Selasa, 31 Januari 2023

Aieesyah buat apa hari ini

Dalam kesibukan umi abi mengejar masa menyiapkan tugasan sekolah, ada anak-anak riang ribena yang hoora hooreyy bermain di halaman rumah terutamanya si bongsu.

Aieesyah Buat Apa Hari Ini?


Pantang pintu terbuka terus laju menuju halaman rumah. Laman hadapan memang bersimen sejak dahulu memudahkan aktiviti, maka seronoklah dia berjalan ke sana sini. Adakala sampai menuruni bukit! Memang bahaya sebab jalan kampung sibuk dengan kenderaan lalu-lalang. Allah, berderau darah.

Dalam tak sedar, dia boleh bermain rumput dan makan batu dan pasir yang ada. Tahu-tahu mulut sudah comot dengan kesan pasir. Huhu. Ini nak lawan Aman agaknya. Aman semasa kecil suka sangat makan habuk kayu. Pernah dia duduk di depan pokok di rumah nek ummi, makan sampai licin habuk kayu pada batang pokok bunga tu. Huwaa..

Bila diletak di dalam rumah, jadi Dora The Explorer pula. Habis diselongkar tisu dalam bilik abang, keluarkan buku dari rak, memanjat katil dua tingkat kakak dan makan susu pekat manis di dapur. Sudah pasti dia memanjat kerusi dan mengambil bekas tin susu di situ. Ya rabbi anak ini.

Sebenarnya Aieesyah, Ahla dan Aman tak sihat seminggu ini. Tapi aktifnya ya ampun. Haha. Sudah dua kali ke klinik. Hari ni kerana mata mereka semua mengeluarkan tahi mata yang banyak. Orang tua dulu-dulu kata panas dalam. Tapi doktor khabarkan ini ialah sakit mata tapi tidak serius. Mata mereka masih putih dan tiada timbul kemerahan. Diberi ubat titik dan paracetamol. Harapnya semua sihat segeralah. 

Umi abi tak dapat nak cuti. Kami pun cuti sakit.
Doakan kami sekeluarga ya. Semoga urusan kalian juga dipermudah.

Aina Dayana Hilmi,
31 Januari 2023.

Isnin, 23 Januari 2023

Ulasan buku : Bedar Tanpa Laut


 Ada dua situasi dipisahkan dalam buku ini namun terangkum berselang-seli. Satu, kisah pak timbal pembuat bedar. Suatu kisah yang membawa kita ke zaman silam, zaman ulung orang Melayu dengan segala kesenian dan kegagahan menghasilkan produk dari kayu dan kreatif membuat senjata.

Satu lagi kisah yang mengambil tempat di zaman ini. Betapa masih ada orang yang memiliki rasa tanggungjawab mengembalikan khazanah Melayu ke tanah asalnya meskipun orang itu bukanlah dari leluhur Semenanjung Tanah Melayu. Aneh, bukan? Sejarah tetap ada kelompok peminatnya malah pengkaji tegar yang konsisten menggali sumber asalnya.

Diperlihatkan bahawa banyak tangan tersembunyi yang mahukan sejarah yang salah ditulis ini kekal menjadi kepercayaan generasi kemudian. Bukan calang-calang cabaran para pengkaji sejarah ingin membetulkan salah faham itu.

Melalui buku ini, Pak Timbal dipujuk membantu Datuk menteri di Larut membina sebuah bedar perut labuh di saat situasi semakin meruncing dengan bunga-bunga peperangan. Saya melihat dengan kagum akan ketelitian dan firasat yang Allah anugerahkan kepada para tukang ini dalam membina bedar.

Waktu itu bukan ada jurutera, arkitek dan seumpamanya untuk membina sebuah kapal besar. Namun dengan perkiraan nisbah menghasilkan ukuran yang tepat sesuai dengan bilangan keluasan yang diinginkan. Bagaimana mereka memilih, kayu, bahan binaan serta kerjasama menghasilkan yang terbaik membuatkan ia suatu usaha yang mengagumkan.

Tidak mustahil ianya berlaku juga kepada orang lain. Keindahan seni bangsa Melayu terbukti pada ukiran yang halus dan mengandungi mesej yang berlapis. Sayang sekali, apabila khianat merajai hati, berlaku kemalangan demi kemalangan sehingga bedar itu tidak sempurna mengikut perancangan. Malah, ia terkubur terus bersama 'mastermind' bedar.

Manakala usaha Naufal dan Omar dari Yayasan Warisan menggali maklumat tentang senjata hebat orang Melayu tidak menemui kejayaan. Malah, kecewanya Naufal untuk mencari bukti keturunan Tun Fatimah di Lisbon menemui jalan mati dek kerana kematian Madam Noir. Siapakah beliau? Sungguhpun beliau mengaku bahawa beliau penduduk asal Portugal tetapi Naufal yakin matanya yang cantik itu ialah mata Melayu. Ia dikuatkan dengan lembaran catatan lama dalam tulisan jawi dalam simpanan beliau.

Kemudiannya, penemuan ukiran pada tiang rumah lama di Sungai Sepetang seolah membuka lembaran baru bagi kajian mereka. Sungguh, para sejarawan tidak akan lelah berhenti mencari kebenaran, bukan?


P/s : Boleh dapatkan buku ini dari ITBM. Saya beli dengan Pn Zalila Isa, salah seorang editor di sana.


Buku ke-10/2023


Aina Dayana Hilmi,

23 Januari 2023

Sabtu, 21 Januari 2023

Rumah Seribu Buku

 Satu untuk kenangan.

Hasrat berkunjung ke rumah buku Jejak Tarbiah telah lama tersimpan sejak Kertas-kertas yang Merubah Fikir terbit tahun 2018. Sebuah buku tentang pengalaman awal pembaca, kenangan mereka dengan buku semasa kecil sehingga kini masih terus menggemari buku. 24 buah kisah yang sangat menarik dan mungkin membangkitkan semula memori anda semasa kecil.

Ia kisah merentasi zaman dan fasa usia dalam kehidupan. Waktu kecil yang seronok bergelumang dengan bahan bacaan tanpa memikirkan sangat masalah harian membuatkan semangat membaca selalu menggebu. Anda harus dapatkan buku ini. Kini KYMF sudah tersedia dalam edisi kemas kini (2021) dan sudah masuk cetakan ketiga (jika tidak silap).

Bersama Kak Ani 


Berbalik kepada rumah buku JT. Apabila terlihat poster mereka membuat karnival pembukaan JT, peluang ini tidak harus dilepaskan. Memandangkan pesta buku JT bulan Februari nanti tidak dapat saya hadiri, maka kali ini mesti pergi juga. Yang paling seronok sudah pasti anak-anak. Bermalam di rumah inap berhampiran lengkap dengan kolam renang sudah memenuhi kegembiraan mereka.

Sampai di JT sudah melebihi pukul 11 pagi, tenang dan lengang. Ada dua orang staf menyambut, selain Kak Ani (salah seorang penulis KYMF) dan dua orang tetamu yang sedang tenggelam dalam lautan buku mereka. Anak kata, "Ni buku umi!" Ya, ada di rak bersebelahan ruang santai JT. 

Tempat yang luas dan selesa. Anak-anak main sebentar di ruang diskusi sebelah kanan sementara uminya mencari buku. Tak sedar sudah sejam sebelum terdengar satu suara menyapa dari belakang. Tak sangka bertemu Pn Saadiah kerana beliau ada mesyuarat sebelum itu. Disebabkan mahu mengejar waktu solat Jumaat, maka dapat berbual ringkas dengan ragam 6 orang anak yang mula menunjukkan tanda tantrum. Minta maaf puan jika nampak kelam-kabut. Haha.




Barisan buku Tere Liye 


Dahulu buku yang saya pegang dikenal sebagai serial anak mamak dan mengandungi empat tajuk. Kini sudah ada beberapa tambahan tajuk baharu menjadikan kesemuanya ada 7 buah dalam siri ini.

Tawaran harga 

✔️Diskaun 50% untuk buku terpilih (antaranya buku Habiburrahman el-Shirazi dan HAMKA)

✔️Diskaun 25% untuk buku keluaran JT

✔️Diskaun 15% untuk buku selain JT

✔️RM10 sebuah untuk buku Jemari Seni. 

✔️Dan ada diskaun 20% untuk buku JS terpilih.

✔️Buku percuma untuk dipilih

Waah, berbaloi amat!


Anak-anak membeli penanda buku dan buku nota memandangkan komik tiada stok. Buku Hilal Asyraf pun tinggal sebuah di rak iaitu Hikayat Satria-satria Sejati 1. Anak-anak mencari Siri Gelombang Baru dan Takdir. Tak mengapa ada rezeki boleh beli nanti.


Apa yang kami beli?

Macam balas dendam pula sebab dah lama tak membeli dalam kuantiti yang banyak. Haha.

Tertegun melihat deretan buku Tere Liye. Namun, saya sedar diri, stamina membaca saya sudah menurun. Dahulu sebuah buku sehari boleh habis baca. Sekarang boleh jadi berminggu-minggu untuk habiskan sebuah buku. Maka, inilah yang berjaya dibawa pulang :

1. Ikhlas oleh Rumah Ripta

2. Yang Paling Patah Antara Kita (katanya novel laris)

3. Leaving Microsoft To Change The World (edisi terjemahan Bahasa Melayu)

4. Murabbi Cinta (kawan punya)

5. Seperti Air yang Mengalir oleh Ust Pahrol Mohamad Juoi

6. Bidadari Bermata Bening oleh Habiburrahman el-Shirazy

7. Si Anak Savana oleh Tere Liye

8. Merchandise : sampul raya JT



Buku anak-anak :


1. Alhamdulillah (Omar Hana)

2. Kiki dan Semut (Didi & Friends) ---> [tercicir di JT]

3. Super Squad

4. Buku nota

5. Penanda buku

6. Pen

Pulang dari JT, singgah menziarahi adik di Damansara. Aduhai, merasalah kami melalui kesesakan jalan raya sepanjang highway. Maklumlah hari pertama cuti sekolah dan orang mahu menyambut tahun baru cina. Tengah malam baru bergerak pulang ke Melaka. 



Terima kasih suami, anak-anak ikutkan kehendak umi dan ipar yang membantu menjaga mertua sementara kami bermusafir.


Tahniah Pn Saadiah dan tim JT. Semoga terus maju dan cemerlang!


Aina Dayana Hilmi

21 Januari 2023

Khamis, 12 Januari 2023

Misi Bekal Ummi

 Misi yang saban tahun pasti jadi azam. Cuma kekangan dan kelemahan diri sendiri menjadikan azam ini turun naik. Setakat dua minggu persekolahan ini masih cemerlang lagi tahapnya. Harap berkekalan hingga akhir sesi akademik ini.


Persiapan

Hari Jumaat ialah hari saya menulis rancangan menu untuk minggu berikutnya. Saya senaraikan cadangan sarapan dan makan tengahari. Kemudian barulah saya senaraikan barang dapur yang perlu dibeli. Hari Sabtu merupakan hari yang seronok membeli-belah di pasar. Haha.

Kita boleh perasan kenaikan harga barang setiap minggu. Nanti mulalah termenung depan sayur-mayur dan ikan tu sambil mencongak bajet atau adjust semula menu. Eheh, biasa buat? Begitulah. 


 Menu sarapan

                  


Menu tengahari


Ada hari tak dapat buat juga. Tapi sekurang-kurangnya sudah bersedia dengan menu. Oh, pagi-pagi memang tak sempat nak ambil gambar bekal. Ini pun dah sub kerja buat air dan setup meja kepada anak-anak. Perlahan-lahan lepas ini nak bahagi tugas menyediakan sarapan pula. Insya-Allah.

Atas meja perlu susun 6 bekas makanan mewakili saya dan suami, tiga orang anak yang bersekolah rendah dan bayi. Lagi dua orang tak perlu dibekalkan makanan. Air minuman juga isi sendiri dan kalau boleh sudah siap diletak pada beg sekolah masing-masing. Keluarga besar, perlu fikir tip and trick untuk optimumkan masa bersiap waktu pagi. Kalau tidak, umi stres. Hiks.

Jauh dari sempurna. Ini pun selalu orang komen. Entahlah, kita jalan terus dan cuba baiki diri, kan?

Jumpa lagi.

Minggu kedua Januari

 Alhamdulillah Allah izinkan bertemu tahun yang baharu. Ada banyak peristiwa menarik berlaku sepanjang 12 hari ini. Dari sudut kesihatan, kerjaya, pencapaian peribadi dan lain-lain.

Minggu pertama sudah diuji dengan sesak nafas. Tapi saya akui saya tidak menjaga makan minum dengan baik pada minggu akhir Disember. Kesannya dirasai pada hari ketiga bekerja.

Malang sekali saya telah didiagnosis menghidap darah tinggi. Satu penyakit yang saya tak mahu bertandang tetapi sudah pun diberi ubat. Terpaksalah konsisten memakannya. Dan berjujuklah tarikh temu janji klinik kesihatan selepas ini. 

Dari sudut kerjaya, kami masih dalam sistem akademik sesi 2022 / 2023. Cuti lepas sempat saya siapkan modul asas untuk mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) Tahun 2 dan 5. Semoga ia membantu anak-anak ini catch up dengan silibus sebelum tahun 2 dan 5 berakhir.

Ada beberapa orang rakan guru yang bertukar sekolah. Antaranya Ustaz Aziz ke SRA Jaim Kg Tun Razak, Kak Wana ke TUNSAS dan Kak Shazlin ke SK Batang Melaka. Semoga dipermudah urusan mereka dan dimurahkan rezeki di tempat baharu. 

Hasil paksaan rakan guru, saya turutkan juga memasuki pertandingan inovasi sedangkan diri tidak begitu bersedia. Dapat pula guru besar dan rakan sekerja yang menyokong, maka marilah tidak menghampakan hasrat orang. Minggu hadapan adanya pembentangan demi pembentangan berserta tanggungjawab berkaitan pertandingan ini. Jadi, doakan saya ya.

Kelas mengaji sudah bermula pada 3 Januari dan ada dua orang tenaga pengajar setakat ini. Seorang mengajar bermula 5.00 hingga 6.00 petang dan saya 6.00 - 7.00 malam. Tapi saya biasanya akan hadir juga pukul 5.30 petang. Bimbang murid akan pulang lewat selepas maghrib. 



Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015