Ahad, 11 Julai 2021

Galakan baca Iqra'

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 

 Minggu ini cubaan untuk ajak Aman mengaji hari-hari. Dia dah boleh baca sedikit-sedikit cuma tidaklah setiap hari mahu mengaji. Ok sahaja kan. Tapi mengenangkan masa umi pun dah tak lama lagi nak naik kerja, umi usahakan juga insya-Allah.


Sekarang Aman baca Iqra' at-Taisir modul 2. Baca kalimah sambung. Tempoh hari, ada lalu posting kawan Facebook cara dia tarik minat anak lelakinya mengaji. Puan Hamidah cetak kalimah dari Iqra' dan minta anaknya sebut dan tampal. Terus Allah bagi Ilham untuk buat aktiviti dengan anak.


Jadilah empat ini dahulu. Nanti umi buat lagi. Insya-Allah. Sekarang dalam kepala fikir nak ajar abang ngah mantapkan perbendaharaan kata Bahasa Inggeris dahulu. Punyalah bercinta dia nak menghadap buku. Dan nak ajar anak-anak ni kemahiran memasak dari awal. Doakan saya ya. Living skill sangat penting kan. Dengan harapan mereka boleh berdikari dan boleh survive bila diletak di mana-mana.


Bahan belajar Aman

Ini huruf ش fathah (berbaris atas). Saya lekatkan kertas A4 putih pada kad manila dan tampalkan sedikit plastik balut buku. Ada satu set lagi kalimah yang dibuat. Jadi dia perlu baca kalimah dan letakkan pada perkataan yang sama. 



Huruf ص fathah.

Ini tak ada aktiviti padankan. Hanya baca sahaja. Buat tema ampaian baju bayi. Dah itu sahaja yang saya tahu lukis. Hee.



Huruf ض fathah.

Sebenarnya nak lukis iPad tapi tak nampak sangat pula bila dah siap. Haha. Tak mengapalah. Itu yang saya tampal washi tape di keliling garisan. Kali ini buat jigsaw puzzle. Anak baca, camkan dan cantum puzzle tersebut.



Huruf ط fathah.

Gunakan apa yang ada di rumah. Memang simpan stok cawan kertas saiz comel untuk aktiviti begini. Punyalah sorok benda ni daripada anak-anak. Hee. Ok tema rumah. Anak baca, camkan kalimah dan padankan cawan dengan bulatan tu.



Jumpa lagi insya-Allah.

Sabtu, 10 Julai 2021

Menghitung masa

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 

 PKP 3.0


Hari ini menyaksikan angka kes Covid-19 sudah melebihi 9,000 kes. Allahuakbar. Sesak rasa di dada. Tapi saya memilih untuk terus menutup media sosial buat sementara waktu. Biarlah dahulu. Berita pun tak baca. Ada seribu satu perasaan. Mari alihkan kepada benda lain.

Kebun ayah. Banyak pokok pisang, durian belanda dan ada sedikit pokok betik, pokok rambutan, pokok durian sebatang, pokok cili, daun pandan 


Anak


Masih meneruskan PDPR untuk minggu yang keberapa. Umi pun sudah lost count, lost focus. Apatah lagi anak-anak, kan. Baru tiga orang sekolah, yang sulung boleh diharap selesai semua tugasan. Pandai urus masa sendiri. Yang nombor tiga pun cakna kerja sekolah.


Tapi yang nombor dua memang nak bagi umi abi pahala lebih. Haha. Waktu mood dia baik, kita pun senang hati tengok dan suka nak mengajar dia. Tapi tiba angin puting beliung dia datang, cakaplah apa pun pasti tak berkesan juga. Yang berkesan ialah bagi dia pergi main banyak-banyak dulu baru dia ok.

Kutip rambutan. Atok cantas dahan sebab mengganggu wayar elektrik. 

Makan


PKP kali ini bertambah ramai yang membuat jualan makanan. Setiap hari ada sahaja menu yang dimuatnaik iklannya dalam WhatsApp group komuniti. Menarik dan kreatif. Semoga dimudahkan urusan para penjual. Sesekali kami beli juga. Ada roti, kek, nasi, lauk-pauk, kuih-muih, makanan sejuk beku dan lain-lain.

Saje kongsi. Aiskrim lejen kan. Kisahnya adik nak beli asyik sold out. Kemain kan.


Hobi


Ada hobi barukah sekarang? Suka tengok kawan-kawan berkebun, mengait, deko rumah sendiri, buat bisnes surprise delivery dan lain-lain. Buatlah apa yang disukai, elakkan fikir benda negatif. Perlu urus emosi sendiri agar Kita juga dapat urus keluarga dengan baik insya-Allah.

Gambar lama. Rindu nak keluar tanpa mask macam dulu, kan? Apatah lagi nak berkumpul ramai-ramai dengan ahli keluarga

Selamat beristirehat semua.

Jumpa lagi insya-Allah.

Jumaat, 9 Julai 2021

Aktiviti berdasarkan buku cerita


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ 

Sementara Abdurrahman sedang semangat membaca dan beraktiviti, kita sokonglah mana yang disukainya. Ini aktiviti minggu lalu. Kami pilih buku cerita untuk dibaca dan umi cuba buat satu aktiviti berdasarkan cerita tersebut. Rupanya semua aktiviti kraf. Dia gembira sahaja buat. Oklah tu 😁




Inspirasi dari buku Spider Obeys Allah tulisan Ummi Shahbatun Abu Bakar dan suaminya, Nordin Endut.



Kraf gajah. Kami gunakan sekeping pinggan kertas. Potong keliling pinggan kertas. Lebihan kertas itu dipotong kepada tiga untuk telinga dan belalai gajah. Masih menggunakan krayon sebab warna air kami belum sampai. Kedai alat tulis tutup, umi beli di sopi pi pi pi.

 
Inspirasi daripada buku The Shining Moon. Ayatnya lebih panjang dan kompleks. Sesuai untuk bacaan anak yang sudah lebih advance dalam membaca Bahasa Inggeris. Di dalam buku ini ada disertakan grafik perubahan bulan setiap hari.

Aman buat roket dari cawan kertas. Kami gunakan kertas cawan dan krayon sahaja.


 Jumpa lagi insya-Allah.

Rabu, 30 Jun 2021

Asthma attack

 Saya terbaca seorang ibu haruslah sihat untuk keluarganya. Kerana ibu yang tidak sihat, akan memberi kesan kepada keluarganya.

Dalam keadaan saya kini, saya akui kebenaran kata-kata itu. Diserang asthma lebih sebulan, bukan berita baik. Tambahan lagi dengan PDPR anak-anak, kerja rumah serta mempunyai anak kecil, ia melelahkan. 

Saya sentiasa mencari ruang berehat kerana nafas yang pendek-pendek. Adakala tidak dapat menyantuni semua anak serentak. Maka menunggulah mereka sehingga saya bantu seorang demi seorang.

Apabila bertemu doktor sebelum ini, barulah diketahui diri mempunyai resdung yang teruk. Doktor ENT telah memasukkan kamera kecilnya ke dalam hidung saya. Seperti diduga (kata beliau) ada banyak lendir pekat berwarna putih berada di dalam hidung.

Ia tidak keluar sebagai selsema sebaliknya "block" hidung dan mungkin turun ke tekak dan paru-paru. Dan ini antara punca mengapa saya menghidap lelah. Begitulah lebih kurang ayat beliau.

Musim Covid sekarang, pesakit asthma tidak lagi menerima bantuan oksigen sebaliknya hanya diberi inhaler. Entahlah, kadang saya rasa mahu putus asa dengan ubat-ubatan. Tapi kita tak boleh berhenti berikhtiar, bukan?

Setiap malam saya sukar tidur. Tak ada istilah tidur-tidur ayam. Memang tak boleh tidur langsung pun ada. Di rumah, saya ada sesekali mengambil nebuliser atas nasihat dan pantauan doktor.

Doakan saya ya. Moga sabar hadapi ujian ini. Biasanya akan sembuh juga tapi mengambil masa yang lama.

Ahad, 30 Mei 2021

Nasi Daging dan air asam utara

 Bila memasak, kena sabar. 


Pastikan semua bahan ada baru sedap. 


Memasak boleh jadi ladang pahala kita sebab kita buat (masak) apa yang orang suka makan.


Itu antara kata-kata yang saya ingat selepas baca beberapa buah buku dari Siri Legasi Emak. Buku yang mempunyai 8 buah antologi menghimpunkan cerita di sebalik resipi seorang emak yang dikongsikan oleh penulis.


Jadi, sekarang setiap kali memasak, saya cuba buat dalam keadaan yang terbaik dan mengawal emosi. Maklum, kadang penat mengatasi segala tapi masak tetap perlu dilakukan.


Pagi semalam ternampak emak keluarkan daging dari peti sejuk. Asalnya mahu masak daging masak asam tetapi saat akhir tukar kepada nasi daging. Sebab rencahnya semua ada di rumah dan lauknya air asam. Teringat ayah orang utara, mungkin kena dengan tekaknya. InsyaAllah. Saya gunakan resipi dari Che Nom.


Nasi daging dan air asam 


First time masak ni. Mak kata sedap! Alhamdulillah.


Bahan untuk nasi daging

4 cawan beras basmathi, rendam selama 30 minit dan tos

500 gram daging, potong kiub besar anggaran 3"x4"

5 cawan air rebusan daging

1 cawan sudu cair

1 helai daun pandan, carik dan simpul

2 1/2 sudu besar rempah kurma

1 batang serai, dititik

3 sudu besar minyak sapi

1 -2 sudu besar minyak sayuran

1/2 cawan tomato sup ATAU 1/4 cawan tomato puri

Sedikit kismis hitam


Bahan untuk rebusan daging:

1 sudu besar rempah kurma

2 inci halia, hiris nipis

Air dalam anggaran 7 cawan lebih


Bahan untuk ditumis:

1 biji bawang besar, hiris nipis

5 ulas bawang putih, hiris nipis

3 kuntum bunga lawang

2 batang kayu manis

4 kuntum bunga cengkih

6 biji buah pelaga


Bahan untuk air asam :

1 biji bawang besar, hiris nipis

2 biji tomato, potong kecil

6 biji cili merah, potong kecil

1 inci belacan, dibakar di atas api sehingga wangi

1 mangkuk kecil air perahan asam jawa yang pekat

2 sudu besar sos ikan Thai

3 sudu besar gula

1-2 sudu kecil garam

1 sudu besar kerisik

Sedikit perahan jus limau nipis


Cara memasak nasi daging :

1. Rebus daging bersama air, halia dan rempah kurma sehingga empuk. Angkat dan ketepikan.

2. Panaskan minyak sapi dan minyak sayuran di dalam periuk. 

3. Tumis bahan tumis bersama 3 sudu besar serbuk kurma, serai dan daun pandan. Kacau sehingga naik bau dan kemudian masukkan beras yang telah ditos. Kacau lagi beras selama 1-2 minit.

4. Masukkan air rebusan daging bersama susu cair, tomato sup, kismis, daging yang direbus tadi dan juga garam secukup rasa. Kacau sedikit supaya sebati dan tutup.

5. Masak di atas api sederhana. Kaedah yang sama jika anda menggunakan periuk nasi. Pindah ke tapak periuk elektrik pada tahap ini dan biarkan nasi masak.

6. Setelah masak, gemburkan nasi dengan lembut supaya tidak berketul.


Cara membuat air asam 

Gaulkan kesemua bahan air asam. Biarkan seketika supaya semua bahan air asam sebati.

💜💜💜💜💜

Bila dimasak, ayah kata air asam saya cair sangat. Oh baik, lepas ni kena pekatkan. Saya jarang makan air asam. Sebelah sini ada sambal tumis sahaja biasanya. Makan air asam bila balik kampung di Perlis. Itupun dapat sikit sebab orang tua-tua makan lagi banyak. Hehe.


Tambah lagi, cili tu perlu pecah-pecahkan dalam air asam ya. Bukan letak sebiji begitu. Saya tak pecahkan sebab ada anak-anak kecil. Bimbang kepedasan sampai tak boleh makan nanti. Bila letak sebiji, sebiji anak boleh makan air asam tu dengan nasi.



Macam biasa, sayur tak ada pula untuk masak semalam. Apa lagi, petik sahaja ulam raja tepi rumah. Dah merimbun sangat. Ada juga bayam brazil tapi tinggal sedikit. Tak berbaloi buat makan. Tunggu sedikit masa lagi, bagi peluang dia membesar.

Bab ulam-ulaman ini, saya baru sahaja belajar makan. Sebelum ini lebih kepada makan sayur yang dimasak. Tapi tahulah yang nenek suka ulam tenggek burung, ayah suka makan petai, ada yang suka makan salad. Bila kahwin, baru tahu suami suka ulam raja.

Saya hanya menggunakan periuk Noxxa untuk rebusan daging batang pinang. Saya setkan kepada 20 minit. Kemudian keluarkan semua, basuh inner pot Noxxa dan masak nasi pula. Saya setkan kepada 7 minit. Alhamdulillah semua masak dengan baik. 


Alhamdulillah ala kulli hal. Selamat mencuba dan menjamu selera.

Jumaat, 28 Mei 2021

Nasi Minyak

 Badan rasa ok dalam 8-9 hari ini. Jadi hari ini turun ke dapur untuk memasak. Dah lama cuti memasak asbab badan tak sihat. Tapi menjelang tengah malam ini (waktu saya menaip, jam menghampiri 12 tengah malam), asthma saya kembali menyerang. 


Rasa nak marah dengan diri sendiri boleh tak 😅 Sampai bilalah asthma ni nak sembuh. Tak tahan dengan keadaan bawa bayi lagi. Hanya dua kandungan terakhir ini saya kerap diserang asthma (2019 dan sekarang). Bila tak mengandung, ok sahaja asthma ni.


Saya perasan dua keadaan akan menyebabkan asthma datang sekarang iaitu renyah buat kerja dan cuaca sejuk. Takkan mahu diam sahaja melihat rumah tidak berkemas? Memang ada anak dan suami yang bantu tapi kadang datang rasa tak mahu menyusahkan mereka. Masalahnya, sendiri akan merana akibatnya. Padan muka saya kan🤪


Nasi Minyak 


Baiklah, cerita tentang lauk tengahari tadi. Pertama kali masak nasi minyak guna resipi Che Nom. Terima kasih Che Nom! Banyak pahala sebab kongsi cara masakan. Semua orang gembira makan bertambah-tambah sampai malam. Ini resipinya :


Bahan Nasi Minyak

2-3 sudu besar majerin/mentega/minyak sapi

1 sudu besar minyak masak

½ biji bawang besar

1 inci halia

2 helai daun pandan

Rempah 4 sekawan (1 batang kayu manis, 1 kuntum bunga lawang, 3 kuntum cengkih, 4 biji buah pelaga)

2 cawan beras

Anggaran 2 cawan air + 1 cawan susu cair

garam secukup rasa


Cara memasak 

1. Hiris nipis bawang besar dan halia.

2. Tapis dan tos beras yang telah direndam lembut selama 1 jam.

3. Panaskan majerin/mentega/minyak sapi dan tambah sedikit minyak masak.

4. Tumis bawang besar dan halia, rempah empat sekawan, daun pandan, dan tuang beras yang telah direndam. Lalu, goreng kesemuanya seketika dalam masa 2-3 minit.

5. Masukkan air dan susu cair mengikut sukatan bersama garam secukup rasa dan kiub ayam (pilihan).

6. Kemudian, pindah masuk kedalam periuk nasi dan masak.

7. Nasi minyak siap dimasak boleh dihidangkan dengan taburan daun ketumbar, bawang goreng dan cili merah bersama ayam goreng madu dan sos ala Thai.


Dalam entri Che Nom, beliau masak ayam masak madu dan sos cili ala Thai sebagai lauk. Tapi saya memikirkan ada pelbagai peringkat umur dalam rumah ini, maka saya padankan dengan kurma ayam dan ulam raja.


 Ini kes sudah tak larat nak berdiri masak sayur pula. Sambal belacan pun jauh sekali nak buat. Saya perlu mencari masa untuk buat stok pes dan sambal untuk akan datang. Oh sebenarnya di rumah sudah kehabisan gas. Jadi saya mengulang pakai Noxxa 😅 Alhamdulillah Ya Allah, besar rahmat ada periuk ini.


Minum petang

Sebelum Asar tadi sudah terasa badan penat (baca : asthma dah mula nak menyerang). Selepas ambil wuduk saya sudah berkira-kira mahu baring selepas solat. Tiba-tiba dapat permintaan buat pengat pisang. Gulp! Allah jualah bagi kekuatan. 


Lepas solat, perlahan-lahan saya buat kerja. Alhamdulillah Allah izin Noxxa buat kerja sekejap sahaja sudah masak. Resipi Pengat Pisang boleh ambil di sini. 


(Ini sahaja gambar masa anak makan)


Doakan saya sihat dan dipermudahkan perjalanan mengandung kali ini. Terima kasih! Semoga yang lebih baik untuk anda sekeluarga.


Aina Dayana Hilmi

t.me/ainadayanadotcom

Copyright to FITRAH HoMeSchOoLInG
Designed by UMIESUEstudio 2015