Tulisan Kak Su (Noor Suraya) tidak pernah mengecewakan :-) Meskipun novel penyiasatan kanak-kanak, suka sekali dengan gaya naratif yang dibawa oleh Kak Su ini.
Baik, buku ini mengisahkan dua pasang adik-beradik yang tinggal berjiran. Nabil dan Nurdini ialah anak Encik Nasir, Penyelia Kanan di Ladang Seri Taming. Jiran baharu mereka ialah tuan pengurus ladang yang baru berpindah dari Pulau Pinang, Tuan Sabandi. Tuan Sabandi mempunyai dua orang anak yang hampir sebaya mereka iaitu Luthfil Hadi dan Dania Thurayya.
Kawasan rumah Tuan Sabandi lebih luas dan mempunyai rumah pokok, buaian, kolam kecil dan stor perkebunan yang agak luas. Nabil dan Nurdini kerap bermain di sana sebelum ini. Mujurlah kawan baharu mereka ini sangat baik dan peramah. Cepat sahaja mereka dapat berkawan rapat.
(Waktu ini teringat cerita Enid Blyton yang bertajuk "Children at a green meadow". Bezanya anak-anak itu lebih ramai, lebih lasak dan berbeza perwatakan antara satu sama lain. Yang mempunyai persamaan ialah mereka mempunyai minat yang sama dan halaman rumah yang "adventorous" bagi anak-anak ini bermain).
Tetapi mereka sering sahaja diganggu oleh kembar yang nakal dan tidak beradab - Intan dan Adib. Geram juga membacanya. Hee.
Disebabkan minat Luthfil dan Nabil yang mendalam kerana gemar membaca buku penyiasatan dan misteri, membuatkan mereka bersetuju menubuhkan Kelab Sarjana untuk menyiasat kes-kes misteri di kawasan mereka. Siap ada markas dan lencana lagi!
Perancangan mereka juga tersusun. Ada ketua dan setiausaha, ada perjumpaan berkala dan pengagihan tugas mengikut kemahiran individu. Mereka turut mengedar promosi sekiranya ada yang memerlukan bantuan. Sempatlah mereka selesaikan satu kes mudah sebelum benar-benar terjumpa kes besar yang misteri!
Oh ya, mereka ada pertambahan seorang ahli baru yang berpengalaman. Namanya Badrul, anak saudara Inspektor Halim yang tinggal di ladang itu juga. Cuma Badrul bersekolah di bandar. Yang lain bersekolah di dalam ladang itu.
Mereka curiga kerana ternampak asap dari arah sebuah rumah di dalam belukar. Deretan rumah di situ telah lama kosong kerana penduduknya telah berpindah dan ada yang telah berhenti kerja. Tambah memeranjatkan lagi apabila mereka mendapat amaran dari seorang perempuan ganjil supaya tidak menghampiri kawasan itu.
Penyiasatan mereka bermula dengan mengambil tahu peta kedudukan ladang, menyelidik siapa yang pernah menghuni rumah-rumah tersebut, mencari rekod atau keratan berita berkaitan apa-apa kejadian yang berlaku di ladang berkenaan di perpustakaan di bandar, menjejaki dan menemubual beberapa orang penduduk yang pernah tinggal di situ dan cuba mencantum semua persoalan penyiasatan.
Mereka terjumpa berita kes rompakan kedai emas di pekan beberapa tahun dahulu, kejadian rumah terbakar di kawasan ladang Seri Taming, kisah orang dibaham harimau dan kes kehilangan pekerja ladang. Hmm.. ada kaitankah semua ini?
Menarik sekali apabila "sama-sama" mengikuti perjalanan penyiasatan mereka semua.
Anak-anak saya jadi tidak sabar mahu membaca buku ini tatkala melihat ummi tekun membaca dan akhirnya beria-ia menceritakan kembali apa yang dibaca. Haha. Nampaknya ummi pun main peranan ya.
Kesimpulan cerita, kes di atas berjaya diselesaikan meskipun hampir mengancam nyawa ahli Kelab Sarjana. Seronok benar anak-anak ini kerana betul-betul menjadi penyiasat.
Buku 6 / 2019
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan