Khamis, 28 Jun 2018

Ulasan buku : Puteri Naga Tiberius



Sudah semestinya saya beli buku ini kerana penulisnya 😃 Pn Sri Rahayu Mohd Yusop penulis kegemaran saya kerana setiap karyanya ada kekuatan dan kelebihan.

Saya suka garapan fiksyen dalam buku Puteri Naga Tiberius ini meskipun ada banyak nama yang pelik-pelik serta kisah sejarah kerajaan Tiberius yang agak panjang.

Mungkin saya seorang yang visual. Maka, apabila dicatat nama-nama watak, tempat dan serba sedikit susur galur keturunan Maharaja Tiberius ini barulah saya memahaminya.

Kisah dimulakan dengan putera mahkota melarikan diri dari Istana tetapi terpaksa kembali juga beberapa hari selepas itu. Beliau terlibat dalam satu kejadian yang secara tidak sengaja bertemu dengan gadis hamba pembuat racun.

Putera Basilius kemudiannya mempunyai pertemuan-pertemuan lain yang tidak dijangka dengan Sula, hamba tersebut pada peristiwa-peristiwa penting dalam hidupnya malah mencipta sejarah Kerajaan Tiberius.

Sula, yang sebenarnya waris sah Kerajaan Tiberius yang terpisah dari ibu ayah serta sudah jauh dari istana mempunyai kisah yang menarik dengan keistimewaannya yang menakjubkan.

Sejak bayi sudah dijual kepada keluarga Bregeda, beliau telah dilatih membuat racun untuk perniagaan tuannya itu. Perniagaan haram yang sangat maju dan tinggi permintaannya.

Namun, pada usia 15 tahun, Sula tekad melarikan diri dan mahu hidup bebas. Dia merantau jaub seorang diri menghadapi cabaran demi cabaran. 

Namun pertemuan dengan Putera Basilius sedikit sebanyak mengubah peta perjalanan Sula. Dia akhirnya terpaksa kembali membantu Putera Basilius menyelesaikan masalah negara rentetan ayahandanya mangkat kerana diracun oleh saudara kembar ayahandanya sendiri.

Lebih parah, racun itu adalah racun yang paling kuat dan tidak dapat didiagnosis oleh pengamal perubatan diraja. Takhta dirampas dengan cara yang tidak disedari malah, pakcik Putera Basilius ini ingin segera berkahwin dengan ibunda Putera. Namun, permaisuri tiba-tiba mengalami kecelaruan jiwa dan dipenjarakan di bawah tanah istana.

Kemunculan naga-naga yang menjadi lambang Kerajaan Tiberius mengubah tanggapan seluruh rakyat bahawa naga-naga tersebut hanya lagenda sebelum ini. Naga-naga ini hanya muncul apabila waris yang tepat muncul menerajui kerajaan.

Tidak dapat tidak, berlaku juga sebuah peperangan dahsyat melibatkan pasukan tentera Putera Basilius dengan maharaja baharu. Kejadian ini memaksa orang Bunian untuk masuk campur demi kesejahteraan negara.

Sebenarnya banyak lagi isu yang tidak saya sentuh kerana berkait antara satu sama lain.

Mungkinkah ada sambungan cerita ini? Tajuk buku ini sebenarnya merujuk kepada Sula, namun di akhir cerita Sula sudah lupa kepada semua yang berlaku selepas menyelamatkan Putera Basilius dari maut terkena racun.

Sula menggunakan tongkat khas hadiah dari seorang warga Bunian yang tertua di dunia. Sebagai imbalannya, jika Sula menggunakan tongkat itu, dia akan dilupakan oleh semua orang dan Sula turut hilang ingatan. Namun akan ada seorang yang mengingatinya 

Dan Sula mengembara ke benua lain, jauh dari Kerajaan Tiberius selama 15 tahun. Tidak pasti sama ada dia akan kembali ke sini semula atau tidak.

Bagi saya ia cubaan yang baik dari puan penulis membuat cerita sains fiksyen ala-ala Harry Potter atau Lord Of The Rings 😊 Terasa ada sedikit kekurangan namun saya OK sahaja membacanya sehingga ke akhir bab. Tahniah puan!

Buku 53 / 2018

#iRead2018

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

1 ulasan:

  1. Sy pun ada membelinya juga, memang sy kagum dengan hasil karya beliau. Dalam cerita ini, apa yang sy suka adalah seorang hamba yang tidak tergoda dengan pangkat dan harta walaupun dia adalah waris yang sah. Juga, matlamat utamanya ialah untuk mencari kebebasan bukan sekadar duduk di singgahsana untuk memerintah kerana ia bertentangan kehendaknya.

    Cerita ini juga bagi kita pengajaran. Misalnya, berlakunya pembelotan antara dua buah kerajaan dan sikap haloba yang mahu memiliki kekuasaan tertinggi.

    Kita tahu, yang jahat akhirnya akan tewas. Apa yang sy harapkan ialah, penulis buku ini akan sambung kisah sula dalam pengembaraanya.
    Kisah sulahanen, puteri naga tiberius ini telah bagi sy inspirasi untuk menghasilkan sebuah karya fiction. 😊

    BalasPadam

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015