Rabu, 27 Julai 2016

Mendidik Anak


* Gambar : Koleksi peribadi penulis

Sesekali di tempat kerja, rakan-rakan berbual tentang anak masing-masing, ada banyak ilmu baru diperolehi dari ibu-ibu ini. Adakalanya perkara kecil tetapi memberi impak besar kepada pendidikan anak-anak.

Kebanyakan rakan mengadu perihal anak nombor dua yang berbeza dengan anak sulung. Jika yang masih kecil, sekitar usia tiga ke empat tahun, tidak boleh duduk diam dan mahu mengikut apa yang ibu ajar berbanding yang sulung. Memang pada usia ini tidak sesuai diajar membaca secara berfokus kerana tahap mereka belum sampai.

Namun, saya suka mendengar pendekatan yang diambil oleh rakan-rakan dalam mendidik anak. Ada seorang ibu ini jadual hariannya sangat sibuk kerana tempat kerja yang jauh ditambah lagi dengan rutin mengambil anak di sekolah berlainan. Maka, dia bijak menggunakan masa berada di dalam kereta dengan menyediakan kad-kad imbas dan ditampal pada cermin kereta ;) Pembelajaran secara tidak langsung ini memang membantu kerana selepas satu jangka masa anaknya dapat menghafaz beberapa surah, mengenal perkataan asas bahasa Inggeris, bahasa Melayu dan bahasa Arab.

Di waktu yang lain, ibu ini suka berdoa secara kuat dan memegang kepala anaknya. Hingga saat ini, anak-anaknya sendiri akan meminta ibu mereka mendoakan mereka.

Ada juga ibu yang mengajar anak apabila membuat kesilapan, perkara pertama yang harus dilakukan ialah beristighfar. Dalam apa jua perkara, dahulukan Allah barulah manusia. Sehingga kini pun, jika si ibu tersilap, anak-anaknya akan cepat mengingatkan "Ummi, ummi cepat istighfar." Subhanallah, hebatnya didikan tauhid yang diterima anak-anak ini meresap masuk ke jiwa mereka.

Seorang rakan yang lain juga mengadu anaknya sukar duduk diam dan fokus tetapi banyak sisi kelebihan anak yang dapat dilihat. Misalnya, anak keduanya ini petah berkata-kata. Ada sahaja butir percakapannya yang membuatkan si ibu startled. Hehe...teringat pula anak saya yang kedua. Perangai lebih kurang sama ;)

Paling saya terkesan dengan didikan seorang rakan yang mengajar anaknya adab makan dan tertib menjaga kebersihan. Waktu itu kami sama-sama menghadiri sebuah seminar, Ketika kami berada di ruang hadapan, si anak duduk di bahagian belakang untuk makan. Diam-diam suami saya memerhatikan anak kecil itu (umurnya sekitar 2 tahun 6 bulan). 

Anak itu membuka bekas makanan, menyudu makanan ke mulut tanpa tumpah dan selepas selesai makan membersihkan tempat makannya dan menyimpan semula bekas ke dalam plastik. Masya Allah. Malu saya dengan anak itu. Anak saya pun masih tumpah makanannya jika makan sendiri.

Salute dengan ibu-ibu ini.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015