Memaparkan catatan dengan label Keibubapaan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Keibubapaan. Papar semua catatan

Sabtu, 4 Februari 2023

Ulasan Buku : Senarai Semak & Aktiviti Rangsangan Pengurusan Diri


Bacaan pemula bulan Februari dengan buku bertema pendidikan khas. Beli di PBAKL 2022 melalui personal shopper Cik Siti Rahmah.

Sebagai seorang guru pendidikan khas, saya gembira buku seumpama ini telah terbit untuk panduan ibu bapa dan kami. Secara jujurnya, menjadi guru kepada anak-anak ketidakupayaan mendorong diri sendiri untuk bersyukur dan berusaha membantu mereka sebaiknya.

Pengetahuan dari buku ini boleh diaplikasikan kepada anak tipikal dan menjadikan ibu bapa lebih peka dan membantu anak-anak. Isi kandungannya dihiasi dengan ilustrasi yang comel malah ada dinyatakan di awal buku yang anak digalakkan mewarna gambar kerana ia dilukis secara hitam putih.


Saya sukakan buku ini kerana :

- Memberi kesedaran bahawa pengurusan diri merupakan kemahiran penting di awal perkembangan anak-anak.

- Mengurus diri bukan sahaja merapikan diri tetapi merangsang anak mempelajari kosa kata yang berkaitan serta ada kesan kepada akademik mereka kemudiannya.

- Terdapat 3 bahagian tersedia bagi setiap unit kecil seperti persediaan, semasa dan selepas. Misalnya, persediaan mandi, semasa mandi dan selepas mandi. Saya kira ini seperti social story di mana anak-anak mengetahui langkah demi langkah dalam sesuatu aktiviti.

- Ada bank kosa kata. Wah! Sangat membantu dalam mengajar anak-anak.


Terima kasih kepada penulis dan tim yang berusaha melahirkan buku seumpama ini. Ini kali kedua saya membaca buku dari OT Aisyah. Sebelum ini pernah membaca Target Lima yang dipinjamkan oleh seorang rakan.


Akan cari buku beliau yang lain. Insya-Allah.


Buku 17/2023


Aina Dayana Hilmi,

4 Februari 2023.

Jumaat, 22 Mac 2019

Ruam Lampin dan Cara Mengatasi

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 


Kulit bayi halus dan lembut. Oleh itu, penggunaan lampin pakai buang haruslah kerap. Kebiasaannya antara 5 ke 8 kali dalam sehari.

Punca ruam lampin

Lampin yang tidak ditukar dalam jangka masa lama akan menyebabkan kulit bayi alah dengan bahan ammonia di dalam air kencing.

Boleh jadi bayi menggaru kerana gatal dan bertindak balas terhadap lampin yang baru dipakai. Sama ada kurang sesuai dengannya menyebabkan bayi tidak selesa.

Ibu ayah harus pertimbangkan juga kesan pemakanan, penggunaan mandian bayi, pengambilan antibiotik atau ubatan lain serta pemakaian lampin yang terlalu ketat.

Kulit bayi akan kemerahan, sensitif dan kadang-kadang timbul bintik-bintik di celah kemaluan, peha dan punggung.

Cara mengatasi

» Pastikan lampin ditukar kerap.
» Disyorkan membasuh punggung bayi dengan air bersih (boleh gunakan spray), tisu pelembap (pastikan baca kandungannya dahulu) atau sabun yang selamat untuk bayi.
» Lap dengan kain bersih, biarkan bayi seketika tanpa lampin untuk keringkan kulitnya dan beri udara segar.
» Sapu krim yang dicadangkan oleh doktor jika teruk.
» Jangan pakai lampin terlalu ketat.

Semoga bayi anda ceria dan sihat selalu.

Aina Dayana Hilmi
www.wasap.my/60133613516
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 19 Mac 2019

6 Jenis Sayuran Yang Digalakkan Semasa Berpantang


Sumber gambar : pixabay.con

Waktu berpantang ialah waktu mummy berehat dari kepenatan mengandung dan kelelahan melahirkan bayi :-) Jadi, makanan adalah satu perkara yang patut diambil berat supaya badan sihat dan kekal cergas.

Teruskan dengan ubat yang diberi oleh doktor jika ada dan vitamin tambahan setelah mendapat kebenaran dam nasihat doktor.

Elok makan sayur segar masa dalam pantang, kan? Ada beberapa jenis yang disyorkan seperti :

1. Lobak merah, peria katak, pegaga dan ulam raja.
- Ia kaya dengan antioksidan, vitamin dan mineral.

2. Bawang putih dan halia.
- Kedua-dua bahan ni memang boleh membantu sistem penghadaman. Ada juga petua melangsingkan badan. (Saya suka makan ikan goreng halia. Letak kicap sikit  🤗)

3. Bawang besar
- Dikatakan membantu dalaman tubuh membersihkan usus.

4. Kunyit
- Mempercepatkan penyembuhan luka dan membersihkan dalaman wanita.

5. Brokoli
- Kandungan serat yang tinggi dalam sayur ini berguna untuk proses penghadaman terutama ketika berpantang.

6. Sawi, lobak putih dan jantung pisang.
- Ini memang sinonim dengan amalan penyusuan susu ibu. Jika diambil dalam jumlah yang tepat ia membantu proses penghasilan dan pengeluaran susu ibu.

* Isi disesuaikan dari Majalah PaMa keluaran Ogos 2018.

Selamat berpantang dan semoga cepat sembuh 🤗

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 15 Mac 2019

5 Tip Potong Kuku Bayi


Alhamdulillah, bertemu hari Jumaat - penghulu segala hari. Hari ini ada banyak sunnah yang boleh dibuat, kan? Antaranya memotong kuku.

Bagi ibu ayah yang pertama kali ada baby, perasan tak kadang-kadang kuku baby cepat panjang? Timbul pula perasaan cuak nak memotong kuku baby kan? ;)

Jari halus, mungil ini sentiasa sahaja bergerak-gerak bila kita nak potong. Huhu. Seram pula jika terketip isinya.

Tak adalah peraturan khusus bila boleh potong kuku baby. Hanya bila kita nampak muka baby dah mula calar terkena kukunya barulah sebahagian kita ambil keputusam merapilan kuku baby :-)

Ok, tip biasa dari ummi :

» pilih ketip kuku yang sesuai untuk bayi
» potong selepas bayi mandi
» potong kuku tangan lebih kurang seminggu sekali dan kuku kaki sebulan sekali

Panduan Memotong Kuku Bayi

1. Sentuh jari bayi supaya menimbulkan keselesaan pada bayi dan moodnya dalam keadaan baik.

2. Waktu yang sesuai.
Masa yang dipilih ialah selepas mandi sebab waktu ini kukunya masih lembut. Hati-hati memotong.

3. Potong kuku.
Ikut sunnah. Mulakan memotong dari kanak membawa ke kiri. Ketika potong, pegang tangan bayi, arahkan jemari tangannya ke hadapan untuk mengelak daripada terkena ketip kuku atau gunting.

Tahan perlahan buku jarinya agar kukunya mengarah ke atas.

4. Gunting
Gunakan yang tajam dan mempunyai hujung yang bundar serta selesa apabila digunakan. Jangan potong terlalu dekat dengan isi jari baby bimbang tercedera.

5. Basuh atau lap tangan dan kaki.
Gunakan air bersih untuk hilangkan kekotoran.

Disesuaikan dari Majalah PaMa Bulan Januari 2019.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 14 Mac 2019

Mendidik tanpa marah



Semalam baru tertinggi suara dengan anak apabila buat kesekian kalinya mereka makan dalam bilik.

"Makan di dapur!"

Berlari-lari anak si kecil dua orang ini. Seorang berumur 2 tahun, seorang lagi berumur 4 tahun.

Pagi ini terbaca hadis ini :

Dari Umar bin Abu Salamah berkata : Pada suatu ketika, saya adalah seorang anak yang berada di bawah jagaan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam dan tanganku memegang berbagai penjuru ketika makan.

Lalu Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam bersabda kepadaku : Wahai anak, bacalah basmallah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah dari apa-apa yang dekat denganmu. (Hadis riwayat Muslim).

Pap, rasa tertampar! Rasulullah menunjukkan cara tanpa marah pun. Malah menerangkan dengan jelas kepada anak kecil itu.

Satu catatan muhasabah buat ummi. Bila dikenang semula, anak kecil ummi ni mesti mahukan ummi teman mereka di dapur semasa mereka makan. Walaupun mereka makan biskut sahaja. 

Mereka memang maklum, makan hanya di dapur. Bukan di kawasan lain dalam rumah. Jika ummi ada di dapur, mereka tertib sahaja makan tanpa sepah.

A beautiful reminder for me this morning. Allahuakbar.

#betterummi
#bilaummiambilcuti

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 24 Februari 2019

Buku Latihan 1000 Soalan Matematik Asas

Kemahiran asas matematik sangat perlu dikuasai oleh anak-anak. Lagi-lagi kemahiran mencongak.

Saya agak risau dengan perkembangan sebahagian anak-anak kelas mengaji yang rata-ratanya tidak minat matematik. Semudah sifir 7 x 5 pun tidak mampu dijawab terus!

Adakah sebab motivasi, silibus, sikap atau selainnya? Jika ditanya soalan tambah tolak dua angka pun mereka perlu masa untuk menjawab. Hmm..

Wahai anak, semoga kamu minat dalam apa jua pelajaram yang kamu tekuni. 

Bertitik tolak daripada peristiwa ini, saya fikir pendedahan kepada anak-anak sendiri perlu dimulakan dari awal.

Santai-santai beri soalan mudah merangkumi tambah dan tolak. Selalu beri latih tubi dan beri peluang anak mengira jumlah duit yang perlu dibayar ketika membeli di kedai.

Jika ibu ayah rajin, buatkan sendiri koleksi soalan spontan untuk anak jawab. Ada rakan saya memberitahu, semasa dia kecil dahulu, setiap hari pulang dari sekolah, ibu ayah akan berikan 100 soalan latihan untuk dibuat. Maka dia memang tidak mempunyai masa untuk leka menonton televisyen sebab sudah ada rutin seperti ini. 

Apabila buku 1000 soalan latih tubi ini dijual, saya tak lepaskan peluang untuk beli untuk anak-anak :-) RM4.90 sebuah merangkumi 4 asas kemahiran matematik : tambah, tolak, darab dan bahagi.


Antara kandungan buku :


Bukunya nipis. Ada 66 muka surat. Berbaloi kongsi dengan kawan-kawan untuk beli buku ini. Kos pos 10 naskah buku masih RM10. 


Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 3 Februari 2019

Pelan Rancangan Pembelajaran Anak minggu ini


Tahun ini, ada dua orang anak yang perlu saya santuni di rumah. Setiap hari bangun pagi akan bertanya, ummi kita nak belajar apa hari ini?

Ummi senyum sahaja.

Seorang berusia 4 tahun lebih, dan seorang lagi 2 tahun lebih.

Melihat kepada usia mereka, ada beberapa perkara yang boleh dibuat.

Pertama, mengajarkan adab dan akhlak.

Kedua, melatih kemahiran motor halus dan motor kasar.

Ketiga, memperdengarkan bacaan ayat Al-Quran.

Semalam hari Sabtu. Anak pengasuh melangsungkan perkahwinan. Jadi ummi bagi peluang pada semua anak berlibur sehari. Memang sungguh-sungguh mereka bermain.

Cadangan pelan pembelajaran anak-anak minggu ini (3 - 10 Februari) :

Adab : mengucapkan terima kasih, sama-sama dan minta maaf.

Hadis : Perkataan yang baik adalah sedekah.

Doa :

- Doa pakai baju baru.
- Doa buka pakaian.
- Doa meletak pakaian.

Lapbook : Sunnah Memakai Pakaian.

Seni : Origami baju

Menulis : tracing huruf ha (gambar hadiah)

Read aloud :

1. Kalimah Toyyibah Ana Muslim
2. Hadis untuk kanak-kanak
3. Hari Jadi Sara

Tapi buku ini biasanya akan berubah-ubah. Ikut pilihan anak setiap hari.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 29 Disember 2018

Apabila anak tak acuh


Perjalanan menjadi ibu bapa tidak mudah. Abaikan kata-kata membawang orang. Nanti kita pula tekanan. Ho ho.

Menjadi ibu bapa tak semua indah mengikut kehendak kita. Apa yang berlaku pasti ada sesuatu untuk kita amati, pelajari dan insafi. Betul?

Hari ini anak-anak meragam lain macam. Saya akui, lama bercuti, rutin agak terganggu. Mereka banyak menonton televisyen dan bermain tak kira masa sehingga apabila kita cakap mereka buat endah tak endah.

Akhirnya buat kesekian kali, saya mengeluh sendirian. Lemahnya diri sebagai ibu.

Petang tadi, dalam perjalanan ke suatu tempat, saya ajak anak-anak baca zikir petang. Dua, tiga kali ajak mereka sangat asyik berborak sehingga suara saya kuat sedikit.

Anak-anak mungkin tersedar dan ikut baca sekali. Tetapi dalam nada terpaksa.

Lantas terus ditegur oleh abi mereka. Zapp..senyap sunyi semua.

"Kakak abang baca ayat apa tu? Ayat quran tu datang dari siapa? Allah kan. Abi diam je bila ummi ajak kamu baca sebab abi nak lihat kakak abang peka atau tidak dengan rutin.

Nampaknya dah mula acuh tak acuh. Ayat quran ni bukan ummi abi suruh baca, tapi Allah. Bila kita baca, kita dapat pahala. Kalau baca kerana abi ummi, kita tak dapatlah pahala. Apa-apa kita buat mesti kerana Allah."

Gitulah. Kena sabar sesabarnya walaupun ummi ni kadang hilang sabar juga. Mujur abi tenang orangnya.

Khamis, 27 Disember 2018

Rutin 24 Jam. Bagaimana menggunakan masa dengan baik.


Dua, tiga hari ini terfikir anak-anak mengaji (aih, anak sendiri ada fikir anak orang pula. Heee).

Ramai antara mereka akan naik ke tingkatan 1 dan 4 tahun hadapan. Jadi saya bertanya-tanya khabar mereka ke sekolah mana. Result mereka saya tidak bertanya lanjut. Yang lepas, lepaslah :-)

Bertemu 10-20 orang lagi anak mengaji. Cuti ni buat apa? 

Tolong mak.
Jaga adik.
Main.
Tengok tv.
Bekerja.

Ada pula yang menjawab : tak sentuh langsung buku pelajaran kak yana.

Gulp. Telan air liur sahaja cikgu ni dengar. [Oh ya ada anak murid mengaji masih panggil saya kakak. Walhal emak mereka pun ada yang lebih tua dari saya. Aish budak-budak ni. Patutnya panggil makcik @ cikgu]

Dalam hal ini saya sentiasa ingat pesan Abdullah bin Abbas, seorang sahabat baginda sollallahu alaihi wasallam pernah berkata : Tidaklah Allah memberikan ilmu kepada seseorang melainkan pada masa mudanya. Seluruh kebaikan dimiliki oleh para pemuda.

Saya mengambil sedutan inspirasi dari karya Dr Umar Muhammad Noor dari bukunya Ikon Syabab tentang cadangan mengatur masa dengan tepat :

1) Membaca
- Masa yang paling tepat untuk menghafaz ialah sebelum maghrib dan sebelum subuh.

2) Riadah
- Masa terbaik beriadah ialah selepas subuh dan asar.

3) Membaca berita
- Peka dengan perkembangan semasa kerana diri kita harus menjadi agen perubahan untuk memperbaiki masyarakat. Masa yang sesuai ialah ketika rehat untuk makan siang atau makan malam.

4) Beribadah
- Masa terbaik ialah pada waktu tengah malam apabila semua orang masih tidur.

5) Bergaul dengan manusia
- bertujuan melatih kepakaran berkomunikasi dan sikap empati. Luangkan masa beberapa jam pada waktu tengah hari menyantuni orang.

6) Berhibur [dengan perkara halal] seperti menonton cerita, bersiar-siar atau melakukan hobi.

Wallahualam.

Selamat kembali ke sekolah, anak-anak.

#bilaummiambilcuti
#diaricikgukelasmengaji

Rabu, 26 Disember 2018

Humazah dan Lumazah


Malam semalam, kami sekeluarga dapat mengikuti kukiah maghrib di sebuah masjid di Jasin, Melaka. Ustaz membicarakan tafsir Surah Al-Humazah ayat 1 hingga 3.

Namun, saya tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kerana awal-awal lagi anak-anak sudah buat drama. Allah Ya allah teruji kesabaran apabila ada yang menangis sekuat hati. Istighfar..istighfar..

Pulang dari kuliah, kami bertanya refleksi daripada anak-anak. Ada yang boleh jawab ada yang diam. Yalah, masing-masing sibuk melukis sahaja.

Kebetulan, mereka bergaduh tempat duduk di dalam kereta. Dan ada yang bergurau kasar. Riuh keadaan dalam kereta. Suami saya masih diam memandu. Nampaknya sayalah kena main peranan.

+ Anak-anak tadi kita dengar tafsir surah apa?

- Al-Humazah.

+ Alhamdulillah. Dengar tak ustaz sebut pasal Humazah dan Lumazah? 

+ Baik ke tak baik?

+ Tau tak humazah tu maknanya orang yang suka mengumpat dan menabur fitnah merata-rata tempat.

+ Lumazah pula maksudnya orang yang mencela diri sendiri dan memanggil orang dengan nama ejekan.

+ Kamu suka ke orang ejek kamu?

- Takkkk. Panjang jawapannya.

+ Ha, tadi kakak punya nada suara macam tu boleh jadi ejekan pada adik. Sebab tu adik menangis dan marah. Itu dikira Lumazah. Kita nak jadi orang yang baik ke Lumazah?

+ Macam tu juga bila di sekolah. Jangan ejek orang, jangan ketawakan orang walaupun benda itu betul tapi orang tu tak suka. Misalnya, abang ngah cakap dengan kawan : eh, dia tu gemuk kan? Abang ngah rasa kawan yang gemuk tu suka tak abang ngah cakap gitu?

- Tak, ummi. Tapi ummi kalau orang ejek abang ngah?

+ Ada 3 perkara abang ngah boleh buat (kata abi). Nasihat kawan tu cakap perkataan yang baik adalah sedekah, kedua beritahu cikgu atau ketiga abang ngah diam.

Ummi pula menyampuk, abang ngah kalau ada orang buli, minta duit atau pukul abang ngah, mesti beritahu tau. Jangan simpan.

Anak-anak mengangguk.

Haih, yang benarnya ummi dan abi berdebar anak nak masuk sekolah. Macam-macam benda nak pesan. Moga Allah jaga. Doa dan doa.

Jumaat, 28 September 2018

Tip melancong

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْم    


Diambil dan disesuaikan dari Majalah Anis keluaran Disember 2012 (muka surat 19).

Bermusafir memang melelahkan. Kadang-kala dengan kepenatan itu kita terabai perkara yang lebih wajib.

Sebelum bermusafir eloklah sediakan kelengkapan solat dengan baik.

- Bawa telekung
- Kain pelikat bagi lelaki
- Bawa Quran dan Iqra' anak-anak
- Sejadah mini
- Tuala kecil
- Stokin dan sarung lengan (handsock)

Dan peralatan lain yang dikira sesuai.

Biarlah kita bermusafir / melancong dalam keredhaan Allah 💕

Ummi Aina

Jumaat, 14 September 2018

"To empower kids, you must LOVE them"


Sumber gambar : Facebook Little 'Ilmy


Baru sahaja dibincangkan dalam WhatsApp group alumni sebuah program Quranic Parenting tentang hukuman dan ganjaran dalam mendidik anak-anak.

Dalam hal ini, saya terkesan dengan kata-kata Pn Mardhiah. Katanya Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam tidak menekankan kepada hukuman semasa mendidik anak-anak.

Serentak itu saya terkenang buku Prophetic Parenting terjemahan bahasa Melayu Malaysia. Sememangnya sepanjang pembacaan, Rasulullah menunjukkan contoh tauladan terbaik dengan bersikap lembut tetapi tegas. Juga istiqamah mendidik dan menanam akhlak ke dalan diri anak-anak.

Lalu, ini satu lontaran buat diri bermuhasabah.

💕Bagaimana sikap kita terhadap anak hari ini?
💕Berjayakah kita sabar dengan perlakuan mereka?
💕Atau awal pagi sudah melantun pic suara?
💕Cukupkah memeluk anak hari ini?
💕Tertawa riangkah kita bersama mereka ketika mereka bermain?
💕Sempatkah kita menyuap makanan ke mulut mereka tatkala mereka lapar?
💕Atau sibuk benar kita dengan 1001 kerja?

Ya Allah maafkan kami atas kesalahan yang pernah dan akan kami lakukan 😭

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 30 Ogos 2018

Menanam akidah kepada anak-anak


Pulang dari kuliah maghrib, saya membuka cerita dengan suami. Setiap kali ustaz yang mengajar itu mengesyorkan supaya bawa anak sekali ketika datang solat di surau dan masjid, pasti ada seorang kakak ini akan meluahkan perkara yang sama kepada saya.

"Saya dah ajak tapi sorang pun anak tak mau ikut. Budak-budak sekarang ni. Dulu masa kecik-kecik, semua ikut. Rajin solat di masjid. Tapi sekarang.." Dia menggeleng-gelengkan kepala menzahirkan rasa kesal.

Saya terdiam. Rasa tersekat pula kuih yang sedang dimakan. Menanti butiran seterusnya.

"Anak yang sulung tu kerja sekejap sana sekejap sini. Entahlah. Yang nak ambil periksa tahun ni asyik dengan handphone je. Bila masa nak belajarnya!"

Saya tak tahu nak beri respon terbaik. "Teruskan bagi nasihat kak. Dan doa. Doa ibu ni mustajab. Anak-anak saya pun kecil lagi. Doakan kami juga ya kak." Kakak itu diam dan mengangguk. Anak-anak saya pula galak berlari dalam surau. Sebab semua jemaah sedang makan di luar. Aduhai..sabar ye hati.

Suami menjawab : inilah masalah sebahagian besar yang beliau terima. Saban hari ada sahaja ibu ayah yang mengadu begitu. Sedih dan bimbang.

Katanya, sebab itu akidah sangat penting diajar kepada anak seawal usia. Akidah itu kepercayaan. Tanamkan pada anak-anak kita solat kerana siapa? Kerana apa? Memang susah, doalah supaya Allah bantu.

Ada 3 soalan (perkara pokok) penting perlu ajar pada anak-anak. Soalan yang ditanya di dalam kubur.

- Ma robbuka? (Siapa tuhan kamu)
- Ma nabiyyuka? (Siapa nabi kamu)
- Ma deenuka? (Apa agama kamu)

Anak-anak di belakang pula yang jawab soalan. Hihi. Ingat abi tanya agaknya.

Spontan melirik kepada anak nombor 2 (dia sahaja yang masih tegak duduk. Yang lain sudah layu mata nak tertidur). 

+ Abang Ngah, semalam abang ngah beli lego eh?
- Haah ummi. 
+ Balik rumah abang ngah buat apa dengan lego tu?
- Abang ngah pasang ummi. Abang ngah buka plastik dia. Lepas tu... (Panjang lagi dia bercerita). Abang ngah buat itik.
+ Oooo.. masya Allah abang ngah buat itik dari lego? Pandainya! Siapa bagi kita pandai, abang ngah?
- Allah, ummi.
+ Betul abang ngah 💕 Masa abang ngah buat itik lego, abang ngah memang dah tau buat ke kena tengok kertas panduan?
- Abang ngah tengok kertas, ummi. Baru dapat buat itik tu. Abang ngah tau buat.
+ Ha, macam tu juga kita orang Islam. Abang ngah tau tak orang Islam ni ada buku panduan juga. Tau tak namanya apa?
- (Dia terdiam. Berfikir barangkali)
+ (Tapi saya tak menunggu jawapan) Yang abang ngah baca hari-hari tu? Mengaji apa?
- Oh Quran ummi!
+ Betul. Orang Islam ada buku panduan. Namanya Al-Quran. Lagi satu kita berpandukan sunnah Nabi Muhammad SAW tau.
- (Dia angguk-anggukkan kepala)

Mendidik anak sebenarnya mendidik diri sendiri. Mendapat anak memang seronok tetapi tanggungjawab BESAR dipikul. Benarlah kata hadis nabi, 

Abu Hurairah r.a. menceritakan, bahawa Nabi saw. pernah bersabda: "Tidak ada seorang anak pun yang dilahirkan, melainkan ia dilahirkan dalam keadaan suci bersih; maka ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, atau Nasrani, dan atau Majusi. Sama halnya sebagai seekor haiwan ternak, maka ia akan melahirkan ternak pula dengan sempurna, tiada kamu dapati kekurangannya."

[Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0699]

Ya Allah semoga saya jadi ibu yang SABAR dan penyayang buat anak-anak ini. Amin..

Gambar lama.. 2015

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 13 Julai 2018

Sudah peluk anak hari ini?



Teringat pula semasa kecil dahulu. Sebelum pulang, selepas habis mengaji, kami akan bersalam dengan ustazah. Dan ustazah mengaji tu pasti akan memeluk kami. 

Suatu hari, dia bertanya, di rumah biasa peluk mak tak? Mak biasa peluk kamu tak? 
Kami ketawa sahaja. 

Ada seorang rakan saya menggelengkan kepala untuk kedua-dua soalan itu.

"Ha takpe, mari sini ustazah peluk kamu."

Seingat saya, kawan tu memang tak biasa dan agak kekok semasa dipeluk oleh ustazah. Tetapi raut wajahnya selepas itu tidak dapat saya lupakan. 

Tapi disebabkan saya masih keanak-anakan ketika itu, tidaklah saya ambil kisah atau bertanya lanjut kepada dia.

Kini baru saya menyedari, kuasa pelukan itu dapat menzahirkan kasih sayang yang lebih mendalam selain memberi ketenteraman kepada emosi anak-anak.


Apatah lagi membaca perkongsian Pn Yasmin Sari tentang perbualannya dengan seorang anak murid remajanya yang difitnah telah "ditebuk". Sangat sedih membaca luahan hati si anak itu.

Lalu, saya mengambil catatan saranan Puan Yasmin apabila mendengar anak mengadu apa-apa masalah :

☑ RESPON dengan serius dan segera.
☑ Biar anak meluahkan, jangan cepat beri solusi.
☑ One to one session.
☑ Penuhi tangki emosi.
☑ Eye contact, eye level.
☑ Dengar dengan hati.

Insya Allah. 

"Saya ibu yang sabar dan penyayang" 💪

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 29 Jun 2018

Ulasan Buku : Saya Suka Mengaji



Sumber gambar : Koleksi peribadi

Selesai membaca Buku Bukan Sekadar Homeschooling (BSH), saya melanjutkan bacaan membaca buku Saya Suka Mengaji (SSM) pula.  Ini merupakan buku kedua Pn Khadijah Gani yang dilancarkan dari rumah penerbitan Telaga Biru Sdn Bhd. Temanya ialah perkongsian ilmu dan pengalaman beliau sebagai guru al-Quran semenjak akhir 2012.

Beliau ingin menarik perhatian khalayak pembaca supaya mengajar anak kecil mengaji al-Quran tanpa marah-marah. dan tanpa rotan. Ini bukan omong kosong. Beliau telah membuktikan melalui 'batch' demi 'batch' yang diajar oleh beliau sejak enam tahun dahulu.

3 prinsipnya :

1) Telan kemarahan

2) Tutup mata pada kesalahan, pandang yang betul sahaja.

3) Tidak perlu membebel atau menjerit. Berikan panduan yang betul.

Dengan ini kita tidak penat dan membuang masa marah akan perkara yang tidak perlu. [Tapi, percayalah sebahagian ibu bapa akan sukar membuat nombor 1 itu. Hee...]

Beliau ada berkongsi mengenai anak mengajinya yang pelat. Teruskan memandu bacaan anak seumpama ini dengan sebutan yang betul kerana "latihan menyebut makhraj dengan betul dan berulang-kali merupakan speech therapy terbaik buat seorang anak yang mempunyai masalah pelat. Berikan masa dan bersabarlah!: (SSM, muka surat 44)

Saya turut mendapat idea untuk membuat buku laporan dan perkembangan anak-anak murid mengaji apabila beliau berkongsi pemberian ganjaran dan bintang di dalam buku anak-anak murid beliau. Menarik untuk diaplikasikan kerana anak-anak termotivasi untuk melakukan yang terbaik.

Seperkara lagi yang saya kira sangat dicari oleh ibu bapa atau guru, tip beliau untuk menghadapi anak kecil yang suka membuat bising dan bermain :

1) Senyum sahaja bila melihat anak kecil berkeliaran. Itu adalah normal. Bersihkan "cermin pandang" kita.

2) Telan kemarahan. Cipta aktiviti lain untuk mereka semasa kita mengajar rakan-rakan atau adik-beradiknya yang lain. 

Kadang-kadang, anak ini tidak tahu duduk diam dan tidak tahu aktiviti lain yang boleh dibuat selain daripada bermain. 

3) Jarakkan kumpulan anak besar dan anak kecil supaya dapat fokus.

4) Bersangka baik.

Membaca buku ini, tidak dapat tidak, saya terkenangkan perjalanan mengaji al-Quran ketiga-tiga anak yang besar ini. Saya menginsafi bahawa setiap anak ada "masanya". Paling mencabar ialah semasa mengajar anak kedua belajar al-Quran. 

Mungkin juga kerana high expectation dan secara tidak langsung membandingkan dia dan kakaknya membuatkan saya stres. Namun, perlahan-lahan mula memahami dan mengikut rentak masing-masing. Masih terus berusaha dan belajar.

First impression is always matter.

Ciptakan waktu belajar mengaji sebagai detik yang paling menyeronokkan buat anak-anak kecil kita yang baru mahu mengenal al-Quran. [Pn Khadijah Gani, 2018]

Sangat disyorkan sebagai bacaan tambahan untuk mereka yang ingin mendalami ilmu parenting atau teknik mengajar anak kecil. Tidak semestinya ibu ayah, boleh jadi juga anda seorang guru, pengasuh, pengusaha tadika dan lain-lain. 

Ada tips lain seperti Tip Mengajar Hafazan sejak anak kecil, perkongsian pengalaman mengajar anak murid mengaji yang istimewa, mengetahui sifat dan makhraj huruf dengan betul serta Tip Belajar dan Bermain dengan menggunakan Kad Imbas Khadijah.

 Pn Khadijah Gani mempelopori inovasi Kad Imbas Khadijah yang menggunakan emoticon comel dalam mengajar anak-anak mengenal huruf berbaris atas, bawah dan hadapan. Di sebelah kad lagi, diletakkan huruf-huruf hijaiyah yang dipadankan dengan bentuk yang bertemakan alam sekeliling. Misalnya alif seperti pokok kelapa yang tinggi, ya seperti bentuk itik dan sebagainya.

Semoga bermanfaat!

Buku 56 /  2018

#iRead2018


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015