Memaparkan catatan dengan label Misi Membaca 2019. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Misi Membaca 2019. Papar semua catatan

Jumaat, 22 Mac 2019

Bila ummi masuk pertandingan

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 


Minggu lalu semangat sungguh membaca. Alhamdulillah. Sudah pulang buku dan pinjam yang baru.


Teruja melihat buku Jejak Tarbiah ada di perpustakaan. Sebenarnya gembira juga melihat banyak buku baru yang disusun oleh pustakawan. Setakat hari ini baru 3 buah buku dibaca.

Bermula 1 Mac hingga 31 Disember 2019, Pihak Perpustakaan Negeri Melaka (Perpustam) ada membuat Pertandingan Pembaca Terbaik yang terbahagi kepada 4 kategori serta syarat berkenaan.



Pinjaman lalu sudah selesai dibuat resensi. Rupanya saya perlu dapatkan cop majikan sebelum menghantarnya ke pihak Perpustam. Nampaknya perlu tunggu banyak resensi baru saya hantar :-)



Ummi anak lima,
Mencari pengalaman sertai pertandingan.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 15 Mac 2019

Misi Membaca 2019 #Buku27 Dari Kepala Batas ke New Heaven


Ini buku yang sejak lama dahulu teringin mahu baca. Tetapi baru tahun ini berjumpa di rak buku perpustakaan negeri.

Sejujurnya saya rasakan dialog kaku. Tetapi sabar sahajalah baca sehingga tamat. Bab-bab permulaan boleh buat diri kemurungan. Dahsyatnya penderitaan yang ditanggung oleh keluarga Ustazah Aishah ini.

Sudahlah suami meninggal akibat kanser, kemudian menumpang di rumah ibu sendiri namun selepas kematian ayahnya, si ibu berubah menjadi orang lain. Jadi pembengis dan sanggup menghalau anak sendiri keluar dari rumah.

Saudara-mara juga tiada yang sudi memberi bantuan sebaiknya. 

Kemudian difokuskan kepada Khalili, salah seorang anak lelaki Ustazah Aishah yang cekal dan pintar dalam pelajaran. Seorang yang berdikari dan berusaha belajar bersungguh-sungguh dan pandai membahagikan masa meskipun bekerja 'part time' bagi membantu ibunya.

Buku ke-27 / 2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 14 Mac 2019

MisiMembaca2019 #26 Emak Rindu Mathanga Erissery


Gambar : koleksi peribadi

Catatan pengembaraan travelog Tuan Khairul Hakimin yang sarat dengan ilmu, pengalaman dan emosi. Ia dicatat dengan baik sekali.

Terasa bagaikan berada di sana juga. Naratif setiap lokasi yang disinggahi dirakam dengan baik. Saya suka sekali dengan kelas masakan beliau bersama Puan Nimi. Ada beberapa ilmu baru dapat saya pelajari.

Malah, bahagian yang menjentik rasa apabila dikhabarkan antara masakan yang dirindui oleh ibunya telah dapat dipelajarinya dengan baik.



Pengalaman beliau dan rakan-rakan bermalam di dalam rumah bot juga agak menyeronokkan. Ia mencatat banyak pemerhatian dan belajar budaya masyarakat setempat. Sungguhpun timbul rasa jemu kerana mereka hanya melalui sungai / paya yang sangat panjang tetapi masa mereka tetap terisi dengan baik.

 Ia membuatkan saya terfikir. Alangkah baiknya sekiranya mampu menulis dan mencatat pengembaraan atau permusafiran kita ke mana-mana hatta melancong ke dalam negeri.

Bukan sahaja sebagai kenangan diri sendiri tetapi mungkin ada ibrah yang dapat diambil oleh ahli keluarga sendiri dan orang lain. Wallahualam.

Selesai buku ke-26.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 11 Mac 2019

MisiMembaca2019 #Buku25 Puisi Untuk Esdyzuar


Ini kali kedua saya baca. Kali pertama tak habis sebab buku tersalah letak. Bila terjumpa ni terus pecut baca dari awal. Dulu tak faham, sekarang sudah nampak hala tuju buku ini ;)

Ia mengisahkan Dynna yang mempunyai akses kepada dua dunia. Satu di bumi (dinamakan Cosmo)dan satu lagi di dalam dasar bumi (dinamakan Cenma Dentara). 

Dynna seorang peguam dan bertugas di Jabatan Perisikan Negara telah kehilangan ibu ayah dalam satu kemalangan maut semasa dia kecil. Malah, dia juga kehilangan seorang adik kandung yang belum ditemui sehingga kini.

Semasa kemalangan, Dynna telah termasuk ke dunia Cenma Dentara dna dipelihara baik oleh Shomu (ibu angkat) di sana. Dia dibesarkan dengan baik sehingga diserahkan kepada keluarga saudaranya di bumi selepas beberapa tahun. Namun, hubungan Dynna tidak terputus dengan Shomu. Malah, dia mendapat keistimewaan bergerak bebas keluar masuk sempadan antara dua dunia ini tanpa halangan.

Berlaku konflik antara tanggungjawabnya sebagai peguam dan kesetiaan kepada negara apabila Dynna ditugaskan membela Esdyzuar yang tercampak ke dunia Cenma Dentara semasa membuat penyelidikan arkeologinya. Ada 3 tuduhan berat dikenakan termasuk membunuh seorang warga Cenma Dentara kerana ketika kejadian pihak berkuasa menemui mayat seorang perempuan di lokasi berkenaan.

Ia menjadi rumit kerana ada banyak persoalan yang timbul dan menyukarkan Dynna merungkai misteri itu.

Bagaimana anak guamnya boleh tercampak ke dunia bawah tanah ini?
Siapa mangsa yang terbunuh itu?
Siapakah pembunuhnya?

Naskah ini hanya membawa terma undang-undang secara umum namun pembaca tetap merasai debar dan tekanan yang dihadapi oleh pihak peguam bela dan tertuduh.

Namun, atas segalanya ia adalah sebuah konspirasi terancang yang sangat sulit dan akhirnya berjaya dirungkai oleh Dynna sendiri. Syukurlah ia berakhir dengan baik meskipun terasa lelah perjalanan Dynna.

Fuh...tabik dengan Pn Nisah Haron. Karya yang membuatkan pembaca berfikir sehingga ke akhir noktah :-)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 9 Mac 2019

Misi Membaca 2019 #Buku24 Melah Melia



Melah Melia. Ia sebuah siri novel kanak-kanak terbitan PTS. Dari dahulu terasa "catchy" tajuk ini tapi baru sekarang berkesempatan dapatkannya terus dari penulis.

Comel 'je' baca buku ni. Sengaja baca untuk cari bacaan santai.

Melah Melia diberi nama oleh dua pihak dalam keluarganya. Sebelah pihak mahukan nama Melah sebab nampak klasik, sebelah pihak lagi mahu nama Melia kerana nampak moden. Maklumlah anak bongsu.

Melah Melia pelajar pintar dalam kelas. Dia juga seorang yang ringan tulang dan tak berkira dengan orang lain. Dia suka membantu.

Ibunya telah meninggal dunia. Jadi ayah dan adik-beradiknyalah yang menjadi penguat semangat Melah Melia.

Suatu hari, abang dan kakaknya membuat keputusan memasukkan Melah Melia ke asrama kerana tahun hadapannya Melah Melia akan menduduki peperiksaan PMR (Penilaian Menengah Rendah).

Berminggu-minggu dipujuk, akhirnya Melah Melia setuju walaupun berat hati. Aha, banyak sekali rahsia Melah Melia hampir terbongkar.

Lagi pula dia kerap dibuli. Jadi tekanan diradakan apabila tinggal di asrama.

Tapi mujur sahaja dia dapat kawan-kawan yang sangat baik. Sentiasa menyokong, membantu menyelesaikan masalah dan mendengar masalahnya. Saya suka suasana positif begini.

Nanti nak baca buku Melah Melia yang seterusnya.

Buku 24 / 2019

Ummi Aina.
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 7 Mac 2019

Misi Membaca 2019 #Buku22 One Born Every Minute, Your Pregnancy Week by Week



Buku ini ditulis oleh Midwife Vicky Hugo. Ia adalah sebuah buku yang memberi panduan kepada ibu hamil terutamanya dalam mengetahui perkembangan janin di dalam kandungan.



Turut serta ialah nasihat penjagaan diri, pemakanan, memilih birth plan, mengetahui jenis-jenis pembedahan, kedudukan bayi dan senaman ibu hamil.



Mengandungi 3 bab utama iaitu :

1) You are pregnant!



Secara umumnya memaklumkan ibu perubahan yang berlaku pada badan di awal usia kehamilan, memilih birth plan, nasihat pemakanan, sentiasa aktifkan diri dan nasihat kesihatan secara umum.

2) Your Trimesters - week by week



Ha, seronok baca ni. Dari awal perkembangan janin sehingga pembentukan tulang, isi, emosi baby dan selainnya. Turut serta petua dan persediaan bertemu doktor / bidan.

3) Birth and Your First Few Hours

Di sini dinyatakan panduan menulis birth plan, mengetahui kedudukan bayi dalam kandungan, fasa-fasa kelahiran, cara mengurangkan sakit semasa kelahiran dan akhir sekali turut disebut tentang keguguran, bayi songsang dan selainnya.

Saya pasti ibu akan teruja mengetahui perkembangan bayi di dalam bab 2. Sekiranya ibu ada buat jurnal kehamilan, bolehlah masukkan sekali catatan week by week itu.

Selamat membaca!

* Saya beli di Big Bad Wolf tahun lepas di The Mines. Harganya RM20. Boleh contact Personal Shopper BBW, Pn Nadiah Ahmad jika berminat. Next event di Johor Bahru 21 - 31 Mac 2019.



Aina Dayana Hilmi.
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Isnin, 11 Februari 2019

Misi Membaca 2019 #Buku11 Misteri Debunga Wangi



Penulis membawakan tiga watak utama. Aatif, Budail dan Dawid yang berkawan baik dan mempunyai minat mendalam terhadap bidang ketenteraan.

 Bonus minat membaca mereka membuatkan mereka bertuah memenangi lawatan percuma menaiki helikopter selama setengah jam dari pihak TUDM.

Asalnya, mereka mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur. Semasa melawat ke Muzium Negara, ada pameran ketenteraan. Mereka mengambil kesempatan memasuki kuiz yang dianjurkan. Seronok bukan kepalang.

Juruterbang pelancong itu pula ramah melayan mereka. Lalu ditambah sedikit masa dan beliau membawa mereka ke hutan Pahang.

Malang tidak berbau, juruterbang terkena serangan jantung secara tiba-tiba sehingga menemui ajal! Helikopter terhempas di hutan Pahang namun alhamdulillah ketiga-tiga mereka terselamat.

Banyak kemahiran "survival" yang ada pada mereka terutamanya pada Budail. Ada manfaat dia selalu belajar dengan datuknya tentang selok-belok di hutan.

Antaranya kemahiran membina tempat berteduh, petua jika terkena luka atau cedera, kemahiran menangkap ikan, ciri keselamatan di hutan, makanan yang terdesak boleh dimakan ketika kecemasan, membuat sendiri peralatan senjata, emosi yang tenang dan lain-lain.

Secara langsung Aatif dan Dawid boleh belajar sekali.

Jika tersesat di dalam hutan, elakkan membina kem berdekatan sungai kerana dibimbangi terserempak dengan haiwan buas. Haiwan ini memang kerap ada di pinggir sungai kerana mencari sumber air dan makanan.

Boleh dibayangkan bagaimana ketiga-tiga mereka terpaksa makan siput babi. Hehe. Mereka panggang dahulu sebelum makan.

Dalam masa yang sama mujurlah Skuad Senoi Praaq turut menjejaki mereka. Namun, Aatif dan rakan-rakan berjalan sangat pantas dan mengambil masa untuk sukan ini menemui mereka.

Tanpa disangka Aatif, Budail dan Dawid terserempak dengan sebuah ladang ganja di tengah hutan Pahang! Tindakan bijak mereka dapat mengenalpasti pokok itu dan membakarnya sehingga punah seluruh tanaman. Mereka tidak lupa menutup hidung kerana bau yang kuat itu mampu mengkhayalkan mereka.

Memang waktu genting kerana dalam masa yang sama mereka diburu oleh penjenayah ganja tersebut. Sempatlah mereka melarikan diri kerana waktu sudah hampir malam. Namun mereka bertungkus-lumus menyiapkan jerangkap samar bagi melambatkan pergerakan penjenayah. Tambahan pula, mereka terperangkap di hujung tebing curam.

Syukurlah pasukan Senoi Praq sempat menemui mereka! Tumpas satu kes penanaman ganja di dalam hutan Pahang. Paling penting, mereka semua terselamat!

Berdebar je baca sepanjang cerita ni. Disebabkan novel ini agak tebal untuk anak lelaki saya, maka saya ceritakan serba sedikit sambil tunjuk gambar di internet. Haha. Bolehlah memacu semangat dia  untuk baca buku ini.

Buku 11 / 2019

Aina Dayana Hilmi
www.wasap.my/60133613516
Emel.: ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 7 Februari 2019

Misi Membaca 2019 #Buku10 Nafas Elbereth


Buku ini ialah novel kanak-kanak ditulis oleh John Norafizan terbitan JS Adiwarna (2012). Sudah lama tetapi saya baru berkesempatan membacanya. Buku ini dibeli semasa Kak Su buat jualan kotak misteri tahun lalu sebelum Jemari Seni menutup tirai operasinya.

Semasa sedang baca, baru saya perasan ini ialah Volum 2. Maknanya ada Volum 1 tetapi saya tidak memilikinya. Tak mengapalah.

Volum 2 Saga Aldarian : Nafas Elbereth seperti novel sains fiksyen. Ada dunia fantasi, pari-pari, nama yang pelik-pelik dan sudah pasti konfliknya juga nampak rumit.

Apa yang saya faham, Haikal dan abangnya, Fitri tercampak ke dunia Aldarian semasa mereka berkhemah di sebuah hutan. Haikal menjadi tawanan di sebuah istana dan disebut sebagai bakal raja kota itu. Bagaimana ia terjadi tidaklah dapat dipastikan. 

Namun Haikal sebenarnya mahu dijadikan proksi bagi mengaburi mata masyarakat. Jika berlaku hari perlantikan takhta raja, dia akan dibunuh dan jasadnya diambil alih oleh Azeroth, raja terdahulu yang kejam. Beliau tewas dalam satu peperangan tetapi tidak mati. Untuk kembali berkuasa, beliau perlukan jasad yang kuat dan Haikallah yang menjadi pilihannya.

Ada watak lain seperti Putera Adamian, Darius, Raja Pari-Pari, Magian pelbagai bangsa, Gil-Gil dan Orkos. Ada si Lilah dah Isyma yang membantu Haikal melarikan diri dari menjadi tawanan.

Malangnya ada kesilapan cetakan pada buku saya ini. Muka surat 125 hingga 200 tiada. Jadi saya tidak dapat mengetahui dengan lengkap apa yang berlaku kepada perjalanan mereka semua.

Tapi jika ada peluang mahu juga saya baca Volum 1 hingga 3 ini.

Sesuai untuk bacaan anak-anak terutama anak lelaki yang sukakan misteri dan cabaran.

Buku 10 / 2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 1 Februari 2019

Liga Buku Goodreads Malaysia Musim 2019

Apabila ternampak notifikasi di Facebook, saya buka Laman web Goodreads Malaysia. Nampaknya sudah dikemaskini data bacaan ahli pada bulan Januari 2019. Sebelum ini Tuan Nazmi yang konsisten mengemaskini data dan tahun ini bakal diterajui oleh sukarelawan lain. Terima kasih!

Ada 2 buah buku lagi yang belum sempat saya reviu. Insya Allah akan berkongsi nanti. Seperti tahun lalu, mungkin saya lebih banyak membaca buku kanak-kanak dan berbentuk fiksyen. Sebagai salah satu cara menapis bacaan dan mahu disyorkan kepada anak-anak sendiri :)

Bulan Februari bermula hari ini. Buku apa yang anda baca bulan ini?

Saya pun belum tahu sebab sedang membaca beberapa buah buku serentak.

Selamat membaca semua.

#MalaysiaMembaca
#galakanmembaca
#MisiMembaca2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 27 Januari 2019

MisiMembaca2019 #Buku7 Ayat-ayat Allah Pada Tubuh Manusia


Buku ini menarik minat saya apabila penulis mengupas fakta sains dan dikaitkan dengan ayat Quran berkaitan penciptaan anggota badan manusia.

Subhanallah.

Walau sudah selesai dibaca berhari-hari, saya masih teringat apa yang dibaca. Kagum dengan fakta baru yang saya ketahui. Betapa ceteknya ilmu diri nak dibandingkan dengan segala ciptaan Allah.

Ada mengenai mata, telinga, otak, hidung dan rambut (ada banyak lagi tajuk sebenarnya).

Berkenaan dengan hidung. Sebenarnya ada banyak lapisan yang Allah sediakan sebelum udara bersih dapat dihirup oleh manusia. Itulah fungsi rerambut di dalam lubang hidung membawa kepada tekak seterusnya ke paru-paru. Ia bertindak menapis udara dan menghalang bendasing masuk ke dalam paru-paru.

Sebab itu apabila bersin, kita disunnahkan mengucapkan alhamdulillah kerana boleh jadi ada bendasing mahu masuk tetapi badan bereaksi mengeluarkannya. Dikatakan kelajuan bersin mencapai 950km/jam.

Bagi fungsi otak pula, aktiviti di dalam otak sentiasa bergerak aktif selagi mana kita membaca, mentadabbur dan sebagainya. Setiap kali ada aktiviti ini, sinaps otak akan bersambung. Namun, jika tiada aktiviti ilmiah, komunikasi antara sinaps akan terhenti. Subhanallah.

Sebab itu banyak anjuran baginda sollallahu 'alaihi wasallam menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Ia bukan sahaja menjadikan kita pandai tetapi menyumbang kepada kesihatan otak.

Awesome!

Bagi anda yang ingin dapatkan buku ini boleh hubungi Facebook Abu Ilkiya atau hubungi saya. Saya cuba bantu dapatkan buku ini.

Jumpa lagi.

Buku 7 / 2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 13 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku6 Kelab Sarjana : Misteri Rumah Asap di Ladang Seri Taming



Tulisan Kak Su (Noor Suraya) tidak pernah mengecewakan :-) Meskipun novel penyiasatan kanak-kanak, suka sekali dengan gaya naratif yang dibawa oleh Kak Su ini.

Baik, buku ini mengisahkan dua pasang adik-beradik yang tinggal berjiran. Nabil dan Nurdini ialah anak Encik Nasir, Penyelia Kanan di Ladang Seri Taming. Jiran baharu mereka ialah tuan pengurus ladang yang baru berpindah dari Pulau Pinang, Tuan Sabandi. Tuan Sabandi mempunyai dua orang anak yang hampir sebaya mereka iaitu Luthfil Hadi dan Dania Thurayya.

Kawasan rumah Tuan Sabandi lebih luas dan mempunyai rumah pokok, buaian, kolam kecil dan stor perkebunan yang agak luas. Nabil dan Nurdini kerap bermain di sana sebelum ini. Mujurlah kawan baharu mereka ini sangat baik dan peramah. Cepat sahaja mereka dapat berkawan rapat.

(Waktu ini teringat cerita Enid Blyton yang bertajuk "Children at a green meadow". Bezanya anak-anak itu lebih ramai, lebih lasak dan berbeza perwatakan antara satu sama lain. Yang mempunyai persamaan ialah mereka mempunyai minat yang sama dan halaman rumah yang "adventorous" bagi anak-anak ini bermain).

Tetapi mereka sering sahaja diganggu oleh kembar yang nakal dan tidak beradab - Intan dan Adib. Geram juga membacanya. Hee.

Disebabkan minat Luthfil dan Nabil yang mendalam kerana gemar membaca buku penyiasatan dan misteri, membuatkan mereka bersetuju menubuhkan Kelab Sarjana untuk menyiasat kes-kes misteri di kawasan mereka. Siap ada markas dan lencana lagi!

Perancangan mereka juga tersusun. Ada ketua dan setiausaha, ada perjumpaan berkala dan pengagihan tugas mengikut kemahiran individu. Mereka turut mengedar promosi sekiranya ada yang memerlukan bantuan. Sempatlah mereka selesaikan satu kes mudah sebelum benar-benar terjumpa kes besar yang misteri!

Oh ya, mereka ada pertambahan seorang ahli baru yang berpengalaman. Namanya Badrul, anak saudara Inspektor Halim yang tinggal di ladang itu juga. Cuma Badrul bersekolah di bandar. Yang lain bersekolah di dalam ladang itu.

Mereka curiga kerana ternampak asap dari arah sebuah rumah di dalam belukar. Deretan rumah di situ telah lama kosong kerana penduduknya telah berpindah dan ada yang telah berhenti kerja. Tambah memeranjatkan lagi apabila mereka mendapat amaran dari seorang perempuan ganjil supaya tidak menghampiri kawasan itu.

Penyiasatan mereka bermula dengan mengambil tahu peta kedudukan ladang, menyelidik siapa yang pernah menghuni rumah-rumah tersebut, mencari rekod atau keratan berita berkaitan apa-apa kejadian yang berlaku di ladang berkenaan di perpustakaan di bandar, menjejaki dan menemubual beberapa orang penduduk yang pernah tinggal di situ dan cuba mencantum semua persoalan penyiasatan.

Mereka terjumpa berita kes rompakan kedai emas di pekan beberapa tahun dahulu, kejadian rumah terbakar di kawasan ladang Seri Taming, kisah orang dibaham harimau dan kes kehilangan pekerja ladang. Hmm.. ada kaitankah semua ini?

Menarik sekali apabila "sama-sama" mengikuti perjalanan penyiasatan mereka semua.

Anak-anak saya jadi tidak sabar mahu membaca buku ini tatkala melihat ummi tekun membaca dan akhirnya beria-ia menceritakan kembali apa yang dibaca. Haha. Nampaknya ummi pun main peranan ya.

Kesimpulan cerita, kes di atas berjaya diselesaikan meskipun hampir mengancam nyawa ahli Kelab Sarjana. Seronok benar anak-anak ini kerana betul-betul menjadi penyiasat.

Buku 6 / 2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 12 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku5 Kitchen Table Play & Learn


Sumber gambar : www.goodreads.com

Buku yang sangat enjoy saya baca. Aktivitinya menarik dan praktikal untuk anak-anak 2 tahun ke atas. Memang sesuai disusun mengikut tema. Ada 30 bab dan setiap bab mengandungi cadangan sebanyak 10 - 15 aktiviti. Banyak tu! Boleh jadi kurikulum pembelajaran anak-anak di rumah sepanjang tahun.

Cuma bezanya, buku ini hanya ada tulisan. Tiada gambar. Jadi untuk orang jenis visual seperti saya, perlu baca satu-persatu sambil membayangkan bentuk aktiviti.

Keseluruhannya saya sukakan buku ini. Sayang pula nak pulangkan ke perpustakaan ;)

Saya tertarik dengan aktiviti All About Me. Berikut antara cadangannya :

Aktiviti pengenalan (Apa yang membuatkan saya istimewa?)

- Bacakan anak buku tentang diri sendiri (saya terbayangkan buku Robo Belajar Tentang Manusia)
- Bacakan puisi - ada disertakan puisi dalam bahasa Inggeris.

Aktiviti 2 : "Me" Bags

- Himpunkan barang kegemarannya dalam sebuah beg termasuk gambar keluarga, mainan kegemaran, baju dan contoh warna kegemarannya.
- Berbual tentang perkara yang dia suka lakukan, lagu kegemaran atau apa cita-citanya.

Aktiviti 3 : "Me" Books

- Buat buku sendiri guna brown paper bag. Steplerkan buku ini.
- Ibu ayah bantu binakan ayat atau tulis perkataan yang menggambarkan sesuatu yang berkaitan dengan dirinya.

Aktiviti 4 : That's My Name!

- Tulis namanya dan beberapa orang ahli keluarga dalam bentuk kad nama.
- Tampalkan pada board. Minta anak cari namanya sendiri.
- Meskipun dia belum boleh membaca, ubah beberapa kali susunan kad sehingga dia mengecam namanya sendiri.

Aktiviti 5 : What's In A Name

- Tuliskan nama anda pada kertas. Besarkan font tulisan.
- Beri peluang anak bina kolaj atau tampal apa sahaja pada namanya.
- Boleh juga nyanyikan apa-apa lagu yang berima menarik. Ubah lirik yang berkaitan dengan namanya.

Aktiviti 6 : Family Tree

- Lukis pokok yang besar pada sebuah kad manila.
- Tulis nama pada dahan dan gambar pada buah epal.
-Jelaskan kepada anak keluarga seperti pokok sebab setiap orang berhubung antara satu sama lain.
- Akhir sekali boleh ajak anak kira bilangan ahli keluarga.

Aktiviti 7 : Where I Live

- Bina rumah dari kotak terpakai seperti kotak bijirin. Hiaskan dengan kertas warna atau warna air. Ikut kreativiti.
- Jelaskan kepada anak bagaimana kawan boleh cari dia di rumah. 
- Di sini, boleh terangkan yang setiap rumah biasanya ada alamat dan alamat ini berbeza pada setiap rumah. 
- Bantu anak tuliskan alamat rumah dan hiaskan pada "Rumah" yang telah siap dibina tadi.

Menarik, bukan?

Daripada aktiviti di atas, sudah boleh bercambah idea kepada topik lain yang berkaitan. Selamat beraktiviti!

Selesai buku ke-5 / 2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 11 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku4 Dari Hati Turun Ke Blog



Ini genre novel awal remaja saya rasa. Mujur tergerak hati nak baca dahulu sebelum anak. Hee..

Kisah tentang Aya yang tinggal bersama nenek selepas ibu ayahnya bercerai. Sikapnya yang selamba dan tidak menutup aurat membuatkan ibu kawan baiknya, Paie tidak suka dengan Aya.

Aya seorang yang cekal. Hidup berdua sahaja dengan nenek tidak dijadikan alasan untuk malas belajar. Ibunya terpaksa bekerja di bandar dan hanya pulang sesekali. Ayahnya telah berkahwin lain dan terputus hubungan dengannya.

Episod demi episod berlaku satu-persatu dalam hidup Aya. Kemuncaknya apabila nenek Aya meninggal dunia dan Paie kemalangan disebabkan Aya. Meskipun Aya telah menderma darah bagi menyelamatkan Paie, ibu Paie sangat marahkan Aya dan menghina ibu Aya sekali.

Aya mengikut ibunya berpindah ke bandar dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Di sinilah bertemu semula dengan adik Paie sehingga membawa kepada pertemuan semula kedua keluarga. Ibu Paie memohon maaf atas apa yang berlaku.

Bagi saya, anak umur 8 tahun ini belum sesuai lagi baca buku ini kerana bahasa yang digunakan kurang sesuai di beberapa tempat :-) Tambahan lagi ada unsur cinta remaja walaupun tidak ketara.

Buku 4 / 2019


Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka

Khamis, 10 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku3 Agar Aku Sehebat Mereka



Ditulis oleh Ustaz Muhammad Luqman Makhtar dan diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd. Ini juga buku Siri Keempat dalam siri Solusi Hati.

Ia adalah buku yang menghimpunkan lebih 50 orang insan berpengaruh dalam sejarah dan boleh menjadi sumber inspirasi.

Terbahagi kepada 4 bab utama merangkumi Ulama Salaf, Sahabat Nabi, Tempat dan Peristiwa dan Ulama Masa Kini.

Awal-awal sudah terpaku pada biografi Ibn Sirin. Seorang ulama yang ceria dan suka bergurau. Beliau terkenal menguasai pelbagai bidang malah pakar mentafsir mimpi. Namun ia tidak dijadikan sebagai pengkhususan beliau.

Begitu jujurnya beliau dalam berniaga sehinggakan sanggup membuang kesemua minyak wangi yang dibeli dengan modal 40 ribu dirham gara-gara terjumpa seekor tikus mati di dalam salah satu bekas.

Ini yang menyebabkan beliau dipenjara kerana tidak mampu membayar semula duit berkenaan.

Ketinggian adab dalam berilmu Imam Bukhari atau namanya Muhammad bin Ismail turut menjadi inspirasi. Terkenal kerana tiga perangai khususnya :

1. Tidak banyak bercakap.
2. Tidak teringin apa yang orang lain inginkan.
3. Tidak sibuk dengan urusan orang lain.

Sirah Nabi sollallahu alaihi wasallam seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih luas. Sebelum ini jika disebut sirah Nabi, seolah-olah tergambar keadaan perang, perang dan perang. Sedangkan hanya ada beberapa buah sahaja yang berlaku sepanjang hidup nabi.

Kisah para sahabat nabi ada banyak sisi inspirasi dan mengujakan. Bagaimana peribadi hebat insan-insan ini terbina dan kita dapat ambil tauladan daripadanya untuk diamalkan.

Lihat keluarga Anas bin Malik. Subhanallah. Setiap orang bukan calang-calang insan. Dan salah satu insan yang dikagumi ialah ibunya sendiri.


Begitulah. Bacalah himpunan biografi barisan tokoh-tokoh ini. Semoga kita dapat mengikut jejak mereka meskipun sedikit.

Antara isi kandungan buku ialah mengandungi fakta tempat bersejarah, visual turutan / kronologi sesuatu peristiwa dan doa.



Oh ya, dari buku inilah saya baru ketahui jangan memanggil orang Eskimo dengan nama Eskimo kerana maksudnya dalam bahasa asal ialah "pemakan daging mentah." Lebih eloklah sekiranya memanggil mereka mengikut nama bangsa mereka seperti Inuit, Yupis dan lain-lain.

Buku 3 / 2019

Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015