Jumaat, 15 Jun 2018

Diari Hospital 10 : Bagaimana amalanmu?


Dalam kesedihan ramadan meninggalkan kita, saya masih terkenang peristiwa bermalam di wad bulan puasa tahun ini. Bukan semalam dua, tetapi seminggu tinggal di wad.

Ia satu perkara yang tak mahu saya ulang lagi pada masa hadapan 😅 Tetapi jika Allah berkehendak, siapa boleh menghalang, bukan?

Pagi ini saya terkenang kepada seorang makcik yang masuk ke katil sebelah saya pada hari keenam saya di sana.

Seorang makcik berusia 70+ tahun. 

Dalam suram wad, saya mengerling ke jam. Sudah melebihi 1.30 pagi. 

Baru nak melelapkan mata, terdengar bunyi kuat. Lalu saya duduk menghadap makcik ini.

Terkumat-kamit mulutnya. Yalah, dengan tiub oksigen di hidung dan wayar yang berselirat, pasti terselit rasa cemas.

Namun, ia sesuatu yang menimbulkan rasa kagum. Dalam mata terpejam, badan yang lemah serta respon yang perlahan apabila dipanggil, makcik ini sedang membaca ayatul kursi! 

Masya Allah 😭

Pasti ia sudah jadi amalan beliau. Bagaimana dengan saya? 😭 Syawal hari ini bermula hari yang baru, bulan yang baru. Semoga tarbiah ramadan semakin memperkasa diri. Amin..amin..

#diarihospital

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Diari Hospital 9 : Buku teman setia


Dari sehari ke sehari, rupanya saya masih belum dapat discaj. Bekalan bahan bacaan semakin kurang. Buku-buku pula banyak di rumah mertua. Tetapi saya berat hati mahu susahkan ahli keluarga carikan di rak buku.


Lalu, terfikir untuk minta bantuan si anak sulung yang berumur 8 tahun itu. Dia sahaja tahu kedudukan buku ummi yang belum dibaca 😍

Jadilah.. 7 hari di wad, dapat selesaikan bacaan buku-buku ini :

1. Bintang oleh Tere Liye

2. Cam Ni Cam Tu oleh Cikgooden

3. Di Hujung Muncung Mesing an oleh Fahmi Faiz


4. Terbang Tapi Berjalan

5. Kilas Dalam Kias

6. Rumah Sakit ; Dia Mahu Saya Menangis...

Penulisan jurnal diteruskan. Meskipun adakalanya tulisan bagaikan cacing kerawit. Ekoran branula baru dipasang di sebelah kanan agak perit. (Branula asal di sebelah kiri dibuka kerana tangan bengkak selepas beberapa kali suntikan antibiotik).


#diarihospital

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Highlight Yang Positif Sahaja


Teringat baru-baru ini, saya dimasukkan ke wad kerana jangkitan kuman di paru-paru. Daripada 5 perawat, 4 daripada mereka akan berkata, "Maaf ya, saya nak cucuk ubat ni. Sakit sikit tau."

Maka, sudah pasti saya akan berkerut kesakitan sedangkan ubat belum masuk pun ke badan😅

Mengapa tidak diubah sedikit ayat menjadi positif : "Bersedia ya puan, saya nak masukkan ubat. Bismillah." Mungkin penerimaan saya sedikit berbeza.

Begitu juga dengan anak-anak. Lebih mudah untuk kita berikan kata semangat berbanding menghukum.

Misalnya ketika memberi nasihat adab berkunjung ke rumah orang :

"Bila kita ke rumah orang, beri salam sebelum masuk ke rumah ya. Itu namanya adab."

Dalam minda anak : beri salam - beradab.

Bagaimana dengan ini :

"Jangan main serbu je masuk rumah orang! Tak beradab. Bagi salam dulu."

Dalam minda anak : ancaman - tak beri salam - tak ada adab.

Nah, dua-dua betul tapi cara penyampaian yang berbeza mengikut intonasi.

Apa salahnya kita highlight benda yang baik dahulu, kan. Kita pun suka bila orang cakap baik-baik dengan kita.

SELAMAT HARI RAYA.
Taqabbalallahu minna wa minkum ☺

#ejenAuladReadPlay
#berilahbacaanbergizi
#bermuladirumah

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Khamis, 14 Jun 2018

Biskut raya buat mak


* Gambar : koleksi peribadi

Saban tahun menyaksikan emak dan nenek membuat kuih raya pada bulan puasa. Ia kenangan masa kecil yang melekat di ingatan.

Berbelas jenis dibuat mak dan nenek. Tenaga masa muda dan semangat yang tinggi. Saya dan adik-adik hanya membantu serba-sedikit. Menerap, menyusun kuih di atas loyang, membakar, melengaikan dan menyusun ke dalam bekas.

Menginjak dewasa, saya pun tidak begitu perasan bila saatnya mak mula "bersara" dan "menutup" oven. Mak hanya membeli dari kawan-kawan terdekat. Lebih kepada mahu menolong kawan-kawan, mak kata. Ya, saya akui sikap mak ayah yang satu ini. Sangat baik dan lembut hati apabila kawan-kawan menjual.

Lalu, dalam 2-3 tahun kebelakangan ini, saya dan adik-adik berusaha membuat kuih untuk mak. Tidak perlulah mak berbelanja besar untuk kuih raya. 


Nyata, saya tidak mampu membuat berpuluh jenis. Sekadar 3-5 jenis pun sudah mahu angkat bendera putih! Tambah lagi dengan anak kecil, kesihatan yang merosot dan tenaga seorang diri. Namun, kepuasan itu tiada bandingannya 😎

Jadilah, tahun ini 3 jenis untuk mak [dan mertua]. Elok sahaja siap sebaik sebelum saya dimasukkan ke wad. La haw la wa la quwwata illa billah.

Tart bunga, Suji Oat Badam dan Cornflakes Madu.

Suji Oat Badam

Tart nanas

Biskut Cornflakes Madu

Malah sempat memenuhi beberapa tempahan biskut tart dan Suji Oat Badam. Masya Allah.

Ramadan yang dirindui 🌷 Adakah sempat bertemu lagi tahun hadapan?


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Diari Hospital 8 : Mukjizat Quran


Satu malam, masuk pesakit baru ke sebelah katil. Seorang makcik berbangsa India dalam lingkungan usia 60+ tahun terbaring lemah.

Jam sudah melepasi tengah malam, saya yang masih tidak dapat tidur bingkas membuka mushaf al-Quran.

Walaupun membaca dalam kadar perlahan, saya terperasan makcik ini memandang saya. Allah, kuat sangatkah saya baca? Mengganggu tidur makcik, kah? Minta maaf ya makcik.

Dia mengangkat tangan dan memberi isyarat mulut "Takpa...takpa... Bacalah." Hati dipagut rasa terharu. Makcik itu melelapkan mata sebaik sahaja saya selesai membaca quran.

Al-'Anfāl:2 - Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.

Subhanallah. Ia sesuatu yang membuatkan saya berfikir hingga saat ini.

#diarihospital

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Diari Hospital 7 : Solat


Ketika sihat, wajib solat.
Ketika sakit, wajib solat juga.

Justeru, ia menjadi isu BESAR yang membuatkan hati gundah memerhatikan keadaan di wad.

Dengan iman yang lebih nipis dari kulit bawang ini, saya cuba mendekati orang yang hampir.

Allah ya Allah. 

Ramai pesakit tua yang tiada waris menemani. Pertuturan yang tidak jelas juga menyukarkan sedikit komunikasi. 

Ada yang patah tulang, sudah tinggal di wad berbulan-bulan, namun tidak solat kerana tidak tahu.

Ada yang mabuk teruk akibat kehamilan juga "tidak dapat" solat kerana tidak berdaya.

Lalu, saya bertanya di kaunter jururawat, adakah penyembur / spray untuk mengambil wuduk. Jawapannya, ada. Alhamdulillah.

Bermula misi membantu..... Walaupun rasa rendah diri namun berdoa agar digerakkan hati mereka bangkit menunaikan fardu utama ini.

Doakan ya.

#bilaummiambilcuti
#diarihospital

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Diari Hospital 6 : Tutup Aurat


Ia menjadi satu isu besar bagi saya. Ruang wad yang terbuka, dengan kesibukan keluar masuk pesakit ke wad, juga kebebasan waris pesakit masuk menjengah atau menghantar barang, memang satu ketidakselesaan untuk berehat di atas katil sendiri.

Apatah lagi ruang antara katil yang sempit, tidak memungkinkan untuk berbaring di saat pelawat datang berziarah. Malah, ada ketikanya waris lelaki duduk di katil saya semasa melawat pesakit di sebelah katil saya. Aduhai.

Baju yang dibekalkan oleh hospital juga seperti baju kurung Kedah. Ok juga dari segi besarnya. Cuma, bahagian tangan sedikit terdedah jadi perlu pakai handsock atau handshirt.

Tutup aurat memang perkara sukar. Namun, ia pasti menjadi mudah dengan bantuan Allah.

Benarlah ya, JIHAD menutup aurat dirasai dalam keadaan sebegini. Sedih apabila melihat aurat diambil ringan. Namun, saya maklumi. Saya kira waris lelaki patut lebih peka. Ini kan wad perempuan. Jururawatnya juga perempuan.

Apakan daya, apabila melihat jam sudah melepasi 11.30 malam tetapi pekerja kebersihan yang masuk mengutip sampah ialah pekerja lelaki! Grrr...

Katakanlah kepada orang laki–laki yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allâh maha mengatahui apa yang mereka perbuat.” Katakanlah kepada wanita yang beriman, “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera–putera mereka, atau putera–putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allâh, wahai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. [Surah an-Nur : 31]

Banyak lagi keperluan di wad. Selain isu aurat, SOLAT adalah perkara terbesar membuat hati jadi walang. Akan ditulis dalam entri yang lain. Saya sematkan di dalam hati, selepas ini mahu buat projek "Duhai Wanita, Sayangi Dirimu" - beri stokin dan handsock. Moga tercapai hajat ini.


1 gift box : 1 stokin + 1 handsock

#diarihospital

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015