Ahad, 27 Januari 2019

MisiMembaca2019 #Buku7 Ayat-ayat Allah Pada Tubuh Manusia


Buku ini menarik minat saya apabila penulis mengupas fakta sains dan dikaitkan dengan ayat Quran berkaitan penciptaan anggota badan manusia.

Subhanallah.

Walau sudah selesai dibaca berhari-hari, saya masih teringat apa yang dibaca. Kagum dengan fakta baru yang saya ketahui. Betapa ceteknya ilmu diri nak dibandingkan dengan segala ciptaan Allah.

Ada mengenai mata, telinga, otak, hidung dan rambut (ada banyak lagi tajuk sebenarnya).

Berkenaan dengan hidung. Sebenarnya ada banyak lapisan yang Allah sediakan sebelum udara bersih dapat dihirup oleh manusia. Itulah fungsi rerambut di dalam lubang hidung membawa kepada tekak seterusnya ke paru-paru. Ia bertindak menapis udara dan menghalang bendasing masuk ke dalam paru-paru.

Sebab itu apabila bersin, kita disunnahkan mengucapkan alhamdulillah kerana boleh jadi ada bendasing mahu masuk tetapi badan bereaksi mengeluarkannya. Dikatakan kelajuan bersin mencapai 950km/jam.

Bagi fungsi otak pula, aktiviti di dalam otak sentiasa bergerak aktif selagi mana kita membaca, mentadabbur dan sebagainya. Setiap kali ada aktiviti ini, sinaps otak akan bersambung. Namun, jika tiada aktiviti ilmiah, komunikasi antara sinaps akan terhenti. Subhanallah.

Sebab itu banyak anjuran baginda sollallahu 'alaihi wasallam menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Ia bukan sahaja menjadikan kita pandai tetapi menyumbang kepada kesihatan otak.

Awesome!

Bagi anda yang ingin dapatkan buku ini boleh hubungi Facebook Abu Ilkiya atau hubungi saya. Saya cuba bantu dapatkan buku ini.

Jumpa lagi.

Buku 7 / 2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Tema Pembelajaran Arnab



Minggu lepas, sesi pembelajaran bersama anak nombor 3 (4+ tahun) ada hari yang bertemakan arnab. Buat matematik, tracing (tulisan), buat kraf dan melukis. Semuanya arnab.

Terharu pula bila anak duduk diam. Rupa-rupanya dapat kemahiran baru melukis arnab. Ok, ummi kagum dengan Asma'. Sejak kecil pandai melipat origami sendiri. Dan minggu lalu, boleh lukis arnab sendiri.

Baik hati lukiskan untuk adik juga. Masya Allah, good job Kak Teh :-)




Dan semasa beri latihan matematik, ummi tak perasan Kak Teh dah pandai tulis nombor sendiri 1 hingga 10. Patutlah bila beri tracing nombor ini sekejap sahaja dah siap.

Ada juga latihan matematik untuk tahapnya. Alhamdulillah berjaya diselesaikan. Kak teh, kak teh. 




Untuk kraf, kami buat beg kertas menggunakan brown paper bag tapi tiada dalam fail Kak Teh. Mungkin adalah tu dibawa ke mana-mana. Tak dapat nak letak di sini. Tapi memang sama seperti dalam gambar :


Sudah lupa sumber asal gambar ni


Ada beberapa kraf lagi yang anak berkenan tapi belum sempat buat (kredit kepada pemilik asal) :



Topi


Dan ini juga sempat dibuat iaitu kraf hijaiyah. Alif untuk Arnab. Sebelah kirinya pula mahu dibuat penanda buku.




Tunggu tema minggu hadapan pula. Kraf hijaiyah ba dalam senarai.

Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Selasa, 22 Januari 2019

Let's Investigate The Earth & The Universe

Alhamdulillah. Siri baru telah lengkap dan sedia untuk diedarkan!

Maaf terlewat sedikit war-warkan buku baru ini.

Bagi yang pernah tahu kewujudan buku ni, memang pernah terbit sebelum ini. Kali ini diperbaharui sedikit dari segi kandungan dan ayat.

Anak lelaki tertarik benar dengan buku ini! Mungkin sebab ada planet :-)

Harga promosi sehingga Jun tahun ini ialah RM49 bagi 1 set. Selepas ini harga kembali asal iaitu RM49.90.

Kos pos Semenanjung RM8.00
Kos pos Sabah Sarawak RM12.00

Jika luar negara, boleh hubungi saya dahulu kerana kadar berbeza mengikut negara.

1 set ada 5 tajuk seperti berikut :


Dan ini antara isi kandungan buku :








Berminat untuk order? Boleh hubungi saya seperti di bawah :


Jumpa lagi.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : Aina Dayana Hilmi | tiphomeschoolinguntukanak

Menu bekal minggu ketiga (14 - 18 Januari)

Alhamdulillah, berjaya juga untuk minggu ketiga. Minggu ni kuantiti sedikit. Anak kata waktu rehat sekejap, tak dapat makan banyak :-)

Isnin : Nasi Impit + kari ayam 

Selasa : Mihun goreng + telur mata + buah anggur + biskut + keropok  

Rabu : Nasi lemak

Khamis : Nasi goreng + buah mangga

Jumaat : Roti benjo + buah epal

Ikutkan mahu sahaja beri pelbagai jenis menu. Tapi anak-anak lebih minta menu biasa. Ok jugalah sebab setakat ini mereka yang beri idea.

Kita lihat minggu ini pula (minggu keempat) :-)

Aina Dayana Hilmi

Selasa, 15 Januari 2019

Buku mini dari brown paper bag



Hari-hari minta "sekolah". Yalah, yalah. Jadi setiap hari ummi prepare 2-3 aktiviti yang memerlukan fokus dan duduk. Aktiviti lain jenis hands on - tolong angkat baju, sidai baju, asingkan pakaian ikut tuannya, jadi partner adik makan dan tolong lap air tumpah.




Hari ini Kak Teh dan Abang Uda belajar mengira 1 - 5 dan menulis huruf tsa, jim, ha dan kho. Best juga tengok budak dua orang ni bekerjasama buat buku mini "Buku Nombor Saya".




Esok sambung lagi insya Allah. Nanti nak ajar tambah dan tolak pula.

Ini pakai brown paper bag. Selotepkan bahagian tepi untuk dijadikan buku.






Kemas kini pada 20/1/2019

Ini ialah kandungan dalam buku mini ini :





Setiap muka surat sebelah kiri memang ada aktiviti pratulis nombor ini







#bilaummiambilcuti

Isnin, 14 Januari 2019

Pasang lagu kuat-kuat


Apa faedahnya pasang lagu kuat-kuat semasa kenduri kahwin?

Sangat menimbulkan kemarahan. Bila ada anak, kami akan bergilir pergi kenduri kahwin. Mungkin seorang pergi dahulu, seorang lagi akan tunggu dalam kereta. 

Boleh dikatakan 10 rumah pergi, semuanya pasang lagu kuat-kuat. Ya rabbi.

Adakalanya sedih. Tuan rumah sendiri ialah pak imam, tuan pengerusi masjid atau orang yang rajin hadir majlis ilmu. Tetapi bila tiba hari walimah, bab pasang lagu kuat-kuat ini masih berlaku.

Saya pun bukan alim tetapi tidakkah terfikir hak jiran jikalau tidak tetamu yang hadir? Speaker yang kuat mengganggu ketenteraman jiran. Jika mereka ada anak kecil? Atau orang tua yang sedang sakit? Aduhai, bingitnya telinga.

Kedua, asap rokok berkepul-kepul. Tak ada adab. Maaf kasar sedikit. Silent smoker lah orang yang paking menderita sekali.

Saya penghidap asthma sejak kecil. Memang sangat kalah dengan asap. Asap rokok dan asap pembakaran terbuka adalah dua perkara yang saya terpaksa hadapi setiap hari.

Akhir-akhir ini bimbang dengan kandungan kerana serangan asthma saya tidak surut dalam dua minggu ini. Tak keluar rumah, tak boleh. Sebab saya ada tanggungjawab mengajar kelas al-Quran hampir setiap petang.

 Waktu itu pun memang ada penduduk kampung yang membakar sampah dan saya memang melalui kawasan rumah mereka untuk sampai ke kelas al-Quran.

Allahu Allah. Mahu sahaja duduk berdiam diri di dalam rumah.

Sekian Ummi anak lima membebel :(

Ahad, 13 Januari 2019

Misi Membaca 2019 : #Buku6 Kelab Sarjana : Misteri Rumah Asap di Ladang Seri Taming



Tulisan Kak Su (Noor Suraya) tidak pernah mengecewakan :-) Meskipun novel penyiasatan kanak-kanak, suka sekali dengan gaya naratif yang dibawa oleh Kak Su ini.

Baik, buku ini mengisahkan dua pasang adik-beradik yang tinggal berjiran. Nabil dan Nurdini ialah anak Encik Nasir, Penyelia Kanan di Ladang Seri Taming. Jiran baharu mereka ialah tuan pengurus ladang yang baru berpindah dari Pulau Pinang, Tuan Sabandi. Tuan Sabandi mempunyai dua orang anak yang hampir sebaya mereka iaitu Luthfil Hadi dan Dania Thurayya.

Kawasan rumah Tuan Sabandi lebih luas dan mempunyai rumah pokok, buaian, kolam kecil dan stor perkebunan yang agak luas. Nabil dan Nurdini kerap bermain di sana sebelum ini. Mujurlah kawan baharu mereka ini sangat baik dan peramah. Cepat sahaja mereka dapat berkawan rapat.

(Waktu ini teringat cerita Enid Blyton yang bertajuk "Children at a green meadow". Bezanya anak-anak itu lebih ramai, lebih lasak dan berbeza perwatakan antara satu sama lain. Yang mempunyai persamaan ialah mereka mempunyai minat yang sama dan halaman rumah yang "adventorous" bagi anak-anak ini bermain).

Tetapi mereka sering sahaja diganggu oleh kembar yang nakal dan tidak beradab - Intan dan Adib. Geram juga membacanya. Hee.

Disebabkan minat Luthfil dan Nabil yang mendalam kerana gemar membaca buku penyiasatan dan misteri, membuatkan mereka bersetuju menubuhkan Kelab Sarjana untuk menyiasat kes-kes misteri di kawasan mereka. Siap ada markas dan lencana lagi!

Perancangan mereka juga tersusun. Ada ketua dan setiausaha, ada perjumpaan berkala dan pengagihan tugas mengikut kemahiran individu. Mereka turut mengedar promosi sekiranya ada yang memerlukan bantuan. Sempatlah mereka selesaikan satu kes mudah sebelum benar-benar terjumpa kes besar yang misteri!

Oh ya, mereka ada pertambahan seorang ahli baru yang berpengalaman. Namanya Badrul, anak saudara Inspektor Halim yang tinggal di ladang itu juga. Cuma Badrul bersekolah di bandar. Yang lain bersekolah di dalam ladang itu.

Mereka curiga kerana ternampak asap dari arah sebuah rumah di dalam belukar. Deretan rumah di situ telah lama kosong kerana penduduknya telah berpindah dan ada yang telah berhenti kerja. Tambah memeranjatkan lagi apabila mereka mendapat amaran dari seorang perempuan ganjil supaya tidak menghampiri kawasan itu.

Penyiasatan mereka bermula dengan mengambil tahu peta kedudukan ladang, menyelidik siapa yang pernah menghuni rumah-rumah tersebut, mencari rekod atau keratan berita berkaitan apa-apa kejadian yang berlaku di ladang berkenaan di perpustakaan di bandar, menjejaki dan menemubual beberapa orang penduduk yang pernah tinggal di situ dan cuba mencantum semua persoalan penyiasatan.

Mereka terjumpa berita kes rompakan kedai emas di pekan beberapa tahun dahulu, kejadian rumah terbakar di kawasan ladang Seri Taming, kisah orang dibaham harimau dan kes kehilangan pekerja ladang. Hmm.. ada kaitankah semua ini?

Menarik sekali apabila "sama-sama" mengikuti perjalanan penyiasatan mereka semua.

Anak-anak saya jadi tidak sabar mahu membaca buku ini tatkala melihat ummi tekun membaca dan akhirnya beria-ia menceritakan kembali apa yang dibaca. Haha. Nampaknya ummi pun main peranan ya.

Kesimpulan cerita, kes di atas berjaya diselesaikan meskipun hampir mengancam nyawa ahli Kelab Sarjana. Seronok benar anak-anak ini kerana betul-betul menjadi penyiasat.

Buku 6 / 2019

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015