviti begini. Sayang dah lama tak buat. Cuti sekolah sudah penghujung baru dapat menyantuni anak dan anak buah. Jomlah buat, kita gunakan masa yang ada, kan? Buat kraf zirafah sahaja. Mak long lukis, mereka gunting sendiri. Tampal dan warna sendiri. Yang kecil-kecil minta bantuan kakak abang.


***


Haiwan apa tinggi daripada pokok? Lehernya panjang macam tiang. Dia tidur pun berdiri tau.

Terkebil-kebil mata si kecil mendengarnya. Ya, haiwan itu nama Zirafah. Hebat kan Allah yang mencipta zirafah ini? Kenapa Allah jadikan dia tinggi? Yang besar-besar sudah pandai jawab : Sebab dia nak makan daun kat pokok. Tepat sekali. Itu salah satu sebabnya.

Allah sudah kata yang Allahlah pemilik segala apa yang ada di bumi dan di langit. Setiap makhluk yang Allah cipta ada kelebihan dan fungsi masing-masing. Hatta zirafah ni pun ada manfaatnya. Jadi, kita pun mesti jadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Kena jadi baik, jangan bergaduh dan mengejek orang. Kita tak tahu suatu masa nanti orang itu yang akan tolong bila kita susah.

Masing-masing menganggukkan kepala. Entahlah anak-anak ini dapat memahami apa yang Mak Long sampaikan ni. Mudah-mudahan :)





Khamis, 24 Ogos 2023

Jerman, Kami Datang!

 Jerman, Kami Datang!


Mengikuti rapat hantaran-hantaran Kak Zalila Isa membuatkan diri tahu akan perjalanan mereka sekumpulan penulis perempuan ke Pesta Buku Frankfurt di Jerman. Apa jua berkaitan buku pasti menjadi satu keterujaan buat diri. Tak sabar menunggu buah tangan mereka selepas pulang dari sana. Dan inilah, sebuah buku pengembaraan yang berbaloi untuk dimiliki.


Bukunya diisi dengan esei, cerpen fiksyen, gambar, puisi dan hasil seni. Saya tidak begitu pandai membaca puisi tetapi sejak mengenali mereka, perlahan-lahan saya cuba fahami apa yang disampaikan melalui puisi. Pemilihan kata dalam puisi memikat hati. Ia antara nukilan dalam catatan Kak Zalila. Cerpennya buatkan saya tersenyum kerana terkenangkan anaknya, Umar.


Jauh berjalan, luas pengalaman. Pembaca dapat mengetahui budaya, bahasa dan kegemaran orang di sebelah sana. Sesekali ralit menatap foto yang dikongsikan sebagai latar dalam buku. Mengagumkan. Melalui catatan Pn Norsa’adah saya mengenali sastera kanak-kanak mereka melalui watak Struwwelpeter. Malah ada muzium didirikan bagi menghargai usaha penulis ini. Karyanya yang terbit tahun 1845 masih di’highlight’ sehingga kini. Hebat!


Pn Zanariah saya kenali sebagai ejen jualan buku suatu ketika dahulu. Tetapi kelebihan beliau merakam momen lebih ketara dalam ingatan saya. Sudah pasti pemergiannya ke Pesta Buku Frankfurt bagi mencari inspirasi. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku kanak-kanak seperti 24 Jam Magik, Di Mana Kawan Saya? dan Aimi Tidak Murung Lagi. Rupanya ada banyak teknik menghasilkan buku kanak-kanak seperti diorama.


Tidak sah jika tidak ke muzium setempat bagi Puan Emila. Memang melalui karya semua traveller perempuanlah membuatkan saya menghargai muzium. Sebelum ini tidak terfikir pun mahu melawat muzium Negara atau setempat kerana kurang kesedaran dan ilmu. Kini muzium menjadi salah satu agenda bila melawat sesebuah negeri. 


Muzium Gutenberg digambarkan sebagai sebuah muzium yang memaparkan sejarah panjang penghasilan buku. Muzium empat tingkat itu dibahagikan kepada bahagian khas seperti pembuatan kertas, mesin cetak buku, pameran buku sejak 500 tahun dahulu, manuskrip asal bertulisan tangan sehinggalah kepada koleksi buku kanak-kanak mereka.


Sudah pasti saya menunggu tip dari Pn Emila tentang merakam perjalanan ke dalam jurnal! Ia suatu kegemaran yang telah lama ditinggalkan. Hanya apabila anak-anak sudah masuk ke sekolah, saya membimbing mereka membuat jurnal dan dan jurnal Pn Emila dan rakan-rakan menjadi rujukan. 


Saya sangat menggemari kisah Teh dan Roti oleh Pn Nilam Tang. Anak saya berusia 9 tahun pun membaca bahagian ini dengan khusyuk. Sampai sanggup membawa buku ke sekolah untuk dibaca ketika waktu senggang (katanya). Saya harap dia tidak membaca semasa guru mengajar. Huhu. (Itu perangai uminya ketika sekolah rendah sehinggalah ayah sendiri ‘menangkap’ perbuatan saya itu!).


Banyak sticky note dilekatkan dalam buku dan insya-Allah ia akan dibaca lagi dari masa ke semasa. Banyak ilmu dan kesedaran saya perolehi melalui buku ini. Tahniah buat semua kerana menghasilkan buku yang bermakna dan berkualiti.


Khamis, 10 Ogos 2023

Tambahan kad bacaan

 Belajar tentang kod rasa (makanan).











Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015