Jumaat, 12 April 2024

Raya 2024

 Sehari sebelum raya.

Dari pagi baru proses bawang besar, bawang putih dan segala bahan nak buat rendang cili api. Tapi selepas berbuka baru mula masak. Ha, betul pun raya hari Rabu. Sebab ada ura-ura kata hari Khamis. Rendang cili api resipi mak mentua. Kuikutkan sahaja.

Ayam 3 ekor

2kg bawang merah *

5 labu bawang putih *

halia *

segenggam cili api *

 lengkuas *

5 batang serai yang gemuk-gemuk *

Santan 3kg

daun limau purut

gula melaka

garam


* Bahan dikisar halus


Cara buat

Ayam digoreng separuh masak. Angkat dan toskan. Ketepikan.

Tumis semua bahan kisar sehingga masak. Masukkan gula melaka dan garam.

Masukkan santan.

Masukkan ayam.


Buat rendang memang ambil masa lama. Sentiasa kacau supaya tak hangit dan berketul santannya. 

Entah berapa lama saya  buat sebab selang-seli layan anak kecil. Hee.. Alhamdulillah ada periuk tekanan, bolehlah masak nasi impit 40 minit siappp.


Pagi raya

Bangun macam waktu sahur. Urus diri dan anak-anak, solat, mula goreng bihun dan hidang semua makanan. Ngam-ngam 6.40 pagi semua siap. Sebelum 7.30 pagi semua dah bergerak untuk solat sunat hari raya. Tahun ini abi jadi imam solat raya, maka kami semua ke Surau Kampung Bukit Kecil. Mentua pun ikut sekali. 



Surau tiada tangga landai jadi bantu suami angkat kerusi roda mak dan ayah.

Alhamdulillah,

Selamat hari raya semua.



Selasa, 2 April 2024

Bengkel Latihan Teknik Pengajaran Disleksia



Tahun ini baru berpeluang mengikuti kursus-kursus anjuran BPKhas. Banyak dibuat secara dalam talian dan ianya sedikit sebanyak ada kesan sampingan. Saya sakit kepala apabila terlalu lama menghadap skrin. Seeloknya kena rehat sebentar dan memandang jauh supaya mata lebih relax.

Hari ini dan esok berpeluang mengikuti kursus Disleksia. Satu bidang yang sudah begitu lama saya tinggalkan. Hanya belajar semasa di kampus dan pernah praktikum dua kali di kelas masalah pembelajaran. Maklum, apabila posting, saya dihantar ke sekolah masalah pendengaran dan disleksia jarang saya temui cirinya secara ketara pada anak didik selama ini.

Namun, atas kapasiti mengajar kelas masalah pembelajaran + pekak sekarang, saya kira perlu untuk saya refresh kembali pengetahuan. 

Masuk ke bengkel dan mengikuti tiga sesi ini benar-benar mengimbau kenangan semasa belajar dahulu. Asasnya masih sama dan pengetahuan sedia ada dicantum dengan pengalaman emak saya yang pernah mengajar kelas disleksia beberapa tahun dahulu.

Pengenalan kepada disleksia, disleksia dan bahasa dan Intervensi ialah tiga topik yang dibentangkan hari ini. Saya suka slot kedua kerana penceramah banyak menyampaikan kaedah yang boleh dicuba ke atas anak murid disleksia. Ada idea bercambah ketika melihat pelbagai kaedah dan teknik pengajaran. 

Esok bersambung dengan 3 slot lagi iaitu Disleksia dan Lain-lain Masalah Pembelajaran Spesifik, Disleksia dan Jenis Ketidakupayaan Lain dan Mentaksir murid Disleksia.

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015