Sabtu, 29 Ogos 2015

Sesi Bercerita : Buku Haris dan Dompet Gergasi


Alhamdulillah bersua lagi di dalam entri ini. Insya Allah, mulai entri ini saya cuba kongsikan buku-buku yang kami bacakan kepada anak-anak atau yang anak-anak baca sendiri.

Untuk makluman, buku ini di bawah siri 100 buku Karangkraf yang diterbitkan tahun lalu melalui projek yang dicetuskan oleh Puan Sri Diah, orang kuat Karangkraf. Idea menghasilkan buku bergambar kanak-kanak pada harga mampu milik ini sangat bernas dan insya Allah membolehkan lebih ramai anak-anak dapat membeli dan membaca buku. 

Harga bagi sebuah buku ini ialah RM3.00. 1 set ada 100 buah buku. Jika saya tidak silap ada kotak disediakan untuk set ini. Cantik! Ibu teruja apatah lagi anak-anak, kan? ;) Oh ya, boleh lihat di Karangkraf Mall. Ada promosi sekarang ini. Sebuah buku berharga RM2.55.


Buku ini mengisahkan Haris yang kepenatan semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah. Dia mahu membeli makanan tetapi duitnya telah habis dibelanjakan di sekolah. Tanpa disangka dia terjumpa sebuah dompet dan tanpa berfikir panjang Haris mengambil duit dari dalam dompet untuk membeli air.

Bagaimana dompet ini menjadi gergasi dan mahu memakan Haris? Ha..

Unsur suspens yang ada menambah keseronokan ketika bercerita ;)

Moral daripada cerita ini ialah kita perlu jujur dan amanah

Apa itu amanah? Amanah ialah bertanggungjawab terhadap apa-apa yang diberikan kepada kita untuk dijaga mahupun ditugaskan.

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia hendaklah menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Suran An-Nisaa' ayat 58)

Imam Ibnu Katsir di dalam tafsirnya mengatakan : Allah SWT memberitahu (dalam ayat ini) bahawa Dia memerintahkan untuk menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya. 

Dalam bercerita kepada anak-anak ambillah kesempatan menerapkan ketauhidan kepada Allah dan nilai-nilai murni. Mudah-mudahan menjadi asbab anak-anak ini mengambil pengajaran dan berakhlak mulia.

Wallahualam.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015