Khamis, 24 Ogos 2023

Jerman, Kami Datang!

 Jerman, Kami Datang!


Mengikuti rapat hantaran-hantaran Kak Zalila Isa membuatkan diri tahu akan perjalanan mereka sekumpulan penulis perempuan ke Pesta Buku Frankfurt di Jerman. Apa jua berkaitan buku pasti menjadi satu keterujaan buat diri. Tak sabar menunggu buah tangan mereka selepas pulang dari sana. Dan inilah, sebuah buku pengembaraan yang berbaloi untuk dimiliki.


Bukunya diisi dengan esei, cerpen fiksyen, gambar, puisi dan hasil seni. Saya tidak begitu pandai membaca puisi tetapi sejak mengenali mereka, perlahan-lahan saya cuba fahami apa yang disampaikan melalui puisi. Pemilihan kata dalam puisi memikat hati. Ia antara nukilan dalam catatan Kak Zalila. Cerpennya buatkan saya tersenyum kerana terkenangkan anaknya, Umar.


Jauh berjalan, luas pengalaman. Pembaca dapat mengetahui budaya, bahasa dan kegemaran orang di sebelah sana. Sesekali ralit menatap foto yang dikongsikan sebagai latar dalam buku. Mengagumkan. Melalui catatan Pn Norsa’adah saya mengenali sastera kanak-kanak mereka melalui watak Struwwelpeter. Malah ada muzium didirikan bagi menghargai usaha penulis ini. Karyanya yang terbit tahun 1845 masih di’highlight’ sehingga kini. Hebat!


Pn Zanariah saya kenali sebagai ejen jualan buku suatu ketika dahulu. Tetapi kelebihan beliau merakam momen lebih ketara dalam ingatan saya. Sudah pasti pemergiannya ke Pesta Buku Frankfurt bagi mencari inspirasi. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku kanak-kanak seperti 24 Jam Magik, Di Mana Kawan Saya? dan Aimi Tidak Murung Lagi. Rupanya ada banyak teknik menghasilkan buku kanak-kanak seperti diorama.


Tidak sah jika tidak ke muzium setempat bagi Puan Emila. Memang melalui karya semua traveller perempuanlah membuatkan saya menghargai muzium. Sebelum ini tidak terfikir pun mahu melawat muzium Negara atau setempat kerana kurang kesedaran dan ilmu. Kini muzium menjadi salah satu agenda bila melawat sesebuah negeri. 


Muzium Gutenberg digambarkan sebagai sebuah muzium yang memaparkan sejarah panjang penghasilan buku. Muzium empat tingkat itu dibahagikan kepada bahagian khas seperti pembuatan kertas, mesin cetak buku, pameran buku sejak 500 tahun dahulu, manuskrip asal bertulisan tangan sehinggalah kepada koleksi buku kanak-kanak mereka.


Sudah pasti saya menunggu tip dari Pn Emila tentang merakam perjalanan ke dalam jurnal! Ia suatu kegemaran yang telah lama ditinggalkan. Hanya apabila anak-anak sudah masuk ke sekolah, saya membimbing mereka membuat jurnal dan dan jurnal Pn Emila dan rakan-rakan menjadi rujukan. 


Saya sangat menggemari kisah Teh dan Roti oleh Pn Nilam Tang. Anak saya berusia 9 tahun pun membaca bahagian ini dengan khusyuk. Sampai sanggup membawa buku ke sekolah untuk dibaca ketika waktu senggang (katanya). Saya harap dia tidak membaca semasa guru mengajar. Huhu. (Itu perangai uminya ketika sekolah rendah sehinggalah ayah sendiri ‘menangkap’ perbuatan saya itu!).


Banyak sticky note dilekatkan dalam buku dan insya-Allah ia akan dibaca lagi dari masa ke semasa. Banyak ilmu dan kesedaran saya perolehi melalui buku ini. Tahniah buat semua kerana menghasilkan buku yang bermakna dan berkualiti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015