Rabu, 19 Ogos 2015

Belajar Bahasa Arab



Satu kelebihan apabila anak sudah mula membaca al-Quran ialah apabila mempelajari Bahasa Arab, anak dapat menyebut perkataan dengan betul. Ini menimbulkan minat dan motivasi dalam diri mereka untuk terus belajar. Insya Allah.

Pada awalnya saya sendiri kurang yakin diri untuk mengajar sendiri anak berbahasa Arab. Namun dengan sokongan suami dan mertua yang mempunyai pendidikan dalam bahasa Arab membuatkan saya mencari-cari bahan yang bersesuaian. 

Alhamdulillah set Lughatul Jannah adalah set bacaan yang direkomendasikan oleh kami sekeluarga dalam mengajar anak asas bahasa Arab. Buku ini mempunyai 4 buah buku dan 1 buah cakera padat panduan terbitan Read Network. Penerbit yang sama dengan Set Bacalah Anakku dan Read Easy.

Sumber gambar : www.kedaiberjaya.com


Buku 1 berguna dalam mengajar anak perkataan asas bahasa Arab seperti meja, kerusi, kereta, rumah dan lain-lain.

Buku 2 mengajar perkataan "haza" dan "hazihi" yang ditambah di awal perkataan asas.

Buku 3 mengajar perkataan 'ala (di atas), tahta (di bawah), khoriju (di luar) dan di dalam.

Buku 4 mengajar ayat yang lebih kompleks.

Sesi belajar bahasa Arab di rumah saya hanya peruntukkan waktu sebelum tidur atau waktu lain dalam masa 5 ke 10 minit. 1 hari dalam 2 perkataan dan sentiasa diulang. Yang penting tidak tekankan kepada anak untuk hafal seluruh perkataan yang diajar. Usaha sedikit demi sedikit. 

Bacaan tambahan yang kami gunakan ialah buku bergambar 2 bahasa yang pernah saya ulas sebelum ini (klik sini) dan kamus bergambar yang ditulis oleh Puan Maslina Ngadiman terbitan Pustaka Azhar. Kamus ini berkulit lembut. Suka sangat dengan ilustrasinya. Mudah difahami.

Sumber gambar : www.telagailmuonline.com


Jika di dalam talian, saya senang mengambil bahan daripada www.amuslimhomeschool.com, laman web Rahmah Homeschooling dan Diary of A Muslim Homeschool. Mungkin ada beberapa lagi laman yang saya rujuk tetapi link nya sudah tiada dalam simpanan.

Mari sama-sama belajar bahasa Arab. Niatkan mengikut sunnah Rasulullah sollallahu alaihi wasallam. Dapat pahala, kan?

Semoga bermanfaat.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015