Khamis, 20 Julai 2017

Sesi Bercerita : Si Raja Rimba




Singa Si Raja Rimba ialah sebuah buku cerita bergambar kanak-kanak yang ditulis oleh Pn Zulina Hassan. Buku ini terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Saya beli lebih 5 tahun lepas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Waktu itu, Galeri Ilmu tawarkan 50% diskaun dan saya dengar buku ini tidak lagi dicetak. Malahan penerbit membuat jualan penghabisan stok bagi siri ini. 

Kembali kepada buku ini. Buku ini menceritakan sebuah keluarga singa yang tinggal di sebuah padang rumput. Papa Leo dan Mama Nila mempunyai tiga ekor anak singa yang masih kecil iaitu Nalu, Tala dan Tuma. 




Mereka sedang berbual sambil berehat. Mama Nila menjilat bulu anak-anaknya sebagai salah satu cara membersihkan badan mereka. Apabila Nalu, Tala dan Tuma ingin makan, Mama Nila meminta mereka bersabar dan minum susu dahulu kerana Mama Nila hanya keluar berburu pada waktu malam.

Anak-anaknya hairan mengapa Papa Leo tidak keluar berburu. Haa... ini kerana badan singa jantan besar dan berat. Pasti tak sempat mahu tangkap mangsa ;)

Perbualan keluarga singa ini sebenarnya mendedahkan kepada pembaca akan kehidupan sebenar singa.

Di akhir cerita, pembaca dihidangkan dengan 18 fakta mengenai singa. 



Anak-anak saya teruja mendengar fakta tentang singa. Yang menarik perhatian mereka ialah :

🐾 Singa ialah keluarga kucing. Dan ia paling besar.

🐾 Bulu pada muka singa jantan dipanggil surai.

🐾 Singa digelar "Raja Rimba" kerana fizikalnya yang besar dan menggerunkan dan bukan kerana ia tinggal di rimba. Singa tinggal di savana.

🐾 Sebenarnya singa betina yang pergi cari makan (baca : berburu). Semasa singa betina pergi berburu, singa jantan berehat di bawah pokok 😆 Bukan kerana singa jantan pemalas, sebaliknya singa betina lebih ringan dan berlari lebih laju daripadanya.

🐾 Singa mempunyai 30 batang gigi. 4 daripadanya ialah gigi taring untuk menikam mangsa.

🐾 Singa asah kuku tajam pada batang pokok.

🐾 Ngauman singa jantan boleh didengari sejauh 5km.

Saya pernah membuat story sack untuk cerita ini. Ia mengandungi :

1. Bahan-bahan membuat topeng muka singa
2. Kuiz pendek mengenai cerita yang dibaca / didengari ini
3. Penanda buku sendiri (DIY Bookmark - lion theme)
4. Cari perbezaan antara 2 gambar (spot the differences)
5. Sebuah buku mini berbentuk kipas bertajuk Tahukah Anda? 18 fakta mengenai singa
6. Belajar bahasa - singa dalam bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Mandarin dan sebagainya

Saya ajak anak-anak menginsafi bahawa Allah Maha Kuasa menciptakan semua makhluk dan benda. Singa adalah ciptaan Allah yang hebat. Tiada satu mesin teknologi canggih pun yang boleh buat singa.

Lihat keluarga singa juga sayang-menyayangi antara satu sama lain. Jika ibu singa mati, anak singa itu akan dijaga oleh singa-singa betina yang ada dalam kumpulan mereka. Betapa Allah menganugerahkan sifat kasih dalam setiap diri haiwan dan manusia.

Anak-anak menggangguk-anggukkan kepala sambil memandang saya. Apa agaknya yang mereka fikirkan? Esoklah tanya sebab lepas habis baca buku tadi, semua lelap. 

Aik? Biasanya sebelum tidur banyak drama 😁


Semoga anak-anak mendapat manfaat dari cerita ini.

Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015