Sabtu, 22 Oktober 2016

DIY Folder Game 1


Dahulu, gigih buat busy bag untuk anak-anak. Kali ini berusaha bina folder game pula. Harap Khaulah dapat bantu membimbing adik-adiknya dengan aktiviti ini semasa minggu awal saya berpantang nanti :)

Folder game bahagian 1


Folder game bagi saya ialah satu bentuk kit pembelajaran dan permainan untuk anak-anak yang menarik dan mudah dibina. Jika anda anda pencetak, senang sahaja, buat carian di internet dengan kata kunci seperti free folder game printables, folder games for toddlers, folder game for preschool dan sebagainya. Akan keluar ratusan jika tidak ribuan laman sesawang yang menawarkan aktiviti ini. Save and print!

Namun bagi saya yang sudah kesuntukan masa ini (cepat penat dan sakit pinggang di hujung trimester tiga ini :)), saya memilih bahan yang ada di rumah sahaja. Pencetak pula rosak waktu ini. Alahai.. terpaksalah melukis sendiri, mewarna, menggunting dan menampal secara manual.

Bahan yang digunakan :

Kad Manila
Gam, gunting, pensel, pembaris
Warna - pensel warna, krayon
Selotep
Stiker
Katalog lama
Majalah lama
Lebihan pembalut hadiah

Anda boleh bahagikan folder game kepada beberapa kategori seperti :

* Padankan item - warna, bentuk, objek yang sama
* Jigsaw puzzle - saya gunting dari majalah dan katalog lama 
* Mengkategori - saya lukis dua gambar di darat dan di laut serta 4 objek. Anak akan letakkan kad tersebut pada keadaan yang sesuai.
* Matematik - belajar mengira
* Permainan bahasa 

++++++++++

Mari lihat folder game anak-anak saya :

Padankan objek yang sama - guna lebihan pembalut hadiah 

Letakkan objek yang bersesuaian - di darat atau di laut

Padankan warna butang yang sama

Jigsaw puzzle - gunting dari majalah lama

Padankan perkataan bahasa Arab yang sama

Tempat simpanan foder game kami

Ziplock transparent file ini saya beli di Kedai Buku Tong Hup, Melaka. Saiz A4. Harga RM19.20 untuk 20 keping. Berbaloi-baloi! (^_^)

Saya tiruvasi dari Fail Pengajaran Berstruktur, Makmal Autisme UKM yang selotep permukaan fail mereka. Saya pun selotep kad manila ini untuk tahan lama.

Mungkin kerana anak-anak saya sudah besar jadi saya tidak menggunakan plastik laminate kali ini. Jika anak anda bawah usia 2 tahun, eloklah gunakan material yang lebih tahan lasak :)

Sedang menyiapkan beberapa fail lagi. Insya Allah akan berkongsi dengan anda. Doakan kami sekeluarga.

Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Jumaat, 21 Oktober 2016

Cerita menulis


Hari ini adalah hari kedua cuti panjang saya bermula. Saya mengambil cuti bersalin awal dua minggu dari tarikh kelahiran. Agak berdebar kali ini kerana saya dijangka induce awal lebih kurang 10 hari lagi. Doakan saya.

Apa jua yang kita buat, kita perlulah merancang awal. Jika tidak, kita akan gagal atau hadapi masalah. 

Dahulu saya pernah konsisten menulis diari. Tapi kemudian semuanya saya buang. Selepas berkahwin, tidak pernah lagi menulis diari tetapi mula menggunakan planner sebab suami memang pengguna tegar planner. Bila anak lahir, planner pun saya tinggalkan. Tidak semangat meneruskan kerajinan menulis.

Bila mula menulis blog, saya lebih kepada ulasan buku yang dibaca. Bertahun-tahun menulis sehingga mengumpul ramai rakan ulat buku di alam maya, pernah diberi hadiah dan saguhati kerana mengulas buku penulis tertentu dan rating blog naik. Tetapi sekali lagi, semangat itu tidak saya teruskan walaupun masih terus membaca. Kini, bagai hilang kemahiran menulis ulasan buku :)

Kagum melihat orang yang kreatif menghias diari dan planner masing-masing. Bagus sekali! Kita yang lihat pun rasa semangat :) 

Dan kini, saya juga merasakan perlunya kembali mencatat.


Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 20 Oktober 2016

Istiqamahlah wahai diri




Mendidik anak cintakan al-Quran adalah satu proses yang panjang. Ia bermula dengan diri kita sendiri.

Adakala mood kita pun turun naik, semangat anak juga begitu. Bergantung kepada kita juga.

Saya tahu dan sedar bahawa sebagai ibu dan ayah kita perlu terlebih dahulu menjadi contoh terbaik kepada anak-anak.

Diri sendiri harus istiqamah membaca al-Quran, mentadabbur al-Quran dan mengamalkan al-Quran. Allahu akbar. 

Anak-anak dilahirkan sempurna di mata Allah. Ibu bapalah yang mencorakkan anak-anak dengan warna apa yang dimahukan. Sudah semestinya wajib diwarnai dengan asas akidah dan keimanan yang teguh kepada Allah.

Robbi yassir wa la tu'assir.


Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Inspirasi Lapbook


Hari Isnin lalu, ada seorang rakan maya menyapa di Instagram. Beliau bertanya tentang lapbook. Tak sangka puan ini pantas menyiapkan untuk anak-anaknya. Masya Allah :)

Puan Ros Erwina memang telah lama saya ikuti di Instagram kerana perkongsian aktiviti bersama anak-anaknya yang kreatif dan sentiasa dikemaskini. Adakalanya saya perlukan idea dan semangat dari ibu-ibu lain untuk terus mendidik anak-anak.


Berikut hasil lapbook anak-anaknya :)




Menarik, bukan? Beliau menggunakan fail coklat yang dibeli di kedai buku. Jimat. Jika mengikut Makmal Autisme UKM, mereka memang menggunakan bahan seperti Puan Ros Erwina ini dalam membina Fail Pengajaran Berstruktur untuk anak-anak autisme. Cuma, ditambahkan selotep pada seluruh permukaan fail itu untuk tahan lama.

Semangat pula saya nak menyiapkan lapbook Surah At-Toriq kami. Sudah sangat lama dalam proses. Sebabnya fokus anak-anak sekejap sahaja, jadi tak bolehlah dipaksa :)

Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Rabu, 19 Oktober 2016

Kraf Butang


Minggu lalu, bawa Khaulah ke tempat kerja. Tak sangka ada seorang rakan yang membawa anaknya kerana kurang sihat. Awalnya, anak-anak ini hanya duduk membaca buku sementara kami menyelesaikan tugasan rasmi.

Tengahari itu apabila sudah lapang sedikit, saya keluarkan butang yang dibeli dari Pn Azria Ali Yaman (Facebook : Aya Loves Button). Ada lebih kurang 400 biji yang dibeli. Peralatan terhad. Hanya ada gam kertas sahaja. Sepatutnya perlu guna gam kraf barulah butang benar-benar melekat.

Khusyuk buat kerja. Maklumlah ada kawan.



Hasil Khaulah

Hasil Mia

Dua helai kertas ini menggunakan hampir 400 biji butang tadi! Oh, oh, kena beli lagi...

Butang ini kami mahu framekan tetapi selepas penambahbaikan menggunakan gam kraf dan ditampal pada mounting board.

Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 18 Oktober 2016

#ReviuBukuAnak 4 - Siri Petra Si Panda




Saya pernah sebut dalam entri terdahulu yang anak kedua saya sangat sukakan siri Petra Si Panda. Maka kunjungan ke perpustakaan negeri baru-baru ini kami cari lagi siri Petra yang lain. Satu siri ini mengandungi 10 buah buku dan kali ini kami dapat meminjam empat buah buku lagi. Buku ini bersaiz besar dan berwarna penuh. Rasanya ia karya terjemahan kerana hanya tertera nama penterjemah dan tiada nama penulis asal.

1. Petra dan Anak Burung

Petra sedang berjalan-jalan ketika dia menemui seekor anak burung yang menangis. Rupa-rupanya anak burung itu tidak sabar mahu belajar terbang dan terjatuh dari sarang. Ibunya pergi mencari makanan. Setelah ibunya pulang, dia salah sangka kerana menyangka Petra sebagai ancaman kepada anaknya sedangkan Petra mahu membantu anak burung itu kembali ke sarangnya.







2. Petra dan Si Kanggaru

Petra dan kawannya, si Kanggaru berpiknik dan bermain di padang ketika mereka terlihat seekor arnab berlari ketakutan. Rupa-rupanya dia dikejar oleh seekor musang yang ingin memakannya. Petra dan Kanggaru bertindak membantu si Arnab dan berjaya menghalau pemangsa. Mereka juga mempelawa si Arnab makan bekalan yang dibawa :)






3. Petra Menjinakkan Kucing

Anak-anak saya takutkan kucing. Namun mujurlah jika ada cerita melibatkan kucing mereka masih boleh duduk mendengar. Namun, untuk memegang kucing di alam realiti tidaklah sekali-kali. Saya juga hairan mengapa jadi begitu ya? 

Kucing dalam cerita Petra kali ini suka berbuat nakal di rumah Petra. Dia suka bermain di ruang tamu, membuat sepah dan melompat-lompat. Sudah pasti Petra berasa penat kerana dia sudah mengemas rumah sejak awal lagi. Petra pernah menghalau si kucing keluar rumah dan si kucing ingin membalas dendam. 

Pada malam hari, dia membuat kacau dan kali ini Petra meletakkan kucing ini berhampiran dengan katilnya. Terpaksalah si kucing tidur bersama Petra malam itu.

Perlu ditekankan kepada anak, adab-adab bertandang ke rumah orang. Antaranya perlulah meminta izin sebelum masuk ke rumah, memberi salam, masuk apabila dijemput, minum apabila dipelawa, bersopan-santun dan senarai berterusan.

Elakkan bersikap seperti si kucing dalam cerita ini!






4. Petra Berjaya Menyelamatkan Diri

Hah, kali ini Petra pula hampir menjadi mangsa kepada pemangsa. Mujurlah ibunya sempat mencari Petra untuk pulang ke rumah :)









Sebenarnya, apa jua buku cerita yang kita pilih untuk anak, kita harus lihat juga isi kandungan dan mesej yang ingin disampaikan. Ada cerita yang tidak sesuai dari segi nilai dan moralnya atau bertentangan dengan agama dan budaya kita. 

Peranan kitalah yang dapat memilihkan buku yang baik untuk anak-anak supaya penerapan akidah dan fahaman yang betul meresap dalam diri anak-anak. Wallahualam :)


Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Ahad, 16 Oktober 2016

Bengkel Melatih Kanak-kanak Menulis



Selalu diperhatikan yang anak-anak kecil sangat suka memegang pensel dan mula menconteng dinding, lantai, buku tulis, baju, kaki, tangan dan sebagainya sehingga menimbulkan kemarahan kita. Haha... kita rasa sangat annoying...

Allahu.. saya juga pernah begitu. Namun, sebenarnya kita boleh mengarahkan anak-anak ini membuat perkara yang betul. Dalam erti kata yang lain melatih mereka - pensel digunakan untuk menulis pada kertas dan buku.

Jadi ibu bapa perlu sediakan kertas dan buku dan perlu selalu ingatkan anak. Kita juga perlu tunjukkan di hadapan mereka bahawa kita menulis dengan pen dan pensel pada kertas dan buku. Lama-kelamaan ia menjadi tabiat dan kebiasaan anak-anak.

Galakkan anak-anak menulis dan "menconteng" kerana ia akan melatih kemahiran motor halus dan imaginasi mereka sebelum benar-benar bersedia menulis.

Buku Melatih Kanak-kanak Menulis yang ditulis oleh Dr Surayah Zaidon sangat bermanfaat sebagai panduan awal ibu bapa, pendidik mahupun mereka yang berminat dengan pendidikan awal kanak-kanak untuk mengajar anak menulis.

Buku ini ditulis hasil pemerhatian dan kajiannya terhadap tulisan anak-anaknya.

Sebenarnya kita perlu merangsang kemahiran motor halus dan kasar anak supaya penulisan mereka lebih baik.

Pn Farah (Instagram : @kiddie_funtime) berkongsi pengalaman menggunakan buku ini semasa beraktiviti dengan anak-anaknya :)


Boleh baca lanjut mengenai buku ini di sini :

Ulasan Buku Melatih Kanak-kanak Menulis

7 Aktiviti Awal Melatih Kanak-kanak Menulis

Oh ya, ada sebuah Bengkel Melatih Kanak-kanak Menulis yang akan diadakan pada 5 November 2016 ini di Perpustakaan Awam Negeri Selangor Raja Tun Uda, Shah Alam. Buku berharga RM45.00 ini diberikan secara percuma kepada peserta bengkel.



Boleh juga mendaftar bengkel ini dengan saya. Hubungi 013-361 3516 :)


===========================

Tip latih anak-anak menulis :

* Latih penggunaan pensel = kertas dan buku sahaja
* Sediakan kertas, buku, pensel dengan banyak
* Ibu bapa tunjuk di hadapan anak bahawa menulis pada kertas dan buku sahaja

Semoga bermanfaat.

Aina Dayana binti Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Fanpage : Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015