Memaparkan catatan dengan label Catatan pengalaman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan pengalaman. Papar semua catatan

Isnin, 12 Disember 2022

Random thoughts

 Memaksa diri tidur awal sebelum pukul 10 malam baru saya lazimi enam bulan terakhir tahun ini. Tapi adakalanya terlajak juga. Banyak kelebihan tidur awal untuk kesihatan, kan? Antaranya kita boleh terjaga lebih awal. Maka ada peluang untuk beribadah tengah malam tanpa rasa mengantuk. 

Ada hari bila saya tidak menjaga waktu makan dan banyak berfikir, jam sudah melepasi 10 malam pun masih tidak dapat lelap. Maka terkebil-kebil mata ini melihat semua orang tidur. Saya pun tak suka keadaan ini. Bangun pagi akan rasa letih, buat kerja rumah terkejar-kejar dan di pertengahan hari mengalami sakit kepala yang memerlukan tempoh tidur yang cukup untuk menghilangkan sakit itu.

Jadual harian padat (macamlah orang lain tak sibuk😅) sehingga datang fikiran dan persoalan yang bukan-bukan. Waktu itu saya akan cuba bertenang, usaha selesaikan yang wajib dan urus anak untuk distract suara-suara dalam kepala. 

Kesimpulannya saya perlu jaga waktu tidur dan jaga makan untuk kesihatan. Post untuk ingatan diri sendiri ni.

P/s : Tidur lambat hari ini sebab anak bongsu demam. Bimbang pula kejadian sawan berulang. Doakan dia cepat sihat ya. Terima kasih.


Aina Dayana Hilmi

12 Disember 2022

Ahad, 13 Januari 2019

Lawatan ke Nasyrul Quran Putrajaya kali kedua


Cuti sekolah yang lalu kami membawa 2 trip ke Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya sebenarnya. Yang pertama untuk anak-anak kelas mengaji (13 Disember) dan trip kedua untuk kaum ibu kelas mengaji pada 24 Disember.

Sebelum pergi, kami mengisi borang lawatan di laman web mereka. Dan menunggu balasan yang dihantar ke emel kita.

Kali kedua ke sana lebih seronok berbanding lawatan kali pertama kami. Kali ini lebih teratur dan ada pegawai penerangan yang membawa kami dari satu bahagian ke satu bahagian. Berbanding kali pertama dahulu, hanya ada sesi taklimat di dewan besar dan di bahagian atas kilang percetakan.



Kali ini, kami mendengar taklimat penuh dari seorang pegawai perempuan. Jelas sekali penerangannya. Sempat juga semua ahli rombongan berselawat dan ada tetamu VIP hadir hari ini.

Kedua, kami dibawa ke bahagian pameran Mushaf Al-Quran Malaysia (minta maaf sudah lupa namanya). Di sini pegawai menerangkan tentang proses percetakan al-Quran dari permulaannya, memproses bahan mentah sehingga siap diterbitkan.






Meninjau ke ruang pameran, memang kagum dengan kesenian dan cantiknya tulisan dan hiasan pada setiap helai quran keluaran Yayasan Restu ini.

Mushaf Malaysia mengambil ciri-ciri setiap negeri di Malaysia lalu diadun menjadi corak dan warna tertentu. Misalnya negeri Kedah terkenal dengan sawah padinya. Maka warna utama yang digunakan ialah hijau dan kuning. Ada juga corak buah tempatan yang diambil seperti buah manggis dengan warna ungunya diadun menjadi hiasan tepi ayat-ayat Quran ini.

Kami dikhabarkan yang Yayasan Restu turut membantu membuat mushaf untuk negara lain. Maka ada pasukan penyelidik khas ditugaskan mencari ciri unik sesebuah negara untuk diadaptasi hiasannya ke dalam al-Quran tersebut.

Bahagian kedua, kami dibawa ke ruang pameran mushaf antarabangsa di tingkat 1. Seterusnya diberi penerangan di bahagian atas kilang percetakan di tingkat 2.

Seronok sungguh ibu-ibu ini mendengar penerangan. Semoga bermanfaat untuk semua.

Di ruang jualan dan Kedai Cenderamata, ada pelbagai barangan boleh didapati seperti :

» Quran
» Quran terjemahan
» Quran perjuzuk (RM150)
» poster ayat Quran bersaiz A3 (beli 4 percuma 1)
» Quran Mushaf Palestin
» Penanda buku (sekeping RM1, 12 keping RM10)
» buku nota (RM2 - sangat tebal. Puas hati guna)
» fridge magnet
» t-shirt
» button badge
» keychain
» paper bag (RM5 sebuah. Ada dua jenis corak. Warna merah jambu dan biru)
» dan lain-lain



Di ruang jualan berdekatan eskalator, boleh bayar secara tunai dan kad debit. Tetapi di kedai cenderamata hanya tunai diterima setakat ini.

Ada juga kaunter wakaf Quran dibuka bagi sesiapa yang mahu mewakafkan al-Quran. Antara objektif mereka mahu menyebarluaskan pemberian al-Quran ke seluruh dunia dengan harapan 1 rumah 1 mushaf al-Quran.

Selesai lawatan di sini, kami makan dan solat di Masjid Putrajaya dan kemudian ke kedai coklat milik Bumiputera di Nilai sebelum singgah di Nilai 3 membawa kaum ibu ini. Senyum sahaja melihat mereka membeli-belah.

Kami tidak membeli apa-apa. Sekadar meninjau dan berehat di situ.

2019 ke mana pula destinasi kami? Entah ada umur atau tidak. Berhajat untuk ke Masjid Negeri Shah Alam, Yayasan Restu Shah alam dan Perpustakaan Raja Tun Uda Shah Alam. Wallahualam. 

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 11 Januari 2019

Bekal minggu kedua (7-11 Januari)



Alhamdulillah masih mampu menyediakan bekal anak ke sekolah minggu ini. Tapi tak ada gambar, segan pula nak ambil. Tak ada deco pun :-)

Isnin : Nasi goreng (left over nasi minyak dan nasi putih semalamnya) + hirisan ayam goreng + buah oren

Selasa : Benjo + nasi goreng + buah jambu batu (mereka tak boleh move on dengan nasi goreng sedap katanya. Haha)

Rabu : Cekodok + karipap + buah lai

Khamis : Bubur nasi + telur dadar + ikan bilis + roti sandwich sardin (sarapan di rumah)

Jumaat : Nasi lemak

Another journey chef at home next week. Hehe. Bagi can lah nak perasan chef pun ;)

Terjumpa dua web yang berkongsi menu bento. Menarik. Mana tahu ada yang mencari :



Jumpa lagi.

Khamis, 3 Januari 2019

Hari pertama persekolahan. Satu catatan.


Hari pertama persekolahan semalam berlalu cemerlang ;) Anak-anak mudah bangun dan diatur. 


Bermula tidur awal sehari sebelumnya iaitu sebelum 9.30 malam. Kemudian bangun dalam 5.15 pagi, urus diri dan solat sunat fajar. Mereka ke masjid solat subuh bersama abi, pulang dari masjid menukar pakaian sekolah, bersarapan dan membaca zikir pagi.

Pertama kalilah juga ummi merasa menyediakan bekal sekolah anak-anak. Nampaknya rutin seperti bekerja dahulu bermula semula. Bangun sebelum 5 pagi kerana menguruskan si kecil yang masih menyusu sebelum meneruskan kerja hakiki.

Menu pun anak-anak dah sedia awal-awal.

Rabu - Nasi Lemak
Khamis - Cekodok pisang
Jumaat - Benjo telur

Untuk semalam ummi sempat sediakan nasi lemak, telur mata, ikan bilis, sambal ikan bilis, buah lai dan biskut (sebagai kudapan tengahari).

Hari ini sekadar cekodok pisang,buah jambu batu dan biskut. Tapi untuk abi, ummi beri nasi putih, ikan tenggiri masak gerang asam (masakan orang Melaka), sedikit cekodok pisang dan buah jambu batu.

Mudah-mudahan ummi sihat dan sempat siapkan bekalan untuk hari seterusnya. 

#Catatan ummi yang baru pertama kali anak masuk sekolah. 


Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-3613516
Melaka.

Selasa, 1 Januari 2019

Pembuka Tirai 2019


Teringat suatu ketika, ketika pulang dari hospital menerima rawatan. Ada seorang pakcik tua meminta bantuan saya memanggilkan GrabCar. Namun, ketika itu waktu puncak. Tiada GrabCar yang available di kawasan berdekatan.

Kasihan pula pakcik ini.

Apabila suami saya sampai, beliau mengajak pakcik ini naik kereta dan kami menghantar beliau ke tempat kerja semula di Kota Laksamana, Melaka.

Pakcik ini beragama Buddha. Suami berbual-bual tentang agama yang dianutinya. Umur pakcik ini sudah melebihi 70 tahun namun jawapan yang diberi olehnya tidak kukuh bagi saya.

Lantas saya terfikir. Allah Ya Allah, indahnya Islam. Allah sudah banyak memberi panduan kepada penganutnya namun ramai yang tidak sedar akan kesempurnaan agama ini.

Antara soalan suami :

Kenapa kita hidup, uncle?
Kenapa kita kena buat baik?
Uncle percaya ke kehidupan selepas mati?
Tuhan kita siapa ya uncle?

Sungguhpun beliau menjawab semua soalan di atas tetapi sudah pasti jawapan standard yang kita terima.

1) Kita kena buat baiklah dengan semua orang.
2) Kita kena buat baik sebab kita pun suka orang buat baik dengan kita.
3) Ya, ya. Percaya. Tapi wa pun tak tau bayangkan macam mana.
4) Itu di tokong. (Tuhan)

Suami membalas kembali dan menuturkan dengan berhati-hati dan lembut. Tuhan kita semua sama, uncle. Namanya Allah. Dan kita dijadikan di dunia ada tujuannya iaitu menjadi hamba kepada Tuhan. (Diterangkan sedikit surah az-zariyat ayat 56).

Rupanya, uncle pernah belajar tentang agama Islam ketika mudanya. Namun setelah berkahwin dengan gadis seagama, beliau melupakan hasrat mendalami Islam.

Moga terbuka hati uncle dan keluarga menerima Islam...

Sebuah catatan pembuka tirai 2019. 

Semoga tahun ini saya lebih banyak memberi berbanding menerima.
Lebih banyak sabar berbanding mengeluh.
Lebih banyak membaca berbanding bercakap.
Lebih banyak mengisi masa bermanfaat berbanding buang masa di media sosial.

Amin..amin..amin..
Ya Allah, saya memohon keampunanmu.

Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka.

Isnin, 17 Disember 2018

Lawatan luar Anak-anak Kelas Mengaji Baitul Fatimah


Alhamdulillah
Alhamdulillah

Selesai sudah program perdana kelas mengaji Baitul Fatimah Khamis lepas (13 Disember 2018). Awalnya saya tidak menyangka program ini berjalan dengan lancar kerana berlaku banyak perubahan dalam masa dua minggu sebelum lawatan ini berjaya dianjurkan.

Ekoran dari sebuah status saya di alam maya menemukan saya dengan beberapa insan istimewa yang sudi menaja program kami ini. Sedangkan kami tidak berniat mahu mencari dana. Cukup sekadar mengunakan tabungan kelas dan sedikit duit guru-guru.


Allah's will. 
Program juga sangat lancar dan menyeronokkan bagi kesemua 43 orang peserta.

Bacaan zikir pagi dan petang di dalam bas

Kami bertolak sebelum jam 8 pagi dan menuju ke Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya. Tiba pada jam 9.40 pagi. Anak-anak susun kasut di luar kompleks, Ketua rombongan mendaftar di kaunter dan kami memasuki dewan taklimat. 

Memasuki pintu masuk, mata sudah terpegun melihat keunikan ukiran dan hiasan seni bina di dinding dan syiling. Dikatakan hiasan seperti bunga ini mengandungi 99 nama Allah dan diukir pada 5 buah hiasan lampu di ruang legar dan dalam dewan taklimat.

Rombongan kami pada pagi itu bersama 4 kumpulan lagi dan kami dibahagikan kepada dua kumpulan besar. Selesai taklimat ringkas, kami dibawa ke Kilang Percetakan Mushaf di bahagian atas. 


Dari cermin, dapat kami lihat proses percetakan sedang berlangsung. Tugasan mencetak adalah satu proses yang amat penting dan tidak mengira masa. Bak kata pegawai berkenaan, mana-mana pihak yang bekerja di bahagian percetakan memang sangat sibuk dan perlu sentiasa bersedia. Sabtu, Ahad atau cuti umum tidak mengenal rehat meskipun gaji yang tinggi.

Barakallahufik tuan dan tim.

Pengunjung boleh membeli cenderahati, Al-Quran atau buku sirah di bahagian bawah (ground floor) dan di kedai cenderahati Nasyrul Quran. Ada pelbagai jenis al-Quran dijual dan kesemuanya bertulisan tangan yang telah dicetak cantik dan kemas. 

Harga bermula dari RM35 hingga ke RM150.

Ada juga buku nota, penanda buku, fridge magnet, poster bersaiz A3, t-shirt, penanda buku magnetik, beg kertas, penunjuk al-Quran dan sebagainya dijual di sini.

Selesai melawat di sini, kami bergerak ke dataran Putra di Masjid Putrajaya untuk makan tengahari dan solat jamak dan qasar. Sempatlah anak-anak ini bermain di taman permainan berdekatan.


Dalam jam 2.30 petang kami menuju ke Pusat Sains Negara. Saya berhati-hati mengira bilangan kerana mahu membayar tiket masuk. Ada juga perkara lucu yang timbul. 


Di PSN, ada sebuah rumah hantu yang dipanggil Survive The Bunker dan hanya anak-anak 8 tahun ke atas dibenarkan masuk. Tetapi ada beberapa orang anak di bawah usia 7 tahun mula menangis mahu masuk juga.


Tepuk dahi cikgu ni tau!

Huhu. Inilah sebabnya setiap kali rombongan kami tak pernah bawa anak-anak di bawah usia 9 tahun. Entah kali ini lembut hati pula nak bawa. Tak mengapalah, tiket dibelikan dan mereka bergerak dalam kumpulan bersama ibu-ibu yang turut serta dalam rombongan ini.

Tak sampai 5 minit, ada WhatsApp diterima. Anak-anak berkenaan menangis pula tak mahu masuk! Grrrr... je cikgu ni rasa. Sudahnya, semua yang takut nak masuk rumah hantu itu cikgu ambil dan bagi main di taman permainan di ground floor. Sabar sahajalah.

Agak lama di ruangan ini. Jam sudah melepasi 4.30 petang dan saya sudah berura-ura mahu balik terus. Tetapi ustaz baik hati pula benarkan ke taman luar PSN. berbondong-bondonglah anak ini ke kolam bawah sana. Hehe.

Sempatlah mandi dalam 20 minit gamaknya. Haih anak oh anak. PSN ditutup jam 5 petang tetapi kami keluar lewat sedikit memberi ruang anak-anak bersiram dan menyiapkan diri.

Jam sudah pukul 6 ketika kami melewati pintu keluar PSN. Jalan sesak di highway. Nampaknya kami terpaksa berhenti solat maghrib di R&R Seremban.

Rezeki anak-anak ini dapat makan KFC. Alhamdulillah. Kami tiba ke Melaka dalam jam 10.25 malam.

Moga Allah berkati perjalanan kami :-)

Apa pula projek lawatan tahun depan? Sudah ada cadangan, nampaknya misi memenuhkan tabung lawatan 2019.

Ahad, 9 Disember 2018

Preview Pass Big Bad Wolf 2018


Sumber gambar : koleksi peribadi.


Alhamdulillah, saban tahun hanya melihat orang dapat Preview Pass ke Big Bad Wolf Book sale. Tahun ini Allah rezekikan dapat 1 preview pass melalui Pn Hanisah Zulkifli. Alhamdulillah!


Ikutkan keadaan, badan sendiri agak kurang sihat tetapi suami pun nampak bersemangat nak bawa kami, hehe.

Ada insiden tersesat jalan. Huhu. Mujur Allah lorongkan jalan yang lebih dekat. Kami singgah solat Asar dahulu di Taman Sungai Besi Indah dan dari Google Map, rupanya The Mines hanya 2 minit dari surau Taman Sungai Besi Indah ini. Alhamdulillah!


Ummi yang teruja sangat sebenarnya tapi masih beringat-ingat ~ duit pun bukan banyak. Hee.

Memang sudah ada target mahu beli buku cerita bahasa Melayu terbitan Pelangi kerana harganya RM2 - RM3 sebuah.




Subhanallah, memang banyak sangat pilihan. Maka, terkial-kiallah saya memilih sambil mengira bajet setiap orang yang mengirim buku.




Sempatlah belikan untuk adik-adik, adik ipar dan kawan-kawan. Suami dan anak-anak saya pergi explore sendiri buku di BBW. Saya memang statik di bahagian Bahasa Melayu sahaja.

Ada juga buku latihan. Murah dan buku masih baru - mengikut silibus semakan baru KSSR 2017 (sekolah rendah).

Dari pintu masuk utama, sebelah kiri akan jumpa bahagian bahasa Melayu - buku kerja, buku cerita terbitan Pelangi, FIXI, PTS, Ana Muslim dan lain-lain. Sebelah kanan buku-buku permintaan tinggi seperti buku Atlas, ensiklopedia, novel, buku terbaru Harry Potter dan lain-lain.

 Saya dapati buku sangat banyak. Seksyen kanak-kanak (board book dan activity book) berada di sebelah tingkap dan bersebelahan dengan Kafe serta berada di tengah dewan.

Bahagian lain memang saya tak jengah. Tak beraniii. Hehe.

Apa pun hats off to all Personal Shoppers sebab mereka sangat gigih dan berusaha memenuhi tempahan pelanggan.

Ini antara buku yang dikirim oleh adik-adik dan kawan-kawan :




Buku yang sangat laris. Saya yang terakhir capai 3 buah buku ini. Ada personal shopper sudah borong. Hehe

Kawan kirim Alphabet tapi saya hanya jumpa ini sahaja


Saya rasa mahu ke BBW sekali lagi. Ada yang mahu kirim? :-)

Khamis, 25 Oktober 2018

HSGS Melaka First Playgroup



Alhamdulillah, dapat hadir ke perjumpaan pertama Ahad minggu lalu. Terima kasih suami yang memberi keizinan dan menghantar kami ke tempat program.

HSGS ialah singkatan kepada Homeschooling Genius Syurga, sebuah platform kumpulan di Facebook untuk para ibu berkongsi idea aktiviti anak-anak. Ia dipelopori oleh Pn Shahsuzlina Omar atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lin.

Untuk Negeri Melaka, admin HSGSnya ialah Pn Sakinah Rafiee yang mula saya kenali seawal tahun 2009 dahulu. Seorang ibu muda yang penuh semangat dan ‘humble’. Psstt..Chocolate Chip cookies dia sangat sedap! ;)

Ok, kami memilih Tasik Ayer Keroh sebagai tempat berkumpul. Meskipun diuji sedikit dengan cuaca tetapi ia tidak menghalang hampir 15 buah keluarga datang berhimpun. Aktiviti terisi penuh antara jam 10 pagi hingga 12 tengahari itu.

Ada 2 aktiviti sempat dijalankan iaitu :

1)    Buku Alam – anak-anak dikehendaki mencari daun, batu dan ranting dan ditampal dalam folio Buku Alam masing-masing. Macam-macam gaya anak ini mencari bahan.
2)    Cop sayuran – ini kami bawa siap-siap dari rumah. Saya bawa bawang besar (yang dipotong melintang), bendi, sayur sawi dan lobak. Anak-anak mewarnakan dan mencorakkan kertas mereka dengan begitu tekun sekali.

Mujur juga ada kawan (Kak Fida). Sebab kami tertinggal tikar dan kehilangan berus warna semasa baru sampai. Biasalah, tercicir di mana-mana. Hee.
Waktu makan tengahari memang ditunggu-tunggu. Anak-anak ini sudah kelaparan agaknya. Menu yang paling laku ialah bihun goreng (Pn Sal dari Merlimau) dan buah tembikai. Sedap! Alhamdulillah. Banyak sungguh makanan terhidang sehingga tak tercapai mahu rasa semua. Hihi.

Saya pun sempat jamah satu cekodok dan sepotong sandwich sardin. Tak tertelan rasanya sebab memerhati 6 anak yang dibawa. Suami tiada bersama kerana perlu menghadiri program lain di kampung.

Waktu mengambil gambar juga meriah. Alhamdulillah sesi fotografi yang ringkas tetapi mendapat kerjasama baik dari semua. Suka sangat!

Pulang dari Tasik Ayer Keroh, kami menumpang Kak Fida untuk ke Masjid Alami MITC. Terima kasih sekali lagi ya Kak Fida dan suami. Malu juga dengan kami 7 beranak. Alhamdulillah muat dalam keretanya. Berkat insya Allah ;)








Dengar khabar, minggu ini ada Playgroup kedua pada hari Sabtu, 27 Oktober 2018. Nantikan pengumumannya dari admin HSGS Melaka. Atau bagi anda yang ingin turut serta dalam komuniti HSGS Melaka, boleh mesej admin di www.wasap.my/60137665084


Jumpa lagi.


Aina Dayana Hilmi
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Sabtu, 25 Ogos 2018

Raih Keampunan dengan Memaafkan


Bab pertama dari buku Melakar Damai di Jiwa oleh Ustaz Pahrol ini menyentuh tentang Meraih Keampunan dengan Kemaafan.

Indahnya firman Allah ini.


Ditambah lagi dengan nukilan ustaz, hati rasa sayu apabila terkenang sebuah peristiwa di sekolah menengah. 

Pernah satu ketika saya menghadapi konflik dengan seorang rakan, puncanya saya menasihati (dengan menulis surat kepada) beliau supaya menjaga aurat kerana bimbang terjebak dengan perkara yang lebih mudarat.

Rupanya perkara itu menjadi isu besar dan menjadi umpatan di belakang saya. Saya tidak tahu sehingga dimaklumkan oleh rakan sekelas.

Ada seorang rakannya mengumpat emak saya sehingga saya berasa hati. Jika marah dengan saya, saya masih ok. Tetapi apabila memburukkan emak saya, saya tidak boleh terima.

Saya pendam bertahun lamanya sehingga lupa yang saya belum memaafkannya. Subhanallah.

Mungkin hampir 10 tahun selepas itu baru saya teringat dan terus saya bersungguh memohon istighfar atas kelalaian saya memaafkan kawan itu dengan ikhlas. Allah ya Allah semoga rakan saya itu baik-baik sahaja hendaknya.

Memang, menyimpan amarah dan tidak mahu memaafkan orang sebenarnya memberi beban kepada jiwa kita sendiri.

Apabila kita memberi maaf, masya Allah hidup terasa lapang sekali. Justeru, "Allah sendiri tidak pernah jemu memaafkan kesalahan hamba-Nya" merupakan kata-kata yang paling terkesan di hati.

Jazakallahu khaira Ustaz Pahrol atas peringatan ini.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 19 Ogos 2018

Jom ubah! Ikut saranan Mufti WP


Wasiat Untuk Anakku adalah antara karya awal Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri yang saya miliki dan baca. Selepas itu saya mengagumi ketokohan beliau kerana setiap karyanya pasti mengajak pembaca membaca buku dan menggalakkan orang menuntut ilmu. Ia suatu perkara yang jarang saya temui daripada tulisan lain.

Memetik beberapa perkara daripada buku ini, suka untuk saya catatkan kembali buat rujukan masa akan datang.

Mengapa kita malas?

⌛ Tiada matlamat yang jelas
⌛ Tidak tahu natijah rajin dan malas
⌛ Sibuk dengan keseronokan lain seperti TV dan Facebook
⌛ Terasa mewah dan tidak perlu bersusah payah mendapatkannya
⌛ Akal fikiran kita hanya fokus kepada dunia
⌛ Rakan juga sama seperti kita

Penyelesaian masalah malas :

🌠 Fokus kepada matlamat
🌠 Mujahadah nafsu daripada sifat malas
🌠 Buang sikap bertangguh
🌠 Yakin boleh berubah
🌠 Jangan bazirkan masa menonton TV dan Facebook
🌠 Pilih rakan yang baik

Motivasi Membaca

Dr Zulkifli menyatakan bahawa membaca bukan kerana terpaksa tetapi ia kewajipan umat Islam. 

Misalnya seorang tokoh bernama Sheikh Muhammad Ali Tantawi ialah tokoh dan ulama berwibawa. Beliau berasal dari bumi Syam dan menetap di Arab Saudi. Beliau membaca sebanyak 10 jam sehari selama lebih 50 tahun. Masya Allah!

Bagaimana cara membaca dengan betul?

Dr Zulkifli menyenaraikan 4 perkara iaitu :

1) Berazam bersungguh-sungguh mahu membaca.

2) Tetapkan matlamat. Misalnya mahu membaca 20 muka surat dalam masa 30 minit.

3) Mencatat poin penting.

4) Cuba ingat kembali apa yang dibaca atau dicatat.

Sebenarnya apa pun teknik yang dikongsi, ia tidak akan bermakna tanpa KITA sendiri yang praktikkan.

Jom ubah!

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 8 Ogos 2018

Hello Kitty, si kek ungu


Beberapa hari lepas anakanda menyambut hari lahir ke-4. Ikutkan hati tiada persiapan dibuat. Tidak mahu mengajar sesuatu yang berlebihan buat si anak.

Namun memikirkan untuk meraikan perasaan si kecil ini, saya beralah. Tetapi banyaklah pesanan dan nasihat yang diberi kepadanya. Bla..bla.. ummi ini membebel.

Muslimah Bakery di Pertam, Melaka menjadi tempat kegemaran kami mencari kek dan roti. Alhamdulillah, rezeki Allah beri, ada Hello Kitty kegemaran si anak berada dalam kedai.


Asma', semoga menjadi anak yang solehah dan menjadi hamba Allah yang bertakwa. Doakan ummi dan abi ya.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015