Selasa, 23 Disember 2025

Cuti sekolah 2025

 Cuaca baik sejak awal pagi. Menjelang tengahari menjadi semakin bahang. Namun kerja pembersihan bilik masih berjalan. Hujung tahun begini masa yang sesuai buat pengisihan secara besar-besaran. Anak-anak pun sudah semakin besar dan matang. Dapat bantu mana yang patut.

Beberapa minggu lalu sudah buat isihan pakaian. Cuti kali ini buat untuk buku pula. Sungguh, termenung dibuatnya. Bukan sedikit tenaga nak punggah dan susun semula. Ada banyak buku yang telah diasingkan untuk diberi kepada tuan baharu. Ada yang sudah rosak terkena air semasa siling kami bocor dan air naik sedikit ketika hujan ribut melanda Melaka sebelum ini.

Ditambah dengan kucing yang beranak di bawah katil. Satu perkara nak membersihkan hingga hilang bau. Kucing oh kucing. Ini kucing jalanan yang datang ke rumah kami jadikan tempat tinggalnya. Geleng kepala sahaja tengok dia "lantik" diri sendiri jadi kucing di sini. Dihalau pun datang kembali. Digertak pun tak takut. Dimarah pun hanya keluar sebentar ke luar rumah. Tahu-tahu muncul semula.

Harap cuti ini dapat jadi mak yang sabar. Ironinya, setiap hari darah naik. Huhu. Ada sahaja jadi pencetus. Sabar, sabar. 

Jumpa lagi.

Rabu, 18 September 2024

Modul Huruf Hijaiyahku

Tahun ini ada beberapa orang anak kecil mendaftar masuk kelas mengaji kami. Umur baru 3 dan 4 tahun. Tersedar yang anak bongsu pun menghampiri 3 tahun, saya perlu mulakan semula pengenalan huruf hijaiyah dan mengajar anak al-Quran. 

Modul ini dibina mengikut tahap anak-anak kami. Jika ada kebaikan, jemput gunakannya.

Ia terbahagi kepada 2 bahagian. Bahagian 1 untuk kolaj dan bahagian 2 untuk aktiviti pengayaan. Antara isi kandungan modul :






Boleh dapatkan di sini. Hanya untuk kegunaan peribadi sahaja ya bukan untuk jualan. Doakan kami sekeluarga.

https://shorturl.at/Fm2WT 

Aina Dayana Hilmi

Blog Fitrah Homeschooling

Melaka

31 Ogos 2024

Jumaat, 13 September 2024

Unit 11 Rumah Mainan Saya

  بسم الله

Mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi Tahun 2.

Latihan Quizziz : https://quizizz.com/join?gc=69536941 





Sabtu, 31 Ogos 2024

Soalan Latihan BIK Tahun 2

 بسم الله

Soalan latihan kelas tahun 2 bagi mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK).









Khamis, 27 Jun 2024

Mencoret di sini

Klinik kesihatan 

Temu janji klinik kesihatan dipenuhi pagi ini. Berpuasa sejak malam tadi untuk mengambil darah seperti yang diarahkan. Temu janji seterusnya pada bulan Julai. Ah, sebut bulan Julai teringat betapa sibuknya nanti. Sudah berderet tarikh kursus dan program dalam kepala. (Nanti saya coretkan)

APDM

Usai urusan di klinik terus pulang ke sekolah. Suami bergegas pulang ke sekolahnya juga selepas menghantar saya. "Cikgu Aina, tolong cetakkan maklumat APDM," pesanan dari GPK HEM dibaca sekali lalu. Pantas tangan membuka komputer riba sambil mulut mengunyah roti. Jam dinding bilik guru dijeling. Aduh, terlewat lagi makan ubat! 

Jiran sebelah meja sedang fokus mengikuti kursus secara Google Meet. Begitulah sekarang. Tidak bersemuka tetap juga boleh bersidang. Selesai urusan APDM, saya menjengah ke bilik HEM dan mengambil fail unit. Ah, sudah. Fail belum lengkap. Kembali ke bilik guru dan mula menaip semula.

√ Divider dalam fail 

√ Minit Mesyuarat + surat panggilan mensyuarat + kehadiran 

√ Cetak dan masukkan semua surat yang diterima tahun ini berkaitan unit 

√ Kemaskini data kehadiran bulanan 

Tugasan koku..

Tiba-tiba teringat maklumat peserta kejohanan olahraga belum siap. Perlukan salinan kad pengenalan dan surat beranak murid yang disahkan. Fail unit dipulangkan kembali ke tempat asal. Laci kabinet besi ditarik untuk mencari maklumat murid. Oh, jam sudah hampir 12.30 tengahari. Perlu segera bergegas ke kelas. Sempat pula guru besar panggil dan meminta saya mengisi pencapaian murid jika berkaitan.  Ok, done. Nota minta panitia juga sudah diserahkan kepada PT kewangan. Alhamdulillah. 

Berakhirnya sesi persekolahan, saya duduk melepas lelah. Sementara menunggu azan boleh pula terlelap. Aduh, tersedar apabila terdengar suara PPM, "Na... kursus pukul berapa? 2 ke 2.30 petang?" Ha, kelam-kabut bangun!

Berbengkel pula..

Ya, sebelah petang ada Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Panitia Bahasa Inggeris. Jemputannya ialah Tok Mat. Tamat menjelang 4.20 petang. Pengisian yang berilmu. Banyak benda baharu diperolehi. Tok Mat yang sememangnya pakar dalam bidang bahasa banyak berkongsi tip pemilihan tajuk, tip menarik minat pembaca dalam perenggan awal karya, langkah menulis dan lain-lain.

Daftar anak..

Dalam perjalanan pulang, singgah mendaftarkan anak ke sekolah agama petang. Semoga anakanda dipermudah urusan. Maklum, sudah pertengahan tahun baru dapat daftarkan. Sebelum ini anak menghadiri kelas tahfiz. Menunggu suami solat asar di masjid, saya agak cemas memandangkan jam sudah hampir 5.30 petang. 

Kelas mengaji..

Kelas mengaji al-Quran bermula jam 5.30 petang tetapi selalu juga bermula 5.45 petang. Hambatan masa yang mengejar selalu membuat saya rasa kesal. Pengurusan masa sendiri harus dipertingkatkan lagi nampaknya. Tapi jadual sehari-hari membuatkan saya tidak dapat mengelak. 

Masak..

"Daging kambing ada lagi, kan?" alamak, teringat suami berpuasa hari ini. 

Saya sudah mula membayangkan dalam kepala. Alahai jam berapa dapat memasak. Kelas mengaji biasanya berakhir maghrib. "Tolong pergi kelas dahulu, saya nak keluarkan daging. Nak defrost dan sediakan bahan memasak." Suami mengangguk dan bawa semua anak ke sana dahulu.

Hakikatnya memang tidak sempat siap menjelang azan maghrib. Itu pun mak banyak bantu. Huhu. Semoga Allah membalas kebaikan mak dengan syurga. Saya tinggalkan daging ketika dalam proses defrost dan pulang dari kelas sudah pukul 6.50 petang. Suami telefon mengatakan ada seorang anak murid cilik datang mahu belajar mengaji. Jadinya, dia terpaksa datang ke rumah :) Suami berbuka dengan makanan yang telah dimasak lebih awal. Kari kambing ini makan selepas berbuka nanti.

Selepas maghrib, duduk ajar anak-anak mengaji (yaa di kelas memang tak sempat ajar mereka. Maka bersambung di rumah. Haha) dan membuat latihan akademik sehingga Isyak. Badan sudah tidak tahan mahu baring dan lelap. Tapiii.. mahu tidur pun banyak drama anak-anak ni. Ya Allah.. hampir 40 minit juga tak reda-reda. Sudahnya, semua dah tertidur uminya pula tak dapat lelap. Huwaa..

Menyelesaikan kerja tertunda..

Maka, mohlah selesaikan kerja satu-persatu selagi mata larat untuk dibuka. Padahal bahaya ya tidur lewat ni. 

Zzzzz....

Jumaat, 12 April 2024

Raya 2024

 Sehari sebelum raya.

Dari pagi baru proses bawang besar, bawang putih dan segala bahan nak buat rendang cili api. Tapi selepas berbuka baru mula masak. Ha, betul pun raya hari Rabu. Sebab ada ura-ura kata hari Khamis. Rendang cili api resipi mak mentua. Kuikutkan sahaja.

Ayam 3 ekor

2kg bawang merah *

5 labu bawang putih *

halia *

segenggam cili api *

 lengkuas *

5 batang serai yang gemuk-gemuk *

Santan 3kg

daun limau purut

gula melaka

garam


* Bahan dikisar halus


Cara buat

Ayam digoreng separuh masak. Angkat dan toskan. Ketepikan.

Tumis semua bahan kisar sehingga masak. Masukkan gula melaka dan garam.

Masukkan santan.

Masukkan ayam.


Buat rendang memang ambil masa lama. Sentiasa kacau supaya tak hangit dan berketul santannya. 

Entah berapa lama saya  buat sebab selang-seli layan anak kecil. Hee.. Alhamdulillah ada periuk tekanan, bolehlah masak nasi impit 40 minit siappp.


Pagi raya

Bangun macam waktu sahur. Urus diri dan anak-anak, solat, mula goreng bihun dan hidang semua makanan. Ngam-ngam 6.40 pagi semua siap. Sebelum 7.30 pagi semua dah bergerak untuk solat sunat hari raya. Tahun ini abi jadi imam solat raya, maka kami semua ke Surau Kampung Bukit Kecil. Mentua pun ikut sekali. 



Surau tiada tangga landai jadi bantu suami angkat kerusi roda mak dan ayah.

Alhamdulillah,

Selamat hari raya semua.



Selasa, 2 April 2024

Bengkel Latihan Teknik Pengajaran Disleksia



Tahun ini baru berpeluang mengikuti kursus-kursus anjuran BPKhas. Banyak dibuat secara dalam talian dan ianya sedikit sebanyak ada kesan sampingan. Saya sakit kepala apabila terlalu lama menghadap skrin. Seeloknya kena rehat sebentar dan memandang jauh supaya mata lebih relax.

Hari ini dan esok berpeluang mengikuti kursus Disleksia. Satu bidang yang sudah begitu lama saya tinggalkan. Hanya belajar semasa di kampus dan pernah praktikum dua kali di kelas masalah pembelajaran. Maklum, apabila posting, saya dihantar ke sekolah masalah pendengaran dan disleksia jarang saya temui cirinya secara ketara pada anak didik selama ini.

Namun, atas kapasiti mengajar kelas masalah pembelajaran + pekak sekarang, saya kira perlu untuk saya refresh kembali pengetahuan. 

Masuk ke bengkel dan mengikuti tiga sesi ini benar-benar mengimbau kenangan semasa belajar dahulu. Asasnya masih sama dan pengetahuan sedia ada dicantum dengan pengalaman emak saya yang pernah mengajar kelas disleksia beberapa tahun dahulu.

Pengenalan kepada disleksia, disleksia dan bahasa dan Intervensi ialah tiga topik yang dibentangkan hari ini. Saya suka slot kedua kerana penceramah banyak menyampaikan kaedah yang boleh dicuba ke atas anak murid disleksia. Ada idea bercambah ketika melihat pelbagai kaedah dan teknik pengajaran. 

Esok bersambung dengan 3 slot lagi iaitu Disleksia dan Lain-lain Masalah Pembelajaran Spesifik, Disleksia dan Jenis Ketidakupayaan Lain dan Mentaksir murid Disleksia.

Sabtu, 16 September 2023

Library is treasure

Dua minggu lepas ke Perpustam melunaskan hutang. Alhamdulillah selesai. Waktu nak meminjam, baru tahu sekarang perlu bayar keahlian. Berkuatkuasa Jun lepas. Saya dan suami sahaja perbaharui keahlian. 

RM15 setahun untuk kategori pinjaman istimewa dewasa iaitu boleh meminjam 15 buah buku. Jika keahlian biasa bayar RM10 tahunan dan boleh meminjam sebanyak 8 buah buku. 

Teringat ke PPAS cuti sekolah yang lalu, sesiapa sahaja boleh meminjam di situ secara percuma. Warga asing pun boleh. Seorang boleh pinjam 20 buah buku selama sebulan. Boleh pulangkan dengan hantar melalui pos. 




Masuk minggu kedua memantau rekod NILAM anak-anak terutama yang darjah 1. Mahu bagi semangat kepada dia merasai keseronokan membaca. Nampak kecenderungannya membaca kisah nabi dan para sahabat. 

Sudah pasti perpustakaan jadi pilihan mencari bahan bacaan. Pelbagai variasi buku untuk pembaca awal. Biasanya buku Bahasa Inggeris lebih menepati aras anak. Masih level beginner dalam membaca buku Bahasa Inggeris. 



 Tarikh pemulangan pada 29 September 2023.

Rabu, 6 September 2023

Anekdot Pencinta Al-Quran






Rembesan air mata laju menuruni pipi tanpa dipaksa-paksa. Membaca naskhah Anekdot Pencinta al-Quran ini dari awal sehingga noktah terakhir menerbitkan pelbagai rasa dalam diri.

Ya Allah, rezekikan kami membaca kalam-Mu dan akrab dengannya tanpa satu hari pun ketinggalan. Aamiin.

Al-Quran mukjizat yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW memberi makna kepada setiap jiwa yang membacanya. Ada orang berpeluang belajar al-Quran dengan mudah. Ada orang berliku jalannya mendalami al-Quran.

Tetapi Allah tetap bimbing hamba-Nya yang berusaha melalui pelbagai cara. Terkesan dengan beberapa nasihat tuan guru al-Quran daripada penceritaan penulis.


3 Pesan Sheikh Mahmud


Selepas mempelajari al-Quran, jangan lupa :

 1. Praktikkan apa yang telah dipelajari.

2. Jaga amanah terhadap al-Quran.

3. Sebarkan kebaikan al-Quran kepada orang sekeliling.


Sejujurnya saya tertampar dengan pesanan nombor 3 itu. Sejak ramadan tahun ini, kelas mengaji kami terpaksa dihentikan sementara waktu ekoran keadaan kesihatan saya dan anak-anak serta persiapan kami suami isteri dipanggil menjadi tetamu-Nya pada musim haji 1444H.

Selepas pulang pun, kelas belum dapat dibuka atas kekangan kesihatan dan masa. Rasa bersalah selalu menghantui diri sehingga terbawa-bawa ke dalam waktu tidur. Namun, sungguh. Belum ada kekuatan untuk mulakan semula.


Cara memilih guru al-Quran


Panduan daripada Sheikh Wael, Pengelola Pusat Pengaiian Darul Itqan Mesir ini sangat bermakna. Carilah guru al-Quran yang betul. 

1. Antara ciri guru yang baik ialah bersungguh-sungguh menegur setiap kesalahan murid. Guru ini bersifat ikhlas.

2. Ketika mengajar, dia tidak berfoya-foya membuat urusan lain seperti bermain telefon.

3. Memberi perhatian penuh kepada murid. Ibarat seorang ayah yang sedang mendidik anaknya.


Ia bukan sahaja mendidik al-Quran bahkan menunjukkan tauladan sedang berusaha mendalami dan mendekati Allah.


Subhanallah alhamdulillah allahuakbar. Terima kasih penerbit dan penyelenggara serta tim yang berusaha MEREALISASIKAN penerbitan buku ini. Semoga ada kebaikan diperolehi dan diamalkan daripadanya. 


Tahniah semua rakan penulis! Barakallahufiikum.


Nota : Ketika ulasan ini ditulis, buku sedang dicetak semula dek beberapa kesilapan teknikal yang perlu dibaiki. Buat kalian yang ingin mendapatkan naskhah ini, masih boleh dapatkan dengan harga promosi daripada saya dan rakan penulis lain.

Harga pratemph RM35 sahaja termasuk pos Semenanjung. Boleh klik sini untuk tempahan. 

Ahad, 3 September 2023

In Her Footsteps oleh Norhafsah Hamid


Sudah beberapa kali cubaan menghabiskan bacaan tidak pernah berjaya. Hari ini saya tunaikan juga hasrat itu apabila membaca kembali bait demi bait tulisan penulis.

Dalam masa yang sama hati teringat-ingat dengan bumi Haramain yang telah sebulan ditinggalkan. 47 hari di sana terasa singkat 😭 Rasa nak kembali duduk di sana.

Di dalam buku ini, saya kira puan penulis berkongsi pengalamannya berhijrah menjadi seorang muslim yang sebenar. Bermula dengan kembali membetulkan solat, bacaan al-Quran seterusnya kepercayaan 100% hanya kepada Allah.

Aha... Seolah menjadi sumbu semangat saya. Pulang daripada haji merupakan satu cabaran mengekalkan kemabruran haji. Perlu sentiasa ingatkan diri menjadi muslim yang lebih baik setiap hari. Dan buku ini menjadi salah satu pemangkinnya.

Satu demi satu bab ditulis ringkas tetapi menarik sekali susunan ceritanya. Suka dengan gaya penulis semasa menceritakan pengalamannya mengembara ke beberapa tempat bersama rakan-rakan. Lucu tetapi terselit pengajaran. 

Ibu.. Ayah.. Andaiku Menangis Air Mata Darah

 


"Seorang penulis seharusnya memulakan penulisannya dengan sesuatu yang mengingatkan pembaca untuk berbakti kepada ibu bapanya." - Shaykh Salih bin 'Awwad al-Maghamisi.


Kata hikmah ini terlebih dahulu menyapa diri ketika membuka helaian mukaddimah. Terus terbayang mak ayah sendiri di rumah...

Saya bersyukur berpeluang membaca buku ini dalam timbunan TBR books yang ada. Mengingatkan diri bahawa mentaati ibu bapa bukan sekadar suruhan Allah tetapi wasiat daripada Allah sendiri. Tiga kali Allah sebutkan di dalam Al-Quran melalui :

1. Surah Luqman ayat 14

Kami telah mewasiatkan manusia agar berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya. 


2. Surah al-Ahqaf ayat 15

Kami telah mewasiatkan manusia agar berlaku ihsan terhadap kedua-dua ibu bapanya.


3. Surah al-Ankabut ayat 8

Kami telah mewasiatkan manusia agar berlaku ihsan terhadap kedua-dua ibu bapanya. 


Allah menggambarkan kesukaran yang ditempuhi seseorang ibu di dalam Al-Quran melalui pemilihan perkataan yang teliti dan halus seninya. Orang yang memahami bahasa Arab pasti cakna dengan maksudnya.

Takut benar dengan amaran Baginda Saw melalui hadis ini :


Semoga dia menjadi hina-dina, semoga dia menjadi hina-dina, semoga dia menjadi hina-dina!

Baginda ditanya, "Siapakah itu, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Orang yang sempat bersama dengan ibu bapanya ketika mereka berdua sudah tua, sama ada salah seorang daripada mereka berdua atau kedua-duanya sekali, namun dia tidak dapat  memasuki syurga." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Nasihat penulis, sentiasalah doakan ibu ayah kita siang dan malam. Atau paling tidak di dalam solat kita. Allah tahu usaha dan apa yang kita buat. 


Terima kasih Dr Kamilin atas naskhah ini. 

Sabtu, 2 September 2023

Zirafah fah, fah, fah

 Mak Long rasa dah pencen buat aktiviti begini. Sayang dah lama tak buat. Cuti sekolah sudah penghujung baru dapat menyantuni anak dan anak buah. Jomlah buat, kita gunakan masa yang ada, kan? Buat kraf zirafah sahaja. Mak long lukis, mereka gunting sendiri. Tampal dan warna sendiri. Yang kecil-kecil minta bantuan kakak abang.


***


Haiwan apa tinggi daripada pokok? Lehernya panjang macam tiang. Dia tidur pun berdiri tau.

Terkebil-kebil mata si kecil mendengarnya. Ya, haiwan itu nama Zirafah. Hebat kan Allah yang mencipta zirafah ini? Kenapa Allah jadikan dia tinggi? Yang besar-besar sudah pandai jawab : Sebab dia nak makan daun kat pokok. Tepat sekali. Itu salah satu sebabnya.

Allah sudah kata yang Allahlah pemilik segala apa yang ada di bumi dan di langit. Setiap makhluk yang Allah cipta ada kelebihan dan fungsi masing-masing. Hatta zirafah ni pun ada manfaatnya. Jadi, kita pun mesti jadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Kena jadi baik, jangan bergaduh dan mengejek orang. Kita tak tahu suatu masa nanti orang itu yang akan tolong bila kita susah.

Masing-masing menganggukkan kepala. Entahlah anak-anak ini dapat memahami apa yang Mak Long sampaikan ni. Mudah-mudahan :)





Khamis, 24 Ogos 2023

Jerman, Kami Datang!

 Jerman, Kami Datang!


Mengikuti rapat hantaran-hantaran Kak Zalila Isa membuatkan diri tahu akan perjalanan mereka sekumpulan penulis perempuan ke Pesta Buku Frankfurt di Jerman. Apa jua berkaitan buku pasti menjadi satu keterujaan buat diri. Tak sabar menunggu buah tangan mereka selepas pulang dari sana. Dan inilah, sebuah buku pengembaraan yang berbaloi untuk dimiliki.


Bukunya diisi dengan esei, cerpen fiksyen, gambar, puisi dan hasil seni. Saya tidak begitu pandai membaca puisi tetapi sejak mengenali mereka, perlahan-lahan saya cuba fahami apa yang disampaikan melalui puisi. Pemilihan kata dalam puisi memikat hati. Ia antara nukilan dalam catatan Kak Zalila. Cerpennya buatkan saya tersenyum kerana terkenangkan anaknya, Umar.


Jauh berjalan, luas pengalaman. Pembaca dapat mengetahui budaya, bahasa dan kegemaran orang di sebelah sana. Sesekali ralit menatap foto yang dikongsikan sebagai latar dalam buku. Mengagumkan. Melalui catatan Pn Norsa’adah saya mengenali sastera kanak-kanak mereka melalui watak Struwwelpeter. Malah ada muzium didirikan bagi menghargai usaha penulis ini. Karyanya yang terbit tahun 1845 masih di’highlight’ sehingga kini. Hebat!


Pn Zanariah saya kenali sebagai ejen jualan buku suatu ketika dahulu. Tetapi kelebihan beliau merakam momen lebih ketara dalam ingatan saya. Sudah pasti pemergiannya ke Pesta Buku Frankfurt bagi mencari inspirasi. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku kanak-kanak seperti 24 Jam Magik, Di Mana Kawan Saya? dan Aimi Tidak Murung Lagi. Rupanya ada banyak teknik menghasilkan buku kanak-kanak seperti diorama.


Tidak sah jika tidak ke muzium setempat bagi Puan Emila. Memang melalui karya semua traveller perempuanlah membuatkan saya menghargai muzium. Sebelum ini tidak terfikir pun mahu melawat muzium Negara atau setempat kerana kurang kesedaran dan ilmu. Kini muzium menjadi salah satu agenda bila melawat sesebuah negeri. 


Muzium Gutenberg digambarkan sebagai sebuah muzium yang memaparkan sejarah panjang penghasilan buku. Muzium empat tingkat itu dibahagikan kepada bahagian khas seperti pembuatan kertas, mesin cetak buku, pameran buku sejak 500 tahun dahulu, manuskrip asal bertulisan tangan sehinggalah kepada koleksi buku kanak-kanak mereka.


Sudah pasti saya menunggu tip dari Pn Emila tentang merakam perjalanan ke dalam jurnal! Ia suatu kegemaran yang telah lama ditinggalkan. Hanya apabila anak-anak sudah masuk ke sekolah, saya membimbing mereka membuat jurnal dan dan jurnal Pn Emila dan rakan-rakan menjadi rujukan. 


Saya sangat menggemari kisah Teh dan Roti oleh Pn Nilam Tang. Anak saya berusia 9 tahun pun membaca bahagian ini dengan khusyuk. Sampai sanggup membawa buku ke sekolah untuk dibaca ketika waktu senggang (katanya). Saya harap dia tidak membaca semasa guru mengajar. Huhu. (Itu perangai uminya ketika sekolah rendah sehinggalah ayah sendiri ‘menangkap’ perbuatan saya itu!).


Banyak sticky note dilekatkan dalam buku dan insya-Allah ia akan dibaca lagi dari masa ke semasa. Banyak ilmu dan kesedaran saya perolehi melalui buku ini. Tahniah buat semua kerana menghasilkan buku yang bermakna dan berkualiti.


Khamis, 10 Ogos 2023

Tambahan kad bacaan

 Belajar tentang kod rasa (makanan).











Jumaat, 24 Februari 2023

BIK Tahun 6 Unit 1 (Bahagian 1)

 BIK ialah singkatan kepada Bahasa Isyarat Komunikasi. Mata pelajaran ini wujud di sekolah pendidikan khas kategori ketidakupayaan pendengaran. Saya membina bahan bantu mengajar ini bagi memudahkan proses PdPc di sekolah. Silakan kongsi jika bermanfaat :)

Kosa kata
















Latihan





Semoga bermanfaat untuk cikgu-cikgu, murid dan ibu bapa. Doakan saya sekeluarga.

Aina Dayana Hilmi
24 Februari 2023
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015