Jumaat, 9 Februari 2018

Iqra' At-Taisir yang Pertama


Bila anak-anak tidur, baru dapat luruskan pinggang sekejap.

(Gambar : koleksi peribadi)

Ternampak Iqra' At-Taisir di atas para rak buku. Capai dan buka muka hadapan. 

Terkedu.

Nama Kakak Khaulah.
Dan di sebelah kanan nama Abang Ngah.

Inilah Iqra' At-Taisir pertama yang dibeli dahulu. Asbab kepada kakak Khaulah lancar baca al-Quran.

Sebak pula terasa. Terimbau kenangan bagaimana si sulung ini mula belajar membaca al-Quran.

Sebenarnya, pada tahun itu, pengurusan masa ummi agak huru-hara. Baru dua anak waktu itu. Tetapi dengan tuntutan kerjaya dan pengurusan masa di rumah membuatkan ummi rasa lelah tetapi hanya dipendam dalam hati.

Ummi tak sedar bila Khaulah mula membaca Iqra' At-Taisir kerana ummi ajar Khaulah menggunakan Set Al-Furqan. 

Selepas beberapa minggu menggunakan iqra' ini barulah abi utarakan pendapat. "Bagus iqra' ni. Khaulah terus baca ni lah." Rupanya Khaulah sudah pun belajar dengan abi menggunakan Iqra' At-Taisir sejak Mei 2013.

Sejak itu ummi mula mengambil alih. Alhamdulillah, sebenarnya Khaulah anak yang mudah diajar dan mengikut kata. Allah yang beri kemudahan kepadanya untuk terang hati membaca dan mempelajari al-Quran. Ummi ini hanya perantara menunaikan tanggungjawab dengan kasih sayang.

Khaulah khatam Iqra' At-Taisir dalam masa dua bulan. Sepanjang mengaji iqra' ini dia nampak seronok kerana reka letak buku ini berwarna-warni dan mudah diikuti.

Sejak itu, Iqra' At-Taisir ini kami cadangkan kepada kenalan, anak-anak murid kelas mengaji dan sesiapa yang berminat mempelajari al-Quran dari asas semula.

Tapi harus diingatkan, kaedah belajar mengaji al-Quran tidak terhad kepada sesuatu jenis buku. Malah saya dahulu belajar mengaji menggunakan kaedah mengeja dan memakai muqaddam. Selepas itu barulah Kaedah Iqra' mula terkenal.

Kini, di kala usia kakak menginjak 8 tahun, iqra' at-taisir ini pula "diwariskan" kepada adik-adik. Abang Ngah dah selesai pakai. Kini giliran Asma' dan tidak lama lagi Abdurrahman 'Arefee pula insya Allah.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015