Ahad, 27 September 2015

Sehari di perpustakaan negeri


Semalam kami membawa anak-anak ke perpustakaan negeri Melaka yang terletak di Bukit Baru. Tidak sangka rupanya jerebu kembali menyerang. Agak tebal. Pandangan mata agak terhad. Di dalam hati berdoa semoga anak-anak ini baik-baik sahaja.

Sampai sahaja di perpustakaan sudah pukul 12 tengah hari. Agak mengejutkan kerana hanya ada 6 - 7 orang kanak-kanak sahaja berada di sini. Oh, mungkin kerana masih dalam suasana hari raya Aidiladha. Kelebihannya pada anak-anak kerana mereka dapat bermain sepuas-puasnya di Ruang Santai dan membaca buku di Perpustakaan Kanak-kanak.

Kami juga agak selesa kerana dapat memantau sambil membaca buku dan membuat kerja. Kebiasaannya memang tidak berpeluang seperti ini! 

Banyak buku menarik di perpustakaan kanak-kanak tapi disebabkan ada beberapa buah buku dalam senarai membaca di rumah yang belum dihabiskan, terpaksalah tidak meminjam buku hari ini. Saya juga tidak berpeluang naik ke perpustakaan dewasa meninjau buku. Hari ini memang hari anak-anak. Tidak mengapalah.

Di perpustakaan awam Negeri Melaka ada dua ruang yang boleh dimasuki oleh kanak-kanak dan bayi iaitu Ruang Santai dan Ruang Perpustakaan Kanak-kanak. Di dalam ruang santai, disediakan permainan Wii, papan gelongsor, congkak, foam puzzle, rak bahan bacaan dan sofa lembut.





Di perpustakaan kanak-kanak, terletak sebuah kerusi panjang berbentuk bujur dan dihujungnya ada kepala haiwan yang dijadikan tempat duduk. Deretan rak buku berada di sebelah kanan perpustakaan serta ada yang diletakkan di tengah-tengah ruang membaca. Di sebelah kiri ada 3 bilik iaitu bilik bermain tab, bilik sumber (saya tidak perasan namanya tetapi di dalam bilik ini ada himpunan koleksi cakera padat pendidikan kanak-kanak dan beberapa jenis permainan dalaman) dan sebuah bilik tayangan 3D. Boleh merujuk kepada kaunter untuk penggunaan bilik-bilik ini.

Kebiasaannya ada aktiviti disediakan semasa cuti sekolah, tetapi semalam saya tidak sempat melihat apakah aktiviti yang ada.

Pulang dari perpustakaan sudah hampir masuk waktu Asar. Anak-anak tidak habis bercerita sampai ke malam. Moga ada manfaatnya untuk mereka.



Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Ummu Khaulah (Aina Dayana Hilmi)
Instagram : @ainadayanahilmi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015