Sabtu, 25 Jun 2016

Aktiviti Ramadan : Bercerita Kisah Semut dengan Tikus


Satu hujung minggu, tiba-tiba saya teringin melukis dan mewarna. Sudah lama tidak buat aktiviti ini ;) Maka sementara anak-anak masih tidur, saya capai buku cerita mereka dan mula mencari cerita yang menarik. 

Alhamdulillah, bertemu dengan kisah "Semut dengan Tikus". Cerita ini ditulis dalam bentuk cerpen dan tiada gambar dalam buku tersebut kerana ia berkonsepkan 1 hari 1 cerita.

Saya lihat temanya bagus dan dapat dikaitkan dengan Surah Al-Maidah ayat 2 :

...........Dan tolong- menolonglah kamu dalam ( mengerjakan ) kebaikan dan takwa, dan jangan tolong- menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.(Surah Al-Maidah ayat 2 )

Bermulalah misi saya melukis dan mewarna. Sangat mengambil masa kerana saya memang tidak pandai mereka gambar. Adakalanya saya Google untuk mendapatkan imej yang menyerupai watak dalam cerita. Benar kan, kita ini hanya peniru sahaja. Allah jua yang Maha Hebat menjadikan sesuatu kejadian. Hatta mahu melukis semut pun kita terpaksa meniru kejadian Allah ini :)

Berja,-jam mahu melukis, saya berehat. Mewarna berhari-hari dan akhirnya saya laminate. Seorang rakan memberi idea supaya diletakkan dalam satu folder seperti lapbook dan boleh ajar anak rantai makanan. Masya Allah, tidak terfikir pula saya. Bagus, kan. Jika di sekolah rendah, topik rantai makanan ini diajar pada tahun 5.

Kisah Semut dengan Tikus ini seperti ini :


Pada suatu hari, Semut berjumpa sebatang tebu di atas rumput. Dia dan rakan-rakan mahu membawa balik makanan ini ke sarang. Disebabkan tebu itu berat dan saiz mereka yang kecil, mereka berehat kepenatan di sebatang pokok.

Lalu datanglah seekor tikus dan berkata, "Kamu buat apa di sini? Saya baru nampak seekor tenggiling tidak jauh dari sini." Terperanjatlah semut-semut dan mereka cepat-cepat menyembunyikan diri. Mereka takut dimakan tenggiling.

Selepas tenggiling pergi, tikus memberi isyarat bahawa keadaan sudah selamat. Semut mengucapkan terima kasih dan meneruskan perjalanan pulang ke sarang. Tidak lama kemudian, semut ternampak seekor kucing yang berjalan perlahan-lahan seperti mahu menerkam mangsa. Semut berasa hairan dan pergi melihat apa yang berlaku.

Alamak! Kucing itu mahu memakan tikus yang baik hati tadi. Dengan pantas, semut dan rakan-rakannya pergi menggigit kucing itu. Kucing menjerit kesakitan. Tikus yang baik hati itu tersedar dan melarikan diri.

Cerita ini bukan cerita saya. Saya olah sedikit dari buku yang saya perolehi itu. 

Gambar cerita seperti di bawah (versi hitam putih - belum diwarnakan ;))









Sesi bercerita ini sudah pun saya jalankan. Saya perhatikan anak kedua sangat fokus semasa mendengar cerita dan tidak lama selepas itu saya terdengar dia bercerita pada sepupu-sepupu yang lain. Hehe.. Berkesan..

Saya cuba perkenalkan rantai makanan ini kepada anak. Pada mulanya mereka agak kabur, lama-kelamaan ia menjadi aktiviti yang menyeronokkan. Insya Allah jika berkesempatan, akan berkongsi aktiviti berkaitan sains ini satu masa nanti.

Jom baca buku!


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015