Isnin, 25 Julai 2016

Sesi Bercerita : Sombong Membawa Rugi


Hari berkerja memang hari yang sibuk dan memenatkan. Namun saya akui, surirumah lebih penat kerana kerja mereka tidak habis-habis.

Jadual anak-anak sehari-hari memang ditumpukan kepada mengaji al-Quran / Iqra', tasmik hafazan, Mental Arithmetic dan bercerita. Yang sulung sedang menghafaz Surah 'Abasa dengan kaedah al-Huffaz (1 hari 1 ayat) dan hari ini masuk ayat ke-31. 

Ada baiknya mengikuti kaedah ini kerana saya juga sama-sama belajar dan menghafaz dengannya. Kebaikan kedua ialah, anak nombor dua dapat mengikuti dengan baik meskipun tidak terlalu fokus jika diminta mengaji Iqra' ^_^;

Untuk sesi bercerita kami biasanya lakukan bersama pada waktu malam (sebelum tidur) tetapi akhir-akhir ini tidak kira masa pula. Bergantung kepada permintaan anak. Seminggu ini kegemaran mereka memanglah pada sebuah buku sahaja.

Buku bertajuk Sombong Membawa Rugi. Terbitan ITBM (Institut Terjemahan Buku Negara). Buku ini hanya berharga RM3 ketika dibeli semasa jualan Buku Raya ITBM ramadan lalu. Sangat berbaloi!




Bukunya berilustrasi menarik, berwarna-warni penuh, kertas jenis licin (glossy paper) dan ada unsur pengajaran yang dapat diolah. Ceritanya mengenai 2 ekor ulat beluncas bernama Kiki dan Nini yang dicemburui oleh seekor lagi ulat beluncas yang cantik bernama Jiji. Mungkin kerana Kiki dan Nini bersahabat baik dan salah seekornya tidak cantik.

Namun berkat sabar, Kiki dan Nini berhasil menjadi rama-rama yang cantik. Namun masih dicemburui oleh Jiji. 

Pada suatu hari mereka bersiar-siar dan mencari makan di taman, Jiji ditangkap oleh kanak-kanak yang nakal dan dimasukkan ke dalam botol kaca. Kiki dan Nini tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka semua terbang menyelamatkan diri.

Saya kaitkan cerita ini dengan lagu rama-rama yang dipelajari ketika kecil dahulu. Jika cari di YouTube pasti banyak video lagu tersebut.


Dari ulat jadi kepompong 
Tidur nyenyak dalam kelongsong 
Sampai masa kepompong pecah 
POM! 
Jadilah rama-rama yang indah. 
Rama-rama terbang merata 
Sungguh cantik aneka warna 
Hisap madu di taman bunga 
Tapi sayang hidup tak lama.

Itu sahaja lirik yang saya tahu. Namun hari ini saya dapati ada sambungannya.


Begitulah hidup manusia 
Pada Allah kita berdoa 
Agar jadi insan mulia 
Tapi sayang hidup tak lama.
Mungkin sebab inilah mereka asyik mahu mengulang cerita yang sama sebab suka nyanyi lagu ini ;)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015