Pagi tadi ternampak seorang rakan kongsikan gambar hiasan kerawang yang ada di sebuah sekolah. Ia hasil usaha gigih seorang guru yang menghias kelas (atau bilik khas. Saya tidak lihat lebih terperinci tadi).
Spontan saya teringatkan ayah.
Ayah memang tangan berseni. Namun bakat itu tidak turun kepada anak-anak. Haha.. Saya merasakannya begitu.
Saya tangan bangku sehingga semasa di sekolah rendah dahulu saya tertekan apabila tiba subjek Pendidikan Seni. Asyik melukis sahaja. Tetapi cikgu tak pernah ajar cara melukis dengan betul. Kecil-kecil sudah memberontak, kan? Ayah banyak tunjuk ajar subjek pendidikan seni di rumah semasa saya berada di tahap 1. Kemudian ayah lebih senang memantau dari jauh sahaja.
Namun, saya dan adik merasa juga memasuki pertandingan mewarna di sekolah. Ayah bersungguh latih kami dua beradik melukis rumah tradisional melayu dan cara mewarna dengan betul. Waktu itu saya sangat kagum dengan hasil lukisan ayah. Tetapi saya tidak pandai mewarna.
Ayah banyak melukis mural di dinding sekolah tempat ayah bertugas. Ayah memulakan usaha membina Bilik Warisan dan Taman Herba (malangnya kedua-duanya sudah tiada lagi) dan paling saya ingat ayah terkenal sebagai jurulatih bola sepak sekolah rendah kami dahulu. Latihannya memang keras dan berdisiplin tinggi.
Namun ianya terbayar apabila sekolah kerap menjuarai mana-mana kejohanan bola sepak yang disertai. Salah satu kenangan manis (saya rasa) apabila salah seorang anak didik ayah terpilih mewakili negara ke kejohanan bola sepak remaja bawah 19 tahun. Anak murid ini berusaha menghubungi ayah dan memaklumkannya melalui telefon. Allah, hati guru mana tidak gembira. Sedangkan dia sudah bertahun-tahun meninggalkan bangku sekolah rendah. Dan saya tabik dengan anak didik ini yang masih mengingati jasa seorang guru.
Ayah pernah mengajar mata pelajaran Alam dan Manusia, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Jasmani. Namun yang paling diingati ialah ayah seorang cikgu yang garang! Saya selalu berharap agar ayah tidak masuk ke kelas untuk relief. Kecut perut.
Pernah sekali saya tidak mahir dalam topik pecahan. Ayah berjaga sepanjang malam mengajar saya sehingga mahir. Hanya beberapa jam! Alhamdulillah, saya terus skor topik berkenaan meskipun keesokan harinya saya ke sekolah dengan wajah yang sembap akibat tidak cukup tidur dan banyak menangis 😄
Malangnya gambar mural sekolah yang ayah lukis tiada lagi dalam simpanan kami. Yang ada pun saya kira hanya sekeping dua dalam komputer lama. Di dinding sekolah-sekolah berkenaan juga sudah lama diganti dengan cat lain. Sayang.
Inilah salah satu mural yang ayah lukis suatu waktu dahulu. |
Saya tidak pasti sama ada arca pensel masih ada di sekolah SKDDH, Bukit Katil dan binaan air terjun di SKM. Mujur ayah sempat lukiskan sebuah lukisan alam dan diletakkan di ruang tamu rumah.
Melewati fasa sebagai guru praktikal suatu masa dahulu, tiba-tiba saya boleh melukis bahan bantu mengajar dengan lancar. Eh? Bukan tangan bangku rupanya saya ini. Mungkin tidak pernah diasah sahaja. Haha.. perasan pula.
Kini, selepas bersara, ayah lebih senang dengan sukan baru yang diceburinya - berbasikal. Berpuluh jambori disertai, medal-medal bergantungan di dinding rumah. Cucu-cucu pun sudah maklum, atok pergi main basikal. Haha..
Barakallahufik ayah 💖💖💖
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan