Khamis, 31 Mei 2018

Ulasan buku : Rezeki Luar Biasa Suri (Arkitek) Rumah


Buku ini muncul tepat pada waktunya. Saya yang sedang bercuti tanpa gaji atas urusan menjaga anak sedang berfikir untuk menyambung cuti sehingga habis tempoh yang ditetapkan oleh pekeliling.

Dalam masa yang sama terselit rasa bimbang kerana ada komitmen kewangan yang agak tinggi perlu ditunaikan saban bulan.

Usai istikharah dan istisyarah, suami mengizinkan saya menghabiskan cuti tersebut. Katanya, insya Allah ada rezeki nanti. Kita usahakan 😭

Lalu, dengan konsep buku ini yang  berkongsi kisah suri-suri rumah mendapat rezeki dari arah yang tidak disangka. Sebenarnya kita semua pun pernah menerimanya tetapi jalan yang Allah beri itu berbeza-beza.

Apabila kisah ini dicatat, benar, terasa besarnya kasih sayang Allah kepada kita. Rezeki itu bukan hanya kepada wang ringgit, tetapi juga kepada kesihatan diri dan keluarga, kelapangan masa, rezeki dapat menjaga dan mendidik anak sendiri mahupun melancong ke luar negara. 

Satu yang saya sangat tertarik. Setiap suri berkongsi doa yang mereka lafaz saban waktu. Allah ya Allah, benar pergantungan kepada Allah itu nombor 1. Sentiasalah bercakap dengan Allah. Hatta mencari idea untuk memasak pada hari tersebut! Juga berdoa supaya Allah mudahkan anak-anak ketika kita mahu menunaikan solat. Saya kira 2 perkara ini memang kritikal bagi saya sebelum ini 😥

Kini, saya cuba aplikasikan sedikit-sebanyak ilmu yang diperolehi dari buku ini. 

Semasa membaca buku ini juga saya suka bersedia dengan pen dan buku catatan. Banyak kata-kata positif yang ada dan mampu membuatkan kita bermuhasabah di kala penat atau "down".

Terima kasih Pn Khairunnisa Hamzah dan rakan-rakan penulis buku ini. Semoga Allah menerima amal kita semua. Amin.

Buku 41 / 2018

#iRead2018

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015