Isnin, 8 Ogos 2016

Hafazan Surah 'Abasa


Sudah lebih sebulan sejak kami anak-beranak mula menghafaz Surah 'Abasa. Seingat saya kami bermula sehari dua sebelum ramadan tahun ini. Kali ini lebih konsisten menggunakan kaedah Al-Huffaz Dr Shafie iaitu method 1 hari 1 ayat. 

Pada permulaannya, jadual berjalan seperti biasa. Namun ada masa cabaran juga. Ada juga ayat yang mengambil masa lebih sehari untuk dihafaz kerana kekangan waktu dan ulangan. Memang kelemahan sayalah dalam memantau hafazan anak (dan diri sendiri).

Surah 'Abasa ialah surah ke-80 dalam al-Quran. Dikenali sebagai surah Makkiyah.

Ayat pertama surah ini menimbulkan pelbagai rasa dalam hati.




Ia bermaksud Ia memasamkan muka dan berpaling. Dalam ayat ini Ia bermaksud Nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam. Tetapi apabila melihat konteks yang lebih luas, saya bagaikan tersedar dengan tingkah saya melayani anak-anak dan orang lain. Adakah saya selalu bermasam muka dan berpaling apabila mereka mahu bercakap dengan saya? Astaghfirullah.

Surah panjang ini mengandungi 42 ayat. Sehingga entri ini ditaip, kami baru masuk ayat ke 38. Ada banyak kisah di dalamnya yang sangat memberi makna. Peluang melihat terjemahan ayat dan tafsir membuatkan diri semakin insaf dan sebak.

Dalam menghafaz, kami menggunakan kaedah jari untuk mengingat ayat yang dihafaz. Adakalanya saya menggunakan kaedah lukisan (visual) bagi ayat yang boleh digambarkan maknanya. Ada ketikanya, saya mengambil peluang memperkenalkan perbendaharaan kata yang baru yang boleh dipelajari bersama anak-anak.

Buku hafazan anak. Guna buku latihan sahaja.


Misalnya perkataan yang mudah diingati anak-anak ialah :

'abasa - memasamkan muka
wa - dan
yazzakka (ayat 7) - membersihkan dirinya
suhuf (ayat 13) - naskah
mukarramah (ayat 13) - mulia
sabil (ayat 20) - jalan
to'amih (ayat 24) - makanan
habba (ayat 27) - biji-bijian
'inaba (ayat 28) - anggur
qadba (ayat 28) - sayur-sayuran
fakihah (ayat 31) - buah-buahan
abba (ayat 31) - rumput

Masya Allah, apabila disenaraikan banyak rupanya yang dapat dipelajari!

Insya Allah, akan berkongsi lagi aktiviti daripada surah ini. Mohon doa semoga dipermudahkan.

Selamat mentadabbur al-Quran.

#quranichomeschooling
#fitrahhomeschooling
#quranjournaling

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi (Ummu Khaulah)
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015