Sabtu, 21 Oktober 2017

Majlis Khatam Al-Quran dalam ingatan

Terjumpa gambar lama dalam simpanan. Senyum sendiri mengingat kenangan lebih 20 tahun lalu. Ini ialah gambar sempena majlis khatam Quran di tempat mengaji saya. Ramai, kan?




Nostalgia sungguh bila dikenang.

Dulu, kami adik-beradik belajar mengaji di rumah seorang ustazah. Kelas mengajinya ada setiap hari bermula selepas Maghrib. Saya tidak pasti berapa bilangannya namun bilangan murid beliau mencecah seratus lebih untuk satu malam.

Dan kelasnya percuma. Masya Allah. Sungguhpun beliau garang tapi alhamdulillah kebanyakannya tekun mengaji sehingga tamat juzuk 30.

Ruang mengaji di rumahnya bertambah besar dari tahun ke tahun.

Mengaji al-Quran setiap Isnin hingga Ahad dengan diselang-seli bacaan Yasin pada hari Khamis malam Jumaat dan kelas fardu Ain pada setiap pagi hari Sabtu dan Ahad di masjid.

Saya selalu berjaga-jaga kerana takut terlepas kelas. Maklumlah, cuti hujung minggu. Bimbang terlajak tidur. Tapi emak dan nenek tidak pernah terlupa mengejutkan saya. Waktu itu saya akan ke kelas dengan beberapa orang kakak yang tinggal berhampiran dengan rumah.

Sesekali guru mengaji saya akan mengadakan pertandingan hafazan, kuiz - bacaan doa yang sudah dihafaz, amali solat, belajar bahasa Arab, belajar menulis jawi, melawat ke sana sini, pergi baca Yasin di rumah orang, mengikuti kuliah agama di masjid, universiti atau sebagai jemputan di tempat terpilih, menyertai perarakan Maulidur Rasul dan sebagainya.

Banyak betul aktivitinya. Zaman kanak-kanak sungguh seronok dengan aktiviti sebegini. 

Saya mula belajar mengaji dengan guru ini ketika darjah 1. Walaupun telah khatam beberapa tahun selepasnya, saya masih mengaji sehingga darjah 6. Selepas itu, hanya teruskan berziarah ketika hari raya.

Ada satu peristiwa lucu menjelang majlis khatam Quran ini.

Ustazah berpesan kepada kami yang khatam quran, seeloknya berpuasa sunatlah sebelum majlis. Ambil pahala berpuasa sunat dan berdoa moga Allah berkati.

Saya peserta termuda tahun itu cuba juga berpuasa. Maklumlah tak biasa berpuasa selain bulan ramadan sahaja, saya demam pada hari saya berpuasa. Aduhai, jadi 'bahan' pula waktu itu. Hehe.

Saya masih ingat, ibu peserta khatam akan duduk dihadapan anak masing-masing semasa majlis berlangsung. Kami akan baca bergilir-gilir.

Rasa macam 'artis' tau. Sebab duduk sebaris di hadapan masjid. Hadirin ramai sangat sehingga melimpah ke luar dewan solat, mengigil pegang mikrofon untuk mengaji tapi rasa bangga sebab baca Quran depan mak (dan ayah) sendiri dalam suasana begitu.

Setiap orang wajib buat bunga telur pahar, pulut kuning dan berpakaian putih. Auranya sungguh lain. Seronok. Kami diarak dari rumah ustazah ke masjid dengan paluan kompang dan ahli keluarga serta kawan-kawan mengaji. Macam pengantinlah.

Masya Allah. Tabarakallah. Maaflah panjang pula coretan hari ini.


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015