Jumaat, 11 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku4 Dari Hati Turun Ke Blog



Ini genre novel awal remaja saya rasa. Mujur tergerak hati nak baca dahulu sebelum anak. Hee..

Kisah tentang Aya yang tinggal bersama nenek selepas ibu ayahnya bercerai. Sikapnya yang selamba dan tidak menutup aurat membuatkan ibu kawan baiknya, Paie tidak suka dengan Aya.

Aya seorang yang cekal. Hidup berdua sahaja dengan nenek tidak dijadikan alasan untuk malas belajar. Ibunya terpaksa bekerja di bandar dan hanya pulang sesekali. Ayahnya telah berkahwin lain dan terputus hubungan dengannya.

Episod demi episod berlaku satu-persatu dalam hidup Aya. Kemuncaknya apabila nenek Aya meninggal dunia dan Paie kemalangan disebabkan Aya. Meskipun Aya telah menderma darah bagi menyelamatkan Paie, ibu Paie sangat marahkan Aya dan menghina ibu Aya sekali.

Aya mengikut ibunya berpindah ke bandar dan akhirnya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading. Di sinilah bertemu semula dengan adik Paie sehingga membawa kepada pertemuan semula kedua keluarga. Ibu Paie memohon maaf atas apa yang berlaku.

Bagi saya, anak umur 8 tahun ini belum sesuai lagi baca buku ini kerana bahasa yang digunakan kurang sesuai di beberapa tempat :-) Tambahan lagi ada unsur cinta remaja walaupun tidak ketara.

Buku 4 / 2019


Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka

Aktiviti Bercerita : Lebah Yang Sibuk




Dahulu pernah buat aktiviti bertemakan Lebah tetapi kali ini ada buku ceritanya dalam bahasa Melayu. Sebelum ini pernah juga baca di dalam buku A Busy Bee karya Ummi Shahbatun Abu Bakar dan suaminya.

Kali ini anak-anak memilih buku Lebah Yang Sibuk terbitan Penerbitan Pelangi Sdn Bhd. Ilustrasinya cantik. Menggunakan warna terang. Watak lebah pun comel.

Beberapa fakta lebah difiksyenkan dalam cerita dan ia menarik minat anak kecil. Misalnya lebah akan keluar mencari madu pada waktu pagi dan akan pulang ke sarang memberitahu lokasi baru madu bunga dalam keadaan menari bentuk 8.



Secara tidak langsung, saya ajarkan kitar hidup lebah kepada anak berdasarkan cerita. Bermula telur > larva > pupa > lebah.
Sumber gambar : Hive and Honey Apiary

Di awal buku ada dinyatakan panduan untuk ibu bapa dan di akhir cerita, disertakan fakta lain tentang lebah.


Aktiviti berdasarkan buku

Kami hanya buat lukisan lebah yang ditampal pada kertas keras. Dan selotepkan lidi di belakangnya :-)

Alhamdulillah Asma' bersemangat membuatnya. Terima kasih Asma'. Asma' ceria, ummi pun bahagia ;)

* Semua gambar adalah hak milik peribadi saya.

Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka.

Khamis, 10 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku3 Agar Aku Sehebat Mereka



Ditulis oleh Ustaz Muhammad Luqman Makhtar dan diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn Bhd. Ini juga buku Siri Keempat dalam siri Solusi Hati.

Ia adalah buku yang menghimpunkan lebih 50 orang insan berpengaruh dalam sejarah dan boleh menjadi sumber inspirasi.

Terbahagi kepada 4 bab utama merangkumi Ulama Salaf, Sahabat Nabi, Tempat dan Peristiwa dan Ulama Masa Kini.

Awal-awal sudah terpaku pada biografi Ibn Sirin. Seorang ulama yang ceria dan suka bergurau. Beliau terkenal menguasai pelbagai bidang malah pakar mentafsir mimpi. Namun ia tidak dijadikan sebagai pengkhususan beliau.

Begitu jujurnya beliau dalam berniaga sehinggakan sanggup membuang kesemua minyak wangi yang dibeli dengan modal 40 ribu dirham gara-gara terjumpa seekor tikus mati di dalam salah satu bekas.

Ini yang menyebabkan beliau dipenjara kerana tidak mampu membayar semula duit berkenaan.

Ketinggian adab dalam berilmu Imam Bukhari atau namanya Muhammad bin Ismail turut menjadi inspirasi. Terkenal kerana tiga perangai khususnya :

1. Tidak banyak bercakap.
2. Tidak teringin apa yang orang lain inginkan.
3. Tidak sibuk dengan urusan orang lain.

Sirah Nabi sollallahu alaihi wasallam seharusnya dilihat dalam konteks yang lebih luas. Sebelum ini jika disebut sirah Nabi, seolah-olah tergambar keadaan perang, perang dan perang. Sedangkan hanya ada beberapa buah sahaja yang berlaku sepanjang hidup nabi.

Kisah para sahabat nabi ada banyak sisi inspirasi dan mengujakan. Bagaimana peribadi hebat insan-insan ini terbina dan kita dapat ambil tauladan daripadanya untuk diamalkan.

Lihat keluarga Anas bin Malik. Subhanallah. Setiap orang bukan calang-calang insan. Dan salah satu insan yang dikagumi ialah ibunya sendiri.


Begitulah. Bacalah himpunan biografi barisan tokoh-tokoh ini. Semoga kita dapat mengikut jejak mereka meskipun sedikit.

Antara isi kandungan buku ialah mengandungi fakta tempat bersejarah, visual turutan / kronologi sesuatu peristiwa dan doa.



Oh ya, dari buku inilah saya baru ketahui jangan memanggil orang Eskimo dengan nama Eskimo kerana maksudnya dalam bahasa asal ialah "pemakan daging mentah." Lebih eloklah sekiranya memanggil mereka mengikut nama bangsa mereka seperti Inuit, Yupis dan lain-lain.

Buku 3 / 2019

Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka

Rabu, 9 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku2 Sebenarnya...



Semasa saya ambil buku ini dari rak perpustakaan saya tidak perasan pun siapa penulisnya. Cuma waktu itu minat saya kepada buku jenis travelog memungkinkan saya memilih buku ini.

Rupanya ia ditulis oleh Wartawan NTV7, Charles Mohan. Saya tidak membaca sinopsis buku jadi saya tiada apa-apa expectation sebelum memulakan bacaan.

Apabila ditinjau prakata, barulah tahu yang beliau bercerita pengalamannya sebagai wartawan penyiaran selama berbelas tahun. Menarik.

Entah kenapa, hati rasa sayu apabila beliau menulis beberapa bab panjang tentang almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, bekas  Menteri Besar Kelantan. 

Ia dikupas dari hati yang jujur tentang personaliti dan sikap Tuan Guru.

Selanjutnya beliau berkongsi pandangan tentang beberapa figur ahli politik yang paling berpengaruh pernah ditemuramahnya sepanjang kerjaya. Antaranya Tun M, DS Najib, DS Anwar dan isteri, Samy Vellu dan lain-lain.

Setiap orang ada karakter tersendiri. Dan ia memberi impak kepada cara kerja beliau.

Banyak lagi pengalaman dikongsikan beliau. Yang paling terkesan ialah cerita kenalannya yang mempunyai ayah yang sakit tetapi sukar mendapat bantuan SOCSO. Namun kes ini selesai hasil kerjasama beliau membuat liputan.

Menjadi wartawan perlu pantas dan cekap. Semoga terus menyiarkan berita yang benar buat masyarakat dan memberi khidmat terbaik.

Selesai Buku 2 / 2019.

Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka.

Sesi Bercerita : Si Kurita Kecil Mengira



Si kecil sotong kurita ini bernama Beiki. Dia ada 8 tangan dan suka mengira. Banyak haiwan suka berjumpa Beiki untuk meminta bantuannya mengira.



Semakin lama Beiki semakin sombong sehingga merendah-rendahkan haiwan yang meminta pertolongannya.

Sehingga datang seekor ketam bertanya satu soalan yang sukar. Beiki terasa malu kerana tidak dapat menjawabnya.


Sejak itu, Beiki tidak lagi sombong.

Apa itu sombong?
Menurut satu riwayat Hadis Muslim, baginda sollallahu alaihi wasallam bersabda :

الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ

Sombong  ialah tidak menerima kebenaran dan menghina sesama manusia.

Sama macam Beiki ini. Contoh yang sesuai diberi kepada anak-anak supaya tidak sombong dengan ilmu yang ada.

Kita pandai pun siapa yang beri?
Allah.

Kita mampu faham apa kita belajar pun siapa beri?
Allah.

Aktiviti Berdasarkan Buku

Tak dapat nak fikir aktiviti luar kotak. Hee.. Buat 2 sahaja iaitu :

1) Melukis gambar sotong dan labelkan bilangan tangannya.

Ini anak umur 2.3 tahun punya. Haha. Kakaknya umur 4.5 tahun punya sudah simpan dalam fail.


2) Kraf sotong kurita.


Hanya guna kertas putih dan kertas warna. Lukis gambar kepala sotong dan tampalkan helauan kertas warna yang telah dipotong 1.5cm lebar.

Bolehlah berkibar bila anak gantung di tingkap :-)


Nak lagi cantik boleh juga pakai tissue roll.

Selamat beraktiviti.

Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka

Selasa, 8 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku1 Kartunis Muda



Seronok membaca kesemua 14 buah cerpen kanak-kanak ini. Malahan, ia memberi idea bercerita kepada anak-anak.

Kelakar pula cerita Tertangkap Harimau. Ada dua orang penduduk kampung iaitu Baba dan Bubu yang licik dalam mencuri. Suatu malam, mereka ingin mencuri kambing.

Dalam keadaan gelap, mereka dapat memilih seekor kambing gemuk dan besar. Peliknya, kambing itu tidak mengembek.

Dengan girangnya, mereka pun mengikat kaki dan membawa kambing itu keluar. Dalam perjalanan, kilat memancar dan ternampaklah oleh Bubu bahawa haiwan yang dibawa oleh mereka bukan kambing tetapi harimau!

Bertempiaranlah mereka lari menyelamatkan diri. Semoga mereka insaflah kan ;) Anak memang ketawa dengar cerita ini.


Setiap cerpen ada kekuatan dan kelebihan tersendiri. Bagi saya, saya tertarik juga dengan Bagai Tempua Bersarang.

Nasihat atok kepada cucu amat berkesan. Menggunakan perumpamaan lama. Saya pun baru tahu, burung Tempua membina sarang dengan lebih 1000 helai daun rumput. Subhanallah, gigihnya!

Aidil yang culas membuat kerja rumah diadu perangainya kepada datuknya. Jadi kesempatan Aidil berada di kampung, datuk mengajak Aidil memancing ikan di sawah dan bersiar-siar di kampung.

Kisah Ujian Kejujuran memang kisah yang dekat dengan anak-anak. Mungkin berlaku dalam kalangan mereka lagi. Saya pernah ulang cerita ini sebelum anak-anak masuk sekolah 2 Januari lepas. Maklumlah anak pertama kali masuk sekolah.

Kisah murid yang meniru kawannya sehingga tertangkap oleh guru. Tetapi tidak mengaku di awalnya sehingga guru terpaksa membuat satu ujian khas bagi mengenalpasti pesalah.

Selepas disiasat, murid yang meniru mengatakan yang dia tidak dapat keluar bermain pada waktu petang jika tidak siapkan kerja sekolah.

Memang recommended untuk bacaan anak-anak 👍🏻 Boleh dapatkan buku ini dengan Cikgu Helmi.


Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516

Isnin, 7 Januari 2019

Hari keempat sekolah


Pagi 

Abang Ngah yang relax. Sudah pukul 7 masih baring lagi lepas balik dari masjid.

Masa bersiap, dia jugalah yang paling lambat sampai abi "sound". Haha. Stokin ke mana, tali leher dalam bakul mainan, songkok pun orang carikan. Haih abang ngah.

Petang

"Ummi, kakak kena rotan tadi dengan cikgu BI."

Ok.

Muka anak saspens je tengok ummi respon begitu. Saya agak dia tak siapkan kerja sekolahnya. Bila dilihat semula buku, memang pun. Dia tulis ayat separuh jalan je. Hehe.

Maaflah Teacher, anak saya baru masuk sekolah tahun ni. Dia tak biasa lagi dengan arahan Teacher. Huhu.

Moga kakak baik-baik sahaja di sekolah :-)

Abang ngah? Balik sekolah 4.30 petang tadi tidur sampai jam 6. Huhu. Mujur sempat ke kelas mengaji sebelum jam 7 malam.

* Nota : hari ini balik dengan baju yang bertanda cat biru. Huwaa.. Dah rendam dengan sabun Champaca belum nampak progress lagi. Ngee..

Aina Dayana Hilmi
ainadayanahilmi@gmail.com
013-361 3516
Melaka.
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015