Usai solat Isyak, anak-anak kelas mengaji menjamu selera sebelum pulang ke rumah. Memang saban minggu, setiap hari Khamis ada dermawan yang bersedekah makanan. Seingat saya sudah hampir 15 tahun keluarga dermawan ini secara konsisten memberi makanan. Subhanallah, moga Allah mengganjari kebaikan mereka sebaiknya.
Usrah remaja juga dapat dijalankan hari ini. Meskipun kehadiran sedikit, tetapi dimaklumi ada yang sudah berpindah ke sekolah berasrama, menghadiri kelas tiusyen, tidak sihat dan ada urusan keluarga. Malam ini kami berbincang tentang matlamat diri.
"Apakah matlamat hidup kamu?"
Soalan ini nampaknya sedikit sukar dijawab oleh adik-adik remaja ini. Mungkin terlalu banyak yang diingini dalam hidup atau mungkin ada yang tidak faham soalan atau ada yang tidak tahu kehendak dan matlamat diri. Namun, ada seorang menjawab "Ingin jadi anak yang solehah." Masya Allah!
Secara langsung, saya teringat soalan anak sendiri beberapa minggu lepas. "Abi, ummi nak kakak jadi apa?" Kami suami isteri sedikit terperanjat. Saya diam. Menanti jawapan suami. "Abi nak...... kakak jadi hamba Allah." Kakak bagai tidak puas hati, ditanya lagi. Suami tetap memberi jawapan yang sama sambil tersenyum. Saya? Diam-diam berfikir dan bermuhasabah......
Kenangan hadiah buku Kalimah Toyyibah I sempena tamat buku 8 Bacalah Anakku hampir 4 tahun lepas |
Selepas peristiwa itu, semasa menemani ibu mertua minum pagi, saya bercerita kisah kakak. Dan saya bertanya, "kalau mak, mak jawab apa?" Ibu mertua saya sebak. "Mak akan cakap mak mahu kamu jadi hamba Allah." Subhanallah. Sungguh, saya terdiam menahan sebak.
Ya, benar, Allah mengiktiraf seseorang sebagai hamba-Nya. Itu adalah anugerah buat insan yang mukmin. Jika Allah tidak menghiraukan kita, kita akan berbuat apa sahaja tanpa pedoman dan sudah pasti hanya berbuat sesuatu tanpa tujuan yang pasti. Sedangkan seorang hamba Allah ini dipandu sebaiknya oleh Allah ke jalan yang lurus dan sudah pastilah kita harus selalu berdoa kepada Allah supaya memimpin kita ke jalan yang benar. Begitulah yang terkandung dalam surah Al-Fatihah yang kita wajib baca dalam solat.
Saya yakin soalan anak beberapa hari lalu itu bukan sengaja dituturkan. Sebaliknya, ingatan dan tarbiah daripada Allah untuk saya lebih bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada-Nya. Allahu akbar.
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan