Memaparkan catatan dengan label AinaBaca2023. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label AinaBaca2023. Papar semua catatan

Rabu, 6 September 2023

Anekdot Pencinta Al-Quran






Rembesan air mata laju menuruni pipi tanpa dipaksa-paksa. Membaca naskhah Anekdot Pencinta al-Quran ini dari awal sehingga noktah terakhir menerbitkan pelbagai rasa dalam diri.

Ya Allah, rezekikan kami membaca kalam-Mu dan akrab dengannya tanpa satu hari pun ketinggalan. Aamiin.

Al-Quran mukjizat yang diturunkan kepada Baginda Nabi Muhammad SAW memberi makna kepada setiap jiwa yang membacanya. Ada orang berpeluang belajar al-Quran dengan mudah. Ada orang berliku jalannya mendalami al-Quran.

Tetapi Allah tetap bimbing hamba-Nya yang berusaha melalui pelbagai cara. Terkesan dengan beberapa nasihat tuan guru al-Quran daripada penceritaan penulis.


3 Pesan Sheikh Mahmud


Selepas mempelajari al-Quran, jangan lupa :

 1. Praktikkan apa yang telah dipelajari.

2. Jaga amanah terhadap al-Quran.

3. Sebarkan kebaikan al-Quran kepada orang sekeliling.


Sejujurnya saya tertampar dengan pesanan nombor 3 itu. Sejak ramadan tahun ini, kelas mengaji kami terpaksa dihentikan sementara waktu ekoran keadaan kesihatan saya dan anak-anak serta persiapan kami suami isteri dipanggil menjadi tetamu-Nya pada musim haji 1444H.

Selepas pulang pun, kelas belum dapat dibuka atas kekangan kesihatan dan masa. Rasa bersalah selalu menghantui diri sehingga terbawa-bawa ke dalam waktu tidur. Namun, sungguh. Belum ada kekuatan untuk mulakan semula.


Cara memilih guru al-Quran


Panduan daripada Sheikh Wael, Pengelola Pusat Pengaiian Darul Itqan Mesir ini sangat bermakna. Carilah guru al-Quran yang betul. 

1. Antara ciri guru yang baik ialah bersungguh-sungguh menegur setiap kesalahan murid. Guru ini bersifat ikhlas.

2. Ketika mengajar, dia tidak berfoya-foya membuat urusan lain seperti bermain telefon.

3. Memberi perhatian penuh kepada murid. Ibarat seorang ayah yang sedang mendidik anaknya.


Ia bukan sahaja mendidik al-Quran bahkan menunjukkan tauladan sedang berusaha mendalami dan mendekati Allah.


Subhanallah alhamdulillah allahuakbar. Terima kasih penerbit dan penyelenggara serta tim yang berusaha MEREALISASIKAN penerbitan buku ini. Semoga ada kebaikan diperolehi dan diamalkan daripadanya. 


Tahniah semua rakan penulis! Barakallahufiikum.


Nota : Ketika ulasan ini ditulis, buku sedang dicetak semula dek beberapa kesilapan teknikal yang perlu dibaiki. Buat kalian yang ingin mendapatkan naskhah ini, masih boleh dapatkan dengan harga promosi daripada saya dan rakan penulis lain.

Harga pratemph RM35 sahaja termasuk pos Semenanjung. Boleh klik sini untuk tempahan. 

Ahad, 3 September 2023

In Her Footsteps oleh Norhafsah Hamid


Sudah beberapa kali cubaan menghabiskan bacaan tidak pernah berjaya. Hari ini saya tunaikan juga hasrat itu apabila membaca kembali bait demi bait tulisan penulis.

Dalam masa yang sama hati teringat-ingat dengan bumi Haramain yang telah sebulan ditinggalkan. 47 hari di sana terasa singkat 😭 Rasa nak kembali duduk di sana.

Di dalam buku ini, saya kira puan penulis berkongsi pengalamannya berhijrah menjadi seorang muslim yang sebenar. Bermula dengan kembali membetulkan solat, bacaan al-Quran seterusnya kepercayaan 100% hanya kepada Allah.

Aha... Seolah menjadi sumbu semangat saya. Pulang daripada haji merupakan satu cabaran mengekalkan kemabruran haji. Perlu sentiasa ingatkan diri menjadi muslim yang lebih baik setiap hari. Dan buku ini menjadi salah satu pemangkinnya.

Satu demi satu bab ditulis ringkas tetapi menarik sekali susunan ceritanya. Suka dengan gaya penulis semasa menceritakan pengalamannya mengembara ke beberapa tempat bersama rakan-rakan. Lucu tetapi terselit pengajaran. 

Ibu.. Ayah.. Andaiku Menangis Air Mata Darah

 


"Seorang penulis seharusnya memulakan penulisannya dengan sesuatu yang mengingatkan pembaca untuk berbakti kepada ibu bapanya." - Shaykh Salih bin 'Awwad al-Maghamisi.


Kata hikmah ini terlebih dahulu menyapa diri ketika membuka helaian mukaddimah. Terus terbayang mak ayah sendiri di rumah...

Saya bersyukur berpeluang membaca buku ini dalam timbunan TBR books yang ada. Mengingatkan diri bahawa mentaati ibu bapa bukan sekadar suruhan Allah tetapi wasiat daripada Allah sendiri. Tiga kali Allah sebutkan di dalam Al-Quran melalui :

1. Surah Luqman ayat 14

Kami telah mewasiatkan manusia agar berbuat baik terhadap kedua ibu bapanya. 


2. Surah al-Ahqaf ayat 15

Kami telah mewasiatkan manusia agar berlaku ihsan terhadap kedua-dua ibu bapanya.


3. Surah al-Ankabut ayat 8

Kami telah mewasiatkan manusia agar berlaku ihsan terhadap kedua-dua ibu bapanya. 


Allah menggambarkan kesukaran yang ditempuhi seseorang ibu di dalam Al-Quran melalui pemilihan perkataan yang teliti dan halus seninya. Orang yang memahami bahasa Arab pasti cakna dengan maksudnya.

Takut benar dengan amaran Baginda Saw melalui hadis ini :


Semoga dia menjadi hina-dina, semoga dia menjadi hina-dina, semoga dia menjadi hina-dina!

Baginda ditanya, "Siapakah itu, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab, "Orang yang sempat bersama dengan ibu bapanya ketika mereka berdua sudah tua, sama ada salah seorang daripada mereka berdua atau kedua-duanya sekali, namun dia tidak dapat  memasuki syurga." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Nasihat penulis, sentiasalah doakan ibu ayah kita siang dan malam. Atau paling tidak di dalam solat kita. Allah tahu usaha dan apa yang kita buat. 


Terima kasih Dr Kamilin atas naskhah ini. 

Khamis, 24 Ogos 2023

Jerman, Kami Datang!

 Jerman, Kami Datang!


Mengikuti rapat hantaran-hantaran Kak Zalila Isa membuatkan diri tahu akan perjalanan mereka sekumpulan penulis perempuan ke Pesta Buku Frankfurt di Jerman. Apa jua berkaitan buku pasti menjadi satu keterujaan buat diri. Tak sabar menunggu buah tangan mereka selepas pulang dari sana. Dan inilah, sebuah buku pengembaraan yang berbaloi untuk dimiliki.


Bukunya diisi dengan esei, cerpen fiksyen, gambar, puisi dan hasil seni. Saya tidak begitu pandai membaca puisi tetapi sejak mengenali mereka, perlahan-lahan saya cuba fahami apa yang disampaikan melalui puisi. Pemilihan kata dalam puisi memikat hati. Ia antara nukilan dalam catatan Kak Zalila. Cerpennya buatkan saya tersenyum kerana terkenangkan anaknya, Umar.


Jauh berjalan, luas pengalaman. Pembaca dapat mengetahui budaya, bahasa dan kegemaran orang di sebelah sana. Sesekali ralit menatap foto yang dikongsikan sebagai latar dalam buku. Mengagumkan. Melalui catatan Pn Norsa’adah saya mengenali sastera kanak-kanak mereka melalui watak Struwwelpeter. Malah ada muzium didirikan bagi menghargai usaha penulis ini. Karyanya yang terbit tahun 1845 masih di’highlight’ sehingga kini. Hebat!


Pn Zanariah saya kenali sebagai ejen jualan buku suatu ketika dahulu. Tetapi kelebihan beliau merakam momen lebih ketara dalam ingatan saya. Sudah pasti pemergiannya ke Pesta Buku Frankfurt bagi mencari inspirasi. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku kanak-kanak seperti 24 Jam Magik, Di Mana Kawan Saya? dan Aimi Tidak Murung Lagi. Rupanya ada banyak teknik menghasilkan buku kanak-kanak seperti diorama.


Tidak sah jika tidak ke muzium setempat bagi Puan Emila. Memang melalui karya semua traveller perempuanlah membuatkan saya menghargai muzium. Sebelum ini tidak terfikir pun mahu melawat muzium Negara atau setempat kerana kurang kesedaran dan ilmu. Kini muzium menjadi salah satu agenda bila melawat sesebuah negeri. 


Muzium Gutenberg digambarkan sebagai sebuah muzium yang memaparkan sejarah panjang penghasilan buku. Muzium empat tingkat itu dibahagikan kepada bahagian khas seperti pembuatan kertas, mesin cetak buku, pameran buku sejak 500 tahun dahulu, manuskrip asal bertulisan tangan sehinggalah kepada koleksi buku kanak-kanak mereka.


Sudah pasti saya menunggu tip dari Pn Emila tentang merakam perjalanan ke dalam jurnal! Ia suatu kegemaran yang telah lama ditinggalkan. Hanya apabila anak-anak sudah masuk ke sekolah, saya membimbing mereka membuat jurnal dan dan jurnal Pn Emila dan rakan-rakan menjadi rujukan. 


Saya sangat menggemari kisah Teh dan Roti oleh Pn Nilam Tang. Anak saya berusia 9 tahun pun membaca bahagian ini dengan khusyuk. Sampai sanggup membawa buku ke sekolah untuk dibaca ketika waktu senggang (katanya). Saya harap dia tidak membaca semasa guru mengajar. Huhu. (Itu perangai uminya ketika sekolah rendah sehinggalah ayah sendiri ‘menangkap’ perbuatan saya itu!).


Banyak sticky note dilekatkan dalam buku dan insya-Allah ia akan dibaca lagi dari masa ke semasa. Banyak ilmu dan kesedaran saya perolehi melalui buku ini. Tahniah buat semua kerana menghasilkan buku yang bermakna dan berkualiti.


Sabtu, 4 Februari 2023

Ulasan Buku : Senarai Semak & Aktiviti Rangsangan Pengurusan Diri


Bacaan pemula bulan Februari dengan buku bertema pendidikan khas. Beli di PBAKL 2022 melalui personal shopper Cik Siti Rahmah.

Sebagai seorang guru pendidikan khas, saya gembira buku seumpama ini telah terbit untuk panduan ibu bapa dan kami. Secara jujurnya, menjadi guru kepada anak-anak ketidakupayaan mendorong diri sendiri untuk bersyukur dan berusaha membantu mereka sebaiknya.

Pengetahuan dari buku ini boleh diaplikasikan kepada anak tipikal dan menjadikan ibu bapa lebih peka dan membantu anak-anak. Isi kandungannya dihiasi dengan ilustrasi yang comel malah ada dinyatakan di awal buku yang anak digalakkan mewarna gambar kerana ia dilukis secara hitam putih.


Saya sukakan buku ini kerana :

- Memberi kesedaran bahawa pengurusan diri merupakan kemahiran penting di awal perkembangan anak-anak.

- Mengurus diri bukan sahaja merapikan diri tetapi merangsang anak mempelajari kosa kata yang berkaitan serta ada kesan kepada akademik mereka kemudiannya.

- Terdapat 3 bahagian tersedia bagi setiap unit kecil seperti persediaan, semasa dan selepas. Misalnya, persediaan mandi, semasa mandi dan selepas mandi. Saya kira ini seperti social story di mana anak-anak mengetahui langkah demi langkah dalam sesuatu aktiviti.

- Ada bank kosa kata. Wah! Sangat membantu dalam mengajar anak-anak.


Terima kasih kepada penulis dan tim yang berusaha melahirkan buku seumpama ini. Ini kali kedua saya membaca buku dari OT Aisyah. Sebelum ini pernah membaca Target Lima yang dipinjamkan oleh seorang rakan.


Akan cari buku beliau yang lain. Insya-Allah.


Buku 17/2023


Aina Dayana Hilmi,

4 Februari 2023.

Isnin, 23 Januari 2023

Ulasan buku : Bedar Tanpa Laut


 Ada dua situasi dipisahkan dalam buku ini namun terangkum berselang-seli. Satu, kisah pak timbal pembuat bedar. Suatu kisah yang membawa kita ke zaman silam, zaman ulung orang Melayu dengan segala kesenian dan kegagahan menghasilkan produk dari kayu dan kreatif membuat senjata.

Satu lagi kisah yang mengambil tempat di zaman ini. Betapa masih ada orang yang memiliki rasa tanggungjawab mengembalikan khazanah Melayu ke tanah asalnya meskipun orang itu bukanlah dari leluhur Semenanjung Tanah Melayu. Aneh, bukan? Sejarah tetap ada kelompok peminatnya malah pengkaji tegar yang konsisten menggali sumber asalnya.

Diperlihatkan bahawa banyak tangan tersembunyi yang mahukan sejarah yang salah ditulis ini kekal menjadi kepercayaan generasi kemudian. Bukan calang-calang cabaran para pengkaji sejarah ingin membetulkan salah faham itu.

Melalui buku ini, Pak Timbal dipujuk membantu Datuk menteri di Larut membina sebuah bedar perut labuh di saat situasi semakin meruncing dengan bunga-bunga peperangan. Saya melihat dengan kagum akan ketelitian dan firasat yang Allah anugerahkan kepada para tukang ini dalam membina bedar.

Waktu itu bukan ada jurutera, arkitek dan seumpamanya untuk membina sebuah kapal besar. Namun dengan perkiraan nisbah menghasilkan ukuran yang tepat sesuai dengan bilangan keluasan yang diinginkan. Bagaimana mereka memilih, kayu, bahan binaan serta kerjasama menghasilkan yang terbaik membuatkan ia suatu usaha yang mengagumkan.

Tidak mustahil ianya berlaku juga kepada orang lain. Keindahan seni bangsa Melayu terbukti pada ukiran yang halus dan mengandungi mesej yang berlapis. Sayang sekali, apabila khianat merajai hati, berlaku kemalangan demi kemalangan sehingga bedar itu tidak sempurna mengikut perancangan. Malah, ia terkubur terus bersama 'mastermind' bedar.

Manakala usaha Naufal dan Omar dari Yayasan Warisan menggali maklumat tentang senjata hebat orang Melayu tidak menemui kejayaan. Malah, kecewanya Naufal untuk mencari bukti keturunan Tun Fatimah di Lisbon menemui jalan mati dek kerana kematian Madam Noir. Siapakah beliau? Sungguhpun beliau mengaku bahawa beliau penduduk asal Portugal tetapi Naufal yakin matanya yang cantik itu ialah mata Melayu. Ia dikuatkan dengan lembaran catatan lama dalam tulisan jawi dalam simpanan beliau.

Kemudiannya, penemuan ukiran pada tiang rumah lama di Sungai Sepetang seolah membuka lembaran baru bagi kajian mereka. Sungguh, para sejarawan tidak akan lelah berhenti mencari kebenaran, bukan?


P/s : Boleh dapatkan buku ini dari ITBM. Saya beli dengan Pn Zalila Isa, salah seorang editor di sana.


Buku ke-10/2023


Aina Dayana Hilmi,

23 Januari 2023

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015