Khamis, 22 Februari 2018

Filem Thread Of Lies


Sejujurnya sudah lama tidak menonton filem atau drama sehingga habis.

Semalam ternampak Mak Iti muat naik status mengenai filem Thread Of Lies ini. Terus menekan pautan mencari cerita tersebut.

Sumber gambar : sini

Ia kisah tentang impak buli ke atas seorang anak remaja perempuan yang mengalami tekanan (depression) sehingga membunuh diri.

Berdebar betul ketika mahu menonton cerita. Janganlah ada unsur kejutan. Saya jenis yang mudah terkesan dan simpan di dalam hati. Sebab itu tidak suka menonton cerita yang suspense.

Filem ini dimulakan dengan kisah sebuah keluarga yang terdiri daripada seorang ibu tunggal dan dua anak perempuan.

Anak bongsunya meninggal dunia kerana membunuh diri. Keluarga ini berpindah rumah ke kediaman baharu. 

Selain ibu, si kakak turut terkesan dengan pemergian adiknya secara tiba-tiba tanpa pesan. Namun, jauh sebelum mereka menyedari, sebenarnya si adik ini telah meninggalkan 5 mesej tersembunyi di dalam setiap benang kaitnya yang berwarna merah.

Tiada seorang pun menyedari bahawa si bongsu ini dibuli di sekolah dan mengalami tekanan emosi yang tinggi. Ibu yang terpaksa kuat bekerja sehingga terabai emosi anak, si kakak yang ceria sehingga tidak perasan masalah yang dihadapi oleh si adik, kawan-kawan yang bersifat pentingkan diri sendiri, tidak mengambil berat akan kawan yang sebegini.

Ya Allah, meruntun jiwa.

Lantas, saya terbayang anak-anak sendiri.

Adakah anak-anak saya ada tekanan? 
(Nauzubillah)
Bagaimana saya sebagai ibu bapa dapat mengelakkan masalah ini daripada berlaku?
Apa peranan saya membentuk anak yang positif?
Apakah pendekatan yang dapat diaplikasikan kepada anak-anak dalam membina jati diri yang kukuh?

Allahu Allah. Senarai soalan yang berterusan.

Ya Allah, jadikan daku ibu yang solehah, penyabar dan penyayang kepada anak-anak. Kukuhkan kesabaran dan terangkan hati anak-anakku dan rakan-rakannya. Amin.

Berbalik kepada filem ini.

Tanpa sengaja (dan akhirnya menjadi tanggungjawab) si kakak, mula mencari sebab mengapa adiknya boleh nekad membunuh diri.

Bermula dengan menyiasat rakan rapat adiknya, jiran sebelah rumah, rakan sekelas dan mencari nota tersembunyi di dalam gulungan benang sulam (ibunya yang terjumpa tanpa sengaja).

Pesalah utama ialah seorang rakan sekelas yang menganggap dirinya sebagai "rakan baik" si adik. Dia membuli secara emosi dan bertindak seolah-olah tiada rasa bersalah kerana tahu si adik tidak membalas semula.

Dia memaksa dalam baik, mengejek, menabur fitnah dan merendah-rendahkan si adik. Mujur juga pada waktu yang lain, si adik sempat berkawan dengan seorang budak lelaki yang membuatkan dia senang berbicara tentang situasi yang dialami. Budak lelaki ini bukanlah kekasihnya tetapi seseorang yang dikenali semasa berada di perpustakaan.

Lalu, apabila dicantum kesemua "jigsaw puzzle" ini, dapatlah si kakak menemui jawapan dan akhirnya kepada si pembuli itu, si kakak menasihatkannya supaya tidak terus mencari "mangsa" untuk dimanipulasi dan paling penting janganlah memilih jalan yang adiknya pilih.

Si pembuli sebenarnya seorang budak yang tertekan dengan keluarga yang sibuk dan tidak mahu berpindah daripada tempat tinggal sekarang. Dia bosan dan mahu segera pergi dari situ. Apakan daya, keluarganya sudah membuka sebuah restoran yang stabil di kawasan tersebut.

Saya bukan pengulas yang baik. Sebab tidak semua dapat saya kupas. Bagi yang berkesempatan menonton, boleh lihat filem ini.


Semoga kesedaran tentang isu ini semakin meningkat. Dan, didiklah anak-anak kita mengikut sunnah dan secara positif. Jangan nafikan perasaan mereka.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.con
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015