Jumaat, 5 Januari 2018

Ziarah orang sakit



Mendapat khabar seorang jiran sekampung sedang berada di wad ICU ekoran masalah kesihatan yang dialami. Petang ini berkesempatan menziarahi beliau di sana. Subhanallah. Sebak melihat beliau. Namun syukur dengan perkembangan yang baik sebagaimana dimaklumkan oleh anak-anaknya. 

Sejuk hati melihat aurat si ibu terjaga. Suasana di wad juga tenang dan kondusif. Syafakillah la ba'sa tohur insya Allah.

Saya dan mertua tidak dapat mendekati beliau kerana prosedur sedang dijalankan. Kami mendoakan agar segera sembuh dan diberikan yang terbaik oleh-Nya.

Sebelum pulang terserempak dengan anak-anak beliau yang lain. Salah seorangnya ialah rakan saya semasa di sekolah menengah dahulu. Masya Allah, gembira dapat jumpa hari ini. Bertukar cerita dalam masa yang singkat. Barakallahufik.

Dalam perjalanan pulang, diam-diam mengingati untaian hadis yang pernah didengari semasa menghadiri kursus pengurusan jenazah baru-baru ini : 

Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menziarahi saudara seislamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah saw bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. [HR Muslim] 


Saya baru maklum akan hadis ini. Selama ini hanya tahu menghadiri majlis ilmu itu umpama menghadiri taman-taman syurga. Subhanallah.

Hadis kedua ialah fadilat (kelebihan) menziarahi orang sakit :

“Tiada seorang pun yang menziarahi saudara seislamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” [HR At-Tirmizi: Hasan]

Semoga Allah memberkati.

Aina Dayana Hilmi
Emel : ainadayanahilmi@gmail.com
Facebook : Aina Dayana Hilmi | Tip Homeschooling Untuk Anak
Instagram : @ainadayanahilmi | @tiphomeschoolinguntukanak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015