Sesi bercerita lagi :) Kali ini mengenai anak tupai bernama Tuni. Comel namanya. Saya ambil dari buku Bacalah Sayang terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Buku ini berkonsep 1 hari 1 cerita. Terdiri dari 12 buah buku yang mewakili Bulan Januari hingga Disember. Ada banyak segmen di dalamnya, tidak terhad kepada cerita sahaja. Ada cerita moden, cerita rakyat, puisi, lagu dan teka-teki.
Cerita-ceritanya menarik dan mudah. Banyak nilai murni dapat disampaikan kepada anak-anak. Saya beli di PBAKL 2012 (Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur). Saya tidak tahu harga terkini. Pada waktu saya beli buku ini, saya menggunakan baucer buku yang diberi oleh MBKM (Majlis Buku Kebangsaan Malaysia) kerana kami peserta Pengkarya Guru 2012 ;)
Dimulakan dengan melukis. Sesekali mahu buang stres. Kali ini berguru dengan seorang guru Pendidikan Seni Visual di sekolah untuk mewarna lukisan. Tapi, hasilnya tidaklah hebat. Saya baru menuntut ilmu. Hihi..
Jom baca cerita Tuni.
Tuni ialah seekor anak tupai yang cerdik. Dia tinggal bersama ibunya di sebuah dusun buah-buahan.
Tuni sangat suka melompat dari dahan ke dahan. Dia berani. Ibunya selalu menegur tingkah laku Tuni. "Hati-hati, nanti kamu terjatuh." Tetapi Tuni tidak pernah mendengar nasihat ibunya.
Pada suatu hari, Tuni keluar bermain dengan kawan-kawannya. "Kamu nampak tidak pohon di sana? Siapa mahu lompat ke situ?," tanya Tuni dengan bersemangat. "Tidak mahulah Tuni. Dahan pohon itu jauh. Nanti emak marah," balas kawan-kawannya.
Dalam masa yang sama seekor anak kambing sedang meragut rumput berdekatan Tuni dan kawan-kawannya. Tuni tetap berdegil mahu melompat ke pohon yang jauh itu. Dia pun bersedia dengan sekuat tenaga. "Satu, dua, tiga!!!!" Malangnya, tangan Tuni tidak dapat mencapai dahan pohon itu lalu terjatuh ke atas kepala si anak kambing.
"Bup!" Terkejut besarlah si anak kambing dan dia berlari ketakutan kerana menyangka ada haiwan yang mengetuk kepalanya. "Berhenti! Berhenti! Ini sayalah, Tuni!," jerit Tuni kepada anak kambing itu. Tetapi si anak kambing tidak mendengar suara Tuni. Akhirnya dia berhenti rehat kerana kepenatan. Tuni pun terjatuh ke tanah.
"Eh, Tuni! Bagaimana kamu ada di sini?," tanya si anak kambing. "Yalah, saya terjatuh ke atas kepala kamu. Saya sudah suruh kamu berhenti tapi kamu terus berlari," jawab Tuni. Kemudian, mereka ketawa geli hati. Barulah si anak kambing tahu perkara sebenar. Tuni pun pulang ke rumah dan dimarahi oleh ibunya. Tuni berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya lagi.
Kita mestilah mengikut cakap ibu dan ayah selagi tidak bercanggah dengan agama :)
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan