Khamis, 14 Mac 2019

Menyulam kasih



Lama tak mencoret kisah anak murid  di kelas mengaji. Saya sudah lama bercuti mengajar sejak tak sihat akhir bulan lalu.

Lalu, hanya mendengar luahan dari emak saya yang juga salah seorang tenaga pengajar di situ.

Ada yang agak nakal sebelum ini, kini sudah mula mendengar kata, datang awal ke kelas dan bacaan juga bertambah baik.

Suatu hari emak bawa buah kedondong yang telah dijerukkan sendiri ke kelas mengaji. "Nak jamu budak-budak," mak kata. Sedap! Saya yang bukan peminat jeruk pun boleh angkat dua ibu jari pada mak :-)

Datang si A ini. Emak terkejut juga kerana si A sudah siap mandi, berpakaian kemas, datang awal dan bacaan baik. Kemudian dia minta izin untuk pulang. Tetapi emak saya hulurkan dahulu jeruk buah kedondong ini.

Bersungguh dia makan. Dia minta izin balik ke rumah sebab lapar. Mak hairan. "Tadi kamu tak makan?" "Tak ustazah, saya balik sekolah (agama), nenek suruh cepat-cepat siap dan datang mengaji. Balik mengaji baru makan."

Kasihannya. Dari satu segi betullah neneknya suruh pergi mengaji tapi kasihan pula dengan si A ini kelaparan. Sudahlah penat seharian di sekolah. Lalu emak berpesan, "Lain kali urus diri dan makan dahulu sebelum datang mengaji. Jaga kesihatan." Dia mengangguk dan berlalu pulang.

Saya belajar banyak perkara sejak mengajar anak-anak ini. Antara sela masa usaha untuk bertanya khabar mereka, mendengar cerita dan memberi nasihat.

Mereka datang dari pelbagai latar belakang keluarga. Tidak adil jika guru pukul rata semua. Sentiasa berdoa agar anak-anak ini cintakan al-Quran. Dan selalu juga minta mereka doakan kami.

Wallahualam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015