Sabtu, 21 Januari 2023

Rumah Seribu Buku

 Satu untuk kenangan.

Hasrat berkunjung ke rumah buku Jejak Tarbiah telah lama tersimpan sejak Kertas-kertas yang Merubah Fikir terbit tahun 2018. Sebuah buku tentang pengalaman awal pembaca, kenangan mereka dengan buku semasa kecil sehingga kini masih terus menggemari buku. 24 buah kisah yang sangat menarik dan mungkin membangkitkan semula memori anda semasa kecil.

Ia kisah merentasi zaman dan fasa usia dalam kehidupan. Waktu kecil yang seronok bergelumang dengan bahan bacaan tanpa memikirkan sangat masalah harian membuatkan semangat membaca selalu menggebu. Anda harus dapatkan buku ini. Kini KYMF sudah tersedia dalam edisi kemas kini (2021) dan sudah masuk cetakan ketiga (jika tidak silap).

Bersama Kak Ani 


Berbalik kepada rumah buku JT. Apabila terlihat poster mereka membuat karnival pembukaan JT, peluang ini tidak harus dilepaskan. Memandangkan pesta buku JT bulan Februari nanti tidak dapat saya hadiri, maka kali ini mesti pergi juga. Yang paling seronok sudah pasti anak-anak. Bermalam di rumah inap berhampiran lengkap dengan kolam renang sudah memenuhi kegembiraan mereka.

Sampai di JT sudah melebihi pukul 11 pagi, tenang dan lengang. Ada dua orang staf menyambut, selain Kak Ani (salah seorang penulis KYMF) dan dua orang tetamu yang sedang tenggelam dalam lautan buku mereka. Anak kata, "Ni buku umi!" Ya, ada di rak bersebelahan ruang santai JT. 

Tempat yang luas dan selesa. Anak-anak main sebentar di ruang diskusi sebelah kanan sementara uminya mencari buku. Tak sedar sudah sejam sebelum terdengar satu suara menyapa dari belakang. Tak sangka bertemu Pn Saadiah kerana beliau ada mesyuarat sebelum itu. Disebabkan mahu mengejar waktu solat Jumaat, maka dapat berbual ringkas dengan ragam 6 orang anak yang mula menunjukkan tanda tantrum. Minta maaf puan jika nampak kelam-kabut. Haha.




Barisan buku Tere Liye 


Dahulu buku yang saya pegang dikenal sebagai serial anak mamak dan mengandungi empat tajuk. Kini sudah ada beberapa tambahan tajuk baharu menjadikan kesemuanya ada 7 buah dalam siri ini.

Tawaran harga 

✔️Diskaun 50% untuk buku terpilih (antaranya buku Habiburrahman el-Shirazi dan HAMKA)

✔️Diskaun 25% untuk buku keluaran JT

✔️Diskaun 15% untuk buku selain JT

✔️RM10 sebuah untuk buku Jemari Seni. 

✔️Dan ada diskaun 20% untuk buku JS terpilih.

✔️Buku percuma untuk dipilih

Waah, berbaloi amat!


Anak-anak membeli penanda buku dan buku nota memandangkan komik tiada stok. Buku Hilal Asyraf pun tinggal sebuah di rak iaitu Hikayat Satria-satria Sejati 1. Anak-anak mencari Siri Gelombang Baru dan Takdir. Tak mengapa ada rezeki boleh beli nanti.


Apa yang kami beli?

Macam balas dendam pula sebab dah lama tak membeli dalam kuantiti yang banyak. Haha.

Tertegun melihat deretan buku Tere Liye. Namun, saya sedar diri, stamina membaca saya sudah menurun. Dahulu sebuah buku sehari boleh habis baca. Sekarang boleh jadi berminggu-minggu untuk habiskan sebuah buku. Maka, inilah yang berjaya dibawa pulang :

1. Ikhlas oleh Rumah Ripta

2. Yang Paling Patah Antara Kita (katanya novel laris)

3. Leaving Microsoft To Change The World (edisi terjemahan Bahasa Melayu)

4. Murabbi Cinta (kawan punya)

5. Seperti Air yang Mengalir oleh Ust Pahrol Mohamad Juoi

6. Bidadari Bermata Bening oleh Habiburrahman el-Shirazy

7. Si Anak Savana oleh Tere Liye

8. Merchandise : sampul raya JT



Buku anak-anak :


1. Alhamdulillah (Omar Hana)

2. Kiki dan Semut (Didi & Friends) ---> [tercicir di JT]

3. Super Squad

4. Buku nota

5. Penanda buku

6. Pen

Pulang dari JT, singgah menziarahi adik di Damansara. Aduhai, merasalah kami melalui kesesakan jalan raya sepanjang highway. Maklumlah hari pertama cuti sekolah dan orang mahu menyambut tahun baru cina. Tengah malam baru bergerak pulang ke Melaka. 



Terima kasih suami, anak-anak ikutkan kehendak umi dan ipar yang membantu menjaga mertua sementara kami bermusafir.


Tahniah Pn Saadiah dan tim JT. Semoga terus maju dan cemerlang!


Aina Dayana Hilmi

21 Januari 2023

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015