Selasa, 13 Jun 2017

Ulasan Buku : Suri Hati Mr. Husband


Suri Hati Mr, Husband bukanlah sebuah novel. Ia adalah bingkisan indah buat semua suri rumah mahupun suri berkerjaya. Istimewanya, para suami dan bakal suri juga elok menekuni buku ini.

Ia bukanlah sebuah buku yang mengatakan suri rumah itu yang terbaik tetapi sebenarnya keazaman untuk menjadi yang terbaik walau apa jua jawatan yang disandang. 

Namun, ingatan demi ingatan yang dicoretkan membuatkan hati terasa sebak. Ada getar dalam jiwa. Dalam kebanyakan catatan, memang merupakan isi hati sendiri. Ya, mungkin ini jugalah yang ada di lubuk hati sebahagian besar para isteri dan ibu di luar sana.

Bezanya, Allah telah lorongkan jalan buat Kak Nur (penulis) lebih awal dengan cara yang manis sekali. 

Kak Nur ialah seorang guru di sebuah sekolah di Labuan. Mengikut perancangan beliau mahu bersara selepas 15 tahun berkhidmat namun siapa sangka Allah telah memberi jalan keluar hanya selepas 6 tahun beliau berkhidmat. 

Niat yang jelas diadukan pada Allah saban malam. Bukanlah tugasan guru ini membebankan namun beliau memikirkan tanggungjawab hakiki yang lebih utama bagi dirinya - hak suami dan anak-anak.

Memetik kata beliau : 

Berhenti kerja bukan sekadar satu pengorbanan besar tetapi tanggungjawab yang perlu dilunaskan.

Saya tertarik dengan doa yang dititipkan :

Ya Allah, 

aku memohon kepada-Mu
segala kebaikan agar aku 
menjadi sebaik-baik hamba-Mu yang solehah, 
sebaik-baik isteri dan suri di hati suami
dan anak-anak

Ya Allah,

Jauhkanku daripada sifat-sidat tercela yang akan
membawa kemurkaan-Mu dan kemarahan suamiku

Ya Allah Yang Maha Penyayang
Binakan mahligai syurga untuk kami terus
bersama berkasih sayang dalam rahmat-Mu.

Amin...😢

Kak Nur memberikan perspektif berbeza tentang rezeki si suri rumah yang tidak berslip gaji ini. Beliau merasakan keberkatan rezeki bertambah setelah menjadi suri rumah. Sedikit yang mencukupi, banyaknya dapat dikongsi.

Bersyukurlah dengan banyak atau sedikit rezeki yang diperolehi kerana Allah memberi apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu. Subhanallah. Benar sekali. Tetapi kerap kali juga kita alpa. Merungut tidak cukup itu ini, berkira-kira membuat sesuatu, tidak puas hati dengan begitu begini. Allahu akbar.

Beliau berkongsi tip yang istiqamah diamalkan iaitu menunaikan solat sunat fajar, beristighfar, bersedekah, melazimi al-Quran dan menghafaz al-Quran.

Sememangnya antara tujuan beliau menjadi suri rumah ialah ingin mengajar sendiri anak-anak al-Quran dan menghafaznya. Masya Allah tabarakallah, anak sulung beliau sudah dapat menghafaz 4 juzuk al-Quran setakat ini. Menjadi inspirasi buat diri saya yang kerdil. 

Beliau menunjukkan contoh tauladan yang terbaik buat anak-anak dengan menunjukkan kesungguhan bangun malam, membaca dan menghafaz al-Quran. Beliau mencabar diri sendiri memasuki pertandingan hafazan sehingga berjaya menajdi johan peringkat kebangsaan. Anak-anak pasti gembira dan melihat itu sebagai suntikan motivasi buat mereka untuk terus belajar.

Semoga Allah memberkati Kak Nur sekeluarga. Barakallahufikum.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015