Khamis, 27 Jun 2024

Mencoret di sini

Klinik kesihatan 

Temu janji klinik kesihatan dipenuhi pagi ini. Berpuasa sejak malam tadi untuk mengambil darah seperti yang diarahkan. Temu janji seterusnya pada bulan Julai. Ah, sebut bulan Julai teringat betapa sibuknya nanti. Sudah berderet tarikh kursus dan program dalam kepala. (Nanti saya coretkan)

APDM

Usai urusan di klinik terus pulang ke sekolah. Suami bergegas pulang ke sekolahnya juga selepas menghantar saya. "Cikgu Aina, tolong cetakkan maklumat APDM," pesanan dari GPK HEM dibaca sekali lalu. Pantas tangan membuka komputer riba sambil mulut mengunyah roti. Jam dinding bilik guru dijeling. Aduh, terlewat lagi makan ubat! 

Jiran sebelah meja sedang fokus mengikuti kursus secara Google Meet. Begitulah sekarang. Tidak bersemuka tetap juga boleh bersidang. Selesai urusan APDM, saya menjengah ke bilik HEM dan mengambil fail unit. Ah, sudah. Fail belum lengkap. Kembali ke bilik guru dan mula menaip semula.

√ Divider dalam fail 

√ Minit Mesyuarat + surat panggilan mensyuarat + kehadiran 

√ Cetak dan masukkan semua surat yang diterima tahun ini berkaitan unit 

√ Kemaskini data kehadiran bulanan 

Tugasan koku..

Tiba-tiba teringat maklumat peserta kejohanan olahraga belum siap. Perlukan salinan kad pengenalan dan surat beranak murid yang disahkan. Fail unit dipulangkan kembali ke tempat asal. Laci kabinet besi ditarik untuk mencari maklumat murid. Oh, jam sudah hampir 12.30 tengahari. Perlu segera bergegas ke kelas. Sempat pula guru besar panggil dan meminta saya mengisi pencapaian murid jika berkaitan.  Ok, done. Nota minta panitia juga sudah diserahkan kepada PT kewangan. Alhamdulillah. 

Berakhirnya sesi persekolahan, saya duduk melepas lelah. Sementara menunggu azan boleh pula terlelap. Aduh, tersedar apabila terdengar suara PPM, "Na... kursus pukul berapa? 2 ke 2.30 petang?" Ha, kelam-kabut bangun!

Berbengkel pula..

Ya, sebelah petang ada Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Panitia Bahasa Inggeris. Jemputannya ialah Tok Mat. Tamat menjelang 4.20 petang. Pengisian yang berilmu. Banyak benda baharu diperolehi. Tok Mat yang sememangnya pakar dalam bidang bahasa banyak berkongsi tip pemilihan tajuk, tip menarik minat pembaca dalam perenggan awal karya, langkah menulis dan lain-lain.

Daftar anak..

Dalam perjalanan pulang, singgah mendaftarkan anak ke sekolah agama petang. Semoga anakanda dipermudah urusan. Maklum, sudah pertengahan tahun baru dapat daftarkan. Sebelum ini anak menghadiri kelas tahfiz. Menunggu suami solat asar di masjid, saya agak cemas memandangkan jam sudah hampir 5.30 petang. 

Kelas mengaji..

Kelas mengaji al-Quran bermula jam 5.30 petang tetapi selalu juga bermula 5.45 petang. Hambatan masa yang mengejar selalu membuat saya rasa kesal. Pengurusan masa sendiri harus dipertingkatkan lagi nampaknya. Tapi jadual sehari-hari membuatkan saya tidak dapat mengelak. 

Masak..

"Daging kambing ada lagi, kan?" alamak, teringat suami berpuasa hari ini. 

Saya sudah mula membayangkan dalam kepala. Alahai jam berapa dapat memasak. Kelas mengaji biasanya berakhir maghrib. "Tolong pergi kelas dahulu, saya nak keluarkan daging. Nak defrost dan sediakan bahan memasak." Suami mengangguk dan bawa semua anak ke sana dahulu.

Hakikatnya memang tidak sempat siap menjelang azan maghrib. Itu pun mak banyak bantu. Huhu. Semoga Allah membalas kebaikan mak dengan syurga. Saya tinggalkan daging ketika dalam proses defrost dan pulang dari kelas sudah pukul 6.50 petang. Suami telefon mengatakan ada seorang anak murid cilik datang mahu belajar mengaji. Jadinya, dia terpaksa datang ke rumah :) Suami berbuka dengan makanan yang telah dimasak lebih awal. Kari kambing ini makan selepas berbuka nanti.

Selepas maghrib, duduk ajar anak-anak mengaji (yaa di kelas memang tak sempat ajar mereka. Maka bersambung di rumah. Haha) dan membuat latihan akademik sehingga Isyak. Badan sudah tidak tahan mahu baring dan lelap. Tapiii.. mahu tidur pun banyak drama anak-anak ni. Ya Allah.. hampir 40 minit juga tak reda-reda. Sudahnya, semua dah tertidur uminya pula tak dapat lelap. Huwaa..

Menyelesaikan kerja tertunda..

Maka, mohlah selesaikan kerja satu-persatu selagi mata larat untuk dibuka. Padahal bahaya ya tidur lewat ni. 

Zzzzz....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015