Jumaat, 28 Mei 2021

Nasi Minyak

 Badan rasa ok dalam 8-9 hari ini. Jadi hari ini turun ke dapur untuk memasak. Dah lama cuti memasak asbab badan tak sihat. Tapi menjelang tengah malam ini (waktu saya menaip, jam menghampiri 12 tengah malam), asthma saya kembali menyerang. 


Rasa nak marah dengan diri sendiri boleh tak 😅 Sampai bilalah asthma ni nak sembuh. Tak tahan dengan keadaan bawa bayi lagi. Hanya dua kandungan terakhir ini saya kerap diserang asthma (2019 dan sekarang). Bila tak mengandung, ok sahaja asthma ni.


Saya perasan dua keadaan akan menyebabkan asthma datang sekarang iaitu renyah buat kerja dan cuaca sejuk. Takkan mahu diam sahaja melihat rumah tidak berkemas? Memang ada anak dan suami yang bantu tapi kadang datang rasa tak mahu menyusahkan mereka. Masalahnya, sendiri akan merana akibatnya. Padan muka saya kan🤪


Nasi Minyak 


Baiklah, cerita tentang lauk tengahari tadi. Pertama kali masak nasi minyak guna resipi Che Nom. Terima kasih Che Nom! Banyak pahala sebab kongsi cara masakan. Semua orang gembira makan bertambah-tambah sampai malam. Ini resipinya :


Bahan Nasi Minyak

2-3 sudu besar majerin/mentega/minyak sapi

1 sudu besar minyak masak

½ biji bawang besar

1 inci halia

2 helai daun pandan

Rempah 4 sekawan (1 batang kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 kuntum cengkih, 4 biji buah pelaga)

2 cawan beras

Anggaran 2 cawan air + 1 cawan susu cair

garam secukup rasa


Cara memasak 

1. Hiris nipis bawang besar dan halia.

2. Tapis dan tos beras yang telah direndam lembut selama 1 jam.

3. Panaskan majerin/mentega/minyak sapi dan tambah sedikit minyak masak.

4. Tumis bawang besar dan halia, rempah empat sekawan, daun pandan, dan tuang beras yang telah direndam. Lalu, goreng kesemuanya seketika dalam masa 2-3 minit.

5. Masukkan air dan susu cair mengikut sukatan bersama garam secukup rasa dan kiub ayam (pilihan).

6. Kemudian, pindah masuk kedalam periuk nasi dan masak.

7. Nasi minyak siap dimasak boleh dihidangkan dengan taburan daun ketumbar, bawang goreng dan cili merah bersama ayam goreng madu dan sos ala Thai.


Dalam entri Che Nom, beliau masak ayam masak madu dan sos cili ala Thai sebagai lauk. Tapi saya memikirkan ada pelbagai peringkat umur dalam rumah ini, maka saya padankan dengan kurma ayam dan ulam raja.


 Ini kes sudah tak larat nak berdiri masak sayur pula. Sambal belacan pun jauh sekali nak buat. Saya perlu mencari masa untuk buat stok pes dan sambal untuk akan datang. Oh sebenarnya di rumah sudah kehabisan gas. Jadi saya mengulang pakai Noxxa 😅 Alhamdulillah Ya Allah, besar rahmat ada periuk ini.


Minum petang

Sebelum Asar tadi sudah terasa badan penat (baca : asthma dah mula nak menyerang). Selepas ambil wuduk saya sudah berkira-kira mahu baring selepas solat. Tiba-tiba dapat permintaan buat pengat pisang. Gulp! Allah jualah bagi kekuatan. 


Lepas solat, perlahan-lahan saya buat kerja. Alhamdulillah Allah izin Noxxa buat kerja sekejap sahaja sudah masak. Resipi Pengat Pisang boleh ambil di sini. 


(Ini sahaja gambar masa anak makan)


Doakan saya sihat dan dipermudahkan perjalanan mengandung kali ini. Terima kasih! Semoga yang lebih baik untuk anda sekeluarga.


Aina Dayana Hilmi

t.me/ainadayanadotcom

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015