Isnin, 22 Ogos 2016

Allah Itu Dekat


Subhanallah. Ada satu kejadian yang berlaku hari ini menyebabkan satu-persatu kata-kata Allah terbayang dalam minda.

Surah Al-Hadid ayat 22 hingga 23 :

Tiada satu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab  (Loh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. 

Surah Al-An'aam ayat 152 :

Dan janganlah kamu hampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga ia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil - Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya - dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhi-Nya). 

Surah al-Balad ayat 4 :

Sesungguhnya Kami telah jadikan manusia sentiasa dalam menghadapi kesulitan dan kesukaran (jasmani dan rohaninya)

Surah Fussilat ayat 51 :

Dan apabila Kami kurniakan nikmat kepada manusia, berpalinglah dia serta menjauhkan diri (dari bersyukur) ; dan apabila dia ditimpa kesusahan, maka ia berdoa dengan panjang lebar.


Qaddarallahu ma sha a. :)

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi 
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak  
 

Ahad, 21 Ogos 2016

Rahsia Allah.


Semalam bermusafir ke Kuala Lumpur menghadiri majlis perkahwinan saudara di sana. Sepatutnya sudah tiba awal namun disebabkan tiba-tiba mahu ikut jalan lain, sesat rupanya. Sejam selepas itu baru tiba di lokasi majlis. Dengan keadaan perut yang tidak selesa (sudah mula false contraction) dan anak yang muntah-muntah (mungkin kerana mabuk kenderaan), memang ia satu situasi yang tidak menyenangkan.

Kami tiba jam 11.30 pagi, selepas menjamu selera, ibu dan ayah mertua berjumpa sanak-saudara sehingga jam sudah menghampiri 2 petang. Ikutkan hati, saya mahu ajak pulang sahaja. Tidak larat menunggu lama. Rupa-rupanya ada banyak agenda lain mahu pergi berziarah. Saya redha sahajalah.

Jam menunjukkan 6.30 petang, kami dalam perjalanan pulang ke Melaka. Kami sedang melalui highway Senawang ketika saya perasan penghawa dingin tiba-tiba berhenti dan saya cuba membuka tingkap - jammed. Eh, kenapa ini? Lampu di dashboard kereta suami turut menyala. Bateri - merah, karburator - oren, beberapa ikon lain juga berwarna merah. Cepat-cepat saya minta suami berhentikan kereta di tepi jalan. Laluan di situ tiada lorong kecemasan. Dalam hati agak bimbang kerana kenderaan terlalu banyak dan sedikit sesak.

Selepas berhenti, brek kereta dan stereng terus block juga. Allahuakbar. Peluh sejuk mula keluar. Namun saya cuba bertenang. Saya lihat suami sejak awal terkumat-kamit membaca doa. Insya Allah, doa orang musafir mustajab.

Bateri telefon kami suami isteri pula kehabisan. Harapan pada telefon bimbit ibu mertua. Selepas menghubungi beberapa pihak, pihak peronda PLUS tiba. Namun, anggota berkenaan datang berseorangan jadi beliau memanggil rakannya yang lain. Sementara menunggu ketibaan anggota PLUS, saya dapati ada sebuah on tow tiba-tiba muncul dan berada di hadapan kereta kami dan sudah menurunkan peralatannya. 

Dia memujuk suami untuk ke bengkel dan memeriksa kerosakan di sana. Mengambil iktibar yang pernah berlaku kepada ayah saya satu ketika dahulu, saya meminta untuk terus menghantar kami pulang ke Melaka. Bayarannya RM250. Namun disebabkan ayah mertua cemas, terpaksa juga kami ke bengkel kereta.

Allahu akbar. Tiba di bengkel sudah hampir 7.30 malam. Ibu mertua sudah mula sakit pinggang kerana sudah duduk dalam jangka masa yang lama (beliau mengalami angin ahmar dan lumpuh sebelah kiri anggota badan). Ibu dan ayah saya pula berterusan menelefon  supaya terus pulang ke Melaka dan jangan membuat pemeriksaan di bengkel kerana harga yang akan dicaj melampau - berkali ganda.

Mekanik sudah mula mengeluarkan peralatan dan mahu memeriksa enjin kereta suami. Saya tidak melengahkan masa terus meminta on tow menghantar kami pulang. Tetapi, ada tambahan bayaran RM60 iaitu dari tempat kejadian tadi ke bengkel. Saya sudah mahu naik marah tetapi sabar lagi. 

Mekanik di situ masih berusaha memujuk suami dan ayah mertua untuk membuat pemeriksaan. Saya bertegas mahu pulang terus kerana memikirkan bayi saya yang mula tidak selesa dan ibu mertua yang kepenatan. Alasan lain ialah saya tidak mahu bersusah-payah meninggalkan kereta di Senawang dan membaikinya di sini. Biarlah kami pulang ke rumah, cari mekanik yang kami kenali dan percayai dan terus dibaiki di situ.

Alhamdulillah selepas hampir 20 minit berbincang, kereta kami pun dalam perjalanan pulang ke Melaka. Apabila difikirkan balik, saya malu juga kerana tertinggi suara ketika bertutur dengan mekanik bengkel. Mereka seperti memaksa suami untuk memeriksa kerosakan sedangkan saya tidak mahu. Sehingga terkeluar dialog, "Jika encik check juga, saya tak mahu bayar apa-apa kerana kami hendak pulang terus." Selepas berkata begitu, barulah mekanik berkenaan menyimpan kembali peralatannya. Lega.

Kami tiba di rumah hampir 10 malam. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana ibu mertua dapat menanggung kesakitan dan kepenatan menunggu terlalu lama. Mujur bayi saya tidak meragam. Selepas mandi dan makan, dia sudah mula segar.

Apa pun yang berlaku hari ini, saya sedar semuanya telah Allah takdirkan lebih awal. Cuma bagaimana kita menghadapinya. Seperti firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 22 dan 23 :

Tiada satu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab  (Loh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. 


Qaddarallahu ma sha a..


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi 
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak 

Jumaat, 19 Ogos 2016

Apabila anak mula mengamuk..


Agak mencabar apabila kita pulang dari kerja, anak-anak pula meragam. Ada yang menangis, mengekori kita ke mana kita pergi hatta mahu ikut masuk ke tandas, ada yang bergaduh, ada yang membaling barang. 

Oh hati, sabarlah.

Tarik nafas, hembus nafas. 

Fikirkan yang baik-baik, yang manis-manis sahaja tentang anak kita. Bertenang, kawal suara (dan marah) lalu peluk mereka dan bertanya.

Mudah-mudahan emosi semua yang ada dalam keadaan baik dan terkawal.

** Ingatan untuk diri sendiri ^_*

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi 
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak 

Khamis, 18 Ogos 2016

Kuliah Kaum Ibu 2


Ahad lalu (14 Ogos 2016) kelas disampaikan oleh Ustaz Wan Muhammad Fakhrurazi bin Abdul Karim, seorang lulusan Universiti Madinah. Kelas dimulai dengan bacaan zikir petang menurut sunnah.





Petang ini refresh sunnah-sunnah sebelum dan selepas masuk rumah. Hal ini merupakan perkara penting yang kerap terlepas pandang oleh kebanyakan daripada kita. Mengamalkan sunnah-sunnah ini dapat mengelakkan gangguan syaitan dan mengelakkan syaitan masuk ke dalam rumah.

Sebelum masuk ke rumah, jangan lupa baca bismillah dan memberi salam atau seeloknya membaca doa masuk rumah :



Setiap perbuatan dimulai dengan membaca basmalah seperti menutup pintu dan tingkap, menutup bekas makanan dan minuman, memakai dan membuka baju dan lain-lain.

Apabila keluar rumah juga bacalah doa seperti :


Semoga saya dan anda dapat mengamalkan sunnah Nabi ini secara istiqamah. 


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi 

Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 17 Ogos 2016

Sesi Bercerita


Setiap hari memang ada satu waktu diperuntukkan untuk membaca bersama anak-anak. Namun, sebulan dua yang terakhir ini anak-anak lebih aktif minta dibacakan buku. Termasuklah si kakak yang sudah boleh membaca, sama-sama setia menunggu kami bacakan buku. 

Allahuakbar. Sangat mencabar diri tatkala baru pulang dari kerja, dengan keletihan, sudah diserbu anak-anak dengan di tangan masing-masing sudah ada buku cerita sendiri.

Namun, mengingat pesan emak saya, layankan sahaja mereka kerana satu masa nanti anak-anak ini tidak akan seperti ini lagi (maksudnya mereka akan membesar) dan mereka akan mengingati momen-momen ini semasa mereka kecil.

Antara buku pilihan mereka ialah buku siri Delima terbitan AmeenBooks, siri BAWAL keluaran Dewan Bahasa dan Pustaka, 100 buah buku bergambar di bawah projek buku Karangkraf, buku kisah teladan terbitan ITBM, kamus bergambar bahasa Arab dan majalah kanak-kanak.




Barakallahufik..

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi 
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak 

Isnin, 15 Ogos 2016

Teknik SASU


Sebenarnya saya tidak pernah menghadiri kursus SASU. Namun, baru-baru ini ada sahabat yang kongsikan petikan dari buku / modul yang dibina oleh pengasasnya, Pn Siti Nor Laila. Masya Allah. 


Oh ya, SASU ini singkatan daripada Sayang Al-Quran Seawal Usia. Ia adalah satu teknik berkomunikasi dengan anak dengan menggunakan ayat Quran. Terlebih dahulu, ibu bapa perlu hafaz dan faham ayat berkenaan sebelum diaplikasikan kepada anak-anak. Perlu lakukan secara istiqamah.










Saya kira, inilah masa yang tidak boleh ditangguh-tangguh lagi. Apa lagi yang saya mahu lengahkan? Kursus Faham Al-Quran tanpa asas Bahasa Arab telah saya pergi tahun lalu (kelolaan Pn Cahaya), kemudian bersama-sama anak menghafaz menggunakan teknik 1 hari 1 ayat (Kaedah Al-Huffaz), terkini mula mengikuti majlis ilmu kaum ibu di tempat tinggal saya. 


Allahu Allah. Malunya saya. Insya Allah, berusaha istiqamah. Robbi yassir wa la tu'assir!



Saya berharap dapat mengikuti kursus SASU satu hari nanti. 


Sumber gambar : laman web PTS
Teringat catatan Ustaz Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim al-Hafiz di dalam bukunya, Berjalan... Melihat... Mentafsir. Ceritera Wartawan Al-Quran menceritakan bahawa pensyarah ilmu hadithnya di Universiti Malaya, Prof Dr Abdul Hayei bin Abdul Sukor ada mengajar pengurusan masa dan makanan minda.

Menurut beliau, semasa minda sedang cerdas iaitu selepas solat Subuh, isilah masa dengan bacaan hebat seperti membaca al-Quran. Tadabbur pada waktu ini juga sangat mengesankan. Pada waktu santai dan kurang cerdas, diisi dengan aktiviti santai seperti membaca akhbar dan lain-lain.

Subhanallah.



Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi 
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 14 Ogos 2016

X-plorasi Surah Yasin


Alhamdulillah, sudah selamat sampai ke tangan. Buku terbaru dari Muhammad Luqman Makhtar ini sememangnya unik kerana membawa pendekatan dua dalam satu. 


Buku ini disusun dalam bentuk informatif dan kuiz minda. Banyak aktiviti yang disusun bagi membantu pembaca memahami lagi Surah Yasin. Bak kata penulis, surah Yasin surah buah hati masyarakat kita ;)


Bahagian belakang  buku

Harga RM10.00 dan ianya berbaloi dengan ilmu yang dapat diperolehi di dalam buku ini. 





Menarik, bukan? Sesuai untuk anda yang sukakan permainan minda seperti silang kata, teka-teki dan soalan trivia. Untuk anak-anak, boleh disesuaikan mengikut tahap mereka.



Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi 
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015