Alhamdulillah, cuaca hari ini redup sahaja. Hujan turun pada waktu petang. Sudah dua, tiga hari begini. Alhamdulillah juga bayi kecil tidak banyak ragam. Anak-anak yang lain juga lebih terkawal emosi hari ini. Mungkin kerana berjaya bangun awal dan solat subuh di masjid mengikut abi.
Mereka mandi, urus diri, sarapan, membaca, mengaji, menulis dan bermain. Cukup masa, makan tengahari, tolong kemas tempat makan, mengaji dan solat Zohor berjemaah di rumah. Selepas solat, ada yang tertidur. Hanya seorang masih tegar berjaga - bermain sambil melihat muka kakak abang yang tidur 😃
Sebelum Asar, kami menerima kedatangan tetamu dari jemaah surau Taman Merbok, Melaka. Alhamdulillah, terharu dengan kehadiran mereka. Kebiasaannya berjumpa sekali seminggu ketika mengikuti kuliah maghrib (tafsir) di situ. Beberapa minggu sebelum bersalin saya sudah tidak dapat hadir ke kelas. Barakallahufikum.
Hari ini juga saya selesai membaca buku Ceritera Haji Wartawan Al-Quran yang ditulis oleh Ustaz Abdullah Bukhari bersama Dato' Dr Abdul Basit Abdul Rahman. Di dalam salah satu bab yang dinukilkan, penulis menampilkan hadis Rasulullah mengenai memberi orang minum.
Dari Musnad Ahmad :
Sa'ad bin Ubadah menceritakan, aku berkata "Wahai Rasulullah, ibuku sudah meninggal dunia. Adakah aku boleh bersedekah untuk pihak beliau?". Rasulullah menjawab : Ya, boleh. Aku bertanya lagi, sedekah apakah yang terbaik? Rasulullah menjawab : memberi (orang) minum air.
Subhanallah. Sebelum ini hanya tahu tetamu membawa rahmat. Hari ini tambah ilmu baru iaitu sedekah yang terbaik ialah memberi orang minum air.
Moga Allah ganjari kebaikan sebanyak untuk emak saya yang banyak bersusah payah melayan tetamu dan menjaga saya sepanjang saya berpantang ini. Ameen.. ameen..
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan