Ahad, 13 Januari 2019

Lawatan ke Nasyrul Quran Putrajaya kali kedua


Cuti sekolah yang lalu kami membawa 2 trip ke Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya sebenarnya. Yang pertama untuk anak-anak kelas mengaji (13 Disember) dan trip kedua untuk kaum ibu kelas mengaji pada 24 Disember.

Sebelum pergi, kami mengisi borang lawatan di laman web mereka. Dan menunggu balasan yang dihantar ke emel kita.

Kali kedua ke sana lebih seronok berbanding lawatan kali pertama kami. Kali ini lebih teratur dan ada pegawai penerangan yang membawa kami dari satu bahagian ke satu bahagian. Berbanding kali pertama dahulu, hanya ada sesi taklimat di dewan besar dan di bahagian atas kilang percetakan.



Kali ini, kami mendengar taklimat penuh dari seorang pegawai perempuan. Jelas sekali penerangannya. Sempat juga semua ahli rombongan berselawat dan ada tetamu VIP hadir hari ini.

Kedua, kami dibawa ke bahagian pameran Mushaf Al-Quran Malaysia (minta maaf sudah lupa namanya). Di sini pegawai menerangkan tentang proses percetakan al-Quran dari permulaannya, memproses bahan mentah sehingga siap diterbitkan.






Meninjau ke ruang pameran, memang kagum dengan kesenian dan cantiknya tulisan dan hiasan pada setiap helai quran keluaran Yayasan Restu ini.

Mushaf Malaysia mengambil ciri-ciri setiap negeri di Malaysia lalu diadun menjadi corak dan warna tertentu. Misalnya negeri Kedah terkenal dengan sawah padinya. Maka warna utama yang digunakan ialah hijau dan kuning. Ada juga corak buah tempatan yang diambil seperti buah manggis dengan warna ungunya diadun menjadi hiasan tepi ayat-ayat Quran ini.

Kami dikhabarkan yang Yayasan Restu turut membantu membuat mushaf untuk negara lain. Maka ada pasukan penyelidik khas ditugaskan mencari ciri unik sesebuah negara untuk diadaptasi hiasannya ke dalam al-Quran tersebut.

Bahagian kedua, kami dibawa ke ruang pameran mushaf antarabangsa di tingkat 1. Seterusnya diberi penerangan di bahagian atas kilang percetakan di tingkat 2.

Seronok sungguh ibu-ibu ini mendengar penerangan. Semoga bermanfaat untuk semua.

Di ruang jualan dan Kedai Cenderamata, ada pelbagai barangan boleh didapati seperti :

» Quran
» Quran terjemahan
» Quran perjuzuk (RM150)
» poster ayat Quran bersaiz A3 (beli 4 percuma 1)
» Quran Mushaf Palestin
» Penanda buku (sekeping RM1, 12 keping RM10)
» buku nota (RM2 - sangat tebal. Puas hati guna)
» fridge magnet
» t-shirt
» button badge
» keychain
» paper bag (RM5 sebuah. Ada dua jenis corak. Warna merah jambu dan biru)
» dan lain-lain



Di ruang jualan berdekatan eskalator, boleh bayar secara tunai dan kad debit. Tetapi di kedai cenderamata hanya tunai diterima setakat ini.

Ada juga kaunter wakaf Quran dibuka bagi sesiapa yang mahu mewakafkan al-Quran. Antara objektif mereka mahu menyebarluaskan pemberian al-Quran ke seluruh dunia dengan harapan 1 rumah 1 mushaf al-Quran.

Selesai lawatan di sini, kami makan dan solat di Masjid Putrajaya dan kemudian ke kedai coklat milik Bumiputera di Nilai sebelum singgah di Nilai 3 membawa kaum ibu ini. Senyum sahaja melihat mereka membeli-belah.

Kami tidak membeli apa-apa. Sekadar meninjau dan berehat di situ.

2019 ke mana pula destinasi kami? Entah ada umur atau tidak. Berhajat untuk ke Masjid Negeri Shah Alam, Yayasan Restu Shah alam dan Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Wallahualam. 

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015