Dua, tiga hari ini banyak berfikir. Dalam keadaan berpantang, anak-anak semua berada di hadapan mata. Anak-anak tidak ke rumah pengasuh. Saya panjatkan doa kepada Allah semoga Allah memberi ganjaran sebaiknya untuk emak dan ayah saya, suami dan ahli keluarga lain kerana banyak membantu dalam urusan kelahiran kali ini.
Melihat anak-anak mengurus diri, bermain bersama-sama, membaca buku, dan ada juga adegan terlebih mengusik, pasti hingar satu rumah dibuatnya 😆
Buat masa ini, menekuni buku Perjalananku Bersama Al-Quran oleh Dr Mohd Shafie Mohd Amin terbitan Galeri Ilmu. Sebenarnya sudah banyak kali diulang baca tetapi tidak pernah habis bacaan. Kali ini insya Allah berusaha mengutip satu-persatu ilmu dari penulis.
Banyak teguran Allah beri melalui tulisan beliau. Saya, malahan muhasabah kembali apa tujuan saya mendidik anak? Apa matlamat saya dalam pendidikan anak-anak. Saya menginsafi bahawa segalanya adalah milik Allah.
Mahukan anak penghafaz al-Quran, bagaimana dengan kesungguhan diri sendiri menghafaz kalam Allah?
Sungguh, saya sangat tertarik dengan firman-Nya :
Maksudnya : Perbaikilah diri, sesungguhnya Allah mencintai orang yang memperbaiki diri. (Surah Al-Baqarah ayat 195)
Jika kita bersungguh-sungguh, pasti Allah tunaikan.
Allah tidak memandang kepada hasil, tetapi melihat kepada usaha kita.
Akhir-akhir ini anak sudah lebih berdisiplin solat berjemaah mengikut abi atau nenek mereka di rumah / masjid, boleh mengaji dan tasmik hafazan tanpa perlu diingatkan dan sukarela mendengar dan membetulkan bacaan adik-beradik yang lain. Subhanallah.
Benar, bukan kita yang meletakkan Al-Quran ke dalam hati anak-anak tetapi ALLAH yang berkuasa melakukannya.
Maksudnya : Janganlah engkau (wahai Muhammad) kerana hendakkan cepat hafaz Quran yang diturunkan kepadamu, menggerakkan lidahmu membacanya. Sesungguhnya Kamilah yang mengumpulkan al-Quran itu dan menetapkan bacaannya. (Surah Al-Qiyamah ayat 16 - 17)
Saya menginsafi ayat ini. Sebelum ini selalu letakkan target waktu sekian, anak perlu hafaz surah sekian. Namun, hakikatnya tidak terjadi sedemikian. Anak-anak jika sukakan sesebuah surah, mereka mahu mengulang surah itu sahaja beberapa lama. Jadi, untuk beralih ke surah baru memang memakan masa.
Apabila melihat ayat ini, saya memahami bahawa menghafaz Al-Quran ini bukan satu perlumbaan. Biar lambat tetapi mantap hafazannya. Insya Allah. Dalam masa yang sama, saya juga dapat mengulang sekali surah-surah terdahulu yang telah dihafaz.
Khaulah semak bacaan Balqis.. tapi sekali ini sahaja dia mahu. Tahun 2015. Sehingga kini tak pernah dia nak tengokkan rakan sebaya mengaji. Malu katanya...😖 |
Daku mohon keampunan-Mu ya Allah....
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan