Rabu, 25 November 2015

Perjalanan anak membaca al-Quran


Sudah lama saya berfikir mahu menulis tentang topik ini. Hari ini mahu menulis di sini. Buat catatan peribadi.

Selepas anak sulung lahir, ada usaha dari kami suami isteri menayangkan kad imbas kepada bayi namun usaha ini tidak konsisten sehinggalah ketika menyambut ramadan kedua, anak sulung kami mampu membaca Furqan 1 dengan lancar. Masya Allah. Allahu akbar.

Ketika berusia 2 tahun lebih


Bermula dari situ, rutin kami berubah dan automatik perlu istiqamah dalam membaca al-Quran juga. Sesungguhnya ini peringatan yang cukup mendalam bagi diri saya (secara khususnya).

Kami menggunakan banyak kaedah dan buku semasa mengajar anak mengaji. Antaranya Set Furqan terbitan Read Network Sdn Bhd, Kaedah Al-Matien oleh Ustaz Zamri terbitan Telaga Biru dan Iqra' At-Taisir terbitan PTS. 

Iqra' At-Taisir disusun oleh Ustaz Rizal yang merupakan Guru J-QAF di Johor. Subhanallah besar pahalanya membantu orang membaca al-Quran.

Sudah hampir lunyai buku ini :)


Anak saya sangat menyukai Iqra' At-Taisir kerana ianya berwarna dan disediakan panduan membaca di setiap modul. Buku ini mempunyai 5 bahagian (yang saya panggil Modul 1 hingga 5). Ketika membaca Modul 4, dia sudah boleh membaca al-Quran namun kami suami isteri tetap mahukan dia menghabiskan modul 5. 

Dalam masa dua bulan, Khaulah khatam Iqra' At-Taisir dan mula membaca al-Quran pada hari terakhir ramadan tahun lepas (2014). Usianya 3 tahun 9 bulan. Perasaan ketika dia membaca mushaf al-Quran tidak akan saya lupakan. Insaf atas rahmat Allah. Sujud syukur.

Bacaannya di pantau supaya sempurna dari segi tajwid. Kelebihan pada masa itu ialah wujudnya kelas mengaji al-Quran di rumah yang membantu persekitaran yang baik untuk anak bermotivasi membaca. Wallahualam.

Awal Januari 2015 saya mengikuti perkembangan Adik Naeilah Al-Farafisya melalui laman sosial Facebook bapanya. Subhanallah, hebat sungguh keluarga ini. Adik Naeilah sangat suka membaca al-Quran dan cepat mahir membacanya. Beliau khatam di usia 3 tahun 4 bulan dan mengambil masa selama tiga bulan sahaja. Masya Allah. Mufti Wilayah, SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada menyebutnya di dalam buku beliau, Puteriku Nasihat Abah Untukmu.


Sumber gambar : Laman sesawang Pustaka Cahaya Kasturi

Khaulah khatam pada April 2014 di usia 4 tahun 6 bulan dan insya Allah sedang menghafaz al-Quran. Apabila anak menghafaz, secara langsung ini memberi saya motivasi dan gesaan supaya turut sama menghafaz! :)

Kini anak kedua, Abdullah Naufal juga sedang menggunakan Iqra' At-Taisir. Namun, pendekatan yang digunapakai sangat berbeza berbanding kakaknya. Saya perlu lebih kreatif dan SABAR mendidiknya. Fasobrun jamil :D




Semoga Allah memberkati.


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015