Sumber gambar : di sini |
Siapa suka makan buah durian? Saya suka 😉 Sejak kecil memang suka sangat makan buah ini. Dahulu, datuk ada kebun durian. Tidak banyak pokoknya tetapi merasa jugalah kami adik-beradik berbasikal ke kebun datuk dan menunggu buah durian jatuh.
Siap bawa surat khabar untuk alas duduk. Letak tebal-tebal supaya punggung tak terasa batu dan rumput. Ada masa bawa buku cerita buat penghilang bosan, pernah juga bawa ubat nyamuk sebab tak tahan digigit nyamuk dan agas.
Sesekali terkena hujan. Tidak bawa payung, bergegas kami pulang ke rumah. Di hari yang lain, bawa payung supaya kami sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan hujan.
Ada masanya, pulang dari sekolah agama petang, berhenti dahulu di kebun meninjau buah yang gugur. Sampai begitu sekali.
Seronok yang amat apabila dengar bunyi 'buk!'. Berlari mencari buah durian tersebut. Masuk dalam beg (tak ingat material apa beg itu) jika banyak. Jika sedikit, kami jinjit seorang satu sahaja sambil naik basikal atau masukkan ke dalam raga basikal untuk dibawa pulang.
Seronok sungguh masa itu.
Mereka bersenang-lenang di antara pohon-pohon bidara yang tidak berduri. Dan naungan yang terbentang luas, dan air yang sentiasa mengalir, serta buah-buahan yang banyak, tidak putus-putus dan tidak pula dilarang untuk mendapatnya, dan tempat-tempat tidur yang tebal (lagi empuk). [Surah Al-Waqiah ayat 30 hingga 34]
Sungguh indah gambaran syurga yang Allah sebut di dalam Quran. Allahu Allah..
Dalam pada itu ada juga beberapa pengalaman yang tidak seronok semasa menunggu durian ini. Selalu juga buah durian kami diambil oleh seorang datuk yang tinggal tidak jauh dari kebun kami.
Fikiran cetek kami ketika itu : Kami penat-penat tunggu durian, senang-senang sahaja atok tu ambil! 😒 Bila ditegur, atok itu menjawab : alaaaa, atok ni pun sedare kau juga...
Balik rumah mengadu dengan nenek dan emak, mereka mengamankan sahaja. Tidak perlu panjangkan isu 😖
Perkara kedua ialah saya ada lelah. Pantang makan durian, aiskrim, air sejuk, buah kuini dan banyak lagi (sudah lupa). Jadi nikmat makan agak terhad 😆 Subhanallah.
Kini, kebun durian sudah tiada, datuk saya pun sudah lama meninggal dunia. Namun kenangan lama itu masih lagi segar di ingatan.
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan