Selasa, 16 Ogos 2022

Jom Makan


 
Semangat berkobar-kobar mahu mengajar murid topik hari ini. Unit 14 Jom Makan dalam subjek BIK Tahun 2. Seronoklah sebab cerita pasal makan. Haha. Waktu siapkan BBM pun terliur betul tengok gambar-gambar makanan. Kena pula cikgu tak bawa bekal hari ini. Aduh, menggamit sungguh!

Masuk sahaja set induksi, terus rasa nak jatuh rahang. Ya Allah, rasa gagal jadi cikgu. Ada murid tak tahu isyarat makanan yang biasa dimakannya. Insaf betul. Ok, untuk induksi saya minta murid sebut makanan yang disukai. Ada dua orang sahaja boleh beri respon, manakala yang lain buat isyarat jari telunjuk kanan dipusing-pusing pada bahagian kepala sebelah kanan. Itu maknanya "tak tahu".

Maka, ketika mereka membuat peta bulatan (Makanan Kegemaran Saya), cikgu kena lukis untuk tanya betulkah ini makanan yang kamu suka makan? Jika murid jawab ya, baru saya tuliskan nama makanan. Jika tidak, saya suruh murid lukiskan dan saya bimbing nama makanan tersebut. Renyah? Jangan putus asa. Inilah tugas cikgu pendidikan khas namanya. Membantu, membimbing dan memberi panduan.

Ada yang tanya nama makanan, "Cikgu, ada nasi, ada telur. Saya suka! Tapi tak tahu nama." Ah sudah, nasi lemak ke? Dia geleng. 

Takkan nasi goreng pattaya? 

Tapi dia tak ada buat isyarat goreng.

Bila murid lukis, sah! Nasi goreng pattaya. Sengih sahajalah cikgu di hadapan. Hari ini tak ada gambar. Nanti saya kemaskini BBM yang saya gunakan hari ini insya-Allah. Waktu mengajar tak habis lagi tadi, kepala dah ligat fikir apa nak ajar kelas seterusnya. Saya perlu buat sesuatu untuk kukuhkan penggunaan kod tangan mereka. Garu kepala juga kalau mereka tak tahu isyarat nasi, roti, biskut, pisang, sayur dan seumpamanya. 

Doakan saya ya.


Aina Dayana Hilmi,

16 Ogos 2022

Khamis, 11 Ogos 2022

Emosi

Dalam subjek BIK tahun 2 ada satu latihan membaca yang menyentuh sedikit kosa kata emosi / perasaan. Jadi saya tambah sedikit beberapa perbendaharaan kata untuk murid kenali, cam dan ingat kod serta ejaan. Bukan mudah juga sebenarnya.

1. Murid perlu tahu visual emosi.
2. Murid camkan kod isyarat yang tepat.
3. Murid perlu hafal ejaan yang betul.




Saya namakannya sebagai roda emosi. Cara menggunakannya :

1. Cetak berwarna.
2. Laminate dan gunting ikut bentuk bulatannya.
3. Potong dan buang bahagian "Perasaan".
4. Tebuk sedikit lubang di tengah dan letakkan aksesori (saya lupa istilahnya) supaya ia boleh bergerak bila dipusingkan.
5. Lekatkan sekali anak panah.
6. Tunjukkan anak panah pada perkataan. Misalnya "sedih" dan pusingkan gambar pada lapis kedua sehingga bertemu gambar sedih.

Begitulah seterusnya.

5 minit sebelum P&P, murid akan disoal tentang perkataan yang telah dipelajari dalam kelas-kelas terdahulu dan saya akan tambah perkataan baharu dari masa ke semasa. Jika sudah belajar 30 perkataan sebelum ini, kesemua perkataan itu saya tanya secara rawak. 

Gambar kartun di atas saya ambil secara rawak di internet. 

Jemput guru BIK atau ibu bapa untuk gunakan bahan ini. 

Aina Dayana Hilmi,
11 Ogos 2022

Isnin, 1 Ogos 2022

Belajar kod isyarat peralatan di rumah

Di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, mereka ada satu subjek bahasa tambahan iaitu Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) yang dipelajari sejak tahun 1 hingga tahun 6. Mata pelajaran ini penting bagi mengukuhkan penguasaan perbendaharaan kata murid-murid.

Bagi BIK tahun 2, ada topik Rumah Mainan Saya dan murid mempelajari beberapa kod isyarat seperti :

✔️ Tikar
✔️ Bilik tidur
✔️ Penghawa dingin
✔️ Bilik mandi
✔️ Dapur
✔️ Peti sejuk
✔️ Kuali




Kaedah latih tubi ejaan sangat penting bagi membantu murid menguasai ejaan dan mengecam kod isyarat. Anak-anak istimewa pendengaran ini sangat bergantung kepada visual.

Saya aplikasikan lapbook dalam kaedah pengajaran. Diharap murid dapat ulangkaji topik berkenaan di rumah mahupun di sekolah.


Selepas diajar kod isyarat perkataan, murid dibimbing membaca frasa atau ayat. 


 Subjek BIK ialah subjek yang menyeronokkan. Semoga anak-anak ini terus berminat untuk mempelajari BIK dengan baik

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015