Isnin, 23 Januari 2023

Ulasan buku : Bedar Tanpa Laut


 Ada dua situasi dipisahkan dalam buku ini namun terangkum berselang-seli. Satu, kisah pak timbal pembuat bedar. Suatu kisah yang membawa kita ke zaman silam, zaman ulung orang Melayu dengan segala kesenian dan kegagahan menghasilkan produk dari kayu dan kreatif membuat senjata.

Satu lagi kisah yang mengambil tempat di zaman ini. Betapa masih ada orang yang memiliki rasa tanggungjawab mengembalikan khazanah Melayu ke tanah asalnya meskipun orang itu bukanlah dari leluhur Semenanjung Tanah Melayu. Aneh, bukan? Sejarah tetap ada kelompok peminatnya malah pengkaji tegar yang konsisten menggali sumber asalnya.

Diperlihatkan bahawa banyak tangan tersembunyi yang mahukan sejarah yang salah ditulis ini kekal menjadi kepercayaan generasi kemudian. Bukan calang-calang cabaran para pengkaji sejarah ingin membetulkan salah faham itu.

Melalui buku ini, Pak Timbal dipujuk membantu Datuk menteri di Larut membina sebuah bedar perut labuh di saat situasi semakin meruncing dengan bunga-bunga peperangan. Saya melihat dengan kagum akan ketelitian dan firasat yang Allah anugerahkan kepada para tukang ini dalam membina bedar.

Waktu itu bukan ada jurutera, arkitek dan seumpamanya untuk membina sebuah kapal besar. Namun dengan perkiraan nisbah menghasilkan ukuran yang tepat sesuai dengan bilangan keluasan yang diinginkan. Bagaimana mereka memilih, kayu, bahan binaan serta kerjasama menghasilkan yang terbaik membuatkan ia suatu usaha yang mengagumkan.

Tidak mustahil ianya berlaku juga kepada orang lain. Keindahan seni bangsa Melayu terbukti pada ukiran yang halus dan mengandungi mesej yang berlapis. Sayang sekali, apabila khianat merajai hati, berlaku kemalangan demi kemalangan sehingga bedar itu tidak sempurna mengikut perancangan. Malah, ia terkubur terus bersama 'mastermind' bedar.

Manakala usaha Naufal dan Omar dari Yayasan Warisan menggali maklumat tentang senjata hebat orang Melayu tidak menemui kejayaan. Malah, kecewanya Naufal untuk mencari bukti keturunan Tun Fatimah di Lisbon menemui jalan mati dek kerana kematian Madam Noir. Siapakah beliau? Sungguhpun beliau mengaku bahawa beliau penduduk asal Portugal tetapi Naufal yakin matanya yang cantik itu ialah mata Melayu. Ia dikuatkan dengan lembaran catatan lama dalam tulisan jawi dalam simpanan beliau.

Kemudiannya, penemuan ukiran pada tiang rumah lama di Sungai Sepetang seolah membuka lembaran baru bagi kajian mereka. Sungguh, para sejarawan tidak akan lelah berhenti mencari kebenaran, bukan?


P/s : Boleh dapatkan buku ini dari ITBM. Saya beli dengan Pn Zalila Isa, salah seorang editor di sana.


Buku ke-10/2023


Aina Dayana Hilmi,

23 Januari 2023

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015