Memaparkan catatan dengan label Catatan harian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan harian. Papar semua catatan

Selasa, 23 Disember 2025

Cuti sekolah 2025

 Cuaca baik sejak awal pagi. Menjelang tengahari menjadi semakin bahang. Namun kerja pembersihan bilik masih berjalan. Hujung tahun begini masa yang sesuai buat pengisihan secara besar-besaran. Anak-anak pun sudah semakin besar dan matang. Dapat bantu mana yang patut.

Beberapa minggu lalu sudah buat isihan pakaian. Cuti kali ini buat untuk buku pula. Sungguh, termenung dibuatnya. Bukan sedikit tenaga nak punggah dan susun semula. Ada banyak buku yang telah diasingkan untuk diberi kepada tuan baharu. Ada yang sudah rosak terkena air semasa siling kami bocor dan air naik sedikit ketika hujan ribut melanda Melaka sebelum ini.

Ditambah dengan kucing yang beranak di bawah katil. Satu perkara nak membersihkan hingga hilang bau. Kucing oh kucing. Ini kucing jalanan yang datang ke rumah kami jadikan tempat tinggalnya. Geleng kepala sahaja tengok dia "lantik" diri sendiri jadi kucing di sini. Dihalau pun datang kembali. Digertak pun tak takut. Dimarah pun hanya keluar sebentar ke luar rumah. Tahu-tahu muncul semula.

Harap cuti ini dapat jadi mak yang sabar. Ironinya, setiap hari darah naik. Huhu. Ada sahaja jadi pencetus. Sabar, sabar. 

Jumpa lagi.

Khamis, 27 Jun 2024

Mencoret di sini

Klinik kesihatan 

Temu janji klinik kesihatan dipenuhi pagi ini. Berpuasa sejak malam tadi untuk mengambil darah seperti yang diarahkan. Temu janji seterusnya pada bulan Julai. Ah, sebut bulan Julai teringat betapa sibuknya nanti. Sudah berderet tarikh kursus dan program dalam kepala. (Nanti saya coretkan)

APDM

Usai urusan di klinik terus pulang ke sekolah. Suami bergegas pulang ke sekolahnya juga selepas menghantar saya. "Cikgu Aina, tolong cetakkan maklumat APDM," pesanan dari GPK HEM dibaca sekali lalu. Pantas tangan membuka komputer riba sambil mulut mengunyah roti. Jam dinding bilik guru dijeling. Aduh, terlewat lagi makan ubat! 

Jiran sebelah meja sedang fokus mengikuti kursus secara Google Meet. Begitulah sekarang. Tidak bersemuka tetap juga boleh bersidang. Selesai urusan APDM, saya menjengah ke bilik HEM dan mengambil fail unit. Ah, sudah. Fail belum lengkap. Kembali ke bilik guru dan mula menaip semula.

√ Divider dalam fail 

√ Minit Mesyuarat + surat panggilan mensyuarat + kehadiran 

√ Cetak dan masukkan semua surat yang diterima tahun ini berkaitan unit 

√ Kemaskini data kehadiran bulanan 

Tugasan koku..

Tiba-tiba teringat maklumat peserta kejohanan olahraga belum siap. Perlukan salinan kad pengenalan dan surat beranak murid yang disahkan. Fail unit dipulangkan kembali ke tempat asal. Laci kabinet besi ditarik untuk mencari maklumat murid. Oh, jam sudah hampir 12.30 tengahari. Perlu segera bergegas ke kelas. Sempat pula guru besar panggil dan meminta saya mengisi pencapaian murid jika berkaitan.  Ok, done. Nota minta panitia juga sudah diserahkan kepada PT kewangan. Alhamdulillah. 

Berakhirnya sesi persekolahan, saya duduk melepas lelah. Sementara menunggu azan boleh pula terlelap. Aduh, tersedar apabila terdengar suara PPM, "Na... kursus pukul berapa? 2 ke 2.30 petang?" Ha, kelam-kabut bangun!

Berbengkel pula..

Ya, sebelah petang ada Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Panitia Bahasa Inggeris. Jemputannya ialah Tok Mat. Tamat menjelang 4.20 petang. Pengisian yang berilmu. Banyak benda baharu diperolehi. Tok Mat yang sememangnya pakar dalam bidang bahasa banyak berkongsi tip pemilihan tajuk, tip menarik minat pembaca dalam perenggan awal karya, langkah menulis dan lain-lain.

Daftar anak..

Dalam perjalanan pulang, singgah mendaftarkan anak ke sekolah agama petang. Semoga anakanda dipermudah urusan. Maklum, sudah pertengahan tahun baru dapat daftarkan. Sebelum ini anak menghadiri kelas tahfiz. Menunggu suami solat asar di masjid, saya agak cemas memandangkan jam sudah hampir 5.30 petang. 

Kelas mengaji..

Kelas mengaji al-Quran bermula jam 5.30 petang tetapi selalu juga bermula 5.45 petang. Hambatan masa yang mengejar selalu membuat saya rasa kesal. Pengurusan masa sendiri harus dipertingkatkan lagi nampaknya. Tapi jadual sehari-hari membuatkan saya tidak dapat mengelak. 

Masak..

"Daging kambing ada lagi, kan?" alamak, teringat suami berpuasa hari ini. 

Saya sudah mula membayangkan dalam kepala. Alahai jam berapa dapat memasak. Kelas mengaji biasanya berakhir maghrib. "Tolong pergi kelas dahulu, saya nak keluarkan daging. Nak defrost dan sediakan bahan memasak." Suami mengangguk dan bawa semua anak ke sana dahulu.

Hakikatnya memang tidak sempat siap menjelang azan maghrib. Itu pun mak banyak bantu. Huhu. Semoga Allah membalas kebaikan mak dengan syurga. Saya tinggalkan daging ketika dalam proses defrost dan pulang dari kelas sudah pukul 6.50 petang. Suami telefon mengatakan ada seorang anak murid cilik datang mahu belajar mengaji. Jadinya, dia terpaksa datang ke rumah :) Suami berbuka dengan makanan yang telah dimasak lebih awal. Kari kambing ini makan selepas berbuka nanti.

Selepas maghrib, duduk ajar anak-anak mengaji (yaa di kelas memang tak sempat ajar mereka. Maka bersambung di rumah. Haha) dan membuat latihan akademik sehingga Isyak. Badan sudah tidak tahan mahu baring dan lelap. Tapiii.. mahu tidur pun banyak drama anak-anak ni. Ya Allah.. hampir 40 minit juga tak reda-reda. Sudahnya, semua dah tertidur uminya pula tak dapat lelap. Huwaa..

Menyelesaikan kerja tertunda..

Maka, mohlah selesaikan kerja satu-persatu selagi mata larat untuk dibuka. Padahal bahaya ya tidur lewat ni. 

Zzzzz....

Selasa, 2 April 2024

Bengkel Latihan Teknik Pengajaran Disleksia



Tahun ini baru berpeluang mengikuti kursus-kursus anjuran BPKhas. Banyak dibuat secara dalam talian dan ianya sedikit sebanyak ada kesan sampingan. Saya sakit kepala apabila terlalu lama menghadap skrin. Seeloknya kena rehat sebentar dan memandang jauh supaya mata lebih relax.

Hari ini dan esok berpeluang mengikuti kursus Disleksia. Satu bidang yang sudah begitu lama saya tinggalkan. Hanya belajar semasa di kampus dan pernah praktikum dua kali di kelas masalah pembelajaran. Maklum, apabila posting, saya dihantar ke sekolah masalah pendengaran dan disleksia jarang saya temui cirinya secara ketara pada anak didik selama ini.

Namun, atas kapasiti mengajar kelas masalah pembelajaran + pekak sekarang, saya kira perlu untuk saya refresh kembali pengetahuan. 

Masuk ke bengkel dan mengikuti tiga sesi ini benar-benar mengimbau kenangan semasa belajar dahulu. Asasnya masih sama dan pengetahuan sedia ada dicantum dengan pengalaman emak saya yang pernah mengajar kelas disleksia beberapa tahun dahulu.

Pengenalan kepada disleksia, disleksia dan bahasa dan Intervensi ialah tiga topik yang dibentangkan hari ini. Saya suka slot kedua kerana penceramah banyak menyampaikan kaedah yang boleh dicuba ke atas anak murid disleksia. Ada idea bercambah ketika melihat pelbagai kaedah dan teknik pengajaran. 

Esok bersambung dengan 3 slot lagi iaitu Disleksia dan Lain-lain Masalah Pembelajaran Spesifik, Disleksia dan Jenis Ketidakupayaan Lain dan Mentaksir murid Disleksia.

Sabtu, 16 September 2023

Library is treasure

Dua minggu lepas ke Perpustam melunaskan hutang. Alhamdulillah selesai. Waktu nak meminjam, baru tahu sekarang perlu bayar keahlian. Berkuatkuasa Jun lepas. Saya dan suami sahaja perbaharui keahlian. 

RM15 setahun untuk kategori pinjaman istimewa dewasa iaitu boleh meminjam 15 buah buku. Jika keahlian biasa bayar RM10 tahunan dan boleh meminjam sebanyak 8 buah buku. 

Teringat ke PPAS cuti sekolah yang lalu, sesiapa sahaja boleh meminjam di situ secara percuma. Warga asing pun boleh. Seorang boleh pinjam 20 buah buku selama sebulan. Boleh pulangkan dengan hantar melalui pos. 




Masuk minggu kedua memantau rekod NILAM anak-anak terutama yang darjah 1. Mahu bagi semangat kepada dia merasai keseronokan membaca. Nampak kecenderungannya membaca kisah nabi dan para sahabat. 

Sudah pasti perpustakaan jadi pilihan mencari bahan bacaan. Pelbagai variasi buku untuk pembaca awal. Biasanya buku Bahasa Inggeris lebih menepati aras anak. Masih level beginner dalam membaca buku Bahasa Inggeris. 



 Tarikh pemulangan pada 29 September 2023.

Sabtu, 21 Januari 2023

Rumah Seribu Buku

 Satu untuk kenangan.

Hasrat berkunjung ke rumah buku Jejak Tarbiah telah lama tersimpan sejak Kertas-kertas yang Merubah Fikir terbit tahun 2018. Sebuah buku tentang pengalaman awal pembaca, kenangan mereka dengan buku semasa kecil sehingga kini masih terus menggemari buku. 24 buah kisah yang sangat menarik dan mungkin membangkitkan semula memori anda semasa kecil.

Ia kisah merentasi zaman dan fasa usia dalam kehidupan. Waktu kecil yang seronok bergelumang dengan bahan bacaan tanpa memikirkan sangat masalah harian membuatkan semangat membaca selalu menggebu. Anda harus dapatkan buku ini. Kini KYMF sudah tersedia dalam edisi kemas kini (2021) dan sudah masuk cetakan ketiga (jika tidak silap).

Bersama Kak Ani 


Berbalik kepada rumah buku JT. Apabila terlihat poster mereka membuat karnival pembukaan JT, peluang ini tidak harus dilepaskan. Memandangkan pesta buku JT bulan Februari nanti tidak dapat saya hadiri, maka kali ini mesti pergi juga. Yang paling seronok sudah pasti anak-anak. Bermalam di rumah inap berhampiran lengkap dengan kolam renang sudah memenuhi kegembiraan mereka.

Sampai di JT sudah melebihi pukul 11 pagi, tenang dan lengang. Ada dua orang staf menyambut, selain Kak Ani (salah seorang penulis KYMF) dan dua orang tetamu yang sedang tenggelam dalam lautan buku mereka. Anak kata, "Ni buku umi!" Ya, ada di rak bersebelahan ruang santai JT. 

Tempat yang luas dan selesa. Anak-anak main sebentar di ruang diskusi sebelah kanan sementara uminya mencari buku. Tak sedar sudah sejam sebelum terdengar satu suara menyapa dari belakang. Tak sangka bertemu Pn Saadiah kerana beliau ada mesyuarat sebelum itu. Disebabkan mahu mengejar waktu solat Jumaat, maka dapat berbual ringkas dengan ragam 6 orang anak yang mula menunjukkan tanda tantrum. Minta maaf puan jika nampak kelam-kabut. Haha.




Barisan buku Tere Liye 


Dahulu buku yang saya pegang dikenal sebagai serial anak mamak dan mengandungi empat tajuk. Kini sudah ada beberapa tambahan tajuk baharu menjadikan kesemuanya ada 7 buah dalam siri ini.

Tawaran harga 

✔️Diskaun 50% untuk buku terpilih (antaranya buku Habiburrahman el-Shirazi dan HAMKA)

✔️Diskaun 25% untuk buku keluaran JT

✔️Diskaun 15% untuk buku selain JT

✔️RM10 sebuah untuk buku Jemari Seni. 

✔️Dan ada diskaun 20% untuk buku JS terpilih.

✔️Buku percuma untuk dipilih

Waah, berbaloi amat!


Anak-anak membeli penanda buku dan buku nota memandangkan komik tiada stok. Buku Hilal Asyraf pun tinggal sebuah di rak iaitu Hikayat Satria-satria Sejati 1. Anak-anak mencari Siri Gelombang Baru dan Takdir. Tak mengapa ada rezeki boleh beli nanti.


Apa yang kami beli?

Macam balas dendam pula sebab dah lama tak membeli dalam kuantiti yang banyak. Haha.

Tertegun melihat deretan buku Tere Liye. Namun, saya sedar diri, stamina membaca saya sudah menurun. Dahulu sebuah buku sehari boleh habis baca. Sekarang boleh jadi berminggu-minggu untuk habiskan sebuah buku. Maka, inilah yang berjaya dibawa pulang :

1. Ikhlas oleh Rumah Ripta

2. Yang Paling Patah Antara Kita (katanya novel laris)

3. Leaving Microsoft To Change The World (edisi terjemahan Bahasa Melayu)

4. Murabbi Cinta (kawan punya)

5. Seperti Air yang Mengalir oleh Ust Pahrol Mohamad Juoi

6. Bidadari Bermata Bening oleh Habiburrahman el-Shirazy

7. Si Anak Savana oleh Tere Liye

8. Merchandise : sampul raya JT



Buku anak-anak :


1. Alhamdulillah (Omar Hana)

2. Kiki dan Semut (Didi & Friends) ---> [tercicir di JT]

3. Super Squad

4. Buku nota

5. Penanda buku

6. Pen

Pulang dari JT, singgah menziarahi adik di Damansara. Aduhai, merasalah kami melalui kesesakan jalan raya sepanjang highway. Maklumlah hari pertama cuti sekolah dan orang mahu menyambut tahun baru cina. Tengah malam baru bergerak pulang ke Melaka. 



Terima kasih suami, anak-anak ikutkan kehendak umi dan ipar yang membantu menjaga mertua sementara kami bermusafir.


Tahniah Pn Saadiah dan tim JT. Semoga terus maju dan cemerlang!


Aina Dayana Hilmi

21 Januari 2023

Khamis, 12 Januari 2023

Misi Bekal Ummi

 Misi yang saban tahun pasti jadi azam. Cuma kekangan dan kelemahan diri sendiri menjadikan azam ini turun naik. Setakat dua minggu persekolahan ini masih cemerlang lagi tahapnya. Harap berkekalan hingga akhir sesi akademik ini.


Persiapan

Hari Jumaat ialah hari saya menulis rancangan menu untuk minggu berikutnya. Saya senaraikan cadangan sarapan dan makan tengahari. Kemudian barulah saya senaraikan barang dapur yang perlu dibeli. Hari Sabtu merupakan hari yang seronok membeli-belah di pasar. Haha.

Kita boleh perasan kenaikan harga barang setiap minggu. Nanti mulalah termenung depan sayur-mayur dan ikan tu sambil mencongak bajet atau adjust semula menu. Eheh, biasa buat? Begitulah. 


 Menu sarapan

                  


Menu tengahari


Ada hari tak dapat buat juga. Tapi sekurang-kurangnya sudah bersedia dengan menu. Oh, pagi-pagi memang tak sempat nak ambil gambar bekal. Ini pun dah sub kerja buat air dan setup meja kepada anak-anak. Perlahan-lahan lepas ini nak bahagi tugas menyediakan sarapan pula. Insya-Allah.

Atas meja perlu susun 6 bekas makanan mewakili saya dan suami, tiga orang anak yang bersekolah rendah dan bayi. Lagi dua orang tak perlu dibekalkan makanan. Air minuman juga isi sendiri dan kalau boleh sudah siap diletak pada beg sekolah masing-masing. Keluarga besar, perlu fikir tip and trick untuk optimumkan masa bersiap waktu pagi. Kalau tidak, umi stres. Hiks.

Jauh dari sempurna. Ini pun selalu orang komen. Entahlah, kita jalan terus dan cuba baiki diri, kan?

Jumpa lagi.

Minggu kedua Januari

 Alhamdulillah Allah izinkan bertemu tahun yang baharu. Ada banyak peristiwa menarik berlaku sepanjang 12 hari ini. Dari sudut kesihatan, kerjaya, pencapaian peribadi dan lain-lain.

Minggu pertama sudah diuji dengan sesak nafas. Tapi saya akui saya tidak menjaga makan minum dengan baik pada minggu akhir Disember. Kesannya dirasai pada hari ketiga bekerja.

Malang sekali saya telah didiagnosis menghidap darah tinggi. Satu penyakit yang saya tak mahu bertandang tetapi sudah pun diberi ubat. Terpaksalah konsisten memakannya. Dan berjujuklah tarikh temu janji klinik kesihatan selepas ini. 

Dari sudut kerjaya, kami masih dalam sistem akademik sesi 2022 / 2023. Cuti lepas sempat saya siapkan modul asas untuk mata pelajaran Bahasa Isyarat Komunikasi (BIK) Tahun 2 dan 5. Semoga ia membantu anak-anak ini catch up dengan silibus sebelum tahun 2 dan 5 berakhir.

Ada beberapa orang rakan guru yang bertukar sekolah. Antaranya Ustaz Aziz ke SRA Jaim Kg Tun Razak, Kak Wana ke TUNSAS dan Kak Shazlin ke SK Batang Melaka. Semoga dipermudah urusan mereka dan dimurahkan rezeki di tempat baharu. 

Hasil paksaan rakan guru, saya turutkan juga memasuki pertandingan inovasi sedangkan diri tidak begitu bersedia. Dapat pula guru besar dan rakan sekerja yang menyokong, maka marilah tidak menghampakan hasrat orang. Minggu hadapan adanya pembentangan demi pembentangan berserta tanggungjawab berkaitan pertandingan ini. Jadi, doakan saya ya.

Kelas mengaji sudah bermula pada 3 Januari dan ada dua orang tenaga pengajar setakat ini. Seorang mengajar bermula 5.00 hingga 6.00 petang dan saya 6.00 - 7.00 malam. Tapi saya biasanya akan hadir juga pukul 5.30 petang. Bimbang murid akan pulang lewat selepas maghrib. 



Rabu, 21 Disember 2022

Bila anak sakit

 Penghujung minggu kedua cuti sekolah, apa yang dibimbangi nampaknya berlaku. Mulai malam tadi ada anak mula muntah-muntah. Pagi ini ada yang sakit perut dan cirit-birit. Saya masih cuba bertenang. Namun, apabila waktu sudah menghampiri tengahari, mahu tidak mahu perlu segera ke dapur untuk memasak.

Anak sulung tiada. Dia menghadiri bengkel di Bandar Melaka. Anak-anak yang lain, ada yang balik ke rumah nenek dan ada yang bermain di luar. Lagipun, si kecil ini hanya mahu dengan saya. Sudahnya, sambal atas dapur hangit. "Tak payahlah masak, pergilah tengok baby tu. Menangis je. Kesian," kedengaran sura nenek dari dalam bilik.

Tak boleh jadi. Telefon suami dan minta bantuan jaga si kecil jika urusannya sudah selesai di luar. Alhamdulillah, 20 minit yang berharga dapat masak makanan tengahari sementara si kecil aman dalam jagaan abinya. Anak oh anak. Bila tak sihat, begitulah kan. Untuk makan tengahari (dan malam) hari ini dapatlah sambal udang, salad timun dan ayam goreng.

Saya bukan orang yang pandai memasak. Waktu bekerja, memang selalu beli di luar. Hanya waktu cuti usahakan juga memasak di rumah. Saya ni tak kuat stamina agaknya. Balik dari kerja, ambil anak, urus diri dan ke kelas al-Quran. Menjelang maghrib baru balik semula ke rumah. Waktu ini terasa mahu lelap sahaja. Tapi keadaan di rumah tak mengizinkan. Perlu rapikan sebaiknya sebelum tidur.

Jadi cuti hujung minggu dan cuti sekolah dapatlah melepas lelah sedikit. Kadang rasa diri sendiri sangat lambat buat kerja. Bikin stres juga. Tapi hidup perlu diteruskan dengan perancangan awal dan sistematik. Doakan saya ya.

Melepek je. Tidur. Tak nak makan. Minum pun muntah. Syafaakillah anakanda.



Isnin, 12 Disember 2022

Random thoughts

 Memaksa diri tidur awal sebelum pukul 10 malam baru saya lazimi enam bulan terakhir tahun ini. Tapi adakalanya terlajak juga. Banyak kelebihan tidur awal untuk kesihatan, kan? Antaranya kita boleh terjaga lebih awal. Maka ada peluang untuk beribadah tengah malam tanpa rasa mengantuk. 

Ada hari bila saya tidak menjaga waktu makan dan banyak berfikir, jam sudah melepasi 10 malam pun masih tidak dapat lelap. Maka terkebil-kebil mata ini melihat semua orang tidur. Saya pun tak suka keadaan ini. Bangun pagi akan rasa letih, buat kerja rumah terkejar-kejar dan di pertengahan hari mengalami sakit kepala yang memerlukan tempoh tidur yang cukup untuk menghilangkan sakit itu.

Jadual harian padat (macamlah orang lain tak sibuk😅) sehingga datang fikiran dan persoalan yang bukan-bukan. Waktu itu saya akan cuba bertenang, usaha selesaikan yang wajib dan urus anak untuk distract suara-suara dalam kepala. 

Kesimpulannya saya perlu jaga waktu tidur dan jaga makan untuk kesihatan. Post untuk ingatan diri sendiri ni.

P/s : Tidur lambat hari ini sebab anak bongsu demam. Bimbang pula kejadian sawan berulang. Doakan dia cepat sihat ya. Terima kasih.


Aina Dayana Hilmi

12 Disember 2022

Isnin, 5 September 2022

Corat-coret awal cuti sekolah

Alang-alang adik ada balik, kami pun ikut dia ke kedai cermin mata. Senang nak tanya sebab ada optom dalam keluarga. Yalah, harga cermin mata bukan calang-calang, kan? Jadi boleh minta pandangannya. Tiba di HS Optometrist, rupanya orang lain yang mahu periksa power mata, orang lain rupanya yang alami masalah lebih teruk.

Sayalah asalnya mahu buat cermin mata. Tetapi selepas melalui pemeriksaan dengan optom di situ, beliau berpandangan saya hanya perlu buat terapi mata kerana otot mata letih dan masalah strabismus (juling) yang agak ketara menjelang petang. Ini kerana mata telah letih dengan aktiviti sepanjang hari. 

Disarankan buat terapi fokus kepada satu objek yang perlu digerakkan ke hadapan dan mendekati mata. Kedua, disarankan melakukan rules 20-20-20 iaitu 20 minit membaca atau membuat kerja dengan gajet, 20 minit lagi berehat dengan memandang jauh di luar. Kemudian sambung dengan kerja semula.

Semua anak yang ikut serta diperiksa mata oleh optom menggunakan alat khasnya. Saya tidak tahu namanya. Hasilnya, semua anak memang ada power silau terutama anak sulung yang memerlukannya memakai cermin mata. Power silaunya melebihi 300 dan ia menjadi red alert buat kami untuk semak kembali apa yang dibuat sebelum ini.

Saya fikir aktiviti membacanya dalam keadaan baring dan tidak cukup cahaya menyumbang kepada power naik. Betullah naluri seorang umi ini. Sejak PKP dahulu, dia selalu mengadu sakit kepala dan selalu tidur (mungkin mahu mengurangkan pening). Saya sudah agak yang matanya perlu diperiksa.

Suami juga tanpa disangka perlu buat cermin mata dan datang untuk pemeriksaan lanjutan selepas beberapa minggu ekoran saraf matanya agak besar berbanding ukuran normal. Doakan tiada apa-apa ya. Sesudah memilih cermin mata dan buat bayaran deposit, barulah kami beransur pulang.

Di rumah, rupanya ayah mertua mula tidak sihat. Perutnya kembung, sukar buang air besar dan mula muntah hitam. Allahuakbar. Seperti simptom yang dialami oleh datuk saya dahulu. Adik ipar bersiap-siap dan memanggil ambulans. Ayah sudah dimasukkan ke wad dan keadaan dilaporkan stabil. Saya kira doktor akan buat prosedur memasukkan kamera ke dalam perut. Masih menunggu berita selanjutnya.

Doakan kami sekeluarga ya.
Terima kasih.

Khamis, 11 Ogos 2022

Emosi

Dalam subjek BIK tahun 2 ada satu latihan membaca yang menyentuh sedikit kosa kata emosi / perasaan. Jadi saya tambah sedikit beberapa perbendaharaan kata untuk murid kenali, cam dan ingat kod serta ejaan. Bukan mudah juga sebenarnya.

1. Murid perlu tahu visual emosi.
2. Murid camkan kod isyarat yang tepat.
3. Murid perlu hafal ejaan yang betul.




Saya namakannya sebagai roda emosi. Cara menggunakannya :

1. Cetak berwarna.
2. Laminate dan gunting ikut bentuk bulatannya.
3. Potong dan buang bahagian "Perasaan".
4. Tebuk sedikit lubang di tengah dan letakkan aksesori (saya lupa istilahnya) supaya ia boleh bergerak bila dipusingkan.
5. Lekatkan sekali anak panah.
6. Tunjukkan anak panah pada perkataan. Misalnya "sedih" dan pusingkan gambar pada lapis kedua sehingga bertemu gambar sedih.

Begitulah seterusnya.

5 minit sebelum P&P, murid akan disoal tentang perkataan yang telah dipelajari dalam kelas-kelas terdahulu dan saya akan tambah perkataan baharu dari masa ke semasa. Jika sudah belajar 30 perkataan sebelum ini, kesemua perkataan itu saya tanya secara rawak. 

Gambar kartun di atas saya ambil secara rawak di internet. 

Jemput guru BIK atau ibu bapa untuk gunakan bahan ini. 

Aina Dayana Hilmi,
11 Ogos 2022

Sabtu, 10 Julai 2021

Menghitung masa

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 

 PKP 3.0


Hari ini menyaksikan angka kes Covid-19 sudah melebihi 9,000 kes. Allahuakbar. Sesak rasa di dada. Tapi saya memilih untuk terus menutup media sosial buat sementara waktu. Biarlah dahulu. Berita pun tak baca. Ada seribu satu perasaan. Mari alihkan kepada benda lain.

Kebun ayah. Banyak pokok pisang, durian belanda dan ada sedikit pokok betik, pokok rambutan, pokok durian sebatang, pokok cili, daun pandan 


Anak


Masih meneruskan PDPR untuk minggu yang keberapa. Umi pun sudah lost count, lost focus. Apatah lagi anak-anak, kan. Baru tiga orang sekolah, yang sulung boleh diharap selesai semua tugasan. Pandai urus masa sendiri. Yang nombor tiga pun cakna kerja sekolah.


Tapi yang nombor dua memang nak bagi umi abi pahala lebih. Haha. Waktu mood dia baik, kita pun senang hati tengok dan suka nak mengajar dia. Tapi tiba angin puting beliung dia datang, cakaplah apa pun pasti tak berkesan juga. Yang berkesan ialah bagi dia pergi main banyak-banyak dulu baru dia ok.

Kutip rambutan. Atok cantas dahan sebab mengganggu wayar elektrik. 

Makan


PKP kali ini bertambah ramai yang membuat jualan makanan. Setiap hari ada sahaja menu yang dimuatnaik iklannya dalam WhatsApp group komuniti. Menarik dan kreatif. Semoga dimudahkan urusan para penjual. Sesekali kami beli juga. Ada roti, kek, nasi, lauk-pauk, kuih-muih, makanan sejuk beku dan lain-lain.

Saje kongsi. Aiskrim lejen kan. Kisahnya adik nak beli asyik sold out. Kemain kan.


Hobi


Ada hobi barukah sekarang? Suka tengok kawan-kawan berkebun, mengait, deko rumah sendiri, buat bisnes surprise delivery dan lain-lain. Buatlah apa yang disukai, elakkan fikir benda negatif. Perlu urus emosi sendiri agar Kita juga dapat urus keluarga dengan baik insya-Allah.

Gambar lama. Rindu nak keluar tanpa mask macam dulu, kan? Apatah lagi nak berkumpul ramai-ramai dengan ahli keluarga

Selamat beristirehat semua.

Jumpa lagi insya-Allah.

Rabu, 30 Jun 2021

Asthma attack

 Saya terbaca seorang ibu haruslah sihat untuk keluarganya. Kerana ibu yang tidak sihat, akan memberi kesan kepada keluarganya.

Dalam keadaan saya kini, saya akui kebenaran kata-kata itu. Diserang asthma lebih sebulan, bukan berita baik. Tambahan lagi dengan PDPR anak-anak, kerja rumah serta mempunyai anak kecil, ia melelahkan. 

Saya sentiasa mencari ruang berehat kerana nafas yang pendek-pendek. Adakala tidak dapat menyantuni semua anak serentak. Maka menunggulah mereka sehingga saya bantu seorang demi seorang.

Apabila bertemu doktor sebelum ini, barulah diketahui diri mempunyai resdung yang teruk. Doktor ENT telah memasukkan kamera kecilnya ke dalam hidung saya. Seperti diduga (kata beliau) ada banyak lendir pekat berwarna putih berada di dalam hidung.

Ia tidak keluar sebagai selsema sebaliknya "block" hidung dan mungkin turun ke tekak dan paru-paru. Dan ini antara punca mengapa saya menghidap lelah. Begitulah lebih kurang ayat beliau.

Musim Covid sekarang, pesakit asthma tidak lagi menerima bantuan oksigen sebaliknya hanya diberi inhaler. Entahlah, kadang saya rasa mahu putus asa dengan ubat-ubatan. Tapi kita tak boleh berhenti berikhtiar, bukan?

Setiap malam saya sukar tidur. Tak ada istilah tidur-tidur ayam. Memang tak boleh tidur langsung pun ada. Di rumah, saya ada sesekali mengambil nebuliser atas nasihat dan pantauan doktor.

Doakan saya ya. Moga sabar hadapi ujian ini. Biasanya akan sembuh juga tapi mengambil masa yang lama.

Rabu, 30 September 2020

Aman ke klinik gigi

 Menggeleng kepala sahaja saya hari ini. Sememangnya bila ada bayi kecil, hidup saya pun terisi penuh. Banyak fokus kepadanya sahaja. Jadi sebelum buat sesuatu, saya perlu rancang satu-persatu mengikut urutan. Kadang nampak renyah tapi itulah hakikatnya. Rutin yang dijalani sepanjang jadi surirumah sepenuh masa.

Rancangnya, hari ini bawa anak keempat dapatkan rawatan gigi di Klinik Pergigian Impian di Melaka Sentral. Tanpa saya duga, dia bersungguh tidak mahu duduk menerima rawatan doktor! Boleh pula dia lompat dan berpaut kukuh pada leher saya. Sudahlah ummi ni mengelek Ahla sekali 😬 Memang anak bertuah.

Puas abang ngah tolong pujuk. Tak makan "saman" juga 🤭


Kak Teh tinggal di rumah mak sekejap. Manakala abang ngah, si kecil Ahla dan Aman ikut ke klinik gigi. Lebih 1 jam berusaha memujuk, tidak berjaya juga. Dengan berat hati, terpaksa pulang. Entah bila dapat bawa ke klinik lagi. Alasannya dia mahu abi menemani ketika rawatan dibuat.

 Haih la anak. Andai kamu tahu bersusun kerja rumah ummi kena buat hari ini 😅 Terima kasih Dr Maslina sabar melayan kerenah anakanda ni. Insya Allah jumpa lagi lain kali.

Hari ini sangat panas. Saya pun tak semak berapa suhu. Ada dua tempat sejuk dalam rumah ini iaitu bilik mertua dan bilik anak. Tak akan mahu menumpang bilik mak mertua 😬 Bilik anak pula penuh . Mereka tidur keletihan lepas pulang dari sekolah. 

Ahla pula meragam. Hmm.. tepuk sampai tidur dan ummi memilih untuk habiskan bacaan Dia Tinggalkan Tanda oleh Pn Roza Roslan. 

Hari ini rasa tenang sedikit. Tiada adegan gaduh dari anak-anak. Legaaa. Bagi ummi tenang-tenang, melepas lelah mengurus kerja rumah. Barakallahu fik anak-anak.


Aina Dayana Hilmi,

t.me/ainadayanadotcom

Selasa, 4 Ogos 2020

Merenung Masa Berlalu

Bismillah.

Dahulu terasa pantas sahaja boleh siap entri. Sekarang, untuk duduk menaip bukanlah satu kelebihan lagi. Masa sudah terbahagi kepada banyak bahagian. Atau mungkin saya yang tidak pandai mengurus masa?

PKP yang mendebarkan ekoran Covid-19 tidak menghalang saya dari terus membaca dan menulis. Alhamdulillah sempat terbitkan sebuah buku antologi bersama 19 rakan Daie Pena yang lain.

Buku Kita Mesti Menang! Kisah perjuangan 20 orang guru melawan Covid-19. Alhamdulillah Allah jua yang mengizinkan semuanya terjadi.


Sekian lama tidak membaca buku keibubapaan, baru kali ini saya mula menyelak helai demi helai. Terkesan dengan perkongsian Ustaz Hasrizal, Ayah Edy, Ustaz Umar Muhammad Noor dan Dr Zuridah Hanim. Antara coretan mereka seperti :

🎯 Seni Berfikir yang Hilang
🎯 Ayah Edy Punya Cerita
🎯 Ikon Rijal
🎯 Kenapa Kita Hidup Anakku?

Banyak benda saya muhasabah semula. Terutama penerapan akidah dan akhlak anak-anak. Benar-benar mengetuk minda. Saya harus berubah! Kerana Allah. Bukan kerana dunia. Insya Allah.

Doakan saya. Banyak benar kelemahan diri perlu dibaiki. 

Jumpa lagi insya Allah.

Khamis, 23 April 2020

Innalillahi wa Inna ilaihi rojiun


Telekung dibuka. Sejadah juga sudah dilipat oleh abang Uda Dan disusun ke tepi dinding. Kami baru usai solat maghrib berjemaah. Jam di dinding menunjukkan pukul 7.50 malam.

"Innalillahi wa Inna ilaihi rojiun.."
Kami sekeluarga menoleh ke arah suami. "Mak, mak. Cik Aziz baru sekejap meninggal dunia."

Allahuakbar. 
Innalillahi wa Inna ilaihi rojiun.


Tergamam mendengar berita ini. Perlahan saya pandang ke arah jam dan terdetik. Ya Allah, masih sempatkah daku bertemu ramadan?

Sungguh benarlah kematian itu sangat dekat. Bila-bila masa sahaja kita dipanggil pulang. Itu pun masih tidak sedar-sedar juga wahai diri 😥 Telah jelas di dalam al-Quran Allah berfirman di dalam Surah al-Mulk ayat 2 :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا


Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. [al-Mulk/67:2].

Pakcik ini telah lama menjadi kenalan rapat keluarga mertua. Yalah, orang kampung sini juga. Seorang yang baik, rajin, suka menyambung silaturrahim, suka belajar, menghadiri majlis ilmu, bersedekah.

Teringat senyum manisnya. Selalu menaiki motor atau kereta ke mana-mana dengan isteri. Isterinya juga seorang yang tenang, suka tersenyum dan sangat istiqamah belajar di masjid.

اَللهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Allaahummaghfirlahu warhamhu wa’aafihii wa’fu anhu 

Maksudnya : Wahai Allah, ampunilah, rahmatilah, bebaskanlah dan lepaskanlah dia. 

Aina Dayana Hilmi,
Peringatan Ramadan.


Rabu, 30 Oktober 2019

Berpindah ke web baru

Assalamualaikum semua.

Saya telah berpindah ke web baru : ainadayana.com mulai Mac lalu. Namun disebabkan web hilang beberapa bulan, saya baru memulakan semula penulisan di sana mulai September. Jemput berukhwah di sana ya.



Aina Dayana Hilmi

Sabtu, 17 Ogos 2019

Senyumlah

Dulu saya ingat senyum adalah perkara yang mudah. Ala, tarik sikit bibir tu, dah jadi senyumlah 😅

Tapi selepas beberapa tahun, saya menyedari yang saya ini berwajah serius. Semasa di kampus, saya menyertai kelab kaunseling dan ada satu aktiviti di mana semua orang perlu tuliskan first impression terhadap kawan yang baru pertama dikenali.

Dalam kumpulan kami, ada 10 orang. Kesemuanya perempuan. Sebahagiannya ialah kawan serumah sendiri jadi tak ada masalah pun nak komen pasal mereka. Sebahagian yang lain baru pertama kali dikenali dalam kelab ini.

Kami dikehendaki menulis atas kertas dan memasukkannya ke dalam sampul nama orang berkenaan yang telah ditampal di dinding di awal aktiviti. Disebabkan masa sudah tamat, sampul itu dibawa pulang dan tidak perlu dibacakan di situ (pensyarah pilih secara rawak bacakan komen yang didapati).

Ada dua komen yang menasihati saya supaya senyum apabila berjumpa atau terserempak dengan kawan-kawan. Oh, terima kasih kepada yang menegur. Jika tidak, saya memang tak peka dengan keadaan ini. Nampak kecil tetapi memberi impak First Impression orang terhadap diri kita.

Rasulullah Sollallahu alaihi wasallam bersabda : Janganlah kamu meremehkan kebaikan walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang ceria. (Hadis Riwayat Muslim).

Terima kasih buat kawan tersebut. Nasihat yang diterima 16 tahun lalu sangat saya ingati hingga hari ini. Senyum adalah sunnah. Jom tambah dalam senarai berbuat baik kita hari ini.

Ummi,
Senyum asas kasih sayang.

Jumaat, 22 Mac 2019

Bila ummi masuk pertandingan

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 


Minggu lalu semangat sungguh membaca. Alhamdulillah. Sudah pulang buku dan pinjam yang baru.


Teruja melihat buku Jejak Tarbiah ada di perpustakaan. Sebenarnya gembira juga melihat banyak buku baru yang disusun oleh pustakawan. Setakat hari ini baru 3 buah buku dibaca.

Bermula 1 Mac hingga 31 Disember 2019, Pihak Perpustakaan Negeri Melaka (Perpustam) ada membuat Pertandingan Pembaca Terbaik yang terbahagi kepada 4 kategori serta syarat berkenaan.



Pinjaman lalu sudah selesai dibuat resensi. Rupanya saya perlu dapatkan cop majikan sebelum menghantarnya ke pihak Perpustam. Nampaknya perlu tunggu banyak resensi baru saya hantar :-)



Ummi anak lima,
Mencari pengalaman sertai pertandingan.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 21 Mac 2019

Surat dari anak

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 


Sejak anak-anak memulakan sesi persekolahan tahun ini, jadual mereka semakin padat. Dengan kerja sekolah yang banyak menyebabkan masa membuat kerja itu hampir sepanjang waktu. Hmm..

Masih lagi bergelut untuk jadual hafazan dan bacaan al-Quran mereka. 

Suatu hari, saya nampak si kakak duduk menggunakan "magic pen". Tapi saya biarkan sahaja. Rupa-rupanya ini yang dia buat :





Terharu.

Sudah lama tak dapat surat dari anak-anak. Hihi. Jurnal mereka pun sudah lama tidak berisi. Semuanya perlu bermula semula. 


Beginilah, ummi anak lima mencatat memori :-)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015