Musafir ke Kedah masuk hari kedua. Majlis pernikahan sepupu berjalan lancar dan meriah.
Sudah lama saya tidak pulang ke kampung halaman ayah. Ramai saudara-mara yang ditemui. Memang tidak cukup masa berbual. Masing-masing mahu berceloteh.
Selesai majlis, suami berhasrat menziarahi rakan-rakan sekampus dahulu. Kami bergerak lewat petang ke destinasi pertama iaitu Pendang.
Menyantuni seorang sahabat sekampusnya yang mengalami masalah tulang belakang. Pertama kali bersua muka setelah 11 tahun membuatkan suami agak tergamam melihat keadaannya.
Namun, semasa perbualan saya diam-diam mengakui betapa Allah itu Maha Adil. Allah beri ujian mengikut kemampuan seseorang. Sahabat suami ini sangat sabar dan tenang semasa menceritakan sakit yang dialami. Sakit tulang belakang yang dihidapi sejak lebih setahun yang lalu mula menampakkan perubahan positif.
"Allah itu memang adil, Kamal (suami saya). Kalau ikutkan sakit ni memang teruk tapi sebenarnya ada ramai lagi orang lebih susah dari ini. Ada yang tak boleh bergerak langsung. Tapi saya alhamdulillah boleh duduk dan jalan sikit-sikit sekarang." Masya Allah, redhanya dia. Hats off tuan!
Destinasi kedua ialah ke sebuah taman perumahan baru di Pendang. Suami nampak gembira bertemu dengan rakan lama. Kami tidak lama di sini kerana jam menghampiri 10 malam.
Dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani Selatan (S), kami disapa oleh rakan suami yang tinggal di Sungai Petani Utara (U). Masya Allah! Terus kereta membelok masuk ke SP (U).
Kami berniat mahu bertemu di tol sahaja. Namun tidak menyangka beliau dan isteri membawa kami ke rumah mereka. Subhanallah alhamdulillah. Sungguh ukhwah itu sangat manis. Lebih-lebih lagi apabila didasari dengan akidah Islam.
Sempat kami hadiahkan dua naskah buku untuk anak-anaknya. Semoga mendapat manfaat sebaiknya.
Saya memerhatikan setiap kali bertemu rakan-rakan, suami pasti ucapkan : Kami datang ziarah ni nak 'sedut' aura positif anta 😊 Nampak seperti bergurau tetapi saya teringat akan sebuah hadis panjang mengenai teman yang baik yang boleh memberi syafaat kepada sahabatnya di akhirat kelak :
Dari Abu Said al-Khudri radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda tentang syafaat di hari kiamat,
حتى إذا خلص المؤمنون من النار، فوالذي نفسي بيده، ما منكم من أحد بأشد مناشدة لله في استقصاء الحق من المؤمنين لله يوم القيامة لإخوانهم الذين في النار، يقولون: ربنا كانوا يصومون معنا ويصلون ويحجون، فيقال لهم: أخرجوا من عرفتم، فتحرم صورهم على النار، فيخرجون خلقا كثيرا قد أخذت النار إلى نصف ساقيه، وإلى ركبتيه، ثم يقولون: ربنا ما بقي فيها أحد ممن أمرتنا به، فيقول: ارجعوا فمن وجدتم في قلبه مثقال دينار من خير فأخرجوه، فيخرجون خلقا كثيرا، ثم يقولون: ربنا لم نذر فيها أحدا ممن أمرتنا…
Setelah orang-orang mukmin itu dibebaskan dari neraka, demi Allah, Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kalian begitu gigih dalam memohon kepada Allah untuk memperjuangkan hak untuk saudara-saudaranya yang berada di dalam neraka pada hari kiamat. Mereka memohon : Wahai Tuhan kami, mereka itu (yang tinggal di neraka) pernah berpuasa bersama kami, solat, dan juga haji.
Dijawab : ”Keluarkan (dari neraka) orang-orang yang kalian kenal.” Hingga wajah mereka diharamkan untuk dibakar oleh api neraka.
Para mukminin ini pun mengeluarkan banyak saudaranya yang telah dibakar di neraka, ada yang dibakar sampai betis dan ada yang sampai lutut.
Kemudian orang mukmin itu memberitahu kepada Allah, ”Ya Tuhan kami, orang yang Engkau perintahkan untuk dibebaskan dari neraka, sudah tidak tersisa.”
Allah berfirman, ”Kembali lagi, keluarkanlah yang masih memiliki iman seberat dinar.”
Maka dikeluarkanlah orang mukmin yang banyak diseksa di neraka. Kemudian mereka memberitahu, ”Wahai Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorangpun orang yang Engkau perintahkan untuk dibebaskan…” (HR. Muslim no. 183).
[Teks disesuaikan dari nasehat.net]
Allahu Allah.
Alhamdulillah, Allah memudahkan perjalanan hari ini dan melembutkan hati anak-anak supaya berkelakuan baik sepanjang perjalanan.
Ya Allah, moga Engkau menerima amal mereka dan amal kami. Ameen..
Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan