Khamis, 26 Julai 2018

Bengkel Penulisan anjuran BPI



Minggu lalu, berkesempatan menghadiri sebuah bengkel penulisan awal remaja bersama pihak Galeri Ilmu anjuran Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan Malaysia untuk para ustaz dan ustazah.

Awalnya, kursus ini ditawarkan kepada suami tetapi beliau sudah ada seminar yang perlu dihadiri pada tarikh berkenaan dan saya menawarkan diri untuk menyertainya meskipun saya bukan seorang guru agama.

Berdua dengan seorang rakan guru, kami menaiki pengangkutan awam dari Melaka ke Shah Alam dan begitu juga perjalanan pulang. Beruntung ada teman perjalanan yang cekap dan berpengalaman. Agaknya jika saya seorang entah bagaimanalah ya. Pengangkutan awam ke destinasi adalah sukar selain perlu menempuh kesesakan lalu lintas yang agak teruk. Terima kasih juga buat adiknya yang sanggup membantu menghantar kami.

Dari Tn Hj Zakaria Sungib, kami memperoleh banyak maklumat asas sesebuah manuskrip yang diterima oleh pihak mereka. Malah, beliau membawa contoh manuskrip dan kami berpeluang melihat dan membaca sepintas lalu. 


Saya tidak pernah menulis novel. Sekadar cerpen-cerpen yang ditulis semasa di sekolah menengah sahaja. Itu pun memenuhi tugasan kerja rumah oleh guru Bahasa Melayu.

Namun, mengambil inspirasi dari para peserta bengkel, membuatkan saya dan Kak Faris berasa kagum dengan semangat para asatizah ini. Boleh dikatakan semua ustaz dan ustazah yang hadir telah pun mempunyai sekurang-kurangnya sebuah novel atau karya yang telah dibukukan. Masya Allah!

Berpeluang berkenalan dan bermesra dengan mereka, dalam diam banyak hikmah yang dapat kami kutip sepanjang sehari berprogram. Kebanyakannya juga sedang mengambil PhD namun masih sempat mencari ruang untuk menulis. Memang layaklah mereka ini mendaki tangga kejayaan.


Antara lain, objektif bengkel penulisan ini adalah ingin menghasilkan novel awal remaja berbentuk islami. Banyak isu gejala sosial dan serangan dakyah syiah dalam kalangan remaja sekolah yang perlu kita gembleng tenaga untuk membanterasnya. Medium penulisan adalah salah satu cara.

Dalam gambar, Ustaz Wan Zayuhisham membentangkan jumlah dana yang diperuntukkan kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengikut tahun tertera. Bayangkan dari 40 juta dikurangkan kepada 2 juta sahaja. Berapa banyaklah buku yang dapat dibekalkan ke perpustakaan seluruh negara. Apatah lagi ke sekolah. Ini adalah salah satu cabaran bagi bidang perbukuan di Malaysia.

Bergambar kenangan

Hari ini sudah masuk hari ke-8 selepas berbengkel dan saya baru taip 3 daripada 10 bab yang diperlukan. Ya Allah, beri kekuatan dan ilham kepada Aina Dayana untuk siapkan sebuah lagi manuskrip untuk kebaikan ummah. Amin..amin..

Terima kasih kerana mendoakan saya 😊

++++

Setinggi-tinggi penghargaan untuk emak dan ayah saya yang membantu menjaga kesemua anak sementara saya ke kursus. Meski berat hati kerana tidak pernah lagi meninggalkan mereka sejak saya bercuti tanpa gaji ini, namun Allah memudahkan melalui kedua ibu bapa saya. Moga Allah kurniakan kesihatan dan ketenangan buat mak dan ayah.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 25 Julai 2018

Menziarahi kematian


Hari Sabtu lepas.

Pagi-pagi dapat panggilan dari seorang makcik. Berdebar juga sebelum angkat telefon. Ada kematiankah?

Ya.. Seorang bekas anak murid mertua yang istiqamah datang belajar mengaji di sebuah surau di Serkam meninggal dunia pagi itu.

Serta-merta ingatan terhadap beliau menerpa di ingatan. Kami sempat menziarahi beliau Syawal lalu. 

Dikhabarkan oleh anaknya, arwah ibunya berasa gembira pada hari tersebut. Mulutnya asyik memberitahu betapa gembiranya ustazah datang melawat. "Memang dah lama tunggu bila ustazah nak datang." 😥 Sebaknya dengar.

Ya Allah begitu sekali beliau menghargainya.

Ketika sampai di rumah beliau, orang sudah ramai. Kaum lelaki sedang membaca doa di beranda rumah, manakala di bahagian dalam, jenazah sedang dikafankan. Saya sempat mengikuti solat jenazah bersama orang perempuan di rumah. Solat diimamkan oleh anak ketiganya, Dr Zaidi.

Subhanallah. Wajah arwah sangat bersih dan tenang. Sebak terasa mengenang kebaikan beliau selama kami kenal. Beruntungnya beliau mempunyai anak-anak yang soleh dan solehah. Malah cucu-cucunya juga nampak tertib dan baik.

Saya rasa terharu. Mengenangkan betapa sabda Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam tentang saranan menziarahi orang sakit :

Abu Hurairah ra meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda : “Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [HR Bukhari & Muslim]

Ya Allah, bantulah kami mengikut perintah-Mu dan sunnah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam 😭

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 14 Julai 2018

Nik Nur Madihah



Masih ingat dengan Nik Nur Madihah? 

Beliau pelajar cemerlang SPM 2008 yang pernah menggemparkan negara dengan keputusan cemerlang 20A.

Pagi ini membaca sedikit catatan Ummu Sakinah tentang pelajar hebat ini.

Apa teknik yang beliau gunakan semasa belajar? Jawabnya :

☑ Saya boleh belajar pada bila-bila masa.
☑ Apa yang penting ialah KESUNGGUHAN untuk menuntut ilmu.

Yang membuat saya lebih tertarik ialah Nik Nur Madihah menyemai minat terhadap SEMUA mata pelajaran. "Saya suka semua mata pelajaran tanpa pengecualian." 

Masya Allah.

Teringat diri sendiri. Malu pula bila tak bersungguh belajar dan memilih-milih subjek apa yang mahu diulangkaji dahulu. 

Ada dua buah buku di dalam gambar ini. Sebelah kiri, sedang saya baca. Buku sebelah kanan pula, adalah buah tangan terbaru dari Nik Nur Madihah bertajuk Noktah Terjahit terbitan Jejak Tarbiah.

Carilah buku ini, anda pasti setuju apabila saya nyatakan kematangan dan keluasan pembacaan beliau menampilkan naskah yang kemas buat pembaca.

Oh ya, anda boleh ikuti tulisan beliau di laman sesawangnya, Noktah Terjahit

Bagi anda yang ingin memiliki naskah Noktah Terjahit ini boleh hubungi nombor tertera : www.wasap.my/60133613516/Noktah-Terjahit

#iRead2018

Hari tanda tangan rekod



Oh, baru tahu sekarang musim hari tandatangan rekod anak ya. Banyak melintas di 'newsfeed' Facebook.

Tak mahu komen tentang apa yang ibu ayah bincangkan tetapi nak imbas kembali zaman sekolah dahulu.

Seingat saya, sekali sahaja saya terasa sedih kerana mak ayah tidak dapat hadir semasa hari tanda tangan rekod ini.

Saya berada di Tingkatan 3. Entah kenapa, rasa sedih itu bertandang sehingga guru kelas perasan perubahan muka saya. Sedangkan saya sendiri maklum, emak saya seorang guru kelas dan mengajar di sekolah yang sama. Mana mungkin emak datang waktu yang sama ibu ayah lain mahu berjumpa dengannya.

Ayah saya juga seorang guru. Bertugas di kawasan lain. Agak sukar untuk beliau datang kerana ada tugasan yang perlu diselesaikan pada hari yang sama.

Di penghujung hari persekolahan, saya memujuk diri sendiri. Pandang kebaikan, benamkan keburukan. Mak ayah sebenarnya setiap hari mengambil berat apa yang saya pelajari jadi mengapa mahu membazir masa dengan perasaan yang begini? Yalah, remaja kan. Mungkin terpengaruh dengan sekeliling. Ibu ayah kawan lain datang, diri sendiri pun nak begitu juga.

Haha salahkan orang pula 🙈

Apa motif cerita ini? Entahlah, sekadar terkenang cerita dahulu ☺ Anda pula bagaimana?

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 13 Julai 2018

Sudah peluk anak hari ini?



Teringat pula semasa kecil dahulu. Sebelum pulang, selepas habis mengaji, kami akan bersalam dengan ustazah. Dan ustazah mengaji tu pasti akan memeluk kami. 

Suatu hari, dia bertanya, di rumah biasa peluk mak tak? Mak biasa peluk kamu tak? 
Kami ketawa sahaja. 

Ada seorang rakan saya menggelengkan kepala untuk kedua-dua soalan itu.

"Ha takpe, mari sini ustazah peluk kamu."

Seingat saya, kawan tu memang tak biasa dan agak kekok semasa dipeluk oleh ustazah. Tetapi raut wajahnya selepas itu tidak dapat saya lupakan. 

Tapi disebabkan saya masih keanak-anakan ketika itu, tidaklah saya ambil kisah atau bertanya lanjut kepada dia.

Kini baru saya menyedari, kuasa pelukan itu dapat menzahirkan kasih sayang yang lebih mendalam selain memberi ketenteraman kepada emosi anak-anak.


Apatah lagi membaca perkongsian Pn Yasmin Sari tentang perbualannya dengan seorang anak murid remajanya yang difitnah telah "ditebuk". Sangat sedih membaca luahan hati si anak itu.

Lalu, saya mengambil catatan saranan Puan Yasmin apabila mendengar anak mengadu apa-apa masalah :

☑ RESPON dengan serius dan segera.
☑ Biar anak meluahkan, jangan cepat beri solusi.
☑ One to one session.
☑ Penuhi tangki emosi.
☑ Eye contact, eye level.
☑ Dengar dengan hati.

Insya Allah. 

"Saya ibu yang sabar dan penyayang" 💪

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 12 Julai 2018

Apa bukti cintakan Nabi SAW?


Dalam kesibukan bersama anak kecil di rumah, Allah izinkan untuk kami sekeluarga menghadiri majlis ilmu di masjid. Nikmat Allah yang manakah mahu didustakan?

Awal Februari tahun ini, berkesempatan hadir ke kuliah maghrib di masjid kampung. Penyampainya ialah Dr Umar Muhammad Noor, mantan editor majalah Solusi, seorang pengkaji hadis dan mursyid bagi Arba'in Centre.

Di awal ucapannya, beliau menyentuh dua perkara bukti cintakan Nabi.

Pertama, mencintai Al-Quran.

Cinta ini definisinya sangat suka sehingga kita tidak dipaksa untuk melakukannya.

Dikisahkan, seorang rakannya dahulu pernah menerima surat cinta setebal 300 muka surat dari seorang perempuan. Agak-agaknya berapa lama masa diambil oleh rakannya untuk mengkhatamkan surat tersebut?

SATU HARI sahaja!

Bayangkan Al-Quran yang ada 600 muka surat itu kita ambil berapa lama untuk habiskan? 

Ada orang ambil masa seminggu, sebulan, malah ada yang setahun sekali pun susah mahu khatam.

Bagaimana kita kata kita cintakan Nabi?
😭🙈

Ada seorang ulama dari Syria, iaitu seorang guru beliau semasa beliau menuntut di sana, sangat suka membaca al-Quran sehinggakan sehari tidak membaca al-Quran akan terasa hidup tidak lengkap.

Di Singapura (tempat tinggal ustaz), setiap kali ke masjid untuk solat, pasti beliau terserempak dengan seorang lelaki tua yang sedang membaca al-Quran. Lelaki itu duduk di atas kerusi sambil menatap mushaf sementara menunggu azan dilaungkan.

Apabila ditanya, beliau menjawab beliau sangat suka membaca al-Quran. Terasa sangat gembira apabila dapat membaca al-Quran.

Begitulah juga dengan para sahabat seperti Saidina Usman bin Affan. Seorang sahabat dan menantu Nabi kerana beliau berkahwin dengan dua orang anak perempuan baginda. 

Beliau seorang penghafaz al-Quran tetapi tetap suka membaca al-Quran dari mushaf. Bagaimana pula ada orang yang benci akan sahabat Nabi yang sebegini? Sungguh mereka itu sangat terpesong.

Kedua, mencintai sunnah baginda SAW.

Beliau berkongsi sebuah zikir yang elok diamalkan sesuai dengan sunnah nabi.

Apabila seseorang terjaga di tengah malam, segeralah mengucapkan : La ilaha illallah, wahdahu la syarikalah lahul mulku walahul hamdu yuhyi....dan berdoalah apa yang diingini.

Misalnya rabbighfirli (3x) atau nyatakan apa sahaja hajat yang diinginkan.

Sesungguhnya Allah akan memustajabkan doa ketika itu.

Masya Allah 😭

Ya Allah, ingatkan daku apa yang daku terlupa, jadikan daku orang yang dapat mengamalkan sunnah nabi dan jadikan daku orang yang solat dan mencintai al-Quran. Amin...


Aina Dayana Hilmi

Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak


"Hebat kisah para bibliofil ini.."



Alhamdulillah, suatu petang menerima WhatsApp dari bapa saudara. Beliau baru sahaja habiskan bacaan buku Kertas-kertas Yang Merubah Fikir.


Semoga tulisan-tulisan ini menjadi manfaat bagi para penulis dan pembaca 💗 Banyak maklum balas diterima, mereka menjadi semangat dan terinspirasi dengan para penulis yang berkongsi kisah masing-masing dengan buku ini.

Berminat untuk dapatkan buku ini. Boleh hubungi nombor di hujung entri nanti. 

Harga buku : RM25.00
Kos pos Semenanjung : RM8.00
Kos pos Sabah / Sarawak : RM13.00


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 11 Julai 2018

Diari Kelas Mengaji


Minggu ini minggu kedua kami beroperasi kembali selepas bercuti panjang. Semalam adalah hari yang agak padat kerana ada empat orang ibu mahu daftarkan anak ke kelas mengaji.

Gambar semasa majlis khatam quran Mei lalu

Ada sekecil usia 3 tahun dan paling besar anak berusia 9 tahun. Kelas kami memang tidak mengenakan sebarang yuran tetapi kami tekankan adab dalam menuntut ilmu.

Sekiranya tidak dapat hadir ke kelas, mahu berhenti mengaji atau apa jua alasan haruslah maklumkan kepada guru-guru yang mengajar. Sekurang-kurangnya legalah sedikit hati mengetahui hal sebenar. Yalah, kami penjaga mereka sepanjang anak-anak ini berada di sini.

Kelas bermula jam 6 petang sehingga selepas maghrib. Wajib solat maghrib berjemaah di sini, diikuti bacaan hadis dan sedikit tazkirah.

Bagi yang sudah mengaji boleh pulang selepas solat maghrib. Manakala yang belum mengaji, akan tunggu selepas solat magjrib menunggu giliran.

Tenaga pengajar sukarela ada lima orang semuanya. 3 orang guru perempuan dan 2 orang guru lelaki.

Barakallahufikum.

#diarikelasmengaji

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Bacaan Jun


Lambat buat rumusan ekoran masih sibuk dengan urusan hari raya 😀 


Bulan lalu merekodkan 15 buah buku dapat dibaca (buku ke-42 hingga buku ke-56). Boleh klik pada tajuk untuk lihat reviu ringkas :


1. Dari Subis ke Bologna



2. Projek Bibliofil


3. Bintang

4. Cam Ni Cam Tu


5. Terbang Tapi Berjalan


6. Nyawa Di Hujung Mesingan

7. Kilas Dalam Kias


8. Rumah Sakit


9. Embara Kasang Diselimuti Oasis

10. Rindu Purnama


11. Bukan Sekadar Homeschooling

12. Puteri Naga Tiberius


13. Membedah P. Ramlee


14. Api Tauhid


15. Saya Suka Mengaji


Hari ni sudah 11 hari dalam bulan Julai. Sedang membaca buku Daun Paku Ungu (antologi cerpen sains fiksyen terbitan Jemari Seni), Di Mana Dia Di Hatiku oleh Ust Pahrol dan Yang Singgah dan Yang Pergi oleh Hafizul Faiz.

Memang saya jenis polygamist reader. Suka baca banyak buku serentak 😅 Tapi saya juga tidaklah begitu konsisten membaca sebanyak ini. 


Tapi saya harap semangat membaca seperti ini akan kekal. Lebih baik jika memberi kebaikan kepada orang lain juga.

Jumpa lagi.


Aina Dayana Hilmi

Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 10 Julai 2018

Ulasan Buku : Dari Subis ke Bologna


Buku ini telah lama saya baca tetapi baru berkesempatan membuat ulasan.

Buku ini saya kirim dengan Personal Shopper PBAKL, Cik Wanza. Harga sudah lupa berapa RM.

Bukunya tebal, terasa berat apabila dipegang. Kertas berwarna putih dan semua perkongsian menarik dan bermanfaat untuk para GPM (Guru Perpustakaan dan Media).

Kagumnya baca dengan usaha para GPM, Pegawai PPD, Guru Besar dan Pengetua dan lain-lain dalam membangunkan Pusat Sumber Sekolah masing-masing. Memang selayaknya mereka mendapat pengiktirafan dan anugerah-anugerah tersebut. Masya Allah.

Terasa kerdil pula diri tatkala membaca buku ini. Ya, dahulu pernah berada di posisi ini tetapi dalam keadaan sedikit berbeza. Negeri Melaka terpilih menjalankan program PT Rintis N17, maka jawatan GPM di Melaka diapungkan dan diganti dengan jawatan Penyelaras Pusat Sumber.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang program rintis berkenaan (yang telah ditamatkan ekoran tiada bajet kerajaan terdahulu) namun saya sangat memuji dan hargai PT N17 sekolah saya, Pn Siti Zuraidah Abu Hassan. Beliau sangat rajin, cekap dan memudahkan orang. Moga Allah mudahkan urusan beliau juga. Amin..amin..

Kembali kepada buku ini, memang sesuai dijadikan rujukan para GPM. Banyak idea baharu dan segar dikongsi oleh 'otai-otai' GPM. 

Saya tabik pada guru-guru ini. Sangat berdedikasi dan bersemangat waja.

Ada yang membina kafe perpustakaan, ada yang membina perpustakaan bergeram di dalam sekolah, ada yang membuat pelbagai usaha meningkatkan NILAM, ada yang mencipta permainan menarik berdasarkan bahan yang dibaca dan sebagainya.

Buku 42 / 2018

#iRead2018

Selasa, 3 Julai 2018

Library is a treasure 2



Alhamdulillah seminggu lalu kami dapat ke perpustakaan negeri memulangkan buku pinjaman. Lewat beberapa hari, kena dendalah jawabnya😅

Pertama kali tertinggal buku. Mujur pustakawan di kaunter membantu. Beliau menerangkan bahawa bayar denda dahulu dan buku akan disambung tarikh pinjaman. 

Alhamdulillah, dapat juga pinjam buku.

Pinjaman kali ini. Tarikh pulang pada 19 Julai 2018

Kami tiba dalam pukul 1 tengahari. Kami sahaja yang ada di situ. Seronok betullah anak-anak bermain dan mencari buku. Sampai rambang mata dibuatnya.

Saya tinggalkan sebentar si kecil dengan rakan saya sementara saya bergegas ke tingkat 1 untuk meminjam buku. 

Setibanya di rak, banyaknya buku baru yang baru disusun! Aduhai, dalam hati berkira-kira. Saya terus mohon jadi peminjam berbayar. Peminjam berbayar boleh pinjam 8 buah buku selama 3 minggu. Ya Allah, tersengih-sengih dapat bawa pulang 6 buah buku.

Pinjaman saya. Buku paling bawah pinjam di perpustakaan kanak-kanak menggunakan kad anak

Hakikatnya, sudah seminggu berlalu saya baru usik sebuah buku. Sebabnya berhari-hari bacakan anak-anak buku yang mereka pinjam! Ini jika masuk dalam #iRead2018 boleh jadi berpuluh-puluh buku dibaca 😂

Sekian bebelan hari ini.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015