Ahad, 21 Ogos 2016

Rahsia Allah.


Semalam bermusafir ke Kuala Lumpur menghadiri majlis perkahwinan saudara di sana. Sepatutnya sudah tiba awal namun disebabkan tiba-tiba mahu ikut jalan lain, sesat rupanya. Sejam selepas itu baru tiba di lokasi majlis. Dengan keadaan perut yang tidak selesa (sudah mula false contraction) dan anak yang muntah-muntah (mungkin kerana mabuk kenderaan), memang ia satu situasi yang tidak menyenangkan.

Kami tiba jam 11.30 pagi, selepas menjamu selera, ibu dan ayah mertua berjumpa sanak-saudara sehingga jam sudah menghampiri 2 petang. Ikutkan hati, saya mahu ajak pulang sahaja. Tidak larat menunggu lama. Rupa-rupanya ada banyak agenda lain mahu pergi berziarah. Saya redha sahajalah.

Jam menunjukkan 6.30 petang, kami dalam perjalanan pulang ke Melaka. Kami sedang melalui highway Senawang ketika saya perasan penghawa dingin tiba-tiba berhenti dan saya cuba membuka tingkap - jammed. Eh, kenapa ini? Lampu di dashboard kereta suami turut menyala. Bateri - merah, karburator - oren, beberapa ikon lain juga berwarna merah. Cepat-cepat saya minta suami berhentikan kereta di tepi jalan. Laluan di situ tiada lorong kecemasan. Dalam hati agak bimbang kerana kenderaan terlalu banyak dan sedikit sesak.

Selepas berhenti, brek kereta dan stereng terus block juga. Allahuakbar. Peluh sejuk mula keluar. Namun saya cuba bertenang. Saya lihat suami sejak awal terkumat-kamit membaca doa. Insya Allah, doa orang musafir mustajab.

Bateri telefon kami suami isteri pula kehabisan. Harapan pada telefon bimbit ibu mertua. Selepas menghubungi beberapa pihak, pihak peronda PLUS tiba. Namun, anggota berkenaan datang berseorangan jadi beliau memanggil rakannya yang lain. Sementara menunggu ketibaan anggota PLUS, saya dapati ada sebuah on tow tiba-tiba muncul dan berada di hadapan kereta kami dan sudah menurunkan peralatannya. 

Dia memujuk suami untuk ke bengkel dan memeriksa kerosakan di sana. Mengambil iktibar yang pernah berlaku kepada ayah saya satu ketika dahulu, saya meminta untuk terus menghantar kami pulang ke Melaka. Bayarannya RM250. Namun disebabkan ayah mertua cemas, terpaksa juga kami ke bengkel kereta.

Allahu akbar. Tiba di bengkel sudah hampir 7.30 malam. Ibu mertua sudah mula sakit pinggang kerana sudah duduk dalam jangka masa yang lama (beliau mengalami angin ahmar dan lumpuh sebelah kiri anggota badan). Ibu dan ayah saya pula berterusan menelefon  supaya terus pulang ke Melaka dan jangan membuat pemeriksaan di bengkel kerana harga yang akan dicaj melampau - berkali ganda.

Mekanik sudah mula mengeluarkan peralatan dan mahu memeriksa enjin kereta suami. Saya tidak melengahkan masa terus meminta on tow menghantar kami pulang. Tetapi, ada tambahan bayaran RM60 iaitu dari tempat kejadian tadi ke bengkel. Saya sudah mahu naik marah tetapi sabar lagi. 

Mekanik di situ masih berusaha memujuk suami dan ayah mertua untuk membuat pemeriksaan. Saya bertegas mahu pulang terus kerana memikirkan bayi saya yang mula tidak selesa dan ibu mertua yang kepenatan. Alasan lain ialah saya tidak mahu bersusah-payah meninggalkan kereta di Senawang dan membaikinya di sini. Biarlah kami pulang ke rumah, cari mekanik yang kami kenali dan percayai dan terus dibaiki di situ.

Alhamdulillah selepas hampir 20 minit berbincang, kereta kami pun dalam perjalanan pulang ke Melaka. Apabila difikirkan balik, saya malu juga kerana tertinggi suara ketika bertutur dengan mekanik bengkel. Mereka seperti memaksa suami untuk memeriksa kerosakan sedangkan saya tidak mahu. Sehingga terkeluar dialog, "Jika encik check juga, saya tak mahu bayar apa-apa kerana kami hendak pulang terus." Selepas berkata begitu, barulah mekanik berkenaan menyimpan kembali peralatannya. Lega.

Kami tiba di rumah hampir 10 malam. Saya tidak boleh bayangkan bagaimana ibu mertua dapat menanggung kesakitan dan kepenatan menunggu terlalu lama. Mujur bayi saya tidak meragam. Selepas mandi dan makan, dia sudah mula segar.

Apa pun yang berlaku hari ini, saya sedar semuanya telah Allah takdirkan lebih awal. Cuma bagaimana kita menghadapinya. Seperti firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 22 dan 23 :

Tiada satu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab  (Loh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.

(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berduka cita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri. 


Qaddarallahu ma sha a..


Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi 
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015